Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Kota Bharu, bukan saja sebagai negeri kelahiranku. Malah lebih daripada itu. Alam remajaku di Kota Bharu. Aku membesar menjadi lebih dewasa di Kota Bharu. Aku belajar erti hidup juga di sini. Banyak kenangan manis di Kota Bharu.
Maka, sempena cuti sekolah baru-baru ini, bermula 14-22 Mac 2009, sementelah aku masih lagi seorang penganggur, maka bercutilah aku selama seminggu di Kota Bharu. Melepaskan rindu pada angin yang menderu. Kali terakhir aku jejakkan kaki di bumi Kelantan pada Disember 2008. Masa tu, Tok Mek (nenek sebelah Papa) baru kena stroke. Lumpuh separuh badan.
Kini, setelah kira-kira 3 bulan...perkembangan positif telah ditunjukkan. Walaupun masih belum mampu berjalan seperti sedia kala, sekurang-kurangnya Tok Mek dah boleh mencelikkan mata, duduk bangun, dan makan sendiri. Setiap butir perkataan yang keluar dari mulut Tok Mek dapat aku dengar dengan jelas. Alhamdulillah...
Tok Mek...yang jaga aku masa aku Tingkatan 4 & 5 dulu. Bersama Cik Yah dan Yaya...aku satu-satunya orang lelaki di dalam rumah. Habis SPM, aku ke Penang belajar di Matrikulasi dan seterusnya pulang ke rumah iaitu UPM, Serdang yang dekat dengan Putrajaya. Setelah 4 tahun.. alhamdulillah, segulung ijazah berjaya diperoleh. Lebih manis, bila Tok Mek turut hadir menyaksikan konvokesyen aku pada Oktober 2008. Sungguh tak disangka, 2 bulan selepas itu, Tok Mek diserang stroke.
Usik Yazid sahabatku di Facebook, "Kota Bharu di hati ke...'orang' Kota Bharu di hati?" Haha. Memandangkan Mama dan Papa orang Kelantan 'pure'. Kelantan sejati. Papa dari Kampung Chempaka, Panji dan Mama dari Kampung Permatang Pusu, Melor maka sudah tentu dapat dibayangkan betapa ramainya saudara-mara aku dari negeri serambi mekah ini. Sememangnya orang KB di hati. Bukan sekadar saudara-mara. Sahabat-handai dan kenalan-taulan juga ramai.
Lebih-lebih lagi, kedua-dua belah keluarga sebelah Mama dan Papa mementingkan hubungan kekeluargaan tak kira saudara jauh atau dekat. Sebagai contoh...sepupu arwah Tok Ayah yang rumahnya di depan rumah Mok (nenek sebelah Mama)aku kenal ahli keluarganya...sehinggalah saudara-mara taraf dua dan tiga pupu. Pendek kata...dalam satu kampung tu...belakang rumah, depan rumah semuanya waris dan saudara-mara yang ada bau-bau bacang.
Gambar atas, Kg. Chempaka, Panji & gambar bawah Kg. Permatang Pusu, Melor.
Masa nak buat kenduri lagi meriah. Semua pakat datang menolong. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Tak kira kenduri kahwin ke...ibadah korban atau aqiqah ke... mengacau bubur asyura ke...termasuk sambutan Maulud. Kali ni, Mok nak jadi tuan rumah bagi sambutan Maulud.
Sudah menjadi tradisi di Kelantan, sambutan Maulud...pasti menjamu mulut setelah berselawat ke atas Rasulallah. Sambil berdiri..aku ditugaskan mengagihkan Bunga Rampai mengikut bentuk halaqah. Dan bakinya...seperti berikut:
Ketika belajar di Maahad dulu...Kota Bharu lah ibu segala kota. Bukan taraf metropolitan ataupun kosmopolitan, taraf bandaraya pun tak dapat lagi. Tapi memang seronok. Walaupun tiada Mid Valley, KLCC, OU, Sogo dll. Dulu shopping complex yang boleh dibanggakan hanyalah The Store, Mydin dan Hankyu Jaya. Haha. Sekarang...dah ada KB Mall, dan terbaru sekali.. orang KB boleh makan Shushi di Tesco! Haha.
Kota Bharu..bandar orang Melayu. Kita dapat melihat orang Melayu terutamanya wanita menjalankan urusniaga di sini tanpa mengira fahaman politik.Siapa kata orang Melayu Kelantan miskin? Lihatlah lengan peniaga-peniaga wanita. Terduduk mami jarum dibuatnya. Kereta pulak makin semakin bertambah. Kota Bharu pun jammed! Ya lah. Kereta terbaru di atas jalan raya bernombor plat DBK @#$%. Haa.. Kalah KT !
Apa yang paling seronok di Kota Bharu sudah pasti makanan. Lebih-lebih lagi bulan puasa. Kali ini, aku berjaya mendapatkan nasi kerabu + daging bakar + budu + solok lada = RM 2.50. Kuih, 5 RM 1. Dan menikmati hidangan wajib ketika aku belajar di Ma'ahad dulu...Cendol Pulut Tapai (CPT). Nyum! Nyum! Alhamdulillah. Cendol pulut tapai...
No comments:
Post a Comment