Selalu kita berbangga dengan kelahiran kita di dunia...menghitung usia...sudah berapa tahun menjadi khalifah di muka bumi. Nak sambut hari jadi... Menjadi apa? Menjadi lebih manusia atau sebaliknya?? Orang yang nak sambut hari jadi teruja dan takut. Takut dengan kawan-kawan yang mahu mengenakan diri mereka.Ada yang kena lempar telur...baling tepung...kena simbah 'air campuran' yang tak tahu dari mana ia datang dengan baunya yang....uweeek! Tu mungkin salah satu cara kita(termasuk aku) menyambut birthday.
Paling tidak pun ada yang buat kenduri doa selamat. Yang konon up and trendy sikit, ada parti-parti. Kalau sampai menganjurkan parti-parti liar tu..tak tahulah bagaimana gamaknya. Sedangkan kita sewaktu saat kelahiran kita disambut oleh bapa kita dengan alunan azan/ iqamat. Dan suatu hari nanti...bila kita mati, kita akan disucikan (dimandikan), ditutup aurat (dikafankan) dan disembahyangkan. Begitu singkatnya tempoh antara azan/iqamat dengan solat...begitulah singkatnya tempoh kehidupan kita di dunia.
Bagaimana pula kekasih Allah, junjungan besar Nabi Muhammad sallahu a'laihi wasallam,ketika baginda dilahirkan pada malam isnin, subuh yang indah, 12 Rabiul Awwal sebagai anak yatim. Bapanya Abdullah telah meninggal dunia. Kemudian Baginda menjadi yatim piatu...dipelihara Datuk, namun tidak lama kemudian dipelihara pula oleh bapa saudaranya. Cuba lihat...ujian yang perlu dihadapi seorang Nabi, di usia sekecil begitu telah diuji. Ditambah lagi dengan pekerti mulia sehingga digelar Al-Amin.
Pernah suatu ketika Kota Makkah dilanda banjir besar. Dan ketika peletakan semula hajarul aswad, ketua-ketua kabilah berebut-rebut mahu membawa dan meletakkan hajarul aswad di tempatnya. Dan hasil kebijaksanaan baginda 'ketua-ketua kabilah' tersebut tidak bergaduh sesama mereka kerana Baginda Rasulallah bersikap adil. Hajarul aswad diletakkan di atas sehelai kain, dan setiap ketua kabilah memegang setiap bucu kain untuk membawa hajarul aswad ke tempatnya.
Begitulah...sifat wajib yang ada pada seorang nabi. Benar, Amanah, Bijaksana dan Menyampaikan. Baginda pernah bersabda "Innamaa bu'ithta li utammima makarimal akhlaaq" bermaksud " Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlaq." Sebelum kedatangan Baginda, kita tahu betapa warga Arab hidup di dalam kejahilan. Setelah baginda muncul, darjat kaum wanita diangkat ke tempat selayaknya, kaum Aus dan Khazraj bersatu menjadi orang-orang Ansar yang akhirnya menerima kedatangan orang Muhajiriin dari kota Makkah dan macam-macam lagi kebaikan yang Baginda seru.
Inna arsalnaaka rahmatal lil a'aalamiin. Allah berfirman " Sesungguhnya kami utuskan engkau (Muhammad) bagi membawa rahmat ke seluruh alam. Betapa Baginda bukan sahaja menggantikan kegelapan dengan cahaya kebenaran, malah menjadi manusia agung dari segenap segi. Ketika sahabat bertanya kepada Saidatina Aishah, bagaimanakah Akhlaq Rasulallah, lalu Aishah berkata "khuluquhu...Al-Quran". Akhlaqnya... ialah Al-Quran. Senang cerita, bahasa pasar kita, Nabi Muhammad itu..Al-Quran bergerak. Apa yang ditegah, dilarang dan diperintah di dalam Al-Quran,Baginda akan buat.
Bukan itu saja, ada khbar dan berita gembira seperti ganjaran Syurga...juga ada peringatan-peringatan yang menakutkan kepada mereka yang berbuat dosa iaitu seksa kubur dan azab neraka. Terdapat juga janji-janji dan kebarangkalian yang akan berlaku. Seperti tanda-tanda kedatangan kiamat. Ada sesetengah perkara yang telah 1400 tahun dulu dinyatakan di dalam Al-Quran tetapi kini dibuktikan kebenarannya oleh para saintis
seperti teori Big Bang dan sebagainya.
Begitulah 'mukjizat'nya Al-Quran. Mukjizat merupakan perkataan Arab. Kata dasarnya A'a-Ja-Za yang bermaksud Lemah. Mukjizat diberikan kepada Nabi untuk melemahkan musuh-musuhnya. Contohnya, ketika Zaman Nabi Musa, orang begitu berbangga dengan ilmu sihir, sebab itu apabila tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular...semua ahli-ahli sihir yang hebat 'salute' ataupun tabik spring lantas beriman.
Begitu juga ketika zaman Nabi Isa...masing-masing berlumba dan berbangga dengan ilmu perubatan ataupun ilmu perbomohan ataupun tabib. Sebab itu, Nabi Isa memiliki mukjizat sehingga tahap menghidupkan orang yang mati dengan keizinan Allah. Dan ketika zaman Rasulallah, orang berbangga dengan ketinggian dan kehalusan 'bahasa'. Orang berbangga menghasilkan puisi-puisi dan ayat-ayat berkias berbunga.
Maka turunlah Al-Quran pada 17 Ramadhan...bagi melemahkan kaum-kaum Musyrikin.. Walhal mereka tahu...Baginda Rasulallah seorang yang Ummiy ataupun buta huruf. Tidak tahu membaca dan menulis tetapi Al-Quran menjadi mukjizat baginda. Dan baginda memberi cabaran...cuba bawa satu ayat yang boleh 'challenge' ayat-ayat Al-Quran. Tiada sesiapa pun yang berjaya.
Mereka pernah melawan Surah Al-Fiil (Gajah)...Alfiil. Khurtuumun thowiil. Yang lebih kurang begini maksudnya. Gajah. Belalainya panjang. Tetapi mereka terkesima dengan ketinggian bahasa pada Surah Al-Fiil, kisah sewaktu tahun kelahiran Baginda.
Berbalik kepada hari kita mengenang dan merayakan hari kelahiran. Adakah kita sayang Baginda? Adakah kita menjadikan Baginda sebagai Idola dalam hidup kita. Tak kira samada dari perspektif seorang anak, ibu bapa, pemimpin, ketua negara, ulama', perancang strategi perang dan sebagainya.
Bagaimana kita melibatkan diri kita dengan sambutan hari kelahiran Baginda? Berjalan, berarak, berselawat Nabi. Masa aku berumur belasan tahun dulu, ketika belajar di Kota Bharu, aku kerap berkunjung rumah ke rumah untuk berselawat. Lepas tu siap ada makan-makan lagi. Orang siap kata, masa bulan Muharram sibuk nak kacau bubur Asyura. Musim Maulud dah jadi Musim Mulut! Ada-ada saja. Tak kisahlah. Yang penting niat kita. Sebagai tanda kecintaan kita terhadap Baginda Nabi.
Sokonglah usaha-usaha yang mahu memartabatkan dakwah Islamiah. Sebagai contohnya, teater Sirah Junjungan II-Tahajud Cinta arahan Erma Fatima. Berilah sokongan sepenuhnya. Kita pernah mendengar keluhan Erma betapa susahnya mahu mendapatkan penajaan. Si Rihanna, Jason Miraz ramai pula berebut-rebut nak taja.
Akhir sekali, sebelum Baginda wafat, Baginda ada menyatakan "aku tinggalkan kepada umatku 2 benda di mana kamu berpegang dengannya, kamu takkan sesat selama-lamanya". Au kama qala. Lan tadhillu abada...takkan sesat selama-lamanya...iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.
"Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia" - Hadith riwayat Bukhari.
"Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku ialah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku" - Hadith riwayat tirmidzi.
Setiap hari Jumaat Khatib selalu membaca " Innallaha wa malaikatahu yusolluna a'alan
nabi. Ya aiyuhallazina aamanu sollu alihi wa sallimu tasliima "
No comments:
Post a Comment