Hebahan

Thursday, March 26, 2009

TALEnTIME - Filem bangsa Malaysia?


Aku berpeluang menonton filem ini pada hari pertama tayangannya. Sebuah filem Yasmin Ahmad, yang seperti biasa langsung tidak mengecewakan aku. Jika Rabun berkisar kisah cinta warga emas, Sepet mengenai cinta pemuda Cina dan gadis Melayu & kesinambungannya melalui Gubra, Mukhsin pula membongkar cinta alam kanak-kanak, dan kini muncul pula Tale&Time... kisah pemuda India dan gadis Melayu Pan-Asia.

Sebenarnya, aku lebih teruja menyaksikan Muallaf tetapi memandangkan status filem itu masih belum dikenalpasti maka Talentime menjadi pengubat duka lara, melepaskan rindu terhadap karya Yasmin yang bukan klise dan stereotype. Setiap kali raya, kemerdekaan dan apa-apa perayaan, sudah pasti iklan Petronas menarik perhatian aku yang sedikit sebanyak menyentuh emosi dan jiwa.

Talentime...bukan sekadar kisah pencarian bakat seperti diari Akademi Fantasia ataupun OIAM Diaries dan yang sekufu dengannya. Bukan sekadar cerita, malah terdapat sindiran-sindiran halus dan realiti kehidupan yang benar-benar berlaku di sekeliling kita.

Sebagai contoh, watak kecil seperti Mei Ling membawa mesej yang besar. Mei Ling merupakan orang Cina yang menjadi orang gaji di rumah keluarga Melayu. Mei Ling memeluk Islam. Mei Ling bukan masuk Melayu atau menjadi orang Arab. Mei Ling dipandang jelik oleh Datin Kosong (ops Kalsom) kerana Mei Ling tiada nama yang bunyi Melayu atau Arab. Walhal, hakikatnya, Mei Ling nampak lebih Islam daripada Datin Kosong@Kalsom.

Begitu juga sindiran pelajar Cina,Kahoe terhadap Hafiz lakonan Shafie Naswip. Dia memerli orang Melayu walau selemah mana sekalipun, suatu hari kelak pasti akan dibantu. Realitinya, itu yang berlaku dalam negara kita, di mana orang bumiputera mendapat hak keistimewaan tertentu. Yang penting, Yasmin menekankan aspek perpaduan dan bersatu-padu di kemuncak cerita ini.

Hakikatnya, kini sudah ada sistem meritokrasi menggantikan sistem kuota bagi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi. Rentetan masalah sebenarnya tak berakhir di sini. Benar! Mungkin orang Melayu 'ditolong' sehingga ke tahap masuk universiti. Tetapi realitinya di alam pekerjaan terutama sektor swasta, orang Cina terutamanya memiliki peluang dan ruang pekerjaan yang lebih luas. Sesetengah syarikat tanpa segan silu meletakkan syarat fasih berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Adil bukan?

Cerita ni ada segala ramuan yang ada...segala rasa dapat dirasa. Pahit, manis, masin, kelat, masam dan sebagainya. Setiap watak utama, dihidupkan dengan jayanya oleh setiap pelakon tak kira pucuk muda seperti Jac, Pamela dan Mahesh termasuk watak-watak tempelan ataupun kemunculan istimewa seperti watak Ida Nerina dan Mei Ling (tak tahu pulak nama dia)

Talentime...tak sah pula kalau tak sebut mengenai lagu yang melatari cerita ini. Lagu Urdu, O re piya dendangan Rahat Fateh Ali Khan sememangnya ditunggu-tunggu. Lagu yang sungguh indah melodinya termasuk maksudnya. Begitu juga lagu-lagu ciptaan Pete Teo yang dinyanyikan oleh Atilia dan Aizat dengan begitu merdu sekali.

Huraian selanjutnya ada spoiler...kalau tak nak tahu cukup baca setakat ini. Sebab akan menjejaskan mood anda bila mahu menonton kelak. Sebagaimana kecewanya aku ketika menonton filem Sepi, Khabir Bathia. Awal-awal aku dah tahu watak kekasih Iman dah mati. Begitu juga Talentime...masa diorang shooting kat Ipoh, aku dah tahu watak Mahesh ni 'sesuatu' sebenarnya. The silence is spoken, Mahesh!

Jadi kita mulakan dari sudut jalan cerita. Filem Yasmin memang tak klise. Maksudnya, kita tak boleh agak perjalanan plot cerita yang selanjutnya. Sama juga halnya kalau aku menonton filem Afdlin Shauki dan Mamat Khalid yang prolifik dan konsisten menghasilkan filem saban tahun. Bukan menidakkan kredibiliti pengarah yang lain, tetapi sewajarnya pujian diberikan kepada mereka yang berada di kelas tersendiri.

Aku teringat kata-kata yang keluar daripada mulut abang Mamat, di mana beliau selaku orang seni sentiasa menyokong dan menghargai hasil kerja karyawan yang lain terutama sekali karya tempatan tak kira samada drama ke, filem dokumentari ke, telefilem ke,kartun animasi ke hatta filem pendek sekalipun.

Berbalik kepada kisah Talentime, benarkah ia filem berjiwa Malaysia? Ya...kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Ada orang Melayu, Cina, India tidak lupa juga mereka yang wujud hasil 'kahwin campur'. Dan sebuah sekolah menengah menjadi saksi bagaimana kaum-kaum ini hidup bermasyarakat di bawah satu bumbung sekolah. Mungkin inilah dikatakan bangsa Malaysia. Secara peribadi, aku tak berasa bangga sangat lahir sebagai Melayu, tetapi aku bersyukur sangat-sangat lahir sebagai Muslim.

Talentime cuba memecahbelahkan dinding penghalang ataupun 'divider' antara orang Melayu, Cina dan India. Kita dapat menyaksikan betapa 'prejudis'nya kaum lain terhadap kaum kita dalam filem ini. Dan tanpa kita sedari, kita tak dapat menghalang kuasa cinta. Kerana cinta tak kenal siapa. Cinta tak kenal suku bangsa kaum sesiapa seperti cinta yang wujud antara Mahesh dan Melor. Cinta tak kira usia sebagaimana watak Mak Hafiz merasai manisnya cinta di saat-saat genting. Dan cinta juga tak kenal rupa paras dan fizikal seperti Cikgu Adibah yang besar juga ada peminat a.k.a secret admirer.

Mengenai aspek lakonan, rata-rata pelakon yang dipilih Yasmin memang mengesankan. Teraju utama, Mahesh dan Pamela mulanya tampak kekok dan agak janggal, namun lama kelamaan 'chemistry' mereka menyerlah terutama ketika 'klimaks'. Dan babak paling menarik semestinya cara mereka berkomunikasi. Mahesh yang pekak dan bisu menggunakan henfon menulis SMS supaya Melor faham. Sangat bermakna and so sweet. Pujian seharusnya diberikan kepada Mahesh, yang membuktikan 'silence' memberikan jiwa kepada lakonannya. Ekspresi wajahnya memang hidup.

Jaclyn Victor tidak menghampakan. Jac boleh pergi jauh sekiranya diberikan watak yang lebih menonjol dan mencabar. Shafei Naswip usah dipertikaikan wibawanya. Kali ini, si 'Mukhsin' ber'speaking' selaras dengan watak Hafiz yang pandai (dapat markah 100% dua kali) dan berbakat mencipta dan menyanyikan lagu BI. Dan paling menyerlah bagi pendapat peribadi aku sudah semestinya watak ibu Mahesh lakonan Sukarnia. Penjiwaan yang begitu emosi sekali...

Talentime...seperti filem Yasmin terdahulu, sekali lagi menjadikan Ipoh sebagai lokasi wajib. Yasmin beritahu kepada wartawan, memandangkan Ipoh merupakan tempatnya dibesarkan, maka segenap ceruk dan pelusuk Ipoh yang menarik untuk disinematografikan bukanlah suatu rahsia baginya. Begitu juga Mamat Khalid yang selesa menjadikan negeri Perak sebagai lokasi wajib filemnya. Sudah pasti jiwa mereka di situ. Ilham berkarya mencurah-curah. Sebagaimana obsesnya aku mengenai Kota Bharu...dan "panda". Haa...Panda dah jumpa kawan lama, motor Mahesh, AV1770. Benda-benda sebegini mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

Sebut pasal karya dan jiwa, kalau kita perhatikan filem-filem ataupun drama Melayu, sudah pasti para pengarah ada pelakon favourite mereka. Ataupun lebih mudah lagi...muka klise. Shuhaimi Baba, mesti ada Kavita Sidhu, Nanu. Afdlin Shauki mesti ada Hans, Patrick. Mamat Khalid mesti ada Shoffi jikan. Yusuf Haslam mesti ada pelakon Gerak Khas dan Sembilunya. Ahmad idham mesti ambil Cat Farish, Dina dan sebagainya.

Begitu juga sebagaimana Yasmin dengan Amani, Adibah Noor. dan 2 orang pelakon yang aku tak tahu namanya ini. Seorang yang jadi Mei Ling...dulu berlakon jadi Mak Jason dalam Sepet. Seorang lagi yang jadi Cikgu sekolah syok dekat Cikgu Adibah. Dalam Gubra dia berlakon jadi pemandu merangkap anak angkat keluarga Pak Atan. Alaa, yang sebut orang Cina ada 'cheese' tu. Rasanya dalam Rabun dia berlakon juga.

Usah ditanya mengapa perkara ini berlaku. Hakikatnya, seorang pengarah akan bekerja dengan mereka yang satu kepala, serasi dan menghidupkan watak menghidupkan watak bukan sekadar mengikut kehendak skrip, tetapi membuatkan seorang pengarah bangga dan cukup puas dengan hasil kerja mereka. Sekali seorang pelakon tu 'all out' buat yang terbaik...sampai bila-bila pun pelakon tu dipanggil pengarah yang sama walaupun sekadar menjayakan watak tempelan.

Sebut pasal filem Yasmin, mesti tak lepas daripada perkataan 'kontroversi'. Kann?? Aku tahu ramai tak puas hati dengan dia. Ada yang suka hentam habis cerita dia 'kaw kaw' punya, walhal tak tengok lagi filemnya. Sama juga yang suka hentam 'baik punya' karya Prof. Madya Razak, walaupun tak tengok lagi filemnya. Filem ni..senang saja. Citarasa kita semua tak sama. Kita berhak tak suka sesuatu filem..tapi kita tak boleh paksa orang lain tak suka filem itu juga.

Kita boleh bagi cadangan cakap filem ini best dan sebagainya. Tapi segalanya terpulang kepada hati dan jiwa penonton. Kalau sudah 'mindset' nak cerita simple-simple...lawak bodoh.. kelakar.. ketawa terbahak-bahak terguling-guling, kita hidangkan filem yang 'berfikir' sikit, terus mereka kata tak best.Begitu juga dengan filem Yasmin. Secara peribadi, aku tak ada masalah dan sentiasa enjoy filemnya yang lain daripada yang lain. Dan bukanlah suatu paksaan kepada semua orang agar menonton filem ini. Tepuk dada, tanya selera.

2 comments:

  1. Yasmin memang pandai mencari lagu-lagu yang mengusik jiwa... jika dalam filem muhksin dia memperkenalkan aku kepada lagu Ne me quitte pas, kini dalam talentime dia membuat asyik dengan lagu O re piya...

    ReplyDelete