Apa ceritanya pula? Ceritanya mengenai cabaran dan harapan. Cabaran yang perlu disahut setelah ramai orang sekeliling meletakkan harapan. Bermain dengan harapan adakalanya mengundang rawan. Bisa membawa kekecewaan bersama. Namun, sekiranya kita berjaya mengatasi setiap halangan, itulah dia namanya kejayaan.
Siapa yang berjaya? Bagaimana caranya kita berjaya? Apakah makna kejayaan? Adakah kejayaan itu menjamin kebahagiaan dan keberkatan hidup?? Berjaya itu subjektif. Kita akan berjaya, dengan cara kita sendiri. Kita akan berjaya melalui mata yang melihat dan menilai diri kita. Persoalannya ialah MATA SIAPA? Mata sendiri atau mata orang lain? Jelas, berjaya itu subjektif.
Macam-macam definisi berjaya. Semua orang akan berjaya, tetapi bukan dalam semua bidang yang diceburinya. Mungkin seseorang itu dilihat berjaya dari sudut akademik ataupun kareer, tetapi mungkin gagal dalam percintaan, perkahwinan atau membina institusi kekeluargaan. Ada orang bergelut untuk berjaya mendapat kerja yang stabil/kukuh, tapi mungkin berjaya meraih cinta sejati seterusnya berjaya membawa percintaan tersebut ke kemuncaknya.
Mungkin juga ada mereka yang berjaya dalam kedua-duanya, kareer dan keluarga, tetapi mungkin gagal dalam aspek kesihatan seperti menderita penyakit kronik dan sebagainya. Itulah ujian Allah untuk hamba-Nya. Sudah terang lagi bersuluh, di dalam Surah Al-Mulk, ayat kedua yang bermaksud "DIA yang menjadikan HIDUP dan MATI untuk menguji di kalangan kamu siapakah yang PALING BAGUS/ELOK amalannya"
Berbicara mengenai cabaran dan harapan. Ramai yang mengaku kalah awal-awal. Belum apa-apa lagi sudah kecundang! Apa maknanya ini? Begini, aku selaku bekas pelajar sekolah agama telah melalui pengalaman sebegini. Begitu juga sahabat-sahabat Ma'ahad yang turut mengalami peristiwa yang sama.
Mentang-mentang kami lepasan sekolah agama, maka harapan masyarakat ialah yang elok-elok saja. Yang baik-baik saja. Yang mengharumkan nama sekolah, bukan sebaliknya. Realitinya, bukan semua orang mampu menjadi yang terbaik, tetapi hanyalah sekadarnya (ore klate kata sekodar jah) malah lebih teruk lagi ada yang langsung tak mencerminkan lepasan budak sekolah agama.
Bukan salah institusi agama, bukan juga salah 'nama' sekolah yang terpaksa dibawa, tetapi kini tibalah masanya kita berdiri atas kaki sendiri. Bebas, tidak terikat dengan peraturan yang menjadi rutin harian suatu ketika dahulu. Ilmu di dada masih belum cukup tetapi sudah mampu menjadi bekalan apabila membawa diri keluar daripada kepompong 'peraturan sekolah'. Bebas daripada pantauan ibu bapa di rumah.
Inilah pesanan orang tua aku tiap kali mahu berangkat 'keluar dari rumah'. Ketika menuju ke sekolah, ketika menghala ke asrama, ketika melangkah kaki ke gerbang menara gading, ketika memasuki alam pekerjaan. Jaga diri, jaga maruah diri, jaga nama baik keluarga!
Setiap kali kita melakukan kesalahan, sejenak saja kita melakukan kemungkaran, sejurus saja kita melakukan kerosakan di muka bumi ini dengan tangan sendiri, kita bukan saja memalukan diri sendiri, TETAPI dalam masa yang sama, kita telah menjatuhkan nama baik keluarga apabila orang tanya "Hang anak siapa?". Kita juga memalukan guru-guru kita, dan mencemar dan mencalari imej baik sekolah apabila orang tanya "Ngaji mano? Oh.. sekoloh ma'ahad.. sekoloh arab, tapi tokleh harap"
Betapa besarnya menyahut cabaran! Cabaran untuk mengeheret sama 'nama orang sekeliling' kita ke mana saja kita berada. Ke mana saja hala tujunya.. tak kira di mana destinasinya. Apa maknanya? Definisi 'nama orang sekeliling' kita merupakan 'nama-nama' yang kita perlu jaga air muka mereka. Jangan sesekali menconteng arang ke muka sendiri, kelak 'nama' orang lain busuk sama umpama orang menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri.
Kita membawa harapan nama-nama orang sekeliling kita. Lebih berat lagi jika kita membawa nama-nama yang dianggap besar. Kau budak sekolah agama! Kau anak Tok Imam! Kau anak YB! Kau anak Tok Penghulu! Kau anak ketua kampung! Kau anak Doktor, pakar motivasi! Kau anak peguam yang disegani! Kau budak universiti! Kau budak UIA! Kau budak MCKK! Kau budak TKC! Kau anak... bla..bla..bla.. Jika diperhalusi ayat mereka, kita hanyalah 'anak' kecil yang masih belajar daripada kesilapan.
Segala asal-usul kita akan dikorek semahu-mahunya, dan perkara yang paling memalukan ialah apabila kita menjatuhkan maruah agama Islam! Pakai tudung, tetapi 'kantoi' bersekedudukan. Pakai kopiah, tetapi kena tangkap mencuri. Namanya Islam, selalu nampak solat jemaah, rupa-rupanya... Dulu belajar sekolah tahfiz,tetapi sekarang bukan sekadar tak pakai tudung, tapi tak cukup kain! Adakah ini salah agama Islam? Adakah ini salah orang tua kita? Adakah ini salah sekolah kita? Salah cikgu kita?
Manusia memang cepat menjatuhkan hukuman. Lekas benar mengadili orang dengan sebelah mata. Hakikatnya, Islam tak pernah salah kerana Islam itu indah. Islam itu nasihah. Yakni teguran.. bersifat mendidik. Islam itu bagus, baik, cuma penganutnya saja belum cukup bagus dan baik, kerana semulajadi manusia itu bukan sempurna.
Maka hal ini lah menyebabkan segelintir 'kawan-kawan yang kita suka', orang sekeliling kita, tak berani. Jadi pasif. Ramai yang rela menyepikan diri. Aku ambil contoh sahabat-sahabat Ma'ahadku. Kalau di Kelantan, sebut saja nama sekolah Ma'ahad (walaupun Ma'ahad ni perkataan Arab yang bermaksud sekolah! Sekolah sekolah! Haha), semua orang tahu sekolah yang terletak di Kota Bharu itu, semua orang kenal sekolah agama yang menghasilkan produk yang baik itu, semua orang mahu masukkan anak-anak mereka ke situ dengan 'harapan', semua orang meletakkan 'harapan' yang tinggi kepada sekolah Ma'ahad.
Umpama kilang.. yang menghasilkan produk yang gah! Namun tetap ada calar-balarnya, masih ada cacat-cela nya. Kami produk-produk Ma'ahad, ada yang menjadi 'toyyib'.. tetapi ada juga yang kurang menjadi. Tetapi ramai yang memilih untuk menjadi yang sedang-sedang saja, biasa biasa aja. Pendek kata, ramai yang menjadi daripada tak menjadi. Menjadi apa? Menjadi orang lah.. jadi manusia.. hidup dengan tenang, aman damai.
Walaupun sudah 10 tahun berlalu, namun masih ada sahabat-sahabat yang sepi. Tak mahu bercampur-gaul dah dengan budak-budak Ma'ahad. Tak mahu 'kecek Klate' sudah. Agas! Memang ada yang agas tetapi perlu diingatkan, ada juga yang malu. Malu nak mengaku budak sekolah agama. Sebabnya.. 'harapan', persepsi atau orang putih kata 'expectation'! "Sekarang aku dah lain. Tak macam dulu. Jauh berubah" Tak menjadi!
Kata mereka (segelintir), "aku mahu melupakan zaman Ma'ahad, dulu aku budak nakal, kena buang sekolah, lepas tu, kalau jumpa kawan-kawan, aku rimas dengan 'intebiu', suka soal macam-macam, aku sambung belajar kat mana, sekarang buat apa, kerja apa, perkembangan terkini, kenapa tak buat Fesbuk dll? Aku tak menjadi seperti semua orang harapkan"
Aku cuma nak bagi satu pandangan saja buat sahabat-sahabat aku yang berfikiran sebegini, apa jua yang berlaku, yang telah berlaku, kita tutup buku lama, sekarang kita buka lembaran baru, tak kira dah walau di mana saja kau berdiri sekarang, apa saja kau buat sekarang, kita telah cukup matang. Masing-masing dah besar..dah boleh fikir semasak-masaknya. Jadi tak jadi bukan lagi persoalannya.
Usah ditangisi masa silam, jangan takut menghadapi masa depan. Sebab kita hanya merancang, DAN ALLAH itu sebaik-baik perancang. Manusia berubah. People changed. Dulu kita tengok dia alim, tetapi kini 'zalim' kepada diri sendiri. Dah tak macam orang. Dulu nakal tahap gaban. loni warak tahap wali. Ada yang dari dulu sampai sekarang tak berubah-ubah. Fizikal mahupun Perangainya. Dulu kurus saja.. sekarang macam bapa orang sudah. Dulu 3G, sekarang dah slim macam Aizat.
Apa-apa pun inilah manisnya iman, indahnya hidup bersaudara, kita berkawan menjadi sahabat, bertemu dan berpisah kerana ALLAH! Bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah! Terus-terang cakap, zaman kita mula akil baligh menujadi dewasa, membesar bersama-sama selama 6 tahun, itulah zaman paling terbaik di bumi Ma'ahad mengajar aku erti hidup. Membuka mata seluas-luasnya, aku tak menyesal walaupun kena masuk Peralihan setahun!
Jadi tak jadi bukan soalnya. Apa yang penting ialah apa yang masih melekat di ingatan AKU ialah kenangan di Asrama MML contohnya. Setiap kali menjelang cuti sekolah, pihak AJK asrama akan membuat majlis Wida' pada malam terakhir di asrama sebelum masing-masing balik keesokan harinya. Semua orang buat halaqah(bulatan) di dalam masjid. Seterusnya berselawat, bersalam-salaman, bermaaf-maafan antara satu sama lain. Ada yang dah dekat satu semester tak bertegur sapa akhirnya keadaan pulih, kembali normal. Biduk berlalu, kiambang bertaut. Lebih manis lagi, lagu Doa Perpisahan menjadi iringan. Sangat nostalgik~ Banyak lagi peristiwa di Ma'ahad yang masih segar di ingatan aku selaku pelajar SPM batch 2002!
No comments:
Post a Comment