Hebahan

Tuesday, March 3, 2009

Man shabba 'alaa syai in, shaaba 'alaih

Sudah berapa kali aku cuba 'merumikan' perkataan Arab. Berbeza ya. Merumikan dengan memelayukan. Merumikan dalam erti kata yang lain...setiap patah perkataan Arab yang asli sebagaimana sebutannya yang asal ditulis sebiji-sebiji atau sepatah-sepatah di dalam bahasa rumi. Proses ini bertambah rumit kerana bahasa Arab,bahasa Al-Quran ini begitu indah untuk difahami, dihayati dan ditafsirkan.

Betapa uniknya bahasa Arab ini, huruf 'S' yang kita sebut, terdapat 4 sebutan yang berbeza makhraj dan sifatnya iaitu huruf tsa, sin, shin dan shod. Huruf ta dengan tho berbeza. Huruf dal dan dhod juga berbeza. Alangkah bagusnya jika boleh menaip perkataan-perkataan Arab ini ataupun menulis Jawi di sini sebagai tanda mendaulatkan Bahasa Melayu!

Memelayukan bahasa Arab kita panggil menterjemah atau lebih spesifik lagi 'mentafsir'. Aku bukanlah seorang yang pakar dan benar-benar arif menguasai bahasa Arab. Kalau tak, sudah tentu aku boleh memahami dan bercakap Arab dengan fasih sekali. Aku hanya tahu asas-asanya sahaja. Ya lah. Dulu masa bersekolah di Maahad Muhammadi, Kota Bharu kena belajar semua ni. Nahu-sarafnya sehinggalah membuat karangan 'standard' 100-200 patah perkataan.

Walaupun terpaksa jadi 'tua setahun' daripada orang lain gara-gara kena kelas 'Peralihan' sebelum naik Tingkatan 1, tiada erti penyesalan di situ. Kawan-kawan yang pernah bersekolah Ma'ahad dengan aku ataupun mana-mana sekolah agama di Kelantan akan menghadapi situasi ini. Persoalannya, ada apa dengan usia? Buat apa kita berbangga dengan umur kita yang sekian-sekian angka jika kematangan tidak seiring dengan usia tersebut. Kan??

Eh, sudah lari jauh daripada topik asal ni. Melencong bercerita mengenai bahasa Arab dan kisah lalu pula. Baiklah, Man shabba 'alaa syai in, shaaba 'alaih ini bukanlah hadith Nabi tetapi pepatah
Arab yang agak popular. Popular macam Man Jaddda Wajada. Man shabba 'alaa shai in; maknanya sesiapa yang dibesarkan dengan sesuatu 'kebiasaan'. Shaaba 'alaih; maka dia akan membesar dengan 'kebiasaan' itu.



Dalam konteks ini...cara seseorang itu membesar, akan mempengaruhi proses perkembangannya menjadi dewasa. Sebagai contoh, seseorang budak yang sewaktu kecilnya menghadapi masalah perceraian ibu bapa, sudah pasti emosinya akan terjejas. Dewasa kelak, mungkin dia bertanggapan buruk terhadap institusi perkahwinan. Lebih buruk lagi sekiranya dia mahu 'keseronokan' semata-mata iaitu mendekati seks bebas, songsang dan sebagainya.

Contoh lagi... Kalau sejak dari kecil lagi budak ini dimanjakan. Kalau lelaki kita panggil anak emak. Nak basuh baju, tak tahu. Nak kemas rumah dan segala macam tugas lain sudah dibuat orang lain. Maka sehingga besarlah budak tu menghadapi 'kebiasaan' dibuat oleh orang lain. Kesian bakal bini dia kalau dia sendiri tiada inisistif memajukan diri dari semasa ke semasa.

Tetapi kalau sejak dari kecil kanak-kanak dibesarkan dengan amalan-amalan dan tabiat yang positif, sudah tentu nilai-nilai murni turut bercambah dan membesar bersama-sama membuahkan hasil yang baik. Sebagai contoh dia dibesarkan dengan menitikberatkan soal kebersihan, sudah pasti sedikit habuk pun tiada yang melekat di dalam rumah apabila dia membeli rumah kelak.

Sejak dari kecil lagi tak pernah tinggal solat 5 waktu. Alih-alih bila besar tak sembahyang langsung! Ni apa kes? Oh..ini namanya 'hidayah'. Hidayah Allah begitu mahal sekali. Jadi, konteks ini lebih sesuai dengan sikap dan tingkah laku. Bukan amal ibadat. Sikap atau tingkah-laku. Contohnya, panas baran. Pepatah Melayu kata bapa borek anak rintik. Kalau ayahnya baran...anaknya mungkin juga...

Kalau dalam keluarga, ayah selaku ketua keluarga tidak merokok. Adakah kebarangkalian si anak lelaki akan merokok? Kebarangkaliannya kecil kan? Ada. Kalau seseorang kanak-kanak pernah menghadapi kes penderaan samada dirinya didera atau ibunya didera disepak pukul terajang melayang di depan mata, emosi dan jiwanya turut memberontak.

Hah! Sebab tu lah Chris Brown yang berusia 19 tahun ni tergamak memukul kekasih hatinya sang penyanyi Rihanna yang tak jadi datang ke Malaysia. Bagus lah juga. Eh, buat iklan tiba-tiba. Jadi, kesimpulannya, apa jua keadaan samada positif ataupun negatif cara seseorang itu dibesarkan; cara tersebutlah akan dilaluinya. Macam mana bapa dia besarkan dia...macam tu lah nanti cara anaknya dibesarkan kelak.

Ada satu pepatah Melayu lagi. Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kalau guru gagal membentuk disiplin murid-murid ataupun pelajar gara-gara sikapnya sendiri, sudah tentu tingkah laku yang tidak elok menjadi ikutan. Cuba bayangkan ya..bagaimana pulak kalau guru yang kencing berlari, mungkin anak muridnya kencing sambil menari kot..Hehe. Renungkan bersama...

No comments:

Post a Comment