Hebahan

Monday, March 30, 2009

Bo la...bo la.. bo bo la...bola sepak!

Kali ini nak berbicara mengenai sukan nombor satu di Malaysia,bola sepak. Aku bukan mahu berhujah mengenai jurang prestasi permainan bola sepak negara berbanding negara jiran mahupun antarabangsa samada mengenai ranking ataupun pengurusan. Tetapi sekadar berkongsi langit atmosfera bola sepak, samada dari sudut pandang seorang yang langsung tak tahu pasal sukan ini ataupun dari perspektif yang sedikit berbeza.

Pertama sekali, apa beza football dan soccer? Siapa tahu buat-buat tak tahu. Siapa tak tahu buat-buat tahu. Haha. Sebenarnya ini ada kaitan dengan percanggahan antara British dan American. Contohnya ejaan 'colour' dengan 'color'. 'Biscuit' dengan 'cookies'. British guna S.I. Kilometre, kilogram. Tapi orang Amerika berbangga dengan 'milage' mereka seperti inch, feet, mile, pound etc.

Kita di Malaysia dijajah British suatu ketika dulu. Ketika alam persekolahan, bagi subjek Bahasa Inggeris kita mengikut sistem Bahasa Inggeris di UK samada dari segi percakapan ataupun penulisan. Sebab tu di atas slip SPM bagi subjek Bahasa Inggeris, ada kod 1119, bermakna kertas kita juga disemak dan digred oleh Cambridge, dan keputusannya ada di ruangan GCE-O.

Sebagaimana wujudnya perbezaan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, Bahasa Inggeris orang Amerika dan England juga berbeza. Bukan sekadar bahasa, budaya juga termasuk sukan. Paling ketara, orang Amerika tidak mengiktiraf sukan bola sepak yang kita panggil football kerana di sana ada American Football. Maka di sinilah bagaimana wujudnya
istilah soccer.

Tak kisahlah. Football ke...soccer ke...asalkan bola. Di Kelantan, perkataan 'BO' bermaksud cukup. Pade doh kali @ It's enough already! Maka orang Kelantan selalu cakap dekat orang yang main bola. Bo la..bo la.. Bo bo la main nyo. Orang Malaysia kita, memang banyak variasi. Menulis esei bahasa Inggeris mengikut format British. Sistem kehakiman, politik, pengurusan, pentadbiran dan sebagainya juga ada tempias British. Tapi bila bab bercakap bahasa Inggeris, ataupun speaking, kita terpengaruh dengan Hollywood samada dipengaruhi melalui filem-filem dan drama mereka termasuk muzik dan lagu-lagu yang dibawa mereka.

Tapi selera rakyat Malaysia kembali berubah mood apabila tiba bab bola sepak. Dalam banyak-banyak Liga yang ada di dunia, English Premiere League (EPL) tetap menjadi pujaan hati walaupun ada La Liga, Serie A, dan macam-macam lagi termasuk Liga Super! Haha. Persoalannya, mengapa EPL menjadi pilihan? Dan apabila kita sebut EPL, ia begitu sinonim sekali dengan kedai mamak ataupun mapley. Sejak bila wujudnya budaya ber'mapley' menonton EPL di pagi dinihari?

Apabila dikaji balik, dulu EPL disiarkan di TV3 atau RTM. Namun setelah hak milik penyiaran bertukar tangan kepada Astro yang baru diperkenalkan dan bukan semua orang mampu melanggan Astro waktu tu ( bayangkanlah dulu nak langgan Astro mahal gila kan? Macam henset lah...dulu, orang-orang kaya je ada telefon bimbit ni. Sekarang budak darjah 1, penjual aiskrim hatta warga Indonesia pun mampu memiliki henfon. Dulu simcard harga beratus sekarang bila-bila masa boleh tukar nombor dengan harga bawah RM 10..hehe iklan seketika), maka tumpuan fanatik bola sepak ini terutama golongan bujang beralih arah menjadikan kedai mamak sebagai lokasi wajib singgah samada untuk menonton EPL ataupun selepas main futsal.

Terdapat persamaan antara bola sepak dengan dunia hiburan. Kenapa? Kalau dunia hiburan, ada Anugerah Oscar, Grammy, Anugerah Juara Lagu, AIM, ABP, FFM lah...dan macam-macam lagi anugerah kan? Peminat dunia hiburan begitu bersungguh bersorak meraikan kemenangan artis pujaan mereka. Sanggup tengok anugerah-anugerah tersebut dari mula sampai habis yang memakan masa berjam-jam lamanya. Sama juga dengan peminat fanatik bola sepak. Sekurang-kurangnya 90 minit duduk depan TV menonton perlawanan bola sepak. Bukan ada piala EPL je, ada piala F.A. Piala Liga dan Champion League. Dan paling prestij sekali sudah tentu FIFA World Cup. Dengar-dengar M.U mensasarkan 5 piala tahun ini. Nak pecahkan rekod treble tahun 1999 mereka. Boleh ke?

Kalau tanya aku, memandangkan aku tidak menyokong M.U (jangan marah ya), aku meramalkan EPL menjadi milik Liverpool. Piala F.A milik Arsenal. Final Champion League antara Barcelona dan Arsenal. Haha. Agak-agak aku sokong pasukan mana? Fikirlah sendiri... Aku senang je..tak kisah pasukan mana menang, as long as not M.U. Haha. Sebenarnya, adik aku merupakan die-hard fan Manchester United.Jadi bagi mewujudkan suasana kecoh, ejek-mengejek dalam rumah, aku memilih rival M.U.

Dia memang khatam pasal bola. Dia tahu pemain ni asal dari negara mana, main dengan kelab mana, berapa herga perpindahan dia dari kelab lama d.s.b. Pengetahuan aku mengenai bola sepak juga bertambah gara-gara dia suka berkongsi maklumat sebagaimana ASTROnya aku pasal dunia hiburan. Haha. Memang seronok M.U menang banyak piala, belasah pasukan Chelsea dll. Tapi kepuasan dan keseronokan sebenar ialah apabila melihat kekalahan-demi kekalahan M.U, dan genggaman piala-piala yang ada di tangan M.U semakin longgar. Rileks bro. Jangan naik angin..gurau-gurau saja.

Pemain-pemain bola sepak juga setaraf dengan selebriti-selebriti hiburan. Mereka juga menjadi kegilaan peminat dan sentiasa dikejar paparazzi bagi mengorek dan menggali kehidupan peribadi mereka. Percaya tak, pemain bola sepak memiliki bakat lakonan yang begitu hebat? Nak contoh? Haha. Kita ambil contoh terbaik punya... Christiano Ronaldo! Dia merupakan pemain terbaik dunia yang bukan sekadar memiliki skil mengangkat dan menyilang kaki yang hebat. Dia menjadi sasaran pemain bek untuk dibentes. Jadi, bagi mengelakkan dirinya menjadi mangsa kecederaan yang serius, dia kerap kali menjatuhkan badannya terlebih dahulu terutama di sekitar kawasan kotak penalti. Penyokong M.U jangan marah ya. Ini contoh sahaja. Dia tak nak jadi macam Rosicky, Hargreaves, Solskjaer,Fabregas yang memanaskan bangku simpanan. Dan akhirnya, setelah pulih, sudah tentu mengambil masa untuk kembali fit/cergas seperti sediakala.

Memang betul pun lakonannya hebat! Kadang-kadang nampak ketara sangat dia menjatuhkan badan, tetapi pengadil tetap meniup wisel faul. Tapi, bila dia betul-betul dikasari seperti perlawanan M.U melawan Newcastle tempoh hari.. pengadil pulak buat derk! Haha. Satu lagi contoh lakonan yang hebat apabila masa bermain sudah tamat 45 minit, terdapat masa tambahan sekurang-kurangnya 1 minit, TAPI, masa tu lah terhegeh-hegeh nak tukar pemain. Baik punya strategi, beb! Terutama pasukan yang mendahului dengan kelebihan 1 gol dan main bertahan sepanjang masa. Tujuan pemain tu ditukar, semata-mata nak lengahkan masa. Ya lah..kalau penjaga gol sengaja buat-buat lambat nak tendang bola, boleh dapat kad kuning free-free kan? Masuk akal tak?

Habis tengok EPL...sambung lagi main bola. Haha. Samada main bola di padang, main futsal ataupun main PES. Haha. Bangun bola. Makan bola. Tidur bola. Kaki bola betul. Tapi hakikatnya, adakah kita turut membantu perkembangan bola sepak negara? Jangan hanya tahu mengutuk bila pasukan negara kalah, biarpun mereka telah bermain bermati-matian. Orang kita suka membuat perbandingan mutu permainan bola sepak tempatan dengan antarabangsa. Cuba kita lihat senario di EPL. Stadium mereka sentiasa penuh walaupun perlawanan antara Derby dengan West Brom. Melimpah-ruah sampai dekat dengan tiang gol dan sebelah padang saja jaraknya. Stadium bola sepak di Malaysia? Tengoklah sendiri.

Aku tak suka orang yang terlalu mengagung-agungkan bola sepak luar dan dalam masa yang sama mengutuk kaw-kaw bola sepak tempatan. Tak suka, tidak mengapa tapi jangan mengutuk ya. Apa kurangnya Liga Super? Walaupun tak sampai tahap menonton di stadium, sekurang-kurangnya ambil tahu juga perkembangannya. Pasukan Kedah juara treble, tiga piala dua tahun berturut-turut, kini terumbang-ambing kedudukannya dalam liga seperti Arsenal. Selangor, gergasi merah kuning mempunyai dana yang kukuh serta penyokong yang fanatik persis pasukan Red Devils. The Reds mungkin kita boleh samakan dengan pasukan Kelantan, gomo Klate gomo! The Blues kita bagi dekat Nogori. Villa dan Everton kita bagi pasukan Perlis dan Perak. Sangat berangan kan? Alaa..sekadar imaginasi indah semata-mata.

Bola tu bulat. Ada jatuh bangunnya juga. Ada teka-teki. Kenapa kita main bola 45 minit? Haha! Lapuklah teka-teki ni. Nak bagi satu analogi menarik mengenai bola sepak yang ingin dikongsikan bersama. Cuba kita renungkan sejenak. Bayangkan...bola yang bulat itu umpama ILMU. Semua orang merebutkan bola yang satu itu. Semua orang merebut ilmu. Bola itu juga kita pass kepada kawan sepasukan kita. Begitu juga ilmu. Kita kongsi bersama kawan-kawan kita moga beroleh kemenangan. Penjaga gol pula, sedaya upaya mempertahankan kubunya dengan menangkap bola itu kemas-kemas agar tidak terlepas. Begitulah gambaran kita dengan ilmu. Ilmu yang kita dapat...kita simpan erat-erat jangan biar terlepas.

Main bola kena ada strategi..formasi. Semoga kita mampu melihat hikmahnya. Tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Wallahu a'alam.

Friday, March 27, 2009

Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16)



Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16) dijadualkan berlangsung pada 2 Mei 2009. Tahun lepas aku dapat menyaksikan AIM 15 secara langsung hasil usaha Rahman dan Shahril mendapatkan tiket. Tahun ini? Err...tengoklah... ada rezeki ke tidak.

Dan akhirnya... senarai Top 5 pencalonan akhir bagi 24 kategori dalam Anugerah Industri Muzik diumumkan. Berikut adalah senarainya : (yang ber"bold" adalah ramalan pilihan tukang tulis, yang tak berbold tu tak tahu nak pilih. Okay, kita tengok siapa yang kena nanti)

1. Artis Baru Terbaik – Artis

1. Hujan
2. Joe Flizzow
3. Malique
4. Meet Uncle Hussain
5. Suki

2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) – Artis

1. Aizat – Lagu Kita
2. Bob AF2 – Cinta Terhalang
3. Reshmonu – Doa Untuk Dia
4. Reshmonu – Sayu
5. Rithan (Deja Voodoo Spells) – Rock ‘N’ Roll (English)

3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) – Artis

1. Ayu – Hanya Di Mercu
2. Dina – Sejauh Ini
3. Shila – Memori Tercipta
4. Dato’ Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita
5. Dato’ Siti Nurhaliza – Di Taman Teman

4. Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album – Artis

1. Ajai & Marsha – Sayang
2. All One – Bilal bin Rabah
3. Pop Shuvit – Marabahaya (International Version)
4. Rabbani – Bila Nur Melimpah Di Hati
5. Raihan – Assubhu Bada

5. Kulit Album Terbaik – Pereka

1. Florence Lee – Hawa – Nikki
2. Nadia Jasmin – President – Joe Flizzow
3. Nicholas Chong – Transit – Altered Frequency
4. Nizam Rahmat – Satu – Ferhad
5. Vignes Balasingam – Remain Unknown – Estranged

6. Rakaman Album Terbaik – Jururakam

1. JD Wong – Remain Unknown – Estranged
2. Nick Lee, Greg Henderson & CL Toh – Finally/Akhirnya – Suki
3. Paul Morisson – Satu – Ferhad
4. Puja, Edry, Bajai & Yudi – Adam 3 – Adam
5. Reshmonu, Murali, Will Quinell & CL Toh – Harapan – Reshmonu

7. Video Muzik Terbaik – Pengarah

1. Douglas Lim – Hanya Di Mercu – Ayu
2. Douglas Lim – Sampai Syurga – Faizal Tahir
3. Kerol – Mati Hidup Kembali – Butterfingers
4. Kerol – 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
5. Reshmonu – Oh Anok Anok – Reshmonu

8. Album Pop Etnik Terbaik – Artis/Produser

1. Khazanah Pujangga – Syura
2. Lentera Timur – Dato’ Siti Nurhaliza
3. Selagi Ada Rindu – Pak Long (Shafie Ahmad)
4. Zapin Suri – Haziq

9. Lagu Pop Etnik Terbaik – Komposer/Penulis Lirik

1. Di Kayangan Kita – Johari The – Keon - Dato’ Siti Nurhaliza
2. Di Taman Teman – Fauzi Marzuki – Hairul Anuar Harun – Dato’ Siti Nurhaliza
3. Dirgahayu – Radeen Sri – Hairul Anuar Harun – Ramlah Ram
4. Nafas Cahaya – M.Nasir – Loloq – Misha Omar
5. Zapin Suri – Pak Ngah – Siso Kopratasa – Haziq

10. Album Nasyid Terbaik – Artis/Produser

1. Allah Habeebi – Mawi
2. Istimewa Tiada Dua – Nice
3. Nasyid Nostalgia Memori The Zikir – Nazrey Johari
4. Nostalgia Nadamurni – Rabbani
5. Setia – Wildan

11. Lagu Nasyid Terbaik – Komposer/Penulis Lirik

1. Allah Habeebi – Farihin – Yasin – Mawi
2. Bila Nur Melimpah Di Hati – Asri Ibrahim – Ito Lara – Rabbani
3. Kemuliaan Al-Quran – Amin InTeam – Amin InTeam – InTeam
4. Serulah Namanya – M.Nasir – AD Samad – Mawi
5. Teman Hakiki – Ku Sham – Dr.Mohd Asri – Mawi

12. Album Rock Terbaik – Artis/Produser

1. Bongkar – Kristal – Kristal & Bong
2. Hujan – Hujan – Noh Hujan
3. Keamanan – Nrocinu – Mus May
4. Kembali – Butterfingers – Butterfingers/Faizal Shahrin
5. Modern Minimals Glamour – The Times – Gizmo Records

13. Lagu Rock Terbaik – Komposer / Penulis Lirik

1. 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Loque – Loque – Butterfingers
2. Aurora – Estranged – Estranged – Estranged
3. Bila Aku Sudah Tiada – Noh Hujan – Noh Hujan – Hujan
4. Dugaannya – Noh Hujan – Noh Hujan – Hujan
5. Yang Pernah – Estranged – Estranged – Estranged

14. Album Pop Terbaik – Artis / Produser

1. Alyah – Alyah
2. Arus Qudus – Yassin
3. Harapan – Reshmonu
4. Misha Omar – Misha Omar
5. Percubaan Pertama – Aizat

15. Lagu Pop Terbaik – Komposer / Penulis Lirik

1. Cinta Adam Dan Hawa – Azmeer – Loloq – Misha Omar
2. Dingin – Azlan Abu Hassan – Azalea – Ziana Zain
3. Ketentuan – Azlan Abu Hassan – AD Samad – Ramlah Ram
4. Lagu Kita – Aizat Amdan – Aizat Amdan – Aizat
5. Sampai Di Sini – Ajai – Slen – Misha Omar

16. Lagu Hip Hop Terbaik – Komposer / Penulis Lirik

1. Bergerak – Johan Ishak, Ceza Mutyara, Khalid Kamal & Saiful Amri – Johan Ishak, Ceza Mutyara, Khalid Kamal & Saiful Amri - Joe Flizzow feat Joeniar Arief
2. Isabella – Johan Ishak, Iman Ishak & Search - Johan Ishak, Iman Ishak & Search – Joe Flizzow feat Hady Mirza
3. Mengapa Harus Bercinta ? – Johan Ishak, Terrytyelee & H ady Mirza - Johan Ishak, Terrytyelee & H ady Mirza – Joe Flizzow
4. Mantera Beradu – Malique, D’Navigator & M.Nasir – Malique & M.Nasir – Malique feat M.Nasir 5. OK – DJ Fuzz, Malique & Cat Farish – Malique & Cat Farish – Malique feat Cat Fabuloso

17. Album Inggeris Tempatan Terbaik – Artis / Produser

1. Dark Sun Big Rain – Karen Nunis Blackstone
2. President – Joe Flizzow
3. Remain Unknown – Estranged
4. Take Five with Juita Suwito at Avanti – Juita Suwito
5. Tapestry of Life – Shal Sagan

18. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik – Komposer / Penulis Lirik

1. All Around My World – Johan Ishak & Ceza Mutyara - Johan Ishak & Ceza Mutyara – Joe Flizzow
2. Dances of The Spirit – Estranged – Estranged – Estranged
3. In No Time – Estranged – Estranged & Chow Ken Chung – Estranged
4. KL Streets – Malique & D’Navigator – Malique – Malique feat Lah
5. Marabahaya (International Version) – Pop Shuvit & Dandee – Samsol Nahar, Dandee, Moots, Daly, Thaitanium & Jamir Garcia – Pop Shuvit

19. Album Cina Tempatan Terbaik – Artis / Produser

1. Homely Life – Rynn Lim – Ryan Lim
2. Man Jiang Hong – Man Jiang Hong – Alex San
3. Meet to Listen – Cheng Lee – Cheng Lee
4. The Real Hou Ren – Hou Ren – Lee Nai Kong
5. Will Be Good – Will Ng – Cheng Lee, Will Ng & David Koon

20. Lagu Cina Tempatan Terbaik – Komposer / Penulis Lirik

1. He, She & Me – Cheng Lee – Cheng Lee – Cheng Lee
2. Man Jiang Hong – Alex San – Ah Guan – Man Jiang Hong
3. Missy Missy – Will Ng – Will Ng – Will Ng
4. Prisoner – Will Ng – Will Ng – Will Ng
5. Zhong Du – Alex San – Yap Kah Heng – Man Jiang Hong

21. Album India Tempatan Terbaik – Artis / Produser

1. Agarem – Agarem
2. Ethirrpaarkiren – Anbarasan & Anuratha
3. Veera Puranam – Chakra Sonic

22. Lagu India Tempatan Terbaik – Komposer / Penulis Lirik

1. Enna Venum – Coco Nantha – Coco Nantha – Agarem
2. Ethirrpaarkiren – Anbarasan – Divya Saraswathy – Anbarasan & Anuratha
3. Sottu Sotta Remix – Sundrra – Coco Nantha – Agarem
4. Sudum Mannil – Sundrra – Coco Nantha – No Entry
5. Tu Khendi She – Goldkartz – Arvinder Raina – Goldkartz feat Arvin

23. Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara – Artis

1. Aku Dan Dirimu – Ari Lasso & Bunga Citra Lestari
2. Ayat-Ayat Cinta – Rossa
3. Bila Rasaku Ini Rasamu – Kerispatih
4. Matahariku – Agnes Monica
5. Menjaga Hati – Yovie & Nuno

24. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu – Penggubah

1. Audi Mok – Pada Cintanya – Dato’ Siti Nurhaliza
2. Azlan Abu Hassan – Tiada Maaf – Danell Lee
3. Estranged – Aurora – Estranged
4. Fauzi Marzuki – Di Taman Teman – Dato’ Siti Nurhaliza
5. Sham Kamikaze – Bukan Mimpi – Farhan

Terkejut juga dengan senarai akhir ini. Misha Omar contohnya tak tercalon bagi kategori vokal wanita, manakala Yasin bagi kategori lelaki. Lagu Bismillah dan Kau Yang Mengetahui memang best. Apa-apapun Semoga berjaya kepada yang tercalon... Anggaplah penclonan itu juga satu kejayaan.

Thursday, March 26, 2009

TALEnTIME - Filem bangsa Malaysia?


Aku berpeluang menonton filem ini pada hari pertama tayangannya. Sebuah filem Yasmin Ahmad, yang seperti biasa langsung tidak mengecewakan aku. Jika Rabun berkisar kisah cinta warga emas, Sepet mengenai cinta pemuda Cina dan gadis Melayu & kesinambungannya melalui Gubra, Mukhsin pula membongkar cinta alam kanak-kanak, dan kini muncul pula Tale&Time... kisah pemuda India dan gadis Melayu Pan-Asia.

Sebenarnya, aku lebih teruja menyaksikan Muallaf tetapi memandangkan status filem itu masih belum dikenalpasti maka Talentime menjadi pengubat duka lara, melepaskan rindu terhadap karya Yasmin yang bukan klise dan stereotype. Setiap kali raya, kemerdekaan dan apa-apa perayaan, sudah pasti iklan Petronas menarik perhatian aku yang sedikit sebanyak menyentuh emosi dan jiwa.

Talentime...bukan sekadar kisah pencarian bakat seperti diari Akademi Fantasia ataupun OIAM Diaries dan yang sekufu dengannya. Bukan sekadar cerita, malah terdapat sindiran-sindiran halus dan realiti kehidupan yang benar-benar berlaku di sekeliling kita.

Sebagai contoh, watak kecil seperti Mei Ling membawa mesej yang besar. Mei Ling merupakan orang Cina yang menjadi orang gaji di rumah keluarga Melayu. Mei Ling memeluk Islam. Mei Ling bukan masuk Melayu atau menjadi orang Arab. Mei Ling dipandang jelik oleh Datin Kosong (ops Kalsom) kerana Mei Ling tiada nama yang bunyi Melayu atau Arab. Walhal, hakikatnya, Mei Ling nampak lebih Islam daripada Datin Kosong@Kalsom.

Begitu juga sindiran pelajar Cina,Kahoe terhadap Hafiz lakonan Shafie Naswip. Dia memerli orang Melayu walau selemah mana sekalipun, suatu hari kelak pasti akan dibantu. Realitinya, itu yang berlaku dalam negara kita, di mana orang bumiputera mendapat hak keistimewaan tertentu. Yang penting, Yasmin menekankan aspek perpaduan dan bersatu-padu di kemuncak cerita ini.

Hakikatnya, kini sudah ada sistem meritokrasi menggantikan sistem kuota bagi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi. Rentetan masalah sebenarnya tak berakhir di sini. Benar! Mungkin orang Melayu 'ditolong' sehingga ke tahap masuk universiti. Tetapi realitinya di alam pekerjaan terutama sektor swasta, orang Cina terutamanya memiliki peluang dan ruang pekerjaan yang lebih luas. Sesetengah syarikat tanpa segan silu meletakkan syarat fasih berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Adil bukan?

Cerita ni ada segala ramuan yang ada...segala rasa dapat dirasa. Pahit, manis, masin, kelat, masam dan sebagainya. Setiap watak utama, dihidupkan dengan jayanya oleh setiap pelakon tak kira pucuk muda seperti Jac, Pamela dan Mahesh termasuk watak-watak tempelan ataupun kemunculan istimewa seperti watak Ida Nerina dan Mei Ling (tak tahu pulak nama dia)

Talentime...tak sah pula kalau tak sebut mengenai lagu yang melatari cerita ini. Lagu Urdu, O re piya dendangan Rahat Fateh Ali Khan sememangnya ditunggu-tunggu. Lagu yang sungguh indah melodinya termasuk maksudnya. Begitu juga lagu-lagu ciptaan Pete Teo yang dinyanyikan oleh Atilia dan Aizat dengan begitu merdu sekali.

Huraian selanjutnya ada spoiler...kalau tak nak tahu cukup baca setakat ini. Sebab akan menjejaskan mood anda bila mahu menonton kelak. Sebagaimana kecewanya aku ketika menonton filem Sepi, Khabir Bathia. Awal-awal aku dah tahu watak kekasih Iman dah mati. Begitu juga Talentime...masa diorang shooting kat Ipoh, aku dah tahu watak Mahesh ni 'sesuatu' sebenarnya. The silence is spoken, Mahesh!

Jadi kita mulakan dari sudut jalan cerita. Filem Yasmin memang tak klise. Maksudnya, kita tak boleh agak perjalanan plot cerita yang selanjutnya. Sama juga halnya kalau aku menonton filem Afdlin Shauki dan Mamat Khalid yang prolifik dan konsisten menghasilkan filem saban tahun. Bukan menidakkan kredibiliti pengarah yang lain, tetapi sewajarnya pujian diberikan kepada mereka yang berada di kelas tersendiri.

Aku teringat kata-kata yang keluar daripada mulut abang Mamat, di mana beliau selaku orang seni sentiasa menyokong dan menghargai hasil kerja karyawan yang lain terutama sekali karya tempatan tak kira samada drama ke, filem dokumentari ke, telefilem ke,kartun animasi ke hatta filem pendek sekalipun.

Berbalik kepada kisah Talentime, benarkah ia filem berjiwa Malaysia? Ya...kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Ada orang Melayu, Cina, India tidak lupa juga mereka yang wujud hasil 'kahwin campur'. Dan sebuah sekolah menengah menjadi saksi bagaimana kaum-kaum ini hidup bermasyarakat di bawah satu bumbung sekolah. Mungkin inilah dikatakan bangsa Malaysia. Secara peribadi, aku tak berasa bangga sangat lahir sebagai Melayu, tetapi aku bersyukur sangat-sangat lahir sebagai Muslim.

Talentime cuba memecahbelahkan dinding penghalang ataupun 'divider' antara orang Melayu, Cina dan India. Kita dapat menyaksikan betapa 'prejudis'nya kaum lain terhadap kaum kita dalam filem ini. Dan tanpa kita sedari, kita tak dapat menghalang kuasa cinta. Kerana cinta tak kenal siapa. Cinta tak kenal suku bangsa kaum sesiapa seperti cinta yang wujud antara Mahesh dan Melor. Cinta tak kira usia sebagaimana watak Mak Hafiz merasai manisnya cinta di saat-saat genting. Dan cinta juga tak kenal rupa paras dan fizikal seperti Cikgu Adibah yang besar juga ada peminat a.k.a secret admirer.

Mengenai aspek lakonan, rata-rata pelakon yang dipilih Yasmin memang mengesankan. Teraju utama, Mahesh dan Pamela mulanya tampak kekok dan agak janggal, namun lama kelamaan 'chemistry' mereka menyerlah terutama ketika 'klimaks'. Dan babak paling menarik semestinya cara mereka berkomunikasi. Mahesh yang pekak dan bisu menggunakan henfon menulis SMS supaya Melor faham. Sangat bermakna and so sweet. Pujian seharusnya diberikan kepada Mahesh, yang membuktikan 'silence' memberikan jiwa kepada lakonannya. Ekspresi wajahnya memang hidup.

Jaclyn Victor tidak menghampakan. Jac boleh pergi jauh sekiranya diberikan watak yang lebih menonjol dan mencabar. Shafei Naswip usah dipertikaikan wibawanya. Kali ini, si 'Mukhsin' ber'speaking' selaras dengan watak Hafiz yang pandai (dapat markah 100% dua kali) dan berbakat mencipta dan menyanyikan lagu BI. Dan paling menyerlah bagi pendapat peribadi aku sudah semestinya watak ibu Mahesh lakonan Sukarnia. Penjiwaan yang begitu emosi sekali...

Talentime...seperti filem Yasmin terdahulu, sekali lagi menjadikan Ipoh sebagai lokasi wajib. Yasmin beritahu kepada wartawan, memandangkan Ipoh merupakan tempatnya dibesarkan, maka segenap ceruk dan pelusuk Ipoh yang menarik untuk disinematografikan bukanlah suatu rahsia baginya. Begitu juga Mamat Khalid yang selesa menjadikan negeri Perak sebagai lokasi wajib filemnya. Sudah pasti jiwa mereka di situ. Ilham berkarya mencurah-curah. Sebagaimana obsesnya aku mengenai Kota Bharu...dan "panda". Haa...Panda dah jumpa kawan lama, motor Mahesh, AV1770. Benda-benda sebegini mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

Sebut pasal karya dan jiwa, kalau kita perhatikan filem-filem ataupun drama Melayu, sudah pasti para pengarah ada pelakon favourite mereka. Ataupun lebih mudah lagi...muka klise. Shuhaimi Baba, mesti ada Kavita Sidhu, Nanu. Afdlin Shauki mesti ada Hans, Patrick. Mamat Khalid mesti ada Shoffi jikan. Yusuf Haslam mesti ada pelakon Gerak Khas dan Sembilunya. Ahmad idham mesti ambil Cat Farish, Dina dan sebagainya.

Begitu juga sebagaimana Yasmin dengan Amani, Adibah Noor. dan 2 orang pelakon yang aku tak tahu namanya ini. Seorang yang jadi Mei Ling...dulu berlakon jadi Mak Jason dalam Sepet. Seorang lagi yang jadi Cikgu sekolah syok dekat Cikgu Adibah. Dalam Gubra dia berlakon jadi pemandu merangkap anak angkat keluarga Pak Atan. Alaa, yang sebut orang Cina ada 'cheese' tu. Rasanya dalam Rabun dia berlakon juga.

Usah ditanya mengapa perkara ini berlaku. Hakikatnya, seorang pengarah akan bekerja dengan mereka yang satu kepala, serasi dan menghidupkan watak menghidupkan watak bukan sekadar mengikut kehendak skrip, tetapi membuatkan seorang pengarah bangga dan cukup puas dengan hasil kerja mereka. Sekali seorang pelakon tu 'all out' buat yang terbaik...sampai bila-bila pun pelakon tu dipanggil pengarah yang sama walaupun sekadar menjayakan watak tempelan.

Sebut pasal filem Yasmin, mesti tak lepas daripada perkataan 'kontroversi'. Kann?? Aku tahu ramai tak puas hati dengan dia. Ada yang suka hentam habis cerita dia 'kaw kaw' punya, walhal tak tengok lagi filemnya. Sama juga yang suka hentam 'baik punya' karya Prof. Madya Razak, walaupun tak tengok lagi filemnya. Filem ni..senang saja. Citarasa kita semua tak sama. Kita berhak tak suka sesuatu filem..tapi kita tak boleh paksa orang lain tak suka filem itu juga.

Kita boleh bagi cadangan cakap filem ini best dan sebagainya. Tapi segalanya terpulang kepada hati dan jiwa penonton. Kalau sudah 'mindset' nak cerita simple-simple...lawak bodoh.. kelakar.. ketawa terbahak-bahak terguling-guling, kita hidangkan filem yang 'berfikir' sikit, terus mereka kata tak best.Begitu juga dengan filem Yasmin. Secara peribadi, aku tak ada masalah dan sentiasa enjoy filemnya yang lain daripada yang lain. Dan bukanlah suatu paksaan kepada semua orang agar menonton filem ini. Tepuk dada, tanya selera.

Wednesday, March 25, 2009

Kota Bharu di hati

Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Kota Bharu, bukan saja sebagai negeri kelahiranku. Malah lebih daripada itu. Alam remajaku di Kota Bharu. Aku membesar menjadi lebih dewasa di Kota Bharu. Aku belajar erti hidup juga di sini. Banyak kenangan manis di Kota Bharu.

Maka, sempena cuti sekolah baru-baru ini, bermula 14-22 Mac 2009, sementelah aku masih lagi seorang penganggur, maka bercutilah aku selama seminggu di Kota Bharu. Melepaskan rindu pada angin yang menderu. Kali terakhir aku jejakkan kaki di bumi Kelantan pada Disember 2008. Masa tu, Tok Mek (nenek sebelah Papa) baru kena stroke. Lumpuh separuh badan.

Kini, setelah kira-kira 3 bulan...perkembangan positif telah ditunjukkan. Walaupun masih belum mampu berjalan seperti sedia kala, sekurang-kurangnya Tok Mek dah boleh mencelikkan mata, duduk bangun, dan makan sendiri. Setiap butir perkataan yang keluar dari mulut Tok Mek dapat aku dengar dengan jelas. Alhamdulillah...

Tok Mek...yang jaga aku masa aku Tingkatan 4 & 5 dulu. Bersama Cik Yah dan Yaya...aku satu-satunya orang lelaki di dalam rumah. Habis SPM, aku ke Penang belajar di Matrikulasi dan seterusnya pulang ke rumah iaitu UPM, Serdang yang dekat dengan Putrajaya. Setelah 4 tahun.. alhamdulillah, segulung ijazah berjaya diperoleh. Lebih manis, bila Tok Mek turut hadir menyaksikan konvokesyen aku pada Oktober 2008. Sungguh tak disangka, 2 bulan selepas itu, Tok Mek diserang stroke.


Usik Yazid sahabatku di Facebook, "Kota Bharu di hati ke...'orang' Kota Bharu di hati?" Haha. Memandangkan Mama dan Papa orang Kelantan 'pure'. Kelantan sejati. Papa dari Kampung Chempaka, Panji dan Mama dari Kampung Permatang Pusu, Melor maka sudah tentu dapat dibayangkan betapa ramainya saudara-mara aku dari negeri serambi mekah ini. Sememangnya orang KB di hati. Bukan sekadar saudara-mara. Sahabat-handai dan kenalan-taulan juga ramai.

Lebih-lebih lagi, kedua-dua belah keluarga sebelah Mama dan Papa mementingkan hubungan kekeluargaan tak kira saudara jauh atau dekat. Sebagai contoh...sepupu arwah Tok Ayah yang rumahnya di depan rumah Mok (nenek sebelah Mama)aku kenal ahli keluarganya...sehinggalah saudara-mara taraf dua dan tiga pupu. Pendek kata...dalam satu kampung tu...belakang rumah, depan rumah semuanya waris dan saudara-mara yang ada bau-bau bacang.

Gambar atas, Kg. Chempaka, Panji & gambar bawah Kg. Permatang Pusu, Melor.

Masa nak buat kenduri lagi meriah. Semua pakat datang menolong. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Tak kira kenduri kahwin ke...ibadah korban atau aqiqah ke... mengacau bubur asyura ke...termasuk sambutan Maulud. Kali ni, Mok nak jadi tuan rumah bagi sambutan Maulud.

Sudah menjadi tradisi di Kelantan, sambutan Maulud...pasti menjamu mulut setelah berselawat ke atas Rasulallah. Sambil berdiri..aku ditugaskan mengagihkan Bunga Rampai mengikut bentuk halaqah. Dan bakinya...seperti berikut:


Ketika belajar di Maahad dulu...Kota Bharu lah ibu segala kota. Bukan taraf metropolitan ataupun kosmopolitan, taraf bandaraya pun tak dapat lagi. Tapi memang seronok. Walaupun tiada Mid Valley, KLCC, OU, Sogo dll. Dulu shopping complex yang boleh dibanggakan hanyalah The Store, Mydin dan Hankyu Jaya. Haha. Sekarang...dah ada KB Mall, dan terbaru sekali.. orang KB boleh makan Shushi di Tesco! Haha.

Kota Bharu..bandar orang Melayu. Kita dapat melihat orang Melayu terutamanya wanita menjalankan urusniaga di sini tanpa mengira fahaman politik.Siapa kata orang Melayu Kelantan miskin? Lihatlah lengan peniaga-peniaga wanita. Terduduk mami jarum dibuatnya. Kereta pulak makin semakin bertambah. Kota Bharu pun jammed! Ya lah. Kereta terbaru di atas jalan raya bernombor plat DBK @#$%. Haa.. Kalah KT !

Apa yang paling seronok di Kota Bharu sudah pasti makanan. Lebih-lebih lagi bulan puasa. Kali ini, aku berjaya mendapatkan nasi kerabu + daging bakar + budu + solok lada = RM 2.50. Kuih, 5 RM 1. Dan menikmati hidangan wajib ketika aku belajar di Ma'ahad dulu...Cendol Pulut Tapai (CPT). Nyum! Nyum! Alhamdulillah. Cendol pulut tapai...

Friday, March 13, 2009

Kena Tagged !

Miss Ros Ernida has tagged me..so..so what?

RULES :-The rules are simple. Use google image to search the answers to the questions below. Then you must choose a picture in the first page of the results and post it as your answer. Then tag 6 other blogger/reader/people.
1. I am ...Si tukang tulis katanya.. so Iam a writer =)


2. I really want to go ...




Angkasa.. Haha. Band Angkasa dari Indonesia pula muncul.. Tak pernah selingkuh !


3. My favourite place ...



Nak sangat pergi ke Niagara...air terjun tertinggi di dunia...


4. My favourite thing ...



Panda! Hahaha..sesiapa mengenali aku pasti tahu..apa itu Panda. WDL 79!

5. My favourite drink ...



Gelak lah lagi... Ribena. Serius...

6. My favourite food ...

Nasi kerabu...+ Daging bakar + budu = Best !


7. My favourite colour...



Hijau...saujana mata memandang..


8. I live in ...


Bukan di sini - Sofaz! Haha.. Ini pejabat JPM. Tak jauh dah...Presint 10.


9. I was born in ...


Hospital Besar Kota Bharu, 25/02/1984 - 4.10 p.m


10. My school ...

Ma'ahad Muhammadi Lilbanin, Kota Bharu...mengajar aku erti hidup.

11. My favourite story ...

Citer ni je yang terlintas buat masa ni..selain The Kite Runner ! Very humanity...


12. My hobby ..




Ngadap...jangan tak menghadap..dengar lagu..tengok movie..chatting...facebooking bla..bla...bla


Last Question number 13, I wish...


I have a happy family..I mean from my generation. Haha =) Insya allah.

TQ Rose..akhirnya ada juga gambar dalam blog ini. Haha... Mangsa seterusnya...entah lah. Juz name it.. Fazley, Halim, Amin, Jaja, Pekin n Bob.

Wednesday, March 11, 2009

PPSMI - Pro dan Kontra

Sekali lagi demonstrasi berlaku. Kali ini gara-gara membantah Pengajaran & Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Isunya...gara-gara aplikasi sistem ini, kedaulatan Bahasa Melayu terhakis. Benarkah ? Sejauh mana kebenarannya. Benarkah PPSMI meminggirkan Bahasa Melayu??

PPSMI mula dipraktikkan dalam sistem pendidikan Malaysia bermula tahun 2003. Kononnya, bahan-bahan rujukan bagi kedua-dua subjek tersebut banyak bergantung kepada bahasa Inggeris. Di samping mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kerana rata-rata graduan lepasan tempatan gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik ketika ditemuduga.

Kini..tahun 2009, bermakna kira-kira 6 tahun PPSMI dipraktikkan. Salah seorang generasi perintis yang mengalami dan melalui perjalanan tersebut ialah adik aku. Hasilnya, kini dia melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA mengambil Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

Lantas, aku bertanya pendapat peribadinya. Secara peribadi,dia menyatakan sistem PPSMI sangat-sangat membantunya sehingga sampai ke tahap sekarang. Bahasa Melayunya langsung tidak terjejas, sebab kami sekeluarga memang berbahasa Melayu di rumah, dan siap dialek Klate sekali. Bahasa Inggeris juga turut menunjukkan peningkatan di mana ketika SPM, adik aku mendapat A bagi kedua-dua subjek tersebut termasuk Matematik.

Akan tetapi subjek Sains seperti Fizik, Kimia termasuk Add Maths...hanya kredit diperoleh. Lepas tu komen kawan-kawan dia.. Kalau yang berada di luar bandar, pedalaman..kena masuk hutan..kena naik bot, payah sikit nak belajar. Subjek yang menarik akhirnya jadi begitu membosankan gara-gara tak faham. Tak 'catch up'.

Maka di sini wujudlah beberapa persoaalan. Pertama, persekitaran ataupun bagaimana cara seseorang itu dibesarkan akan mempengaruhi diri mereka. Orang di bandar mungkin mempunyai ibu bapa yang fasih berbahasa Inggeris, ataupun mengamalkan gaya hidup Inggeris seperti sambutan birthday party besar-besaran untuk anak d.s.b. Kemudian, bukan semua ibu bapa di kawasan pedalaman(orang asli misalnya) mampu memahami bahasa Inggeris.

Kedua, ada sekolah kategori bandar dan luar bandar, sekolah bestari, sekolah berasrama penuh(SBP), sekolah aliran agama, MRSM, sekolah teknik, sekolah harian dan sebagainya. Dan kebanyakan sekolah mengamalkan sistem 'cluster'. Pelajar bijak duduk kelas A atau pertama dan seterusnya. Selalunya, sistem PPSMI bermasalah untuk diajar kepada pelajar yang berada di kelas ketiga dan ke bawah, juga sekolah kategori luar bandar mengalami masalah yang serupa. Masalah ini yang harus dilihat untuk diselesaikan sewajarnya.

Ketiga, pelajaran Matematik dan Sains tiada kaitan langsung dengan BAHASA. Apa guna bahasa kalau tidak faham. Matematik dan Sains subjek yang penting sekali. Semua orang nak 'score' tinggi untuk kedua-dua subjek ini. Macam mana nak 'score' kalau tak faham. Tak faham konsep asasnya. Gunalah bahasa Melayu sekalipun, kalau dah tak faham apa itu teori Bernoulli, Newton dan sebagainya tetap tidak membantu. Gunalah bahasa apa sekalipun, kalau dah tak nampak graf [ y = Mx + c ], tak ke mana juga.

Kefahaman! Itulah yang paling penting sekali. Macam mana nak bagi pelajar faham? Semestinya kita menggunakan bahasa yang mudah difahami, yang dekat di hati. Bahasa pasar...bahasa perbualan seharian. Lidah kita selesa dengan bahasa apa...maka bahasa itulah yang meresap ke telinga memberi pemahaman yang sewajarnya.

Pelajar akan faham apabila orang yang mengajar, iaitu guru menerangkan dengan jelas, nyata dan terang serta tidak teragak-agak. Dalam konteks ini, walaupun PPSMI diamalkan buat masa ini, adakah bermakna semua guru yang mengajar Matematik dan Sains 'speaking London habis'??? Tidak ! Bahasa Melayu tetap digunakan...cuma istilahnya sahaja dalam bahasa Inggeris. Secara logikanya, bukan semua guru-guru yang mengajar Matematik & Sains fasih berbahasa Inggeris. Siap kena pergi kelas lagi...belajar balik dari A sampai Z istilah-istilah penting.

Percayalah..PPSMI ada juga kesan baiknya kepada pelajar-pelajar ini. Apabila menjejakkan kaki ke menara gading kelak...mental mereka telah bersedia dan terbiasa dengan istilah-istilah kejuruteraan, kedoktoran, perakaunan dan sebagainya yang telah dipelajari sejak darjah 1 lagi. Tetapi...persoalan sampingannya ialah...bukan semua pelajar 'boleh' jadi doktor...bukan semua orang boleh jadi 'engineer'...bukan semua orang dapat peluang menjadi 'akauntan'. Kan?

Seterusnya, bukan semua pelajar akan mendapat tempat di IPTA atau IPTS. Ada yang dah tak mampu nak ikut 2 subjek ini dari awal-awal lagi dah mula putus-asa, tak mahu sambung belajar atau memilih kursus yang tiada kaitan langsung dengan Matematik dan Sains. Semuanya sebab minat lah. M.I.N.A.T. Minat! Kalau budak tu minat kira-kira Matematik, faham teori-teori Sains, gunalah bahasa apa sekalipun...budak tu akan berjaya.

Budak kampung dari ceruk mana sekalipun...hulu banat hujung dunia orang kata, kalau budak tu dah minat bahasa Inggeris, tiada siapa mampu menghalangnya. Dia akan usaha...dengar lagu Inggeris, dengar siaran radio Inggeris, bawa kamus ke mana-mana sahaja, dan akhir sekali berusaha berkomunikasi dengan bahasa Inggeris. Ada kena mengena dengan Matematik dan Sains tak??

Berbalik kepada isu demonstrasi yang berlaku pada 7 Mac 2009 dianjurkan Gerakan Memansuhkan PPSMI ataupun GMP yang diketuai Datuk dr. Hassan Ahmad, bekas Pengarah DBP dan disertai Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said. Ya! Sekali lagi orang Melayu berdemonstrasi. Berjalan kaki berjuta sentimeter, melaungkan pemansuhan PPSMI.

Tolonglah ! Jangan jadikan anak-anak generasi akan datang sebagai 'lab-rat'. Demonstrasi ini bertujuan mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik ke Bahasa Melayu. Bahasa Melayu ke Bahasa Ibunda?? Orang Cina dan India juga mahukan 2 subjek ini diajar dalam bahasa lidah mereka juga kan? Adakah mereka turut berjuang untuk bahasa Melayu?? Kalau ya...tak nampak pun orang Cina dan India.

Jangan jadikan budak-budak 'mangsa' permainan politik. Sistem pendidikan yang tidak tentu hala menyebabkan mereka terumbang-ambing. Kalau lepas ni kembali ke Bahasa Melayu, adik-adik akan bertanya abang atau kakak mereka di sekolah menengah atau universiti. Pasti kakak atau abang mereka kata, " Dulu abang belajar dalam Bahasa Inggeris. Lain. Tapi... konsepnya abang tahu...". Nampak tak? Pemahaman itu yang penting,bukan bahasa.

Pendapat peribadi aku, kalau betul nak daulatkan Bahasa Melayu, baik kita daulatkan Tulisan Jawi! Ya...tulisan Jawi itulah akar umbi bahasa Melayu sebenarnya. Macam tak nampak je sepanduk tulisan jawi. Ke ada? Betul... tulisan jawi lah jiwa orang Melayu sebenarnya. Orang Jepun ada tulisannya, orang Korea ada tulisannya, orang Cina ada juga tulisannya...orang Melayu? Tulisan Jawi lah!

Tulisan Jawi itu unik..selain huruf hijaiyah bahasa Arab, tulisan Jawi ada huruf NGA, PA, NYA, GA dan VA. Di mana kita boleh jumpa tulisan jawi? Seminggu sekali. Utusan Melayu setiap Isnin. Tulisan jawilah yang sepatutnya diperjuangkan dalam eti kata yang sebenar. Ramai orang Melayu yang tak tahu baca jawi. Ramai orang Melayu yang tak tahu nak tulis jawi. Ramai orang Melayu beragama Islam yang tak tahu baca Al-Quran. Betul tak??

Kalau nak diikutkan..setelah PPSMI diperkenalkan tahun 1997, pada tahun 2001, subjek bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ada elemen Sastera ataupun Komponen Sastera(KOMSAS). Semua pelajar wajib baca satu novel tulisan 'Sasterawan'. Kena baca puisi-puisi mereka. Hayati makna yang tersurat dan tersirat. Terus terang cakap, penguasaan bahasa Melayu aku semakin baik gara-gara sistem ini. Dulu tak kenal siapa Pak Sako, dah tahu. Dulu tak tahu siapa Shakespear, sekarang dah hafal Sonnet 18. Bukan kerana belajar S&M dalam bahasa Melayu! Jadi, benarkah PPSMI meminggirkan Bahasa Melayu??

Kalau betullah mahu pelajar mahir berbahasa Inggeris, wujudkan subjek Bahasa Inggeris Komunikasi ataupun Interactive Speaking. Sebab masa aku ambil SPM, ada subjek Bahasa Arab Komunikasi, dan juga subjek Bahasa Arab Tinggi (belajar puisi-puisi arab, balaghah, qawaid dan sebagainya). Ni sediakan subjek English in Science & Technology (EST). Buat apa???

Apa yang perlu diperbaiki ialah sistem yang sedia ada. Bukan mengubahnya dan bermula kembali dari bawah. Perkemaskan sistem. Cabaran-cabaran mengajar pelajar yang berada di kelas ketiga dan ke bawah, pelajar luar bandar seperti orang asli, harus dicari penyelesaiannya. Bagaimana mahu menarik "MINAT" mereka terhadap subjek S&M. Daulat Bahasa Melayu rasanya takkan terhakis kalau sistem KOMSAS dalam Bahasa Melayu diperkemaskan atau dijadikan satu subjek wajib SPM. Perkara inilah yang harus 'pihak kementerian pelajaran' fikirkan dan pertimbangkan.

Apa-apapun...pisau dan buah di tangan mereka. Hasil buah itu manis atau tidak, sesiapapaun tidak tahu.

Monday, March 9, 2009

Hari Maulud Nabi

Selalu kita berbangga dengan kelahiran kita di dunia...menghitung usia...sudah berapa tahun menjadi khalifah di muka bumi. Nak sambut hari jadi... Menjadi apa? Menjadi lebih manusia atau sebaliknya?? Orang yang nak sambut hari jadi teruja dan takut. Takut dengan kawan-kawan yang mahu mengenakan diri mereka.Ada yang kena lempar telur...baling tepung...kena simbah 'air campuran' yang tak tahu dari mana ia datang dengan baunya yang....uweeek! Tu mungkin salah satu cara kita(termasuk aku) menyambut birthday.

Paling tidak pun ada yang buat kenduri doa selamat. Yang konon up and trendy sikit, ada parti-parti. Kalau sampai menganjurkan parti-parti liar tu..tak tahulah bagaimana gamaknya. Sedangkan kita sewaktu saat kelahiran kita disambut oleh bapa kita dengan alunan azan/ iqamat. Dan suatu hari nanti...bila kita mati, kita akan disucikan (dimandikan), ditutup aurat (dikafankan) dan disembahyangkan. Begitu singkatnya tempoh antara azan/iqamat dengan solat...begitulah singkatnya tempoh kehidupan kita di dunia.

Bagaimana pula kekasih Allah, junjungan besar Nabi Muhammad sallahu a'laihi wasallam,ketika baginda dilahirkan pada malam isnin, subuh yang indah, 12 Rabiul Awwal sebagai anak yatim. Bapanya Abdullah telah meninggal dunia. Kemudian Baginda menjadi yatim piatu...dipelihara Datuk, namun tidak lama kemudian dipelihara pula oleh bapa saudaranya. Cuba lihat...ujian yang perlu dihadapi seorang Nabi, di usia sekecil begitu telah diuji. Ditambah lagi dengan pekerti mulia sehingga digelar Al-Amin.

Pernah suatu ketika Kota Makkah dilanda banjir besar. Dan ketika peletakan semula hajarul aswad, ketua-ketua kabilah berebut-rebut mahu membawa dan meletakkan hajarul aswad di tempatnya. Dan hasil kebijaksanaan baginda 'ketua-ketua kabilah' tersebut tidak bergaduh sesama mereka kerana Baginda Rasulallah bersikap adil. Hajarul aswad diletakkan di atas sehelai kain, dan setiap ketua kabilah memegang setiap bucu kain untuk membawa hajarul aswad ke tempatnya.

Begitulah...sifat wajib yang ada pada seorang nabi. Benar, Amanah, Bijaksana dan Menyampaikan. Baginda pernah bersabda "Innamaa bu'ithta li utammima makarimal akhlaaq" bermaksud " Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlaq." Sebelum kedatangan Baginda, kita tahu betapa warga Arab hidup di dalam kejahilan. Setelah baginda muncul, darjat kaum wanita diangkat ke tempat selayaknya, kaum Aus dan Khazraj bersatu menjadi orang-orang Ansar yang akhirnya menerima kedatangan orang Muhajiriin dari kota Makkah dan macam-macam lagi kebaikan yang Baginda seru.

Inna arsalnaaka rahmatal lil a'aalamiin. Allah berfirman " Sesungguhnya kami utuskan engkau (Muhammad) bagi membawa rahmat ke seluruh alam. Betapa Baginda bukan sahaja menggantikan kegelapan dengan cahaya kebenaran, malah menjadi manusia agung dari segenap segi. Ketika sahabat bertanya kepada Saidatina Aishah, bagaimanakah Akhlaq Rasulallah, lalu Aishah berkata "khuluquhu...Al-Quran". Akhlaqnya... ialah Al-Quran. Senang cerita, bahasa pasar kita, Nabi Muhammad itu..Al-Quran bergerak. Apa yang ditegah, dilarang dan diperintah di dalam Al-Quran,Baginda akan buat.

Bukan itu saja, ada khbar dan berita gembira seperti ganjaran Syurga...juga ada peringatan-peringatan yang menakutkan kepada mereka yang berbuat dosa iaitu seksa kubur dan azab neraka. Terdapat juga janji-janji dan kebarangkalian yang akan berlaku. Seperti tanda-tanda kedatangan kiamat. Ada sesetengah perkara yang telah 1400 tahun dulu dinyatakan di dalam Al-Quran tetapi kini dibuktikan kebenarannya oleh para saintis
seperti teori Big Bang dan sebagainya.

Begitulah 'mukjizat'nya Al-Quran. Mukjizat merupakan perkataan Arab. Kata dasarnya A'a-Ja-Za yang bermaksud Lemah. Mukjizat diberikan kepada Nabi untuk melemahkan musuh-musuhnya. Contohnya, ketika Zaman Nabi Musa, orang begitu berbangga dengan ilmu sihir, sebab itu apabila tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular...semua ahli-ahli sihir yang hebat 'salute' ataupun tabik spring lantas beriman.

Begitu juga ketika zaman Nabi Isa...masing-masing berlumba dan berbangga dengan ilmu perubatan ataupun ilmu perbomohan ataupun tabib. Sebab itu, Nabi Isa memiliki mukjizat sehingga tahap menghidupkan orang yang mati dengan keizinan Allah. Dan ketika zaman Rasulallah, orang berbangga dengan ketinggian dan kehalusan 'bahasa'. Orang berbangga menghasilkan puisi-puisi dan ayat-ayat berkias berbunga.

Maka turunlah Al-Quran pada 17 Ramadhan...bagi melemahkan kaum-kaum Musyrikin.. Walhal mereka tahu...Baginda Rasulallah seorang yang Ummiy ataupun buta huruf. Tidak tahu membaca dan menulis tetapi Al-Quran menjadi mukjizat baginda. Dan baginda memberi cabaran...cuba bawa satu ayat yang boleh 'challenge' ayat-ayat Al-Quran. Tiada sesiapa pun yang berjaya.

Mereka pernah melawan Surah Al-Fiil (Gajah)...Alfiil. Khurtuumun thowiil. Yang lebih kurang begini maksudnya. Gajah. Belalainya panjang. Tetapi mereka terkesima dengan ketinggian bahasa pada Surah Al-Fiil, kisah sewaktu tahun kelahiran Baginda.

Berbalik kepada hari kita mengenang dan merayakan hari kelahiran. Adakah kita sayang Baginda? Adakah kita menjadikan Baginda sebagai Idola dalam hidup kita. Tak kira samada dari perspektif seorang anak, ibu bapa, pemimpin, ketua negara, ulama', perancang strategi perang dan sebagainya.

Bagaimana kita melibatkan diri kita dengan sambutan hari kelahiran Baginda? Berjalan, berarak, berselawat Nabi. Masa aku berumur belasan tahun dulu, ketika belajar di Kota Bharu, aku kerap berkunjung rumah ke rumah untuk berselawat. Lepas tu siap ada makan-makan lagi. Orang siap kata, masa bulan Muharram sibuk nak kacau bubur Asyura. Musim Maulud dah jadi Musim Mulut! Ada-ada saja. Tak kisahlah. Yang penting niat kita. Sebagai tanda kecintaan kita terhadap Baginda Nabi.

Sokonglah usaha-usaha yang mahu memartabatkan dakwah Islamiah. Sebagai contohnya, teater Sirah Junjungan II-Tahajud Cinta arahan Erma Fatima. Berilah sokongan sepenuhnya. Kita pernah mendengar keluhan Erma betapa susahnya mahu mendapatkan penajaan. Si Rihanna, Jason Miraz ramai pula berebut-rebut nak taja.

Akhir sekali, sebelum Baginda wafat, Baginda ada menyatakan "aku tinggalkan kepada umatku 2 benda di mana kamu berpegang dengannya, kamu takkan sesat selama-lamanya". Au kama qala. Lan tadhillu abada...takkan sesat selama-lamanya...iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

"Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia" - Hadith riwayat Bukhari.

"Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku ialah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku" - Hadith riwayat tirmidzi.

Setiap hari Jumaat Khatib selalu membaca " Innallaha wa malaikatahu yusolluna a'alan
nabi. Ya aiyuhallazina aamanu sollu alihi wa sallimu tasliima "

Saturday, March 7, 2009

Suatu hari Jumaat...

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Hari Jumaat, cuti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hari Jumaat juga ada solat Jumaat. Jadi ada satu kisah yang aku nak kongsikan.

Bila sebut saja Sembahyang Jumaat, macam-macam perangai orang aku jumpa. Ya lah. Bila sudah berada di masjid. Ketika belajar di UPM, aku selalu sembahyang Jumaat di Masjid Putra. Di sini rata-rata jemaah terdiri daripada warga UPM. Pensyarah..pelajar..staf dan penduduk sekitar, qaryah Serdang. Di sini juga kelihatan warga-warga asing iaitu orang Afrika dan Timur Tengah.

Di bawah satu bumbung... semua berhimpun...semua berkumpul. Sujud menyembah Allah. Tetapi terdapat segelintir yang melengah-lengahkan waktu sampai tak sempat dengar Khutbah. Padahal, syarat SAH solat Jumaat ialah mendengar 2 khutbah. Sama juga kepada mereka yang gemar 'tidur' ketika khatib sedang berkhutbah. 2 khutbah itulah diibaratkan sebagai pengganti kepada 2 rakaat solat Zohor.

Terdapat satu mazhab atau fahaman di mana mereka 'mengeksploitasi'..Tak boleh tinggal sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut. Maka..sudah 2 minggu tak bersolat Jumaat, minggu depan baru pergi. Siapa yang buat 'fatwa pujangga' ni? Kalau minggu ni mati macam mana? Sempat ke nak pergi minggu depan. Ada juga kes yang sampai lambat...keluar paling awal. Aku pun pernah juga terlambat. Bohonglah kalau cakap awal setiap minggu.

Manusia kan..bukan sempurna sangat. Masa tu juga dapat lihat mereka yang terlambat. Oh, ni muka-muka datang lambat.Sibuk sangat ke kerja? Pernah suatu Jumaat 2 orang pondan berlari-lari untuk solat Jumaat, dan mereka terus berlari keluar sejurus selesai. Yang penting mereka datang sembahyang...yang tak pergi? Ramai agaknya...

Sebab pernah juga aku tak solat Jumaat, sebab dalam perjalanan. Ataupun bermusafir. Masa tu, nampak lah mereka yang tak solat Jumaat. Kadang-kadang kita boleh agak, diorang pergi ke tak. Ya lah, sibuk berdating. Tengok wayang masuk panggung pukul 12.15. Sendiri mau ingat lah. Dalam hati aku.. "Oh, ini lah muka-muka yang tak sembahyang.." Jahatnya aku. Entah-entah, benda yang sama mereka cakap dekat aku. Haha.

Kalau aku sembahyang Jumaat di kediaman aku di Putrajaya, ada satu lagi suasana. Budak-budak sekolah berborak...bergurau-senda. Kalau ada orang dewasa tegur..seminit dua saja diam. Lepas tu sambung balik peel lama. Sekadar meletakkan jari telunjuk di bibir...isyarat diam! Ya lah..bilal selalu baca hadith sebelum azan kedua " Barangsiapa yang bercakap atau berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah meskipun dengan berkata "Diam!" sekalipun, maka lupuslah pahala Jumaatnya.

Selalunya aku dan Papa sembahyanag Jumaat dekat Surau Presint 8, yang dinaiktaraf boleh buat solat Jumaat sebab dah cukup 40 orang. Uniknya tempat ini...ketika kita mula-mula sampai, semua kipas yang ada terpasang kesemuanya. Namun, sejurus khatib memulakan khutbah yang pertama, kesemua kipas yang tersebut dimatikan! Dan speaker masih berfungsi dengan baik. Setiap patah perkataan jelas kedengaran. Apa motif 'mereka' mematikan kipas-kipas ini?

Aku bersangka baik..paling tidak, yang tengah tidur tu..terjaga daripada lena. Budak-budak yang riuh sekampung bercerita pasal kartun, kungfu dll juga menyedari hal ini. Maka semua orang kena dengar khutbah. Mungkin niatnya baik, tapi sampai ke sudah kipas-kipas tu tak dipasang. Maksudnya, setelah selesai solat Jumaat..imam baca doa...kipas-kipas tu masih statik.

Aku selalu berdebat dengan papa hal ini. Aku setuju..untuk kebaikan. Elektrik pun jimat. Tapi, Papa kata...tak selesa. Berpeluh. Panas. Setiap minggu kutip derma, tapi jemaah tak selesa waktu bersolat. Betul juga kan? Haha. Biasalah..aku dan Papa selalu bertukar-tukar pendapat dan cerita.

Dari kisah masjid..tukar topik politik pulak..sehinggalah kisah aku seorang penanam anggur! Papa kata...Surau Presint 8 tu boleh masuk Guenines World of Record!Putrajaya pun masuk rekod juga... setiapa 50 meter mesti ada traffic light. Traffic light terbanyak di dunia..Putrajaya lah. Begitulah rungutan Papa. World record lagi. Hari tu bersidang bawah pokok pun masuk world record juga.

Dulu masa sekolah Ma'ahad, selepas Solat Jumaat baru makan. Bestlah cuti hari Jumaat. Tak berkejar-kejar. Dah puas tidur satu pagi. Mandi. Solat Jumaat. Lepas tu makan...Tengok Hindustan. Haha. Lepas Asar, pergi hospital, ziarah orang sakit. Kalau takde orang sakit...bergotong-royong bersihkan rumah ke.. Kemas apa-apa yang patut.

Cewah ! Ini dulu ya..suatu ketika dulu..masa umur belasan tahun. Sekejap saja masa berlalu. Tetapi Jumaat yang sama kita jumpa. Ya! Jumaat yang sama di mana khutbah menekankan "Ittaqullah!" Tetapi dari hari ke hari...kita sedar..kita ke arah positif atau sebaliknya.

Wednesday, March 4, 2009

Perak = ( Keliru + Celaru ) x Haru Biru

Terlebih dahulu, pertama sekali, aku bukan berniat untuk masuk campur ataupun campur tangan hal ehwal negeri Perak memandangkan aku bukan orang Perak, bukannya ada saudara-mara di Perak (kecuali seorang sepupu di sebuah IPT), dan aku juga tidak mengundi di Perak pada PRU-12 baru-baru ini.

Tetapi..dari semasa ke semasa, setelah memerhati dari jauh, angin perubahan yang melanda di Perak masih belum berkesudahan. Masalah..kemelut dan apa jua persepsi negatif masih tiada penghujungnya. Maka aku akan ulas dari kaca mata seorang rakyat Malaysia, di mana Perak itu salah sebuah negeri di Malaysia.

Perak sebuah negeri yang unik. Landskap politiknya tidak sama seperti di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah yang majoriti penduduknya Melayu. Perak boleh dikatakan seimbang dari sudut komposisi kaum. Orang Melayu, Cina, India dan orang asli mempunyai kuasa memilih kerajaan ketika proses demokrasi pilihan raya diadakan.

Perak...nak dikatakan lurus di dalam satu barisan...tak juga. Masih ada yang bengkok dan berat sebelah. Kalau nak kata, teguh dalam sebuah pakatan, kerapuhannya masih nyata. Kerana wujudnya dominasi pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Maka terhasillah formula seperti di atas. Formula apa yang aku guna ni? Bukan formula sesumpah...bukan juga formula katak... apatah lagi formula saman.

Angin perubahan di Perak bermula sejak PRU-12 tahun lalu di mana negeri Perak dikuasai Pakatan Rakyat dengan kelebihan 3 kerusi. Simple majority...katanya. Kelantan dulu pun pernah diperintah Pas dengan satu kelebihan kerusi saja. Di mana ketika DUN bersidang, Speaker akan menjadi tie-breaker sekiranya undi sama banyak. Berbalik kepada kisah negeri Perak. Masalah bermula apabila 3 majoriti yang dimiliki PR berpaling tadah menyebelahi BN. Ini semua gara-gara formula katak dalam politik.Walaupun penyokong PR berat hati menerima kenyataan ini, hakikatnya BN yang mendapat 'simple majority' untuk menubuhkan kerajaan negeri. Persoalannya, adakah kerajaan baru BN ini ditentukan oleh rakyat ataupun dipilih oleh 3 orang DUN?

Tambah hangat apabila institusi di-raja turut diheret sama ke kancah politik. Timbul pula istilah-istilah derhaka, ketuanan Melayu dan sebagainya, namun merujuk kepada undang-undang tubuh negeri Perak, Sultan berhak memilih siapa yang baginda perkenan untuk diangkat sebagai MB.

Situasi yang sama ketika pemilihan MB Terengganu dan MB Perlis sebelum ini berulang, namun suasananya sedikit berbeza dengan isu negeri Perak. Di Terengganu dan Perlis, jika baginda Sultan ataupun Raja perkenan calon B berbanding A, negeri tersebut tetap diperintah BN. Tetapi di Perak,jika Sultan perkenan mimilih calon A, BN akan memerintah Perak, tetapi jika calon B, PR yang akan memerintah Perak.

Institusi di-raja dicemari dengan inisiden demonstrasi. Perlu ditegaskan di sini, bukan penyokong PR saja yang membuat demonstrasi. Penyokong BN pun turut serta ya. Persoalannya, adakah polis benar-benar adil dan telus dalam hal ini? Eh, lupa..bekas MB Selangor juga pernah ditahan polis. Bagi kes demonstrasi di depan Istana Kinta, persoalannya ialah, mengapa penyokong Pas saja yang beria-ia mempertahankan kerejaan PR?? Mana perginya penyokong DAP dan PKR?? Ini tidak adil..masa memerintah nak kuasa...waktu mempertahankan kerajaan, ke mana menghilangkan diri?? Kalau adapun penyokong PKR & DAP, sebilangan kecil saja...

Ah, tak kisahlah.Apa-apa saja. Dan ada-ada saja. Janji ada Menteri Besar. Disangkakan segala-galanya akan selesai setelah MB Perak yang ke-11 mengangkat sumpah, rupa-rupanya masalah masih berlanjutan di mana Speaker Perak menggantung MB Perak selama 18 bulan dan 6 orang Exconya selama 12 bulan. Persoalannya, adakah benar Speaker mempunyai kuasa 'veto' seperti itu di dalam dewan? Tidak habis di situ ya..Spekaer mahu adakan sidang DUN tergempar, lalu BN mengunci pintu SUK maka berlakulah sidang DUN di bawah pokok! Tapi cuba bayangkan banjir besar berlaku..pejabat SUK tak boleh masuk..dewan nak bersidang di mana?

Maka berlakulah sekali lagi 'budaya berjangkit' di dalam politik. Dulu, budaya berjangkit ketika pilhanraya kecil Permatang Pauh ialah 'sumpah'. Orang di sini bersumpah, orang di sana pun nak bersumpah juga. Dan sekarang, budaya 'saman' pula berjangkit. Orang ni nak saman orang tu. Orang tu nak saman orang ni.

Dan budaya berjangkit yang terkini ialah memohon injunksi(injunction) mahkamah. Injunksi mahkamah yang cuba dipohon seolah-olah mengheret 'kerajaan' negeri Perak ke tali gantung yang tak ada talinya. Umpama meludah ke langit. Cahaya di hujung terowong yang gelap masih belum kelihatan.

Di mana kita melihat sekali lagi permohonan 'injunksi' ini berjangkit ke Perhimpunan Agung UMNO di mana 2 ahlinya mendapatkan injuksi mahkamah selagi masalah politik wang tak diselesaikan, pemilihan ataupun lebih tepat lagi peralihan kuasa tidak dapat dijalankan.

Maka, selagi mahkamah tidak memberi kata putus, selama itu lah kerjaaan negeri tidak akan berfungsi, dan selama itulah ekonomi negeri tidak akan dijana dengan berkesan, dan selama itulah rakyat negeri Perak tertekan. Aduhai...politik...politik...Kena ada taktik. Kena ada gimik. Baru nampak magik. Biarpun banyak yang plastik. Dan adakalanya ada juga yang statik.

Jikalau aku ini seorang rakyat Perak, dan suara aku akan bergema kedengaran, rasanya jalan terbaik yang harus diambil ialah dengan mengembalikan kuasa ke tangan rakyat. Memanglah ia bukan langkah penyelesaian terbaik berdasarkan faktor kewangan yang terpaksa ditampung sekiranya pilihanraya kecil diadakan. Tetapi, sampai bila rakyat Perak harus memiliki 2 orang Menteri Besar yang berwibawa dan berjiwa rakyat. Sudah masuk 2 bulan masalah ini berlanjutan tiada kesudahan.

Banyak juga masalah-masalah dan kemungkinan-kemungkinan yang akan timbul sekiranya pilihan raya kecil negeri Perak diadakan. Pertama, belum tentu lagi BN dapat menguasai Perak berdasarkan 2 keputusan pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan KT. Kedua, belum tentu MB Perak ke-10 mendapat kembali jawatan berkenaan sebab khabarnya, DAP mahu meletakkan calon Melayu mereka. jadi, fikirlah sendiri...

Sampai bila kerajaan haru-biru terus wujud di Perak? Tak kiralah siapa yang memerintah, siapa yang dapat guna Camry, sebab yang penting rakyat Perak berhak mendapat 'kerajaan' yang akan menjamin keharmonian, keselesaan, dan ekonomi yang mapan. Sampai bila rakyat Perak harus menunggu sebuah kerajaan yang kukuh dan ampuh akan muncul menyelamatkan mereka daripada bahana kegawatan ekonomi yang dijangka telahpun berlaku. Permainan politik yang mustahak ataupun kestabilan ekonomi yang penting? Kita semua akan terus tuggu, lihat dan memerhati dari jauh...

GENG - Upin & Ipin - Kebanggaan Malaysia

Aku tak pernah berjanji dengan satu-satunya adik perempuanku, Sufia untuk menonton Geng di pawagam. Hal ini kerana masing-masing sibuk. Wah.. budak-budak sekolah pun sibuk ya. Pagi sekolah kebangsaan... petang sekolah agama pulak... malam ada tusyen... hujung minggu ada sukan lah.. ko-ku lah.. pertandingan tu lah...

Aku? Sibuklah juga tanam anggur. 4 bulan takde hasil-hasil lagi. Sibuk dengan Facebook, dan terkini 'mengupdate' blog. Baru kutahu payah juga jadi wartawan mengejar dateline ya. Ke sana ke sini mencari bahan. Tapi kadang-kadang apalah sangat yang dapat..kan??

Berbalik kepada episod kali ini, akhirnya aku berjaya juga menjejakkan kaki ke panggung bersama-sama Sufia, menonton Geng di GSC Alamanda. Cek online, 3.30 petang ada tayangan, 3.30 petang juga aku sampai untuk membeli tiket. Sufia yang penat ada pertandingan ping pong tadi terus melonjak semangatnya gara-gara temujanji dengan Upin dan Ipin. Setelah menonton kira-kira 1 jam lebih.. apa yang boleh aku katakan..berbaloi! Kalau tiket harga RM10 pun sangat-sangat berbaloi. Lagi best daripada Cicakman-2, kata Sufia!

Berbaloi sebab jalan ceritanya menarik. Ada unsur komedi,suspens, seram, kekeluargaan, persahabatan dan percintaan. Semuanya digaul sebati menjadikannya ramuan yang enak untuk dinikmati. Ya. Tak kering gusi dibuatnya dengan telatah kembar Upin dan Ipin bersama si Rajoo yang agak blur dan ting tong. Babak lawan-lawan pun memang mendebarkan. Dan terasa sebak juga di dada kala babak ibu dan anak bertemu setelah lama berpisah. Walaupun sejenis binatang yang dinamakan 'Oopet' rasanya, dengan gaya lenggok bahasanya yang tersendiri, tetapi getarnya terasa.

Walaupun adakalanya klise. tetapi klise itu membantu sebenarnya. Klise membuatkan kita lebih memahami karaktor dan naratif cerita. Cerita Geng boleh melakar nama Malaysia di pentas dunia animasi. Walaupun tak setaraf tapi mungkin boleh sebaris dengan animasi-animasi hebat Walt Disney, Ratatouille, Cars, Kungfu Panda dll. Kalau nak komen membina, aku rasa apa yang patut diperkuatkan lagi ialah penghasilan runut-bunyi ataupun original soundtrack yang lebih gah.

Jika Jepun berbangga dengan Doraemon, shin-Chan, Ultraman dll, kanak-kanak di Malaysia boleh berbangga dengan Upin dan Ipin. Inilah kartun yang mempunyai ciri-ciri Malaysia. Nakal dalam bersahaja..tetap ada hemahnya. Upin & Ipin yang disiarkan ketika bulan Ramadhan di TV9 bukan saja mempunyai pengikutnya yang tersendiri, malah khabarnya telah berjaya meluaskan pengaruhnya di negara jiran, Indonesia.

Strategi memperkenalkan Upin & Ipin melalui siri televisyen benar-benar memberi impak. Sebagaimana Kami The Movie berjaya setelah mendapat pengaruh kuat dari Kami The Series yang membina kelompok peminatnya yang tersendiri, begitu juga halnya Upin & Ipin. Tak perlu nama-nama besar sebagai suara latar. Boleh dikatakan...tiada langsung. AnimasiMalaysia sebelum ini kerap bergantung dngan nama-nama besar seperti filem Putih, Silat Lagenda, dan Budak Lapok(ni sikit saja tapi tetap ada). Cukup saja dengan tagline... "Betul..betul...betul...". Yang penting, ayat ini tak banyak dalam filem.

Kepada yang belum menonton, selagi berkesempatan, pergilah menonton. Sokonglah industri tempatan yang tidak kurang hebatnya. Lebih seronok kalau tengok dengan budak-budak, pastu tiket wayang budak-budak tu kita yang sponsor. Satu kepuasan tidak terhingga...pahala pun dapat kan?? Hehe.

Tuesday, March 3, 2009

Man shabba 'alaa syai in, shaaba 'alaih

Sudah berapa kali aku cuba 'merumikan' perkataan Arab. Berbeza ya. Merumikan dengan memelayukan. Merumikan dalam erti kata yang lain...setiap patah perkataan Arab yang asli sebagaimana sebutannya yang asal ditulis sebiji-sebiji atau sepatah-sepatah di dalam bahasa rumi. Proses ini bertambah rumit kerana bahasa Arab,bahasa Al-Quran ini begitu indah untuk difahami, dihayati dan ditafsirkan.

Betapa uniknya bahasa Arab ini, huruf 'S' yang kita sebut, terdapat 4 sebutan yang berbeza makhraj dan sifatnya iaitu huruf tsa, sin, shin dan shod. Huruf ta dengan tho berbeza. Huruf dal dan dhod juga berbeza. Alangkah bagusnya jika boleh menaip perkataan-perkataan Arab ini ataupun menulis Jawi di sini sebagai tanda mendaulatkan Bahasa Melayu!

Memelayukan bahasa Arab kita panggil menterjemah atau lebih spesifik lagi 'mentafsir'. Aku bukanlah seorang yang pakar dan benar-benar arif menguasai bahasa Arab. Kalau tak, sudah tentu aku boleh memahami dan bercakap Arab dengan fasih sekali. Aku hanya tahu asas-asanya sahaja. Ya lah. Dulu masa bersekolah di Maahad Muhammadi, Kota Bharu kena belajar semua ni. Nahu-sarafnya sehinggalah membuat karangan 'standard' 100-200 patah perkataan.

Walaupun terpaksa jadi 'tua setahun' daripada orang lain gara-gara kena kelas 'Peralihan' sebelum naik Tingkatan 1, tiada erti penyesalan di situ. Kawan-kawan yang pernah bersekolah Ma'ahad dengan aku ataupun mana-mana sekolah agama di Kelantan akan menghadapi situasi ini. Persoalannya, ada apa dengan usia? Buat apa kita berbangga dengan umur kita yang sekian-sekian angka jika kematangan tidak seiring dengan usia tersebut. Kan??

Eh, sudah lari jauh daripada topik asal ni. Melencong bercerita mengenai bahasa Arab dan kisah lalu pula. Baiklah, Man shabba 'alaa syai in, shaaba 'alaih ini bukanlah hadith Nabi tetapi pepatah
Arab yang agak popular. Popular macam Man Jaddda Wajada. Man shabba 'alaa shai in; maknanya sesiapa yang dibesarkan dengan sesuatu 'kebiasaan'. Shaaba 'alaih; maka dia akan membesar dengan 'kebiasaan' itu.



Dalam konteks ini...cara seseorang itu membesar, akan mempengaruhi proses perkembangannya menjadi dewasa. Sebagai contoh, seseorang budak yang sewaktu kecilnya menghadapi masalah perceraian ibu bapa, sudah pasti emosinya akan terjejas. Dewasa kelak, mungkin dia bertanggapan buruk terhadap institusi perkahwinan. Lebih buruk lagi sekiranya dia mahu 'keseronokan' semata-mata iaitu mendekati seks bebas, songsang dan sebagainya.

Contoh lagi... Kalau sejak dari kecil lagi budak ini dimanjakan. Kalau lelaki kita panggil anak emak. Nak basuh baju, tak tahu. Nak kemas rumah dan segala macam tugas lain sudah dibuat orang lain. Maka sehingga besarlah budak tu menghadapi 'kebiasaan' dibuat oleh orang lain. Kesian bakal bini dia kalau dia sendiri tiada inisistif memajukan diri dari semasa ke semasa.

Tetapi kalau sejak dari kecil kanak-kanak dibesarkan dengan amalan-amalan dan tabiat yang positif, sudah tentu nilai-nilai murni turut bercambah dan membesar bersama-sama membuahkan hasil yang baik. Sebagai contoh dia dibesarkan dengan menitikberatkan soal kebersihan, sudah pasti sedikit habuk pun tiada yang melekat di dalam rumah apabila dia membeli rumah kelak.

Sejak dari kecil lagi tak pernah tinggal solat 5 waktu. Alih-alih bila besar tak sembahyang langsung! Ni apa kes? Oh..ini namanya 'hidayah'. Hidayah Allah begitu mahal sekali. Jadi, konteks ini lebih sesuai dengan sikap dan tingkah laku. Bukan amal ibadat. Sikap atau tingkah-laku. Contohnya, panas baran. Pepatah Melayu kata bapa borek anak rintik. Kalau ayahnya baran...anaknya mungkin juga...

Kalau dalam keluarga, ayah selaku ketua keluarga tidak merokok. Adakah kebarangkalian si anak lelaki akan merokok? Kebarangkaliannya kecil kan? Ada. Kalau seseorang kanak-kanak pernah menghadapi kes penderaan samada dirinya didera atau ibunya didera disepak pukul terajang melayang di depan mata, emosi dan jiwanya turut memberontak.

Hah! Sebab tu lah Chris Brown yang berusia 19 tahun ni tergamak memukul kekasih hatinya sang penyanyi Rihanna yang tak jadi datang ke Malaysia. Bagus lah juga. Eh, buat iklan tiba-tiba. Jadi, kesimpulannya, apa jua keadaan samada positif ataupun negatif cara seseorang itu dibesarkan; cara tersebutlah akan dilaluinya. Macam mana bapa dia besarkan dia...macam tu lah nanti cara anaknya dibesarkan kelak.

Ada satu pepatah Melayu lagi. Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kalau guru gagal membentuk disiplin murid-murid ataupun pelajar gara-gara sikapnya sendiri, sudah tentu tingkah laku yang tidak elok menjadi ikutan. Cuba bayangkan ya..bagaimana pulak kalau guru yang kencing berlari, mungkin anak muridnya kencing sambil menari kot..Hehe. Renungkan bersama...

Al-Waqt Kassaif ...

Alwaqt kassaif, fa illam yaqto', qato'ka. Susah benor bila perkataan arab hendak dirumikan. Maknanya, masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memotong, kamu dipotong. Ini bukan hadith, tetapi kalau tidak silap, ini 'quotes' sahabat Rasulallah s.a.w. Maknanya, lebih kurang begini, kalau kita tidak mengejar masa, kita tidak memintas atau memotong masa, kita sendiri yang akan ketinggalan. Jauh ditinggalkan masa. Mungkin orang dah berada di Alaf baru, kita masih merangkak di alam purba lagi.

Contoh paling dekat, ialah bidang IT. Dulu, kalau nak 'save' assignment, kertas karbon sangat glamor. Siapa tak kenal kertas karbon?? Rugi! Dulu guna mesin taip, kalau salah taip saja, masalah besar dibuatnya. Sekarang guna komputer guna Microsoft Word saja. Pastu save kat disket! Haha. Sekarang ada disket lagi ke?? Thumbdrive 128 MB, 256 MB, 512 MB dah tak wujud. At least thumbdrive 1 GB. Sekarang dah ada berapa Giggs pun x tau. Famous Ryan Giggs tiba2..

Masa sekolah dulu...suka buat buku biodata. Kalau ada orang yang berkenan di hati, kita suruh dia tulis dalam buku biodata. Benda ni lebih famous bila nak habis sekolah. Darjah 6. Form 3. Dah nak berpisah kononnya. Nak tau alamat. Nanti boleh tulis surat. Nak tau nombor telefon rumah. Tapi kesudahannya, buku biodata tu entah di mana. Sekarang??? Ada Facebook.. Friendster dll. Senang nak trace balik kawan2 yg menghilang. Ada telefon bimbit a.k.a  handphone. Bole SMS, MMS dll. Rugikan tak ikut perkembangan.

Dulu masa kanak-kanak. Suka main yang 'keluarkan peluh'. Sebut saja. Kejar-kejar. Police sentri. Sep tiang. Haha. Apa lagi.. Main tutup botol..Main gasing.. Perangkap tikus..Baling selipar...Bola cop. Yang perempuan main sep sep sep tom tom tom. Main lompat getah, batu seremban, teng-teng. Kalau moden sikit...main kereta Tamiya! haha. Entahlah banyak sangat permainan masa dulu dan kini dengan mudahnya diganti dengan permainan komputer, playstation, PSP dsb. Tak berpeluh langsung. Sakit jari je.

Apabila kita sebut pasal masa atau waktu, ayat 'klise' yang selalu kita dengar ialah 'Masa itu emas'. Ada rakan yang berketurunan cina pernah menyebut 'masa itu duit'. Jadi lebih kurang saja maksudnya...Masa itu begitu berharga umpama emas. Jika kita manfaatkannya, boleh dapat duit. kalau tak..rugi. Bagi yang beragama Islam. Ada 2 perkara menarik mengenai waktu. Pertama sekali Surah Al-'Asr (maknanya waktu), di mana Allah s.w.t sendiri bersumpah dengan waktu/masa. Demi masa. Sesungguhnya manuisa itu kerugian. Kecuali yang beriman dan beramal solah. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. 3 ayat saja. Tapi maknanya kalau nak dihuraikan..ditafsirkan..tak cukup masa dibuatnya.

Kedua, Lagu Raihan yang famous tu. Nasihat Luqman Al-Hakim. Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Sihat sebelum sakit. Masa lapang sebelum sempit. Kaya sebelum miskin. Muda seblum tua. Hidup sebeleum mati. Yang minat nasyid ke...tak minat ke..mesti pernah dengar lagu Raihan ni kan??

Sesuatu yang sedikit berlainan, masa aku belajar di Matrikulasi Pulau Pinang dulu, ada seorang pensyarah, sebelum dia memulakan kuliah, beliau akan menasihati dua perkara. Pertama, sebelum belajar, ikhlaskan niat. Kedua, hayati ayat ini.. Masa itu kehidupan. 

Wah. Begitu mendalam sekali maksudnya. Kedengaran agak ringkas. Masa itu kehidupan. Kehidupan kanak-kanak yang tak banyak memikirkan masalah takkan kembali. Berlalu sebegitu saja. Alam remaja, zaman cinta monyet juga sedikit sebanyak mematangkan kita, mendewasakan kita pada hari ini. Dan akhirnya zaman remaja berlalu sebegitu saja.
Begitu juga halnya dengan aku.

Dah masuk 25 tahun. Remaja lagi ke?? Haha. rasanya dah cukup dewasa. Muda belia. Dan suatu hari nanti aku akan tua. Jadi aku akan cuba manfaatkan sepenuhnya masa-masa sebegini. Mungkin tak sempat tua, dah mati dulu kan?? Siapa yang tahu ajal maut ni. Tak sempat kahwin?? Kita hanya merancang..tetapi Allah itu sebaik-baik perancang.