Hebahan

Monday, March 8, 2010

MULA berangan ???

Aik?? MULA timbul persoalan. Timbul tanda tanya. Kenapa dan mengapa? Apa sebab musababnya?

Berangan?? Apakah?? Angan-angan Mat Jenin yang sejurus mula memanjat pokok kelapa lalu berangan... belumpun sampai pertengahan jalan.. terjatuh??

Sejurus aku dapat sehelai kertas lalu berangan, berangan menyanyikan lagu indah buat hiburan hati yang sunyi sepi. Sejurus aku 'melahirkan' blog HP ini lalu berangan menjadi blogger yang terkenal seantero dunia. Berangan. Orang Kelantan kata koya molek~

Setiap apa yang kita kecapi hari ini bermula dengan mimpi. Mimpi itu indah. Mimpi juga ngeri. Jelas sekali, mimpi hanyalah mainan orang tidur. Ya, kalau mahu bermimpi syarat utamanya ialah mesti tidur terlebih dahulu. Ayuh kita tidur. ZZZZZZZ

Z
Z
Z


Z
Z
Z

Aku mula bermimpi. Aku mula menganyam impian bersulamkan harapan. Tatkala aku berada di negeri serambi Makkah ketika zaman anak remaja dulu kerap juga aku bermimpi. Ketika ditebak soalan apakah cita-citamu kelak? Jawabku dengan penuh konfiden "Seorang doktor". Mengapa? "Kerana itulah yang dimahukan oleh kedua-dua orang tuaku. Memecah tradisi keluarga. Belum ada lagi di kalangan ahli keluarga terdekat yang bergelar doktor.


Akhirnya kini?? Yang ad0?? Harapan musnah?? Siapa kata telah hancur musnah impian bergelar doktor?? Masih ada.. masih ada sisa-sisanya. Saki-baki semangat yang masih berdaki menguatkan azam aku supaya bergelar doktor juga suatu hari nanti. Bukan doktor perubatan, tapi mungkin doktor falsafah?? Kebarangkalaiannya tetap ada kan?

Berbalik kepada entri kali ini, sebagai tukang tulis memang aku kerap berangan atau bahasa yang lebih enak didengar ialah BERIMAGINASI. Dengan imaginasilah aku mengasah bakat aku menjadi tukang tulis. Apa yang terlintas di benak fikiran, sepantas kilat (ceh!) dicoretkan menjadi cerpen, dinukilkan menjadi puisi, digarap menjadi cerita. Kalau dulu, aku ada buku conteng (ala-ala diari gitu~), dan pena menjadi saksinya. Kini, jari-jemari ini gemar menari di atas papan kekunci @ keyboard!

Masa aku darjah 5, aku dapat nombor SATU di dalam kelas. TAPI aku dapat 3A 1B (batch terakhir UPSR ada 4 A). Subjek Bahasa Melayu Pemahaman aku dapat B iaitu 78! Guru kelas, Cikgu Norliza Aryanai Alang Ahmad siap semak dua ke tiga kali sebab macam tak percaya. Yang dapat nombor dua masa tu Zafrul Ariff. Tapi dia dapat 4 A dan dapat pujian!

Maka dari sini wujudnya 'kecintaan' aku terhadap bahasa Melayu. Mama hantar aku ke kelas tusyen Cikgu Baharuddin. Nama macam Papa tapi ejaan je lain. Aku sangat bersyukur, gara-gara kelas tusyen ini, Cikgu Baha telah menggilap bahasa Melayu kami 6 orang. Hasilnya, aku sangat meminati, dan menghargai bahasa tak kira bahasa apa sekalipun. Kalau yang kenal Zulfikar, pasti tahu betapa puitisnya blog beliau menandingi kehebatan arwah Loloq.

Cikgu Baha memberi keyakinan kepada kami supaya berbangga dengan keaslian bahasa Melayu. Maka, berbahasa Melayulah dengan baik dan penuh yakin. Mungkin dari sini wujudnya keberanian aku untuk bercakap di depan khalayak. Aku akui.. aku bukanlah pendebat yang baik. Aku mungkin tak reti bercakap tapi aku mampu bersuara!

Masa nak ambil SPM pulak, aku paling suka subjek bahasa. Tak kira. Bahasa Melayu, Inggeris atau Arab. Bila bab menulis karangan atau essay atau insyak, aku memang cuba lakukan yang terbaik. Hasilnya.. aku tak pernah pun menjadi terbaik. Karya orang lain yang sering dijadikan karangan contoh untuk satu kelas.

Aku seronok baca karangan mereka. Kagum dengan imaginasi mereka. Masih tersimpan kemas lagi esei yang dikarang budak-budak kelas 5 Sains Makkah. Muadz, Akmal Huzaifah, Hafiz Mat Daud, Mamat dan ramai lagi. Aku kagum dengan mereka dan ini membakar semangat aku dan memberi inspirasi kepada aku supaya lebih berani berimaginasi. Biarkan imaginasi bebas berlari. Let your imagination runs wild.. ayat keramat Teacher Anisah.


Oh, Teacher Anisah, guru BI, yang menerangkan kepada satu kelas cerita Coyotito (The Pearl) dengan penuh semangat. Aku takkan tidur dalam kelas beliau. Tidur?? TEET~ Isy, mana ada tidur.. momentum saja. Begitu juga kelas BM, yang kena belajar Komponen Sastera. Kelas Cikgu Sabiha. Masa Tingkatan 4, Cikgu Shafiee Zakaria yang ajar. Siap bagi tawaran aku mewakili maahad pertandingan Forum lagi tapi sayang, aku terpaksa tolak.

Mereka antara guru yang memotivasikan aku agar menjadi seorang 'penulis' yang baik. Menjadi orang yang berani 'berbahasa'. Sebabnya, mereka memberi tips ketika menjawab soalan esei. Kalau nak buat karangan BI, lebih baik pilih jenis narrative atau cerita, bukan berbentuk factual sebab kita kena terima hakikat, vocabulary kita kurang. Kita boleh merepek-repek mereka cerita panjang berjela-jela kalau pilih narrative essay.

Sebaliknya pula ketika membuat karangan BM. Lebih baik pilih karangan yang ada format atau berbentuk fakta. Sebabnya juga sama. Perbendaharaan Kata! Kita ada banyak kosa kata. Jadi lebih konfiden buat karangan berbentuk fakta. Kalau kita pilih naratif (contohnya soalan cerpen) kita mungkin boleh merepek yang bukan-bukan sampai lari jauh dari tajuk asal.

Akhirnya aku tak menjadi penulis professional.. bukan juga aku bergelar jurutulis atau jurutaip, hakikatnya aku hanyalah tukang tulis. Aku menulis apa saja. Aku biarkan imaginasi ini terus berlari. Let your imagination runs wild. Bak kata Teacher Anisah.

Hasil penulisan aku yang pertama. Hanyalah sebuah lirik lagu.. ketika perpisahan yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat. Itu hanyalah lirik. Salam Perpisahan. Lepas tu ada lagi beberapa siri lirik (dan lagu..bajet tak mahu kalah) Puisi?? Banyak juga. Mungkin ada yang pernah baca di blog-friendster aku dulu. Skrip?? Ya, aku juga berjinak-jinak menulis skrip. Bermula dari habis SPM, dengan skrip pertama, "Selama Ini..". Kedua, aku hasilkan pula "Mencari Chin-Ta". Seterusnya "LRT" dan terbaru "Hitam Putih". Ke mana skrip-skrip itu? Ada dalam muzium PC saja.


Aku cuma masuk pertandingan menulis skrip. Anjuran sesiapa saja. IKIM, FINAS dll. Aku bukan belajar menulis secara formal pun. Maka hasilnya.. yang adolah. Seperti biasa.. tiada apa-apa pun berlaku. Itu bukan pematah semangat. Aku bukan mahukan kemenangan itu. Yang penting aku puas! Dapat juga mengintepretasi apa yang tak tercapai akal. Lakaran minda semata-mata. Aku dapat rasakan perkembangannya. Skrip "Selama ini.." kategori hancur.. syok sendiri tak ingat dunia, berbanding skrip terbaru "Hitam Putih". Perbezaan yang ketara sekali. Nampak kematangannya di situ. (tengok.. tak habis-habis berangan SS)

Dan kemuncaknya, aku tak sangka dapat peluang untuk menulis skrip teater pulak. Teater beb! Bukan calang-calang. Masuk pertandingan Festival Teater Antara Kolej(FESTIK) - UPM. Arahan sendiri, skrip sendiri. Cuma tak berlakon saja. Di bawah produksi Seta Walinongsari (kini dah jadi Seta Arts), maka berjaya juga aku pentaskan naskhah pertama Senandung Elegi Lara (SEL). Dan seperti biasa.. pulang tangan kosong! Telenovela lah katakan...


Haha. Tak hampa pun sebab berjaya juga menembusi tembok 5 senarai akhir. Bee sekurang-kurangnya tercalon Top 5 Pendukung Watak Wanita Terbaik. Dan bermula detik itu, orang ramai mula 'memandang' pementasan kolej kami. Daripada taraf underdog, Seta Arts dah menang besar FESTIK 2009. Johan keseluruhan.


Ada kesempatan akan aku kongsikan segala hasil nukil musykil itu...

Daripada angan-angan lah kita akan lipat gandakan usaha kita. Untuk menjadi yang lebih baik dan merealitikan fantasi seindah imaginasi. Oh.. ilham datang mencurah-curah lagi. MULA berangan. Idea dan ilham telah MULA berkembang~




Sunday, March 7, 2010

MULA menebas...

Bulan MAC telah berMULA.

Lewat kebelakangan ini, kekangan masa sememangnya 'menghantui' aku. Kalau aku tukang tulis berbayar,ataupun wartawan bergaji di bawah pantauan mana-mana syarikat percetakan, sudah pasti aku 'mati' dikerjakan deadline. Talian hayat terputus!

Akan tetapi, dek kerana aku hanyalah si tukang tulis bebas, atau lebih glam dengan gelaran wartawan 'indie' maka suka hati akulah nak kemaskini blog ini bila-bila masa, dan di mana saja yang aku suka. Kan??

Justeru, bagi memastikan jangka hayat blog ini lebih panjang (bukan cukup-cukup setahun sempena ulangtahun pertama bulan lalu) maka aku kini kembali. MULA menebas sawang-sawang yang mula menerawang di angkasaraya blog hitam putih ini.

Aktiviti gotong-royong bermula...

Dush~
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Zaas~
l
l
l
l
l
l
l
l
l
l
l
l
l
l
l
l

Kebabooom~
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0

Meletupz~
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )
( )


MISSION ACCOMPLISHED!

Alamak, terlabih sudah! Rindu bah.. sama urang Sabah. Minggu depan akan ku ketemu dengannya. Nda da.

Moral ceritanya : Akan kutulis lirik lagu "Kekangan Masa". MULA berangan~

Sunday, February 28, 2010

Carta Februari menJADI Hangat gara-gara... ?

10. Penemuan

Ada dua penemuan, iaitu penemuan yang ada kaitan dengan purbaraya di mana sekumpulan arkeologis dari UKM telah menemui bukti kehidupan masyarakat mesolitik di Gua Bewah, Tasik Kenyir. Tidak begitu pelik sangat berita ini. Kedua, penemuan juga tetapi bertemu kembali benda yang tak patut hilang. Enjin F5-E yang suatu ketika kecoh telah hilang akhirnya... telah ditemui di Uruguay! Motif??

9. Bola Sepak

Uruguay ya? Nah Slovakia! Ambik kau~ skuad Harimau Muda menyertai Liga Slovakia serta pelantikan rakyat Malaysia bernama Subkhiddin Mohd Salleh yang telah tersenarai antara Pengadil Utama Piala Dunia di Afrika nanti.

8. Penghargaan

Berita baik buat bekas johan qari dan qariah tilawah al-Quran. Mereka akan menerima imbuhan bulanan sebanyak RM2000 sepanjang hayat mereka. Kira macam pencen lah. Bagus dan prihatin sungguh kerajaan ya. Nasib rakyat marhaen terbela. Kerana bukan tu saja, gaji abang-abang polis yang menjaga keamanan negara pun dinaikkan~ Rujuk sumber ini.

Emm.. macam mana pulak untuk mereka yang jadi Al-Hafiz @ Al-Hafizah??

7. Pilihanraya Kampus

Pilihanraya kampus (PRK) melanda seluruh universiti di Malaysia. Nampak gayanya sistem baru PRK iaitu e-voting menjadi isu hangat untuk diperdebatkan. Sejauh manakah ketelusannya??


6. Pengiktirafan

Azizulhasni Awang dipilih Atlit Terbaik oleh Penulis Sukan Malaysia(SAM), Norman Abdul Halim pula dilantik sebagai Pengetua Akademi Fantasia 8. Manakala Tom diangkat menjadi Juara realiti My-Starz LG musim ketiga. Tasha dan Wana juara terdahulunya di mana? Wana, muncul juga dalam teater Antara.

5.Teater

Ada 2 teater bulan Februari yang hangat diperkatakan. Pertama tetater ANTARA.. arahan Erma Fatima (asalnya arahan Ellie Suriati tetapi ada isu 'antara' dalaman katanya). Tahun lalu dengan teater muzikal Sirah Junjungan Tahajjud Cinta, kali ini pula Antara menjadi judulnya. (Judul asal teater ini sepatutnya Jika Tiada Syurga dan Neraka, Masihkah Kita Menyembah Tuhan?, namun apabila ada yang mempertikaikan ia boleh merosakkan akidah, telah diubah menjadi Antara Syurga dan Neraka. Tiba-tiba.. perkataan Antara saja yang tinggal). Kedua, teater arahan Namron (salah seorang daripada 6 pengarah di bawah projek KoKEN) berjudul TANDA yang ditunda. Cuba bayangkan, ibu yang melahirkan anaknya, sanggup menghalau anak keluar. ASWARA yang telah melahirkan aktivis teater seperti Namron dan sebilangan ahli produksinya telah dihalang daripada bereksperimentasi di Panggung Eksperimen, Aswara. Namun, akhirnya berjaya dipentaskan semula. Emm, aku lama juga meninggalkan pentas teater ni. Tidak berkesempatan.



4. Bahasa Melayu

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star kini menampilkan sisipan pertama edisi BAHASA MELAYUnya, iaitu Mingguan MStar. Wah, makin hangat MSTAR online lepas ni. Keutamaan Lagu Bahasa Melayu diputarkan dengan lebih kerap bermula Mac ini dalam tempoh tertentu dan ianya mengikut Seksyen 33 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 supaya stesen radio mempromosikan lagu tempatan. Maknanya WAJIB PUTAR, lagu baru lah. Ala-ala wajib tayang gitu. Radio swasta tak perlu format retro lagi.

Macam mana pula nasib tulisan JAWI?? Dan bagaimana pula nasib lagu-lagu asli dan berentak etnik, irama Malaysia??

3. Skandal

Mangsa terkini sesudah Tiger Wood ialah kapten John Terry dan Ashley Cole. Kedua-duanya daripada Chelsea. Menggegar dunia betul~ Terry kantoi dengan bekas kekasih rakan senegara, Wayne Bridge. Kemuncaknya, ketika perlawanan Chelsea - Manchester City, Terry yang nak bersalam dengan Bridge tidak diendahkan. Bo layan~ Kalah kena belasah 4-2 pulak tu.

2. Kes Mahkamah

Siapa MB Perak yang sah! Dan bicara kes liwat DSAI-SBA. Kemuncaknya campur tangan daripada Ahli Parlimen Australia. Yang peliknya, ulama terkenal yang diiktiraf Tokoh Maal Hijrah 1431 baru-baru ini merangkap Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi berjanji akan membawa isu fitnah liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ke persada antarabangsa untuk diselesaikan secara syarie. Tak percaya? Baca sini.

Lebih hangat lagi, isu sebat Kartika masih belum selesai, alih-alih muncul 3 wanita mengaku telah disebat mengikut hukum syariah. Kiranya, hasrat Kartika menjadi wanita pertama disebat mengikut hukum syariah telah dicaras. Boleh? Ada Kartika kisah dia pertama ke terakhir?? Yang penting Kartika mengaku bersalah dan rela disebat tetapi hukuman digantung tak bertali diterima. Pulak dah, NGO berangan macam SIS tu nak buat kecoh konon penganiayaan hak asasi manusia, akan menjatuhkan martabat wanita. Habis tu, wanita tu ber'mukah' tak jatuh maruah ke?

1. Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat

Menteri Besar negeri Pakatan Rakyatterus ditekan tubi. Tok Guru Nik Aziz dah 20 tahun diberi tekanan, digambarkan 'gagal' menguruskan negeri dengan baik. Kini tiba giliran MB Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang pula. Tan Sri Khalid Ibrahim dengan isu UiTM Rawang yang berpindah lokasi ke Melaka, isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) manakala isu 'karisma' Ketua Menteri PP, Lim Guan Eng yang menyebabkan ramai YB daripada PR sendiri yang tak puas hati. Alih-alih Ahli Parlimen Bayan Baru keluar PKR. Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu pula dikenakan hukuman oleh parti kerana banyak 'lepas cakap'. Pendek kata, usaha mencemar nama baik PKR berjayalah kiranya kan. Ops, nampak gayanya tiada isu besar yang melanda MB Kedah, Ustaz Azizan. Usaha lagi kepada yang berkenaan..

Hakikat sebenar, Februari paling banyak MENJUARAI isu 'kematian' disebabkan oleh kemalangan, bayi dibuang merata-rata macam sampah, dan ada kanak-kanak (adik Syafia Humaira) yang disepak terajang macam bola sehingga maut! Tu aku malas nak ulas... Kebejatan moral sungguh! Memalukan! Kita kembali ke zaman primitif kah, tidak bertamadun langsung! Sorang lagi 'Anak Pontianak' yang tak pasal-pasal glamor sebab dadah. Apa kejadah?

Apa dah JADI? Apa nak JADI?

Ini bukan kisah jadi tak jadi kahwin ya. Macam lagu SM Salim, Apa nak jadi? Sampai sekarang tak kahwin lagi. Juga bukan versi Ali Mamak yang telah diubah liriknya sama sekali. Apa dah jadi? Apa nak jadi dengan DUNIA yang FANA ini?

Apa yang telah terjadi? Suatu hari, aku terbaca berita ini.

PATCHOGUE 13 Jan. — "Saya seorang Islam. Saya tidak boleh terima ganjaran ini''. Itulah kata-kata yang diluahkan oleh seorang pemandu teksi di New York apabila dia ditawarkan ganjaran atas kejujurannya.

Mohammad Mukal Asadujjaman adalah seorang pemandu teksi warga Bangladesh di New York turut menerima pujian atas kejujurannya memulangkan semula wang tunai berjumlah $21,000 (RM66,960) milik seorang pelawat dari Itali.

Fellicia Lettieri,72, tertinggal dompetnya, yang mengandungi wang miliknya dan enam ahli keluarganya ketika menaiki sebuah teksi di Manhattan sehari sebelum perayaan Krismas lalu.

Polis sebelum itu telah memaklumkan kepada pelancong Itali itu agar mereka tidak menaruh harapan untuk menjumpai semula beg duit berkenaan

Bagaimanapun, Mohammad Mukal telah memandu teksinya sejauh kira-kira 80 kilometer untuk pergi ke Long Island berdasarkan alamat yang terdapat di dalam beg duit berkenaan untuk memulangkan dompet itu kepada tuannya.

Namun begitu, ketika dia tiba di alamat berkenaan, tidak ada sesiapa berada di rumah berkenaan dan Mohammad Mukal terpaksa meninggalkan nombor telefonnya dan kemudian kembali semula untuk menyerahkan wang berkenaan.

Pemandu teksi berusia 28 tahun itu ditawarkan ganjaran atas kejujurannya, namun dia berkata, sebagai seorang penganut Islam, dia tidak boleh menerima ganjaran tersebut. - AP

Sumber asalnya di sini.

Apa nak jadi? Apa sahutku? Apa timbal balasnya? Suap baliknya ialah KLISE TAPI BERKESAN! Method dakwah TERBAIK... mencerminkan imej Islam yang bersih. Secara tiba-tiba teringat pepatah " Orang tamak selalu rugi, bagai anjing dan bayang-bayang~"

Benda biasa kita dengar, macam klise tapi itulah nasihat TERBAIK. Membaca jambatan ilmu. Rajin usaha tangga kejayaan. Ilmu pelita hidup. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Man jadda wa jada! Dah biasa dengar. Macam bosan, tapi begitulah hakikatnya.

Rasa macam baca karangan budak darjah 1 tetapi mesejnya besar dan jelas. Apa sudah JADI dengan imej ISLAM yang semakin hari digambarkan sebagai "terror" atau pengganas?? Orang kita bila sebut "terror" yang bermain di minda, orang tu hebat! Ore Klate kato.. biso molek~

Tapi ini definisi "terror" yang menyimpang jauh. Pengertian yang sangat negatif. Adakah benar puak-puak Taliban, Abu Sayyaf dan sebagainya yang membawa 'imej Islam' itu sememangnya ganas melalui kaca mata Amerika?? Tepuk dada lah... selera anda menjawabnya.


Mungkin, ada sahabat mengatakan "My name is Khan" ada menyelitkan mesej tersebut. (Alamak, tak sempat nak tengok!)Benarkah?? Apa nak jadi? Apa dah jadi? Dunia ini masih ada orang yang suci. Putih dan bersih. Bukannya hitam kelam seperti yang kita bayangkan. Hitam putih kehidupan~

Thursday, February 25, 2010

Setahun menJADI Blogger


Tahun lepas, kala usia aku genap 25 tahun aku melancarkan blog ini yang menjayakan MISI aku selaku si Tukang Tulis. Hitam-Putih kehidupan~ Kini SETAHUN usianya. Alhamdulillah. Sebanyak 152 entri telah aku coretkan. Dan pelayar blog ini sudah melebihi 5000 pembaca. Kalau merujuk kepada bahagian paling bawah blog ini lah! (p/s : Blog ini memang tak kejar rating! Tetapi itu petanda ada pengikutnya yang tersendiri) Inilah bayi milikku... blog si tukang tulis.

Moga sedikit sebanyak apa yang aku coretkan, apa yang telah blog ini utarakan, apa yang telah diusulkan, dicadangkan dan dikomentarkan membolehkan sesiapa saja mendapat manfaatnya samada secara langsung atau tidak langsung. Banyak respon yang diberikan menerusi emel dan juga ruangan komen. Aku sangat hargainya, terima kasih!

Memang banyak 'pandangan peribadi' diberikan terutama bab 'politik' tetapi perjalanan masih jauh lagi dengan harapan suasana politik di dalam negara ini semakin matang! Begitu juga kisah sepak terajang 'bola sepak', selaku penyokong Merah-Putih (Arsenal dan Kelantan) pastinya membuatkan penyokong pasukan lain berasa sedikit ralat. Kan?


Dunia hiburan pula..lagilah macam-macam kisahnya. Apa pun yang terjadi, blog ini juga sedikit sebanyak mencoretkan kisah cinta 'kami'. Aku dan dia. Blog ini yang menyatukan semula hati yang telah dipisahkan Laut CINTA Selatan..eh, Laut CINA Selatan! Lembahan cinta, limpahan kurnia rahmat dari Yang Esa.

Kisah terpencil?? Itulah kisah yang telah aku lalui. Pengalaman, guru terbaik dalam hidup.
Experience is the best teacher! Moga aku diberikan kekuatan untuk terus menulis dari semasa ke semasa. Secara puratanya 12 entri sebulan termasuk 2 carta (yang perasan tak hengat, very the syok sendiri)! Bi iznillah~ Jom potong kek!


Selamat Hari JADI ~

Alhamdulillah! Aku genap 26 tahun. Semoga kematangan mengiringi usia hendaknya, dan semoga tahun ini menJADI lebih baik daripada tahun sudah-sudah.

Apa matlamat seterusnya? Aku sudah memiliki segulung ijazah, sudah bertunang dan menuju ke gerbang perkahwinan. Aku juga sudah ada 'tapak' kareer yang boleh dikembangkan potensinya. Alhamdulillah. Syukur dengan apa yang ada. Moga urusan lain dipermudahkan-Nya.

Banyak lagi yang berlegar di minda. Kereta idaman? Rumah idaman? Anak-anak? Keluarga yang bahagia. Nak sambung Master? Dan paling penting, mahu jadi Hamba Allah yang semakin tawadhu' dan anak yang soleh untuk kedua ibu bapanya. Amiiiin~

p/s : Sangat terharu apabila ramai pulak yang ucap selamat dengan menconteng dinding Fesbuk dan memberi hadiah ilusi optik! Haha

Monday, February 22, 2010

JADI tak JADI

JADI tak JADI! Begitulah tajuk entri kali ini.

Apa ceritanya pula? Ceritanya mengenai cabaran dan harapan. Cabaran yang perlu disahut setelah ramai orang sekeliling meletakkan harapan. Bermain dengan harapan adakalanya mengundang rawan. Bisa membawa kekecewaan bersama. Namun, sekiranya kita berjaya mengatasi setiap halangan, itulah dia namanya kejayaan.

Siapa yang berjaya? Bagaimana caranya kita berjaya? Apakah makna kejayaan? Adakah kejayaan itu menjamin kebahagiaan dan keberkatan hidup?? Berjaya itu subjektif. Kita akan berjaya, dengan cara kita sendiri. Kita akan berjaya melalui mata yang melihat dan menilai diri kita. Persoalannya ialah MATA SIAPA? Mata sendiri atau mata orang lain? Jelas, berjaya itu subjektif.



Macam-macam definisi berjaya. Semua orang akan berjaya, tetapi bukan dalam semua bidang yang diceburinya. Mungkin seseorang itu dilihat berjaya dari sudut akademik ataupun kareer, tetapi mungkin gagal dalam percintaan, perkahwinan atau membina institusi kekeluargaan. Ada orang bergelut untuk berjaya mendapat kerja yang stabil/kukuh, tapi mungkin berjaya meraih cinta sejati seterusnya berjaya membawa percintaan tersebut ke kemuncaknya.

Mungkin juga ada mereka yang berjaya dalam kedua-duanya, kareer dan keluarga, tetapi mungkin gagal dalam aspek kesihatan seperti menderita penyakit kronik dan sebagainya. Itulah ujian Allah untuk hamba-Nya. Sudah terang lagi bersuluh, di dalam Surah Al-Mulk, ayat kedua yang bermaksud "DIA yang menjadikan HIDUP dan MATI untuk menguji di kalangan kamu siapakah yang PALING BAGUS/ELOK amalannya"

Berbicara mengenai cabaran dan harapan. Ramai yang mengaku kalah awal-awal. Belum apa-apa lagi sudah kecundang! Apa maknanya ini? Begini, aku selaku bekas pelajar sekolah agama telah melalui pengalaman sebegini. Begitu juga sahabat-sahabat Ma'ahad yang turut mengalami peristiwa yang sama.

Mentang-mentang kami lepasan sekolah agama, maka harapan masyarakat ialah yang elok-elok saja. Yang baik-baik saja. Yang mengharumkan nama sekolah, bukan sebaliknya. Realitinya, bukan semua orang mampu menjadi yang terbaik, tetapi hanyalah sekadarnya (ore klate kata sekodar jah) malah lebih teruk lagi ada yang langsung tak mencerminkan lepasan budak sekolah agama.

Bukan salah institusi agama, bukan juga salah 'nama' sekolah yang terpaksa dibawa, tetapi kini tibalah masanya kita berdiri atas kaki sendiri. Bebas, tidak terikat dengan peraturan yang menjadi rutin harian suatu ketika dahulu. Ilmu di dada masih belum cukup tetapi sudah mampu menjadi bekalan apabila membawa diri keluar daripada kepompong 'peraturan sekolah'. Bebas daripada pantauan ibu bapa di rumah.

Inilah pesanan orang tua aku tiap kali mahu berangkat 'keluar dari rumah'. Ketika menuju ke sekolah, ketika menghala ke asrama, ketika melangkah kaki ke gerbang menara gading, ketika memasuki alam pekerjaan. Jaga diri, jaga maruah diri, jaga nama baik keluarga!

Setiap kali kita melakukan kesalahan, sejenak saja kita melakukan kemungkaran, sejurus saja kita melakukan kerosakan di muka bumi ini dengan tangan sendiri, kita bukan saja memalukan diri sendiri, TETAPI dalam masa yang sama, kita telah menjatuhkan nama baik keluarga apabila orang tanya "Hang anak siapa?". Kita juga memalukan guru-guru kita, dan mencemar dan mencalari imej baik sekolah apabila orang tanya "Ngaji mano? Oh.. sekoloh ma'ahad.. sekoloh arab, tapi tokleh harap"

Betapa besarnya menyahut cabaran! Cabaran untuk mengeheret sama 'nama orang sekeliling' kita ke mana saja kita berada. Ke mana saja hala tujunya.. tak kira di mana destinasinya. Apa maknanya? Definisi 'nama orang sekeliling' kita merupakan 'nama-nama' yang kita perlu jaga air muka mereka. Jangan sesekali menconteng arang ke muka sendiri, kelak 'nama' orang lain busuk sama umpama orang menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri.

Kita membawa harapan nama-nama orang sekeliling kita. Lebih berat lagi jika kita membawa nama-nama yang dianggap besar. Kau budak sekolah agama! Kau anak Tok Imam! Kau anak YB! Kau anak Tok Penghulu! Kau anak ketua kampung! Kau anak Doktor, pakar motivasi! Kau anak peguam yang disegani! Kau budak universiti! Kau budak UIA! Kau budak MCKK! Kau budak TKC! Kau anak... bla..bla..bla.. Jika diperhalusi ayat mereka, kita hanyalah 'anak' kecil yang masih belajar daripada kesilapan.

Segala asal-usul kita akan dikorek semahu-mahunya, dan perkara yang paling memalukan ialah apabila kita menjatuhkan maruah agama Islam! Pakai tudung, tetapi 'kantoi' bersekedudukan. Pakai kopiah, tetapi kena tangkap mencuri. Namanya Islam, selalu nampak solat jemaah, rupa-rupanya... Dulu belajar sekolah tahfiz,tetapi sekarang bukan sekadar tak pakai tudung, tapi tak cukup kain! Adakah ini salah agama Islam? Adakah ini salah orang tua kita? Adakah ini salah sekolah kita? Salah cikgu kita?

Manusia memang cepat menjatuhkan hukuman. Lekas benar mengadili orang dengan sebelah mata. Hakikatnya, Islam tak pernah salah kerana Islam itu indah. Islam itu nasihah. Yakni teguran.. bersifat mendidik. Islam itu bagus, baik, cuma penganutnya saja belum cukup bagus dan baik, kerana semulajadi manusia itu bukan sempurna.

Maka hal ini lah menyebabkan segelintir 'kawan-kawan yang kita suka', orang sekeliling kita, tak berani. Jadi pasif. Ramai yang rela menyepikan diri. Aku ambil contoh sahabat-sahabat Ma'ahadku. Kalau di Kelantan, sebut saja nama sekolah Ma'ahad (walaupun Ma'ahad ni perkataan Arab yang bermaksud sekolah! Sekolah sekolah! Haha), semua orang tahu sekolah yang terletak di Kota Bharu itu, semua orang kenal sekolah agama yang menghasilkan produk yang baik itu, semua orang mahu masukkan anak-anak mereka ke situ dengan 'harapan', semua orang meletakkan 'harapan' yang tinggi kepada sekolah Ma'ahad.

Umpama kilang.. yang menghasilkan produk yang gah! Namun tetap ada calar-balarnya, masih ada cacat-cela nya. Kami produk-produk Ma'ahad, ada yang menjadi 'toyyib'.. tetapi ada juga yang kurang menjadi. Tetapi ramai yang memilih untuk menjadi yang sedang-sedang saja, biasa biasa aja. Pendek kata, ramai yang menjadi daripada tak menjadi. Menjadi apa? Menjadi orang lah.. jadi manusia.. hidup dengan tenang, aman damai.

Walaupun sudah 10 tahun berlalu, namun masih ada sahabat-sahabat yang sepi. Tak mahu bercampur-gaul dah dengan budak-budak Ma'ahad. Tak mahu 'kecek Klate' sudah. Agas! Memang ada yang agas tetapi perlu diingatkan, ada juga yang malu. Malu nak mengaku budak sekolah agama. Sebabnya.. 'harapan', persepsi atau orang putih kata 'expectation'! "Sekarang aku dah lain. Tak macam dulu. Jauh berubah" Tak menjadi!

Kata mereka (segelintir), "aku mahu melupakan zaman Ma'ahad, dulu aku budak nakal, kena buang sekolah, lepas tu, kalau jumpa kawan-kawan, aku rimas dengan 'intebiu', suka soal macam-macam, aku sambung belajar kat mana, sekarang buat apa, kerja apa, perkembangan terkini, kenapa tak buat Fesbuk dll? Aku tak menjadi seperti semua orang harapkan"

Aku cuma nak bagi satu pandangan saja buat sahabat-sahabat aku yang berfikiran sebegini, apa jua yang berlaku, yang telah berlaku, kita tutup buku lama, sekarang kita buka lembaran baru, tak kira dah walau di mana saja kau berdiri sekarang, apa saja kau buat sekarang, kita telah cukup matang. Masing-masing dah besar..dah boleh fikir semasak-masaknya. Jadi tak jadi bukan lagi persoalannya.

Usah ditangisi masa silam, jangan takut menghadapi masa depan. Sebab kita hanya merancang, DAN ALLAH itu sebaik-baik perancang. Manusia berubah. People changed. Dulu kita tengok dia alim, tetapi kini 'zalim' kepada diri sendiri. Dah tak macam orang. Dulu nakal tahap gaban. loni warak tahap wali. Ada yang dari dulu sampai sekarang tak berubah-ubah. Fizikal mahupun Perangainya. Dulu kurus saja.. sekarang macam bapa orang sudah. Dulu 3G, sekarang dah slim macam Aizat.

Apa-apa pun inilah manisnya iman, indahnya hidup bersaudara, kita berkawan menjadi sahabat, bertemu dan berpisah kerana ALLAH! Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah! Terus-terang cakap, zaman kita mula akil baligh menujadi dewasa, membesar bersama-sama selama 6 tahun, itulah zaman paling terbaik di bumi Ma'ahad mengajar aku erti hidup. Membuka mata seluas-luasnya, aku tak menyesal walaupun kena masuk Peralihan setahun!

Gambar tahun 1997 - AMML

Gambar terkini - 2010 - X-MML

Jadi tak jadi bukan soalnya. Apa yang penting ialah apa yang masih melekat di ingatan AKU ialah kenangan di Asrama MML contohnya. Setiap kali menjelang cuti sekolah, pihak AJK asrama akan membuat majlis Wida' pada malam terakhir di asrama sebelum masing-masing balik keesokan harinya. Semua orang buat halaqah(bulatan) di dalam masjid. Seterusnya berselawat, bersalam-salaman, bermaaf-maafan antara satu sama lain. Ada yang dah dekat satu semester tak bertegur sapa akhirnya keadaan pulih, kembali normal. Biduk berlalu, kiambang bertaut. Lebih manis lagi, lagu Doa Perpisahan menjadi iringan. Sangat nostalgik~ Banyak lagi peristiwa di Ma'ahad yang masih segar di ingatan aku selaku pelajar SPM batch 2002!