Mungkin ada antara kalian, pembaca yang budiman mengalami perkara yang aku alami ini. Perasaan yang kurang selesa...tak tenteram...gelisah berpanjangan. Pepatah Melayu yang kena atas batang hidung atau kena dengan diri sendiri..."sudah jatuh ditimpa tangga".
Ini bukan kes "mendengar guruh di langit, air di dalam tempayan dicurahkan" tetapi lebih kepada kes "malang tak berbau". Apa yang tak kena sebenarnya. Malang bertalu-talu datang bertandang. Lepas satu malapetaka berlalu...datang pula musibah yang baru. Parut lama baru nak hilang, datang pula luka yang baru. Ore Klate kata...reboh terap (rebah tertiarap). Orang KL kata, jatuh terduduklah lebih kurang maknanya.
Kadang-kadang terasa seperti Deja-Vu! Deja-Vu?? Apa itu? Deja-Vu ni boleh kita takrifkan sebagai mainan perasaan lah lebih kurang. Perasaan kita merasakan kita pernah melalui pengalaman dan peristiwa sebegini. Suasananya mungkin sama, tapi kemungkinan situasinya yang berbeza.
Begini ceritanya...aku dah pernah mengalami 'peristiwa hitam' ini, dan baru saja menghadapi 'peristiwa hitam' itu. Dan mungkin, pada masa mendatang, aku akan menghadapi 'peristiwa hitam' yang sama.
Dulu, sewaktu belajar di UPM,aku ke hulu ke hilir dengan motor kesayangan aku iaitu si Panda. Masa tu, tiba-tiba saja Panda meragam. Mungkin merajuk kot..sebab aku tinggalkan dia, tergantung tak bertali gara-gara Papa beli Skuter baru. Mula-mula...tayar Panda bocor. Belakang yang bocor. Jadi kena tukar tiub. Tiba-tiba, tayar depan pulak bocor, kena paku rasanya. Lepas tu, lampu belakang pula tak menyala...kena ganti lampu baru. Habis banyak ringgit lah juga kan. Elok-elok je parking...tiba-tiba boleh terjatuh. Lampu signal(kiri-kanan) pecah. Side-mirror juga pecah! Aduhai~
Akhirnya, Panda dapat sport-rim baru. Tayar tubeless lagi. Haha. Adakah "sial" itu hilang? Teet!
Kisah kedua, masa aku baru seminggu-dua bekerja di Putrajaya. Memandangkan rumah dekat, aku balik rumah hari Jumaat. Nak solat Jumaat dekat Presint 8. Masa tu Zohor awal. Jadi solat Jumaat habis awal dalam 1.40 macam tu. Masuk pejabat 2.45. Jadi aku tidur~
Apo? Sekali terlajak daa...Pukul 3 sedar. Terus bergegas ke pejabat dengan Panda. Sekali, aku lupa nak isi minyak. Minyak dah habis la pulak. Panda mati kelaparan tengah jalan. Maka, menapaklah aku berjalan ke rumah. Ambil kereta, terus ke pejabat masuk 3.30 lebih. Nasib baik bos faham dan dimaklumkan awal-awal.
Habis saja waktu pejabat, berdesup macam pelesit balik ke rumah. Nak settle masalah. Boleh pulak tertinggal kunci Panda kat pejabat. Patah balik. Tak ada! Cari punya cari rupa-rupanya terselit celah-celah seat dalam kereta. Aduhai~
Cerita yang baru saja berlaku. Minggu lepas. Hujung minggu sudah. Aku, bersama x-roommate, Rahman dan Yoe, bergerak ke Kuantan. Bergerak? Hati ini tergerak untuk ke sana kerana kenduri kahwin Fazly. Ops..kakaknya. Pada mulanya segalanya berjalan dengan lancar.
Bertolak pagi Sabtu. 3 jam lebih tiba di Kuantan. Peta yang terlakar di atas kad jemputan sangat membantu. Cuma bunga menggarnya tersasar. Mungkinkah ditiup angin? Tapi sampai juga akhirnya, alhamdulillah. Terus menjamu selera~ Usai solat Jamak Taqdim terus menjelajah Berjaya Mega Mall dengan jayanya lalu singgah ke Telok Chempedak.
Mungkinkah di sini bermula ceritanya. Parut lama baru nak hilang, datang pula luka yang baru. Aku tak mandi laut pun. Cuma berjalan-jalan di gigi air. Tetapi, terjatuh sewaktu cuba berdiri atas batuan. Batuan yang licin..penuh lumut. Berdarah pergelangan tangan ini. Luka yang baru. Henfon di tangan juga terlepas. Terhempas atas batu. Masuk air~ Sedihnya melihat kehancuran di depan mata. Malam itu... nasib baik tiada yang buruk-buruk berlaku. Sangkaku berakhir di situ. Ramalanku tak benar sama sekali. Salah belaka. Salah menduga...salah menerka. Pagi Ahad itu, sebelum pulang ke KL, singgah sebentar di Air Terjun Pandan.
Kali ini, aku mandi dengan girang. Air terjun yang mencurah-curah itu seakan-akan mengurut tubuh badan ini. Sangat menyegarkan. Tiba bab persalinan..aku menukar baju di tandas. Tanpa disedari, kunci rumah yang berada dalam poket terlucut. Menggelongsor masuk ke lubang keramat itu.. lalu tenggelam di dasar. Aku dah agak dah, memang rasa tak sedap hati.
Aku cuba mencari kayu-kayu panjang. Sedaya upaya berusaha agar kunci itu kembali ke dalam genggaman. Jangankan kayu...mamat yang jaga pintu tandas mengutip 20 sen itu sanggup menyeluk tangannya ke dalam lubang itu. Agak-agak lah..dia pakai glove la beb. Tetapi akhirnya...gagal. Terima kasih banyak-banyak. Walaupun aku bayar 20 sen tadi, tapi kau nak tolong aku macam dah kenal lama.
Mulanya aku rasa macam tak kisah. Ada aku kisah kunci rumah jatuh dalam toilet? Boleh duplicate lagi. Kan?? Tiba-tiba, aku terus terbayang pejabat aku. Lebih tepat lagi..bilik aku bekerja. Kuncinya? Kuncinya bersama gugusan kunci-kunci yang telah tenggelam itu. Aduhai~ Melayang lagi duit nak ganti kunci yang berharga ratusan itu...pejabat kerajaan memang ketat sekuritinya... Kunci khas dari Switzerland tu..double lock!
Apa pulak nak berlaku lepas ni? Bila belaku benda sebegini..berulang-ulang kali, aku sudah mula nak main buah "kalau". Kalaulah aku simpan kunci dalam beg... Kalaulah aku tak bawa kunci tu... Kalaulah aku tak ikut Man ke Kuantan... Kalaulah aku solat Jumaat dekat dengan pejabat je... Kalaulah aku.. kalaulah aku tak ... dan kalaulah itu dan ini... Ini baru 3 kisah contoh. Banyak lagi yang berlaku. What's next?
Syaitan telah berjaya! Aku harus percaya rukun iman keenam. Itulah qada' dan qadar. Tak payah nak mandi-mandi bunga bagai. Bila aku renung balik..mungkinkah ini kifarah dosa-dosa lalu. Dosa kecil sekalipun...kalau dihimpun...boleh jadi bukit. Suatu hari nanti...Panda akan jadi saksi, ke mana dia telah bawa aku... Tangan dan kaki menjadi saksi yang akan berkata-kata tatkala lidah kelu membisu.
Mengemis Kasih
ReplyDeleteArtist: Raihan
Album: Gema Alam
Song Category: Nasyid
Tuhan dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku dilorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi parah
Semalam sudah sampai kepenghujungnya
Kisah seribu duka ku harap sudah berlalu
Tak ingin lagi kuulangi kembali
Gerak dosa yang menhiris hati
Tuhan dosa itu menggunung
Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi
Tuhan walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaku