Hebahan

Wednesday, March 11, 2009

PPSMI - Pro dan Kontra

Sekali lagi demonstrasi berlaku. Kali ini gara-gara membantah Pengajaran & Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Isunya...gara-gara aplikasi sistem ini, kedaulatan Bahasa Melayu terhakis. Benarkah ? Sejauh mana kebenarannya. Benarkah PPSMI meminggirkan Bahasa Melayu??

PPSMI mula dipraktikkan dalam sistem pendidikan Malaysia bermula tahun 2003. Kononnya, bahan-bahan rujukan bagi kedua-dua subjek tersebut banyak bergantung kepada bahasa Inggeris. Di samping mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kerana rata-rata graduan lepasan tempatan gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik ketika ditemuduga.

Kini..tahun 2009, bermakna kira-kira 6 tahun PPSMI dipraktikkan. Salah seorang generasi perintis yang mengalami dan melalui perjalanan tersebut ialah adik aku. Hasilnya, kini dia melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA mengambil Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

Lantas, aku bertanya pendapat peribadinya. Secara peribadi,dia menyatakan sistem PPSMI sangat-sangat membantunya sehingga sampai ke tahap sekarang. Bahasa Melayunya langsung tidak terjejas, sebab kami sekeluarga memang berbahasa Melayu di rumah, dan siap dialek Klate sekali. Bahasa Inggeris juga turut menunjukkan peningkatan di mana ketika SPM, adik aku mendapat A bagi kedua-dua subjek tersebut termasuk Matematik.

Akan tetapi subjek Sains seperti Fizik, Kimia termasuk Add Maths...hanya kredit diperoleh. Lepas tu komen kawan-kawan dia.. Kalau yang berada di luar bandar, pedalaman..kena masuk hutan..kena naik bot, payah sikit nak belajar. Subjek yang menarik akhirnya jadi begitu membosankan gara-gara tak faham. Tak 'catch up'.

Maka di sini wujudlah beberapa persoaalan. Pertama, persekitaran ataupun bagaimana cara seseorang itu dibesarkan akan mempengaruhi diri mereka. Orang di bandar mungkin mempunyai ibu bapa yang fasih berbahasa Inggeris, ataupun mengamalkan gaya hidup Inggeris seperti sambutan birthday party besar-besaran untuk anak d.s.b. Kemudian, bukan semua ibu bapa di kawasan pedalaman(orang asli misalnya) mampu memahami bahasa Inggeris.

Kedua, ada sekolah kategori bandar dan luar bandar, sekolah bestari, sekolah berasrama penuh(SBP), sekolah aliran agama, MRSM, sekolah teknik, sekolah harian dan sebagainya. Dan kebanyakan sekolah mengamalkan sistem 'cluster'. Pelajar bijak duduk kelas A atau pertama dan seterusnya. Selalunya, sistem PPSMI bermasalah untuk diajar kepada pelajar yang berada di kelas ketiga dan ke bawah, juga sekolah kategori luar bandar mengalami masalah yang serupa. Masalah ini yang harus dilihat untuk diselesaikan sewajarnya.

Ketiga, pelajaran Matematik dan Sains tiada kaitan langsung dengan BAHASA. Apa guna bahasa kalau tidak faham. Matematik dan Sains subjek yang penting sekali. Semua orang nak 'score' tinggi untuk kedua-dua subjek ini. Macam mana nak 'score' kalau tak faham. Tak faham konsep asasnya. Gunalah bahasa Melayu sekalipun, kalau dah tak faham apa itu teori Bernoulli, Newton dan sebagainya tetap tidak membantu. Gunalah bahasa apa sekalipun, kalau dah tak nampak graf [ y = Mx + c ], tak ke mana juga.

Kefahaman! Itulah yang paling penting sekali. Macam mana nak bagi pelajar faham? Semestinya kita menggunakan bahasa yang mudah difahami, yang dekat di hati. Bahasa pasar...bahasa perbualan seharian. Lidah kita selesa dengan bahasa apa...maka bahasa itulah yang meresap ke telinga memberi pemahaman yang sewajarnya.

Pelajar akan faham apabila orang yang mengajar, iaitu guru menerangkan dengan jelas, nyata dan terang serta tidak teragak-agak. Dalam konteks ini, walaupun PPSMI diamalkan buat masa ini, adakah bermakna semua guru yang mengajar Matematik dan Sains 'speaking London habis'??? Tidak ! Bahasa Melayu tetap digunakan...cuma istilahnya sahaja dalam bahasa Inggeris. Secara logikanya, bukan semua guru-guru yang mengajar Matematik & Sains fasih berbahasa Inggeris. Siap kena pergi kelas lagi...belajar balik dari A sampai Z istilah-istilah penting.

Percayalah..PPSMI ada juga kesan baiknya kepada pelajar-pelajar ini. Apabila menjejakkan kaki ke menara gading kelak...mental mereka telah bersedia dan terbiasa dengan istilah-istilah kejuruteraan, kedoktoran, perakaunan dan sebagainya yang telah dipelajari sejak darjah 1 lagi. Tetapi...persoalan sampingannya ialah...bukan semua pelajar 'boleh' jadi doktor...bukan semua orang boleh jadi 'engineer'...bukan semua orang dapat peluang menjadi 'akauntan'. Kan?

Seterusnya, bukan semua pelajar akan mendapat tempat di IPTA atau IPTS. Ada yang dah tak mampu nak ikut 2 subjek ini dari awal-awal lagi dah mula putus-asa, tak mahu sambung belajar atau memilih kursus yang tiada kaitan langsung dengan Matematik dan Sains. Semuanya sebab minat lah. M.I.N.A.T. Minat! Kalau budak tu minat kira-kira Matematik, faham teori-teori Sains, gunalah bahasa apa sekalipun...budak tu akan berjaya.

Budak kampung dari ceruk mana sekalipun...hulu banat hujung dunia orang kata, kalau budak tu dah minat bahasa Inggeris, tiada siapa mampu menghalangnya. Dia akan usaha...dengar lagu Inggeris, dengar siaran radio Inggeris, bawa kamus ke mana-mana sahaja, dan akhir sekali berusaha berkomunikasi dengan bahasa Inggeris. Ada kena mengena dengan Matematik dan Sains tak??

Berbalik kepada isu demonstrasi yang berlaku pada 7 Mac 2009 dianjurkan Gerakan Memansuhkan PPSMI ataupun GMP yang diketuai Datuk dr. Hassan Ahmad, bekas Pengarah DBP dan disertai Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said. Ya! Sekali lagi orang Melayu berdemonstrasi. Berjalan kaki berjuta sentimeter, melaungkan pemansuhan PPSMI.

Tolonglah ! Jangan jadikan anak-anak generasi akan datang sebagai 'lab-rat'. Demonstrasi ini bertujuan mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik ke Bahasa Melayu. Bahasa Melayu ke Bahasa Ibunda?? Orang Cina dan India juga mahukan 2 subjek ini diajar dalam bahasa lidah mereka juga kan? Adakah mereka turut berjuang untuk bahasa Melayu?? Kalau ya...tak nampak pun orang Cina dan India.

Jangan jadikan budak-budak 'mangsa' permainan politik. Sistem pendidikan yang tidak tentu hala menyebabkan mereka terumbang-ambing. Kalau lepas ni kembali ke Bahasa Melayu, adik-adik akan bertanya abang atau kakak mereka di sekolah menengah atau universiti. Pasti kakak atau abang mereka kata, " Dulu abang belajar dalam Bahasa Inggeris. Lain. Tapi... konsepnya abang tahu...". Nampak tak? Pemahaman itu yang penting,bukan bahasa.

Pendapat peribadi aku, kalau betul nak daulatkan Bahasa Melayu, baik kita daulatkan Tulisan Jawi! Ya...tulisan Jawi itulah akar umbi bahasa Melayu sebenarnya. Macam tak nampak je sepanduk tulisan jawi. Ke ada? Betul... tulisan jawi lah jiwa orang Melayu sebenarnya. Orang Jepun ada tulisannya, orang Korea ada tulisannya, orang Cina ada juga tulisannya...orang Melayu? Tulisan Jawi lah!

Tulisan Jawi itu unik..selain huruf hijaiyah bahasa Arab, tulisan Jawi ada huruf NGA, PA, NYA, GA dan VA. Di mana kita boleh jumpa tulisan jawi? Seminggu sekali. Utusan Melayu setiap Isnin. Tulisan jawilah yang sepatutnya diperjuangkan dalam eti kata yang sebenar. Ramai orang Melayu yang tak tahu baca jawi. Ramai orang Melayu yang tak tahu nak tulis jawi. Ramai orang Melayu beragama Islam yang tak tahu baca Al-Quran. Betul tak??

Kalau nak diikutkan..setelah PPSMI diperkenalkan tahun 1997, pada tahun 2001, subjek bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ada elemen Sastera ataupun Komponen Sastera(KOMSAS). Semua pelajar wajib baca satu novel tulisan 'Sasterawan'. Kena baca puisi-puisi mereka. Hayati makna yang tersurat dan tersirat. Terus terang cakap, penguasaan bahasa Melayu aku semakin baik gara-gara sistem ini. Dulu tak kenal siapa Pak Sako, dah tahu. Dulu tak tahu siapa Shakespear, sekarang dah hafal Sonnet 18. Bukan kerana belajar S&M dalam bahasa Melayu! Jadi, benarkah PPSMI meminggirkan Bahasa Melayu??

Kalau betullah mahu pelajar mahir berbahasa Inggeris, wujudkan subjek Bahasa Inggeris Komunikasi ataupun Interactive Speaking. Sebab masa aku ambil SPM, ada subjek Bahasa Arab Komunikasi, dan juga subjek Bahasa Arab Tinggi (belajar puisi-puisi arab, balaghah, qawaid dan sebagainya). Ni sediakan subjek English in Science & Technology (EST). Buat apa???

Apa yang perlu diperbaiki ialah sistem yang sedia ada. Bukan mengubahnya dan bermula kembali dari bawah. Perkemaskan sistem. Cabaran-cabaran mengajar pelajar yang berada di kelas ketiga dan ke bawah, pelajar luar bandar seperti orang asli, harus dicari penyelesaiannya. Bagaimana mahu menarik "MINAT" mereka terhadap subjek S&M. Daulat Bahasa Melayu rasanya takkan terhakis kalau sistem KOMSAS dalam Bahasa Melayu diperkemaskan atau dijadikan satu subjek wajib SPM. Perkara inilah yang harus 'pihak kementerian pelajaran' fikirkan dan pertimbangkan.

Apa-apapun...pisau dan buah di tangan mereka. Hasil buah itu manis atau tidak, sesiapapaun tidak tahu.

2 comments:

  1. setelah membaca artikel bro...
    fikiran aku dah berubah...
    ade gak betulnya....
    aku g mase ppsmi hari tu kerana dipengaruhi oleh kawan2 pro-mahasiswa kerana utk generasi akan datang...
    tp, selepas aku pergi kat sane, aku fikir balik...
    ape yg aku dapat???
    dapat gas pemedih mata n air gatal dari anjing FRU adelah....
    kesian kt kanak2 dan wanita2...
    ape salah diorang.....

    Alhamdulillah, aku ni termasuk dalam cluster atasan krn sek kat maahad dulu...
    BI diajar oleh teacher anisah..
    best woo belajar dgn dia...

    tp utk cluster bawahan....
    ape pendapat bro utk menanganinya???
    adakah kita perlu bersikap diskriminasi terhadap diorang???
    ajar dalam BM...
    kesian kat adik2 n kuarga aku yg sekolah kt kg....
    x dapat score cam aku...

    ReplyDelete
  2. Sebenarnya, PPSMI ini diajar dwi-bahasa..jadi penerangan boleh dalam BM.

    Kita ambil contoh Solat. Kita nak ajar anak kita macam mana solat. Ruku' sujud tu macam mana. Tetapi, bacaan rukun qauli..tetap dalam bahasa Arab. Kan?? Takbiratulihram tetap dibaca "ALLAHUAKBAR"...bukan dibaca Allah Maa Besar.

    ReplyDelete