Hebahan

Tuesday, July 14, 2009

Cerita Pecah Bencana (PB) aka Prison Breaks...



Pasti di kalangan sahabat yang rapat dengan aku telah tahu...betapa "obses"nya aku dengan drama bersiri ini. Semalam episod terakhir telah disiarkan buat kesekian kalinya di 8tv. Walaupun aku dah tahu perjalanan akhir cerita ini, namun aku tetap menjadi penonton setia drama bersiri ini setiap hari Isnin jam 10.30 malam.

Mungkin salah satu sebabnya kerana sarikata Bahasa Melayu yang tertera di kaca TV. Walaupun cerita yang telah dimuat turun mempunyai "subtitle" Bahasa Inggeris...dan aku siap ada kamus di tangan lagi semata-mata nak faham betul-betul jalan cerita ini... kepuasan di tahap maksimum tetap dirasai walaupun diulang tayang berulang-ulang kali. Best drama-series ever~

Kenapa obses sangat ni?? Mungkin kerana penangan Season 1 nya yang membuatkan aku terus jatuh cinta dan melekat di depan PC setiap kali episod baru habis di"download". Di US tayang hari Isnin malam...Paling awal pagi Rabu dah boleh tengok..lengkap dengan subtitle Englishnya.

Sambil menyelam minum air ujarnya... Syok melayan cerita yang penuh dengan aksi saspen dan "thriller", dalam masa yang sama boleh meningkatkan kosa kata Inggeris. Siapa kata aku anti-BI?? Haha. Prison Break... drama wajib budak lelaki di U. Masuk saja kampus... budak lelaki mesti suka download cerita sebegini. Prison Break... Heroes.. Lost.. Smallville.. dan yang sewaktu dengannya.

Ketagih! Addicted! Entah berapa season cerita ini akan melalut. Sebab tu aku kata PB best drama-series ever. 4 musim cinta Michael Scofield-Sara Tancredi meruntun jiwa aku. Just nice. Ngam-ngam lah 4 musim. Tak panjang sangat & tak pendek sangat. Berbanding Smallville yang sudah 8 musim tak kesudahan lagi..

Oklah..tanpa membazirkan perkataan, aku nak ulas drama bersiri ini secara pandangan peribadi. Kalau yang tak pernah tengok drama ini.. aku cadangkan tengoklah dari Season 1. Kerana Season 1, aku merasa seolah-olah seperti suasana politik di Malaysia. Korupsi... Kambing hitam... konspirasi... dan begitu politikus!

Musim pertama, aku mengenali watak Scofield, seorang jurutera struktur yang sanggup merompak bank, jenayah berprofil tinggi... semata-mata mahu masuk ke Penjara Fox River. Kira penjara ini ada penjenayah besar dan berpengaruhlah. Orang yang pernah "hijack" kapal terbang... kepala gangster besar... termasuk abangnya, Lincon yang dituduh membunuh adik kepada Vice President.

Bagi Scofield, Lincon hanyalah kambing hitam. Scofield, selaku jurutera struktur telah mengkaji struktur dan selok-belok penjara Fox River, demi membawa keluar abangnya yang akan menjalani hukuman mati di kerusi elektrik sampai mati.


Dalam masa yang sama, bekas kekasih Lincon, Veronica merupakan peguam bela kepada Lincon. Semakin lama, dia menyiasat dan semakin mendapat bukti bahawa Lincon tidak bersalah di mana Terrence Stedtman adik VP yang dibunuh masih hidup! Lebih-lebih lagi isteri Lincon telah dibunuh, manakala anaknya LJ yang terlibat dengan dadah(kerana protes) menjadi buruan seterusnya. LJ melarikan diri daripada dibunuh oleh ejen FBI iaitu Danny dan Kellerman.


Di Fox River,Scofield, bertemu sahabat sejatinya, yang boleh dipercayai yang tinggal satu sel bersamanya, Fernando Sucre. Di sana juga, Scofield bertemu dengan pelbagai jenis manusia lagi dan akhirnya terpaksa bersekongkol dengan orang-orang seperti T-Bag, Abruzzi, Benjamin dan Haywire semata-mata menjaga rahsia dan memastikan rancangan untuk melarikan diri dari penjara berjaya.


Seorang lagi pemeran penting sudah tentu anak Gabenor Tancredi, Sara yang menjadi doktor di situ. Scofield yang telah memetakan plan penjara di tubuhnya melalui tattoo mendakwa dirinya mempunyai penyakit diabetis dan memerlukan suntikan insulin. Hakikatnya, bilik rawatan itu merupakan medan mereka melepaskan diri dari penjara.


Lebih-lebih lagi, warden penjara yang sangat menjengkelkan iaitu Bellick yang sememangnya bodoh-bodoh alang. Haha. Scofield bernasib baik kerana mendapat kepercayaan Ketua Penyelaras Penjara, Pope yang menganggap Scofield seperti anaknya sendiri.


Yang sedihnya, Scofield terpaksa "mengkhianati bapa"nya dan akhirnya 9 orang terlepas dari penjara. Dan Season 1 berakhir di mana kapal terbang yang disediakan oleh orang Abruzi, gengster mafia, telah terlepas. Dan mereka semua terpaksa menjadi pelarian.



Season 2 pula banyak bercerita mengenai 'teknikal' cerita ini. Kisah tattoo yang ada di segenap tubuh Scofield, duit yang di"hijack" DB Cooper, dan paling menarik sekali "bahasa UNIK" antara Sara dan Scofield. Sara ditahan polis untuk siasatan kerana sengaja tidak mengunci bilik doktor kerana Sara yakin Scofield tdak bersalah.

Ayahnya, Gabenor Tancredi akhirnya dibunuh, dan Sara juga diburu dan menjadi pelarian. Kesemua 9 orang banduan Fox River menjadi "
The most WANTED man in America" dan diburu oleh polis dan ejen FBI. Bellick warden yang dipecat jawatannya turut ingin membalas dendam. Akhirnya seorang demi seorang banduan mati dibunuh oleh Ejen FBI bernama Alex Mahone yang segenius Scofield.

Setiap plan, dan rancangan Scofeld samada melalui Tattoo atau Bahasa Uniknya bersama Sara dapat dihidu klu dan jawapannya. Scofield melarikan diri ke Panama bersama Sara, manakala abangnya Lincon berjaya menemui anaknya LJ yang sekian lama menjadi pelarian turut ke Panama. Vice presiden USA yang baru akhirnya berjaya dijejaki, dan adiknya yang "dibunuh" berjaya dijumpai oleh Veronica.


Tetapi sayangnya, awal-awal episod Season 2 lagi watak Veronica dimatikan. Dan aku merasakn kemuncak cerita ini apabila Terrence Stedtman yang "dibunuh" Lincon akhirnya mati. Dan plot cerita mula berubah. Di sini
twisternya. Cerita mula berkisah kepada Ejen FBI dan "company" yang mendalangi setiap kejadian yang dirancang dengan teliti.

Berbalik kepada cerita Musim kedua, akhirnya, Bellick yang turut mengejar mereka ditangkap polis Panama. Begitu juga seorang lagi banduan yang menjengkelkan iaitu T-Bag,yang sangat psiko. Sara telah menembak mati Ejen FBI, bernama Kim. Tetapi Scofield pula mengaku membunuh Kim bagi memastikan Sara tidak dipenjarakan.


Scofield dimasukkan ke Sona, sebuah penjara dahsyat di Panama. Dan di situ, Alex yang menghadapi masalah ketagihan dadah juga dimasukkan ke Sona. Kellerman yang memburu nyawa Sara, akhirnya mengaku bersalah dan terlibat dengan konspirasi pembunuhan adik Vice President USA, dan Lincon bebas akhirnya,maka Season 2 berakhir.



Season 3 bermula. Mengenai kisah penjara bernama Sona di Panama, penjara paling ngeri katanya.. kerana tiada guard yang mengawal suasana di dalam. Hanya di luar pagar. Orang kata Musim ni tak ada pun takpe. Kan?? Saja nak panjangkan cerita.. Saja nak buat giliran Lincon pula menyelamatkan Scofield. Aku setuju. Agak buang masa juga Musim 3 ini. Episod yang paling pendek 13 episod saja. Dengar-dengar drama bersiri lain seperti Heroes juga lebih kurang 11,12,13 episod juga. Sebabnya penulis skrip di US memboikot sebab apa entah. Wah, hebat juga "politik" orang seni di sana.

Satu lagi aku kureng dengan Season 3 sebab watak Sara "dimatikan". Walhal, Sara tu mengandung dan melahirkan anak di dunia realitinya. Tapi minat punya hal...layanlah juga. Sebab ada watak baru. Lechero yang konon berkuasa macam Bellick di Fox River dulu. Dan watak misteri... James Whistler.. yang bijak setanding Scofield dan Mahone. Sayang sekali, watak Whistler tak dikembangkan. Dan buat semak saja watak Sophia, kekasih Whistler di luar
penjara Sona. Alaa.. dah agak dah dia akan jadi heroin Lincon.

Satu lagi watak yang menjengkelkan ialah Susan B aka Gretchen. Sangat memualkan. Cuma yang menarik pasal musim 3 ni dia ada banyak plan macam mana nak lari dari Sona. Guna helikopterlah. Bangunan menaralah.. Dan sisi kebijakan Lincon juga menyerlah di sini. Paling mendebarkan ketika Lincon bawa bas nak matikan elektrik satu penjara Panama.


Dan sudah tentu...kesetiaan Sucre selaku sahabat sejati Scofield terserlah. Sanggup berkorban apa saja, sehingga hampir meragut nyawanya. Nah..akhirnya berjaya juga mereka berempat keluar dari Sona. Dan musim 3 berakhir di mana Scofield tertanya-tanya adakah Sara sudah mati. Dan Scofield nak balas dendam.



Inilah cerita... namanya. Yang dah mati... yang dah kena sembelih kepala..rupa-rupanya kepala orang lain. Sara kembali ke musim terakhir musim keempat. Dan aku suka... Akhirnya..mereka berdua bersatu akhirnya. Dan musim keempat ini lebih menekankan kisah "company" yang selama ini menghantui keluarga mereka. Macam cerita Ocean 11, 12, 13 pun ada.

Ya! Keluarga mereka. Ayah mereka...dan tiba-tiba muncul...emak mereka, Christina Rose yang sekian lama menghilangkan diri muncul ke dalam hidup mereka. Musim keempat bermula di mana kesmua watak utama ditangkap dan akan dimasukkan ke penjara. Tetapi, mereka telah "dilarikan" oleh seorang lagi Ejen FBI, Ejen Self yang bertekad mahu menjatuhkan "
the company" yang dikepalai kepala botak, General Krantz, yang memiliki perempuan simpanan, Gretchen.

Manakala kisah di Sona, Bellick, T-Bag dan Sucre yang terpenjara di sana tiba-tiba bebas pulak. Ini yang kelakar sebenarnya. Haha. Banduan bakar penjara. Kalau macam ni Musim ketiga tu buang masa je kan?? Sudahlah watak James Whistler awal-awal lagi dah kena tembak dengan Wyatt. Wyatt menjayakan watak seorang lagi ejen FBI dengan berkesan sekali. Sayangnya watak itu tak kekal lama. Aku paling tak puas hati watak LJ ada episod 1 je.


Jadi mengikut turutan,season paling best sudah tentu Season 1 diikuti 4, 2 dan 3.

Kesimpulannya...mengenai watak-watak terbabit. Berikut watak-watak yang membuatkan aku melekat di depan PC setiap kali habis download episod baru. Pertama, sudah tentu aku mahu bijak seperti Scofield. Tapi aku tak nak hidup seperti dia. Ada ibu yang tak layak dipanggil ibu. Walaupun Scofield berkorban untuk orang yang tersayang, banyak lagi benda yang terpaksa dikorbankan. Gara-gara menjadi pelarian.. Scofield terpaksa mencuri... memeras ugut d.s.b. Tak best.

Lincon pula walaupun jiwanya keras..hatinya kering... tetapi dia tetap mahu mempertahankan anaknya, LJ yang pada mulanya memprotes dek keliru dengan imej ayahnya. Begitu persepsi sekali. Lincon yang bertuah ada adik seperti Scofield hatta sikap mereka berdua bagai langit & bumi. Sewaktu Season 1... Lincon nampak pasrah.. tetapi setelah berjaya keluar penjara... warna sebenar keganasannya memang dahsyat.

Fernando Sucre dan Alex Mahone... orang yang paling Scofield harapkan. Sucre memang teman sejati sejak awal lagi. Manakala watak Mahone sangat dinamik. Bermula sebagai musuh, tetapi akhirnya kedua-dua otak mereka yang genius itu berjaya menghasilkan sesuatu yang sangat impak. Tatkala Scofield buntu...Mahone ada jalan keluarnya. Macam Goku dan Bezita sangat kan?


Sara Tancredi...pada awalnya sangsi akan Scofield yang berada di pihak yang benar. Namun setelah insiden Sara membiarkan pintu itu tidak berkunci, segala peristiwa yang berlaku selanjutnya membuktikan apa yang dibuat oleh Sara itu benar-benar berbaloi~

Dan akhir sekali...Brad Bellick! Haha. Pada mulanya aku memandang enteng watak ini. Begitu meluat dan menyampah. Namun aku mula memandang watak ini ketika di Sona iaitu Musim Ke-3. Kesian.. Geram.. Menyampah.. macam-macam ada. Karaktornya yang seperti lalang kerana itulah pendiriannya. Tetapi pengorbanannya berbaloi ketika Season 4. Aku rasa sebak juga watak dia mati...walaupun...dia bukan hero yang layak diangkat.

Demikian serba sedikit mengenai cerita Pecah Penjara. Takkan habis kalau nak cerita dan hurai satu per satu. Yang pasti..aku tetap enjoy menonton kembali cerita ini non-stop.. dari Musim pertama hingga ke episod akhir The Final Break!

Monday, July 13, 2009

Cerita Muka buku aka Facebook...


Entri kali ni sesuai buat mereka yang ada akaun Facebook sahaja. Facebook?? Apa itu?? Alaa.. Tak payahlah nak ketinggalan zaman sangat kan? Blog reti nak baca..takkan Facebook pun tak tahu. Rangkaian sosial. Pasal network. Friendster.. Myspace.. Tagged.. Hi5... Flixster.. Facebook... sama saja. Yg paling update sudah tentu Twitter. Tapi aku takde akaun Twitter pun... buat masa ni.

Tengoklah..sedikit masa lagi...kalau ramai sangat kawan-kawan yang menginvite. Facebook kira up-to-date lah juga. Zaman Friendster tu...masa belajar bolehlah. Myspace?? Remaja lagi bolehlah...yang minat muzik segala.. Facebook kira seimbanglah. Semua peringkat umur tak kira kau siapa boleh ada akaun Facebook. Orang politik ada... Orang sukan ada... Penyanyi-penyanya pun ada.. Pelakon iklan ada. Model sabun basuh cap ayam ada... Tukang masak ada dan ramai lagi yang dah ada Facebook.

Jadi, berbalik kepada tajuk entri kita pada kali ini. Kalau ada akaun Facebook, tak guna kalau tak add aku sebagai kawan. Haha. Sebab link-link yang akan aku berikan nanti. Ada kaitan dengan Facebook. Jadi aku nak ceritakan sikit salasilah bagaimana aku berfacebook dan akhirnya...aku berblog.
Aku melahirkan muka buku aku tahun lepas. Julai 2008. Kira dah genap sathunlah ada akaun FB. Senarai kawanan di FB dah lebih 1000 orang. Haha. Macam-macam jenis kawan ada. 1/3 kenal...1/3 tak kenal... 1/3 orang terkenal. Dulu, masa aku mula-mula main FB, semua sibuk main game. Mafia game..Fish game...dll. Pastu sibuk nak berchatting di FB. Tak lama kemudian...menggila nak jawab quiz segala bagai aneka juadah...

Quiz kelakar...quiz pasal diri sendiri...dll. Nak tahu lagi kenapa aku ada akaun Facebook?? Klik sini. Kan aku dah kata...kalau takde akaun FB dan tiada nama aku dalam senarai kawan, tak guna punya klik link itu. Bermula dari "melalak" di notes...maka bercambahlah hasil tulisan aku sehingga wujudnya blog ini hasil galakan mereka.

Semenjak kegilaan menjawab Quiz-quiz melanda "Facebooker"..maka tercetuslah pula soalan quiz syok sendiri. Sebelum meneruskan pembacaan...anda digalakkan klik sini bagi menjawab soalan "How well do you know Mustakim Bahrudin?" kerana perenggan seterusnya merupakan jawapan skema kepada soalan-soalan itu. Kasi saspen la sikit...apa dan mengapa aku begitu..

Sehingga saat ini...hanya seorang yang dapat A iaitu kosmet aku, gadis Sarawak bernama Jane. Seterusnya, adalah juga yang dapat B iaitu Cik Ros, Kak Aida & of coz my x-roommate. Bagi mereka yang dapat lagi rendah daripada itu, ataupun ada yang gagal, itu tak bermakna mereka tak mengenali aku sepenuhnya, kerana mungkin ada jawapan yang mereka teka logik juga, masuk akal dan ada juga kebenarannya.

Jom kita tengok...skema jawapannya.

Soalan pertama,di mana aku lahir? Ni siapa yang jawab KL atau Seremban, maknanya mereka tak tahu langsung bahawa ada darah Kelantan mengalir dalam tubuh ini. Yang jawab atas bumi.. atas katil...betul juga...tapi kurang tepatlah.

Soalan kedua,permainan kegemaran masa kecil dulu ialah sep tiang. Sebenarnya semua permainan tu aku main. Tapi, permainan yang aku mula-mula sekali main waktu rehat masa darjah 1 ialah sep tiang. Best...sebab rasa tiang tu jauh sangat. Tapi bila dah makin besar...rasa pendek je jarak tiang-tiang itu. Dan game yang aku paling menyampah...PEPSI-COLA...sebab habis kotor kasut sekolah aku yang putih.

Soalan ketiga, senyuman. Itu trade-mark aku. Senyuman yang tajam-menikam. Budak ofis aku cakap macam tu. Ya..memang betul, muka aku bulat. Tapi yang penting...ada yang kata muka aku bukan bulat...tapi bentuk LOVE! Haha

Soalan keempat,warna yang sesuai dengan aku. Aku sebenarnya suka warna hijau. Sebabnya aku rabun. Orang kata, warna hijau contohnya kita tengok padang yang hijau boleh ubat rabun itu. Tetapi wrna yang sesuai atau "suitable" dengan aku di mata aku dan mata orang lain...warna coklat cair memang ngam juga lah..

Soalan kelima..kali pertama jatuh cinta? Cinta monyet..cinta pertama masa sekolah rendah..haha. Tapi bila dah dewasa..akhil baligh...betul-betul kali pertama jatuh cinta sewaktu aku di Matrikulasi. Haha. Sebab masa sekolah menengah akusekolah satu jantina.. Payah nak jumpa yang lain jantina..Ops=P

Soalan keenam, PANDA? HITAM PUTIH KEHIDUPAN?? Blog.. degree.. kareer... kekasih.. semuanya ada sentimental value, tapi ada sebabnya kenapa Panda jawapan mutlak dan lebih tepat. Nak tahu kenapa Panda?? Klik sini...

Soalan ketujuh, lagu rock kapak. Karaoke? Taklah selalu..tapi banyak kali juga. Dengan kawan-kawan. Dengan adik-beradik. Hakikatnya..memang aku layan lagu nasyid. Tapi dah selalu nyanyi nasyid on stage. Lagu terkini pun best...tapi mana ada stok yang baru untuk karaoke. Maka, lagu rock kapak pilihan yang tepat kerana membesar dengan lagu-lagu itu. Ukays, Slam, Umbrella, Samudera, Hattan.. Newboyz?? Teet! Apa barang..~ haha

Soalan kelapan, senyum miang. Kan senyuman aku tajam menikam? Aku bukan ramah...tapi cepat mesra dengan orang. Kalau orang tak mahu mulakan perbualan..aku akur juga akhirnya untuk memecahkan ais batu. Tapi, aku memang mengambil masa untuk rasa selesa dengan orang sekeliling dan mengikut suasana dan peredaran majlis.

Wednesday, July 8, 2009

Cerita Jalan-jalan...Min aina ilaa aina? - Episod 1

Semua orang mesti ada cerita. Cerita boleh direka-reka. Tetapi pengalaman itu yang begitu berharga. Mengalami... dan merasai sendiri tak sama nikmatnya dengan sekadar mendengar cerita orang lain ataupun hanya sekadar melihat rakaman kisah hidup orang lain. Tak kiralah samada gambar ataupun video yang kita tonton. Itu hanya melihat melalui mata orang lain.

Benar~ Kadang-kadang kita perlu melihat dengan mata orang lain, mendengar melalui telinga orang lain. Tetapi kita juga tak dapat nafikan...betapa pentingnya melihat dengan mata kepala sendiri. Betapa syoknya mendengar sendiri dengan telinga sendiri akan keriuhan ataupun kesunyian itu. Betapa nikmatnya hidung ini dapat menghirup udara dan roh tempat terbabit.

Kaki melangkah. Menjejakkan kaki menjadi saksi. Menghayun langkah ke destinasi yang singgah di hati. Itulah kesudahannya. Segalanya berbalik kepada hati. Andai hati tenteram, jiwa seronok dan berbunga-bunga menyanyikan lagu indah, itulah dia "nikmat" yang tidak terhingga.

Jalan-jalan. Mat Salih kata "Outing". Ore Klate sebut "tubik berderat". Min aina ila aina? Dari mana nak ke mana? Sebagai orang Islam.. jawapan "standard"nya sudah tentu dari dunia menuju ke akhirat. Jawapan wajibnya...dari hidup menuju mati.

Tetapi selaku manusia...sifat yang harus ada pada setiap manusia ialah menjalani kehidupan ini dengan seberapa banyak pilihan yang ada. kemudian kita berada di persimpangan, dan harus buat pilihan. Sebagai contoh, tempat mana yang kita mahu tuju, segalanya bergantung kepada jawapan-jawapan hasil soalan-soalan berikut;

Nak ke mana? Buat apa di sana? Dengan siapa? Berapa duit yang perlu disediakan? Nak bawa apa? Nanti nak tinggal di mana? Berapa lama nak tinggal di sana? Nak ke sana dengan apa? Naik apa? Kalau ada kenderaan, contohnya kereta, siapa yang akan pandu? Nanti nak ikut jalan mana? Nak singgah mana-mana tak sebelum atau selepas ke sana? Dan macam-macam lagi soalan demi soalan yang akan muncul.

Kita sendiri yang akan buat pilihan...dan soalan akhir sekali... "Nak ikut ke tidak?". Ya atau tidak.
Bila ada masa lapang, ada orang hobinya jalan-jalan. Jalan-jalan cari makan. Jalan-jalan cari pasal.Jalan-jalan suka-suka saja memenuhi masa lapang. Jalan-jalan beli barang. Dan ada juga yang tak suka jalan-jalan. Buang masa ujarnya... Takde duit katanya...

Seperti aku jelaskan tadi, semuanya berbalik kepada kita. Ada orang tu mula-mula tak nak ikut jalan-jalan dengan kawan-kawan. Tetapi, bila dia tahu, "orang yang dia suka" ikut sama...terus dia suka-suka nak ikut jalan-jalan walaupun....poketnya kosong.

Ada yang seronok jalan-jalan dengan kawan-kawan. Ada juga yang seronok jalan-jalan dengan yang tersayang. Macam dunia tu 2 orang saja yang hidup. Dan tak dinafikan seronok juga jalan-jalan dengan keluarga. Jalan-jalan dengan ibu bapa. Semuanya ada kisah yang tersendiri.

Begitu juga aku. Aku mahu bercerita kisah jalan-jalan aku. Aku suka juga jalan-jalan seorang-seorang. Ya..Seorang diri! Ada orang kisah?? Haha. Kadang-kadang memang tak seronok keluar seorang diri. Tengok wayang seorang diri. Tapi..bila fikir-fikir balik..okay apa? Ada privasi. Kita tak terikat dengan orang lain. Tak payah nak tunggu kawan ni make-up berjam-jam. Sahabat ni pulak baru nak mandi dan berak dll. Suka hati kita nak ubah plan nak jalan-jalan kat mana. Elok-elok aku memandu nak ke One Utama,dah bayar tol segala boleh patah balik menuju ke The Mines.

Tak ada orang marah pun. Sampai saja di Mines, terjumpa kawan lama. Terus "join the club". Menarik juga kita buat benda yang tidak dirancang sama sekali. Ikut saja..follow the flow.. Mula-mula main boling. Lepas tu "melalak" berkaraoke. Minum-minum pekena teh, tengok wayang...balik rumah! Seronok juga macam ni.

Ni tak! Kadang-kadang perancangan bukan main lagi. Nak ajak orang tu..orang ni...nak book tempat tu, nak order makanan ni..tetapi akhirnya...ad0! Ingat lagi masa di UPM, konon nak berkonvoi ramai-ramai sebelum habis degree tetapi bila saat-saat akhir, tak cukup korum la pulak. Last minute terpaksa kensel semua program baik punya. Ada satu malam, kepala mamat ni sebut nak makan sate kajang, kawan ni nak ikut,lepas tu yang lain pun nak ikut. Aik?? Meriah pulak rasanya.

Kenapa aku suka jalan-jalan sorang-sorang? Berjalan.. melihat.. memerhati.. mentafsir... Baru-baru ni, aku ke OU nak ambil henset yang telah siap dibaiki. Alaaa...memang motif aku nak repair henset jauh-jauh. Sambil menyelam minum air ujarku~. Aku boleh luangkanmasa sepanjang hari kalau aku nak, dan aku boleh terus balik selepas dapat henset balik kalau aku hendak.Dah alang-alang pandu jauh-jauh takkan nak terus balik kan??

Maka aku mula memerhatikan gelagat manusia. Bukan me"wusha" awek semata-mata. Kah..kah..=P. Aku duduk, betul-betul di hadapan sebuah restoran. Aku amat-amati restoran itu. Wah...ada francais di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Taiwan, Kanada dll. Cuma satu saja yang membeliakkan mata aku. NON-HALAL! Walaupun.. tulisannya kecil.. sayup-sayup mata memandang.

Aku tengok senarai menu yang sememangnya terpampang di depan kedai tu. Nasi goreng.. Tom Yam... Nisbahnya dalam 10 item yang ada, cuma 1 saja yang tak halal. Walaupun tiada perkataan pork ataupun bak-kut-teh ataupun yang senama dengannya, aku yakin...satu item tu yang tak halal dan menyebabkan 9 lagi makanan yang lain turut menjadi tak halal. Nasib baik 'restoran' ini telus, menyatakan ada makanan haram walaupun hanya sekadar satu hidangan. Bagaimana pula dengan restoran ataupun tempat makan yang lain??

Pelanggan di restoran itu?? Tiada pun yang Muslim yang singgah. Pekerja-pekerjanya?? Aku tengok tak ada yang pakai tudung. Cuma aku konfius sikit dengan seorang mamat ni. Muka sangat Melayu..dan bercakap slanga Indonesia ataupun loghat Sabah sana. Setelah diamati...baru terperasan...ada tattoo di lengannya. Kenapa 2 soalan ini aku bangkitkan??

Pertama..pelanggan yang makan di situ. Kedua, orang yang kerja di situ. Walaupun di negara ini ada logo halal, tetapi orang akan kembali kepada asasnya. Back to basic. Macam mana nak tentukan kita boleh makan di situ atau tidak. Orang kita memang macam tu. Tengok ada yang pakai tudung tengah makan. Bolehlah. Tengok ada pekerja yang pakai tudung...maka kira halal~ Begitukah kaedahnya??

Jangan ambil mudah hal ini. Makanan akan jadi darah daging kita. Mungkin sebab ada unsur-unsur haram yang meresap dan sebati dengan tubuh kita..tanpa kita sedari menyebabkan hati kita keras. Gelap dan keras, serta sukar dilentur dan dilembutkan kembali.

Pernah dengar tak...ada cerita seorang tukang masak kari...masukkan tulang babi ke dalam periuk untuk dimasak bersama dengan daging-daging yang lain? Ada sosej yang kulit luarnya yang membalut sosej itu ada unsur babi. Kefahaman tukang masak itu hanyalah orang Islam haram memakan 'daging' babi. Tetapi unsur-unsurnya yang lain seperti lemak...usus...dll dianggap boleh.

Macam mana pulak dengan kedai mamak ataupun "Mapley". Yakinkah kita akan tukang masak itu..walaupun ada tulisan dan ayat-ayat al-quran bergantungan di dalam kedai. Ada cerita...mengatakan tukang masaknya orangIndia. Orang India?? Oh...orang India dari negara India rupanya.

Isu halal-haram ini begitu sensitif. Bersyukurlah kita di Malaysia berbanding negara-negara seperti Thailand,Filipina, Kemboja, Taiwan, Hong Kong yang payah nak cari makanan halal. Kalau adapun, mesti mahal harganya.Kalau tak kuat iman...goyah...runtuh..habis!

Ada seorang kenalan bercerita. Kawannya bercuti di salah satu negara yang tersebut di atas. Dalam 2 minggu kot. Bawa stok maggi banyak-banyak. Boleh tahan ujarnya~ Apa?? Masuk hari ketiga dan keempat..sudah tak larat. Sudah lidah orang Malaysia. Dia kata..tak ada pilihan. Dia kata dia makan babi! Hah?? Bukan daging babi. Dia makan ayam je. Tapi kedai tu ada jual babi golek ke apa entah. Haiyo~

Status halal itu yang harus diperhalusi dan dijelaskan. Bukan sekadar daging babi dan arak yang haram. Sembelihannyajuga harus diambil kira. Bagaimana ia dimasak? Dihidang dan dibawa? Ada juga makanan yang halal, tetapi wang yang digunakan itu sumbernya haram. Contohnya, duit rasuah ataupun duit memperdagangkan tubuh... diberi hasil pendapatan itu kepada kaum keluarga dan sanak saudara. Itu juga haram~

Yang halal itu jelas. Yang haram juga jelas. Cuma kita yang tak boleh fikir secara waras. Selalu bersikap culas.
Acuh tak acuh. Endah tak endah. Dan antara halal dan haram iaitu perkara-perkara syubhah juga banyak. Jalan terbaiknya ialah tinggalkan saja perkara syubhah itu.

Rasanya..episod 1 cukup sampai di sini. Setelah penat jalan-jalan, ramai yang suka menjamu selera setelah seharian berjalan di jalanan. Sebab itu aku bercerita mengenai jalan-jalan singgah makan. Episod ke-2 nanti aku mahu sambung lagi kisah jalan-jalan ini. Kali ini, tak mainlah jalan-jalan seorang diri. Sorang-sorang takde dah..sebab aku mahu jalan-jalan dengan orang tersayang. Ops!Siapa dia??? Teet!

Sunday, July 5, 2009

Cerita MJ : 'Legenda' dan Islam ~

Kita dikejutkan dengan kematian Raja Pop, Michael Jackson(MJ). Semua orang macam terkejut. Semua orang dapat merasakan kehilangannya. Tiada lagi teka-teki lawak jenaka <"Siapa dia masa kecik dulu dia hitam, bila besar dia jadi putih">. Tiada lagi tarian trademark "moonwalk" beliau yang menjadi kegilaan suatu ketika dulu.

Yang tak berapa nak kenal MJ, baru terhegeh-hegeh nak dengar balik lagu-lagu MJ. Siap hafal lirik dan tarian lagi. Minggu lepas, tukang tulis berjalan-jalan ke OU, untuk mengambil telefon bimbit yang sudah siap dibaiki (akhirnya...setelah 2 minggu henfonku masuk wad). Secara kebetulan di OU masa tu ada konsert "tribute to MJ".

Bila pusing-pusing satu OU, setiap kali lalu di depan TV, atau lebih tepat lagi, kedai muzik yang jual DVD, album dan sebagainya, masing-masing sibuk nak tayang video klip ataupun rakaman konsert MJ yang agak thriller. Satu kesimpulan aku dapat, harimau yang mati meninggalkan belang, manusia pula mati meninggalkan nama. Tak kira...nama kau kecil atau besar. Nama kau gah atau rebah ataupun orang tak kisah.

Janji..selepas kau tiada, ada perkara atau benda pasal kau orang akan ingat. Orang akan kenang. Begitu juga halnya dengan MJ. Aku tak mahu cerita pasal kisah hidup beliau seperti pembedahan plastik itu... album Thriller yang laku itu, kisah perkahwinan beliau yang mendapat 3 cahaya mata, kisah skandal bersama "kanak-kanak", kontroversi hayun anak di balkoni hotel dan sebagainya. Cerita tu semua orang boleh korek sendiri. Google sendiri. Sebab di sebalik kontroversi-kontroversi itu, ada yang terlupa bahawa MJ juga banyak membantu mereka yang memerlukan seperti kanak-kanak dll. Justeru..beliau memang layak diangkat sebagai "Legenda".

Legenda?? Menurut Kamus Dewan, ada 2 maksud Legenda. 1. Cerita dongeng yang bersangkutan dengan kisah-kisah yang bersejarah; 2. petunjuk atau kata-kata keterangan tentang sesuatu (seperti peta, carta, ilustrasi, dll). Maka.. bolehlah diklasifikasikan sebagai "Legenda" sebagaimana Tan Sri Dr. P.Ramlee ~

Cuma aku tertarik dengan satu artikel yang aku baca di sini. Persoalan mengenai keislaman MJ. Benarkah dia telah memeluk Islam dengan nama Islamnya Mikaeel. Yalah, di facebook ada kawan-kawan yang menyedekahkan Al-Fatihah kepada beliau. Persoalannya, benarkah beliau mati di dalam islam?? Kerana ada ura-ura di sini mengatakan pula mayat beliau akan diawet. Akasnya, ada yang mengatakan mayat beliau dimasukkan ke dalam keranda dan ditutup dengan kain putih dan akan dikebumikan selaku orang Islam menurut sumber yang agak mutakhir ini. Yakni pada hari Selasa ini(7 Julai 2009). Kalau benar beliau mati sebagai Islam, bayangkan betapa terseksanya beliau kerana mayat beliau ditangguhkan perkebumiannya.. Kan??

Nah! Baca saja artikel tulisan Siti Aniza Kamsari ini.

SEHINGGA rencana ini ditulis, sukar untuk kita perkatakan mengenai apa kesudahan urusan jenazah Raja Pop Dunia, Michael Jackson yang meninggal dunia baru-baru ini.

Ia berikutan artis pujaan jutaan peminat di seluruh dunia itu dikatakan telah memeluk Islam pada 20 November 2008 dengan panggilan nama yang baru iaitu Mikaeel.

Begitu pun menerusi sebuah laman blog, penulisnya Daniel Pipes berkata adalah tidak menghairankan jika Raja Pop itu memeluk Islam. Ia sebagaimana yang banyak berlaku kepada penduduk kulit hitam (African American) di Amerika lain yang akan memeluk Islam semata-mata bagi mengembalikan reputasi diri yang selama ini telah hilang atau rosak akibat perbuatan mereka sendiri.

"Jika benar Jackson turut memeluk Islam maka dia juga sebagai Afro American lain menyertai Nation of Islam (Islam) kerana agama itu menawarkan kepada mereka ketenangan dan bantuan.

"Fenomena ini lazimnya berlaku ketika mereka menjalani hukuman di penjara apabila begitu ramai kaum kulit hitam ini sejak lewat 1940-an telah menukarkan agama mereka kepada Islam," katanya.

Menurut Pipes, kini tidak sahaja yang sedang menjalani hukuman penjara, kalangan kulit hitam memeluk Islam juga akibat mengalami konflik dan krisis dalam hidup mereka.

Antaranya seperti:

1) Tawana Brawley memeluk Islam selepas dakwaan beliau dirogol oleh sekumpulan lelaki kulit putih yang mendapat liputan meluas negara dan didapati beliau sebenarnya menipu terhadap dakwaan itu.

2) Mike Tyson juara tinju Heavyweight yang memeluk Islam ketika dipenjara setelah didapati bersalah melakukan jenayah rogol.

3) Benjamin Chavis memeluk Islam setelah diusir dari sebuah pertubuhan National Association for the Advancement of Colored People.

4) Kenny Gamble seorang penerbit Muzik yang mengalami kejatuhan dalam hidupnya akibat menghadapi tuduhan dalam Siasatan Payola pada tahun 1975.

Apa yang cuba diberitahu oleh Pipes bahawa Jackson memeluk Islam semata-mata kerana menghadapi konflik yang teruk dalam hidupnya.

Iaitu sebagaimana individu kulit hitam yang lain memeluk Islam semata-mata sebagai satu pelarian 'sementara', bukannya kerana keikhlasan atau minat yang mendalam untuk memeluk Islam.

Walau apapun kritikan Pipes dalam usaha beliau untuk memperlekehkan pengislaman seseorang itu, beliau tidak menyedari betapa dunia semakin menuju dan mencari ke arah Islam.

Sekalipun seseorang itu telah mempunyai keimanan yang kental dan kukuh lebih-lebih lagi jika dia beragama Yahudi.

Agama yang kononnya untuk bangsa terpilih sahaja kerana mereka mendabik dada sebagai umat pilihan tuhan. Namun apabila kebenaran telah datang, maka pengislaman tidak dapat disekat-sekat lagi.

Begitulah yang terjadi kepada seorang pendita atau Rabbi Yahudi terkenal di Turki, Aaron Cohen, 46, yang akhirnya memeluk Islam. Peristiwa itu dikatakan berlaku pada Oktober 2008 di mana beliau lafazkan kalimah syahadah di hadapan Mufti Syaikh Bey Oglu di Istanbul.

Akhbar harian Turki yang berbahasa Arab, Akhbaralaalam hanya dapat melaporkan sebulan selepas pengislaman bekas pendita itu apabila Cohen sendiri akhirnya secara terbuka mengaku telah memeluk Islam.

"Saya sangat menghormati ketiga-tiga agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Hormat saya bermakna kerana agama itu sama sekali bukan rekaan manusia, tetapi agama Maha Pencipta Allah dan Islam itu adalah agama yang menyempurnakan kesemua agama-agama itu.

"Segala kebenaran dan ketepatan dari ajaran Yahudi dan Nasrani itu ada terkandung semuanya di dalam al-Quran.

"Ini membuatkan saya tidak perlu terasa saya seperti memeluk agama yang baru tetapi saya hanya menyempurnakan apa yang selama ini saya iktikad dan percaya mengenai soal ketuhanan, kenabian dan lain-lain aspek pengajaran dan ajaran dalam agama Yahudi," katanya.

Menurutnya, ajaran dan syariat agama Islam benar-benar menepati, melengkapi dan menyempurnakan syariat agama-agama Samawi sebelumnya.

"Dalam kitab suci al-Quran itu sendiri misalnya, sesungguhnya telah terkumpul ajaran-ajaran mulia agama-agama sebelumnya. Malah melalui al-Quran itu segala apa yang selama ini diselewengkan dalam kitab Taurat dan Injil diperbetulkan tanpa sebarang prejudis," kata Cohen.

Selama ini iaitu hampir 20 tahun lamanya Cohen tidak sekadar menjadi pendita yang mempertahan dan memastikan ajaran Yahudi itu kukuh dalam pegangan penduduk Yahudi di Turki.

Namun, selama beliau berada di Sinagog, rumah ibadat Yahudi di Istanbul beliau sebenarnya mengkaji secara mendalam antara akidah dan syariah agama Yahudi, Kristian dan Islam.

"Kesempatan berada di Sinagog itu memberi saya satu peluang yang sangat baik untuk mendalami ketiga-tiga agama ini. Walaupun ia menimbulkan konflik yang sangat besar pada diri saya tetapi 20 tahun sudah menjadi satu tempoh yang cukup untuk saya menemui kebenaran dan kini saya berasa seolah-olah seperti wira yang berjaya di medan tempur," jelas beliau.

Cohen akhirnya memutuskan untuk menerima Islam kerana beliau dan keluarga ingin mendapatkan kebahagiaan hidup yang sejati lagi murni.

Malah beliau juga berjaya mengajak isteri, Filori dan anak mereka untuk turut sama memeluk Islam.

Tindakannya memeluk Islam pastinya mengundang kecaman dan kemarahan oleh pelbagai pihak. Lebih-lebih lagi dari pihak Sinagog dan komuniti Yahudi yang ada di Turki itu.

"Saya banyak menerima kritikan dan kecaman dari saudara-saudara Yahudi saya tetapi saya tabah dan tidak begitu ambil peduli akan apa juga reaksi dari mereka kerana apa yang jauh lebih penting saya kini menikmati kedamaian dalam hati," katanya.

Bagi menambahkan lagi kedamaian di hatinya, Cohen menjalankan tanggungjawab yang paling murni iaitu mendekati dan membantu golongan yang miskin dan malang atau lebih tepat yang kebuluran.

Beliau sering ke negara-negara malang tersebut sebagai usaha meringankan penderitaan dan mengambil berat dan mencurahkan kasih yang tidak berbelah bahagi walaupun mereka berbeza warna dan kulit.

Beliau benar-benar bertindak seperti seorang duta dan sangat bersyukur kerana Islam menjadikan beliau semakin prihatin, bertimbang rasa dan mengasihi sesama insan.

Secara ringkas, negara Turki tercatat sebagai negara Muslim yang memiliki sejarah gemilang yang berkait rapat dengan umat Yahudi. Iaitu sebuah umat yang diterima masuk dan kebanyakan mereka menetap di Istanbul dan Armenia (bersempadan dengan Iran) setelah mengalami pengusiran di Sepanyol dan Portugal terutama pada abad ke 16 Masihi.

Mereka diterima masuk ke Turki setelah negara-negara Eropah yang lain enggan menerima mereka dan atas dasar sikap terbuka pemerintah Uthmaniah mereka membuka pintu untuk menolong kaum ini.

Dianggarkan seramai 500,000 penduduk Yahudi (Sephardic) menetap masuk ke Turki dan sehingga kini jumlah mereka dikatakan masih signifikan. Mereka tergolong sebagaimana Yahudi yang menetap di negara-negara bukan Eropah dan Asia Barat atau dikenali sebagai Yahudi Timur.

Sekian buat renungan~

Tuesday, June 30, 2009

Maut itu misteri tetapi pasti ~

Alhamdulillah. Pagi ini kita mampu celikkan mata kembali setelah tidur di malam hari. Kita mandi sendiri. Ambil wudhu' sendiri. Pakai baju sendiri ikut warna apa saja yang kita suka. Solat buat sendiri. (Itupun kalau bangun Subuh tadi. Samada Subuh jemaah, subuh dinosaur atau tak solat langsung). Semua kita buat sendiri.

Sedarkah kita, suatu hari nanti. Kita akan tidur untuk selamanya. Tak celik-celik mata lagi. Orang lain yang akan mandikan kita. Orang lain yang akan sucikan diri kita. Orang lain yang akan kafankan diri kita dengan kain kafan warna putih.

Seterusnya, orang lain yang akan sembahyangkan jenazah kita. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Ayat nasihat yang sangat biasa kita dengar, tetapi membawa mesej yang amat besar. Justeru, SILAP BESAR siapa yang berpendirian, bila dia mati kelak, dia tak akan menyusahkan orang lain. Kubur masing-masing ujarnya...~

Mati itu pasti. Akan berlaku. Laa yastakhiruuna saatan wa laa yastaqdimuun. Takkan lambat walau sesaat, takkan cepat walau sesaat. Lihat?? Itu janji Allah yang pasti. Adakah kita akan mati dalam Islam? Adakah kita akan mati dalam iman?

Adakah kita akan mati dengan 'muflis'? Muflis dari sudut amal kebajikan. Kalau kita ada amal di dunia, kita tak sempat bayar hutang, apa maknanya. Jika kita ada buat salah/dosa dengan orang lain dan tak sempat nak minta maaf, bagaimana gambarannya??

Kita yang akan pilih, kita nak mati macam mana. Kan?? Nak mati dengan mudah. Atau seksa ketika sedang nazak tatkala malaikat sakaratul maut telah datang. Husnul khatimah. Kematian yang baik. Ataupun su'ul khatimah. Pengakhiran yang buruk. Bersedialah..menuju ke alam kubur.

Sudah pasti..ada bebanan dan himpunan koleksi dosa kecil mahupun besar yang kita tanggung. Ingatlah...sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang sempat bertaubat dan kembali kepada Tuhan. Maka rugilah mereka yang melakukan dosa tetapi tak sempat memohon keampunan. Itulah pengakhiran yang buruk.

Alam barzakh. Rumah kata pergi. Kubur kata mari. Mari singgah seketika sebelum menuju akhirat yang abadi. Mengingati mati..gambaran kita bersedia untuk akhirat. Tak bermakna kita mengabaikan terus nasib kita di dunia. Hal ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran.

Sewaktu kita di alam rahim, kita merasakan dunia itu sudah cukup luas. Begitu juga ketika hidup di dunia. Walaupun hanya tempat persinggahan. Biarpun hidup hanya sementara, kita tetap seronok meneroka dan menakluk dunia yang kita rasa sangat luas sehingga lupa diri. Tak sedar bahawa hidup di dunia begitu singkat.

Kita lahir ke dunia disambut dengan azan/iqamat. Kita meninggalkan dunia diiringi dengan solat. Betapa singkatnya tempoh antara azan/iqamat dengan solat... begitulah singkatnya hidup kita di dunia~

Ingatlah.. alam barzakh. Alam kubur itu akan menjadi salah satu taman-taman syurga ataupun menjadi salah satu lubang neraka buat kita. Malaikat Munkar Nakir akan menjalankan tanggungjawab. Masa itulah kita akan sibuk menjawab.

Menjawab soalan yang dah bocor. Kita sendiri sudah tahu apa soalannya. Siap hafal lagi. Siapa Tuhan kamu? Siapa imam kamu? Apa agama kamu? Apa kitab kamu? Semua rasa macam dah tahu jawapannya. Tapi tetap alpa dan leka.

Mengingati bukan untuk menakutkan diri kita. Bukan untuk melunturkan semangat. Kerana dalam Islam, kita diajar begini. Bekerjalah seolah-olah kita akan hidup untuk selamanya. Dan beribadahlah seolah-olah esok kita sudah tiada.

Apa bekalan yang akan kita bawa untuk hidup selamanya. Apa bekalan yang kita perlu andai esok telah tiada. Mengingati mati memotivasikan diri kita agar cakna dan ambil berat akan makna dosa dan pahala. Syurga atau neraka. Hitam atau putih. Kita yang memilih. Samada terpilih atau tersisih, kepada-Nya juga kita beralih.

Mengingati mati juga satu ibadah. Kita pernah lihat orang yang dah lama terlantar sakit, tapi ajalnya masih belum tiba. Kapal terbang terhempas pun masih bernyawa. Berpantang maut sebelum ajal. Alih-alih, orang yang jaga orang sakit itu yang pergi dulu. Orang yang kita tengok sihat walafiat baru lepas bersukan yang ajalnya sampai dulu.

Maut itu misteri tetapi pasti. Rahsia Allah. Jodoh, rezeki, ajal maut ketentuan Allah. Kita manusia hanya merancang, tetapi Allah itu sebaik-baik Perancang.




Friday, June 26, 2009

Kesinambungan . . .

Ada sedikit kesinambungan mengenai DUA perkara berikut :

PERTAMA, pasal fadhilat bulan REJAB. Baca link ini.

Ikuti ulasan dan pendapat seorang bekas mufti. Moga kita mendapat manfaatnya =)

KEDUA, ada sedikit kesinambungan entri aku mengenai hari bapa. Aku terselit cerita wasiat Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya. Nah...baca episod seterusnya.

Marilah kita mengambil iktibar dari kisah Wasiat Luqman Al-Hakim. Siapakah dia? Luqman Al-Hakim merupakan hamba Allah yang dimuliakan darjatnya kerana telah diceritakan didalam Al-Quran mengenai kisahnya. Hidupnya yang banyak beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan, kasih sayang dan khusyu' telah memberikan panduan kepada hamba Allah yang lain untuk menjadikan Luqman Al-Hakim sebagai insan biasa yang dimuliakan dirinya kerana ibadatnya. Menurut maksud Hadis Nabi Muhammad s.a.w:

"Seseorang itu dinilai dengan dua perkara: hati dan lidahnya"

Surah Luqman didalam Al-Quran banyak menceritakan mengenai perbualannya bersama anaknya yang mengisahkan nasihat-nasihat yang mulia bagi membentuk peribadi yang mulia bagi seorang hamba kepada Allah. Antara perbualannya atau wasiat yang dinyatakan oleh Luqman Al-Hakim kepada anaknya itu adalah:

1.Janganlah mempersekutukan Allah (Luqman,13)
2.Allah maha mengetahui segala-galanya (Luqman,16)
3.Dirikan solat (Luqman,17)
4.Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran (Luqman,17)
5.Sabar dengan bala yang menimpa diri (Luqman,17)
6.Jangan berjalan dibumi ini dengan sombong (Luqman,18)
7.Jangan memandang rendah orang lain (Luqman,18)
8.Rendahkan suara ketika berkata-kata (Luqman,19)

dan banyak lagi.Terdapat juga wasiat Luqman Al-Hakim yang termaktub didalam Kitab-kitab Tafsir. Antaranya:

1.Siapa yang menjadi penasihat bagi dirinya sendiri, maka Allah akan menjadi penasihat bagi dirinya.
2.Kepayahan dan kesusahan didalam ketaatan adalah lebih dekat daripada kesenangan dan kemewahan didalam kemaksiatan.
3.Pukulan(didikan) bapa kepada anaknya ibarat air untuk tanaman.
4.Sesiapa yang berdusta maka hilanglah air mukanya.
5.Sesiapa yang banyak berdusta maka banyak kesengsaraannya.
6.Bermesyuaratlah dengan ulama dalam urusanmu.
7.Berlemah-lembut adalah pokok segala hikmah.
8.Sesungguhnya kejahatan itu mencipta kejahatan yang lain.

Terdapat banyak wasiat yang dinyatakan Luqman Al-Hakim di dalam Kitab-kitab dan Al-Quran. Wasiat yang di nyatakan olehnya bukanlah hanya kepada anaknya semata-mata, kerana sebagai umat Islam kita hendaklah mengambil ilmu, hikmah dan teladan yang telah dinyatakan oleh Luqman Al-Hakim.

Maka, sebagai hamba kepada Allah kita hendaklah menjadikan Luqman Al-Hakim ini sebagai contoh teladan yang baik bagi merubah kehidupan kita daripada buruk ke baik dan baik kepada yang lebih baik lagi. Oleh itu marilahkita baca akan satu wasiat Luqman Al-Hakim yakni Wasiat Luqman Buat Ibu Bapa: Suatu Renungan untuk semua Ibu dan Bapa dan 'bakal bapa' seperti saya dan 'bakal' isteri saya. =)

Wasiat turut memainkan peranan yang penting di dalam berdakwah. 'Bapa' memikul tugas yang amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Kita telah dihidangkan oleh Al Quran bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Dan sebagaimana yang dimaklumi sebuah surah khusus di dalam Al Quran diberi nama dengan nama Surah Luqman.

Ramai di kalangan umat Islam tidak mengetahui bahawa 'wasiat' yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya itu merupakan salah satu 'teknik' di dalam berdakwah.Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian,nescaya anak-anak akan lahir sebagai muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Bertuahlah sebuah keluarga yang mempunyai anak-anak seperti mereka. Mempunyai generasi yang diibaratkan umpama purnama yang menerangi kegelapan malam. Wahai ayah dan ibu, wasiatkan kepada anak-anakmu sepertimana wasiat yang diajar oleh Luqman al-Hakim!!!
Dr.Wahbah Az-Zuhaili telah berkata di dalam bukunya 'Tafsir Munir':

"Al Baidhawi telah berkata bahawa nama Luqman sebenarnya ialah Luqman bin Ba'ura. Beliau bukannya nabi tetapi jumhur mengatakan bahawa beliau seorang yang bijaksana. Diberikan kepadanya Al Hikmah iaitu kelebihan pada akalnya, cerdik dan perkataan atau kalam yang dikeluarkannya memberi kesan kepada manusia. Mungkin di sini gelaran "Al-Hakim" wujud. Nama sebenar anaknya ialah (mengikut As-Suhaili) An'am atau Asykam atau Matan atau Tharan"

Abd.Rahman Hassan Al Maidani berkata di dalam bukunya 'Fiqh Dakwah' bahawa di sana terdapat 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Luqman mendidik anaknya melalui 'wasiat'. Oleh itu marilah sama-sama kita menilai wasiat tersebut yang mengandungi 14 permasalahan penting buat umat Islam selepas ini.

U/P :
Tulisan berikut selepas ini berdasarkan terjemahan dan olahan melalui buku karangan Dr.Wahbah Az-Zuhaili dan Abd.Rahman Hassan Al-Maidani yang tersebut di atas. Untuk memudahkan anda, sila rujuk terjemahan/tafsir Al Quran bagi ayat 13-19 Surah Luqman.

Permasalahan Pertama:

Perkara pertama yang diajar oleh Luqman kepada anaknya ialah jangan Syirik kepada Allah s.w.t.. Disebutkan di dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah s.w.t. adalah kezaliman yang amat besar. Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa memelihara alam semesta ) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah). Atau dengan ertikata lain, mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu lain yang juga mampu memelihara alam semesta dan mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain yang juga layak untuk disembah. Inilah Syirik!!!

Meskipun syirik terhadap Uluhiyatullah lebih ringan dari syirik terhadap Rububiyatullah, akan tetapi Allah s.w.t. tidak akan mengampuni dosa orang yang mati dalam hal demikian!

Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya. Lagi sekali kita ingin mengajukan soalan. Mengapa syirik dikatakan zalim? Telah disepakati, bahawa Allah s.w.t.lah yang menciptakan makhluk semesta alam. Allah s.w.t. jua yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah s.w.t. ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah s.w.t. dengan kuasa yang lain maka ia telah melakukan kezaliman!!!

Allah s.w.t. sahaja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tak mampu dilakukan oleh kuasa lain. Tetapi jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman. aitulah meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya.

Inilah yang diperkatakan melalui ayat 13 surah Luqman yang bermaksud:

"Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah s.w.t.. Sesungguhnya mempersekutukan Allah s.w.t. itu adalah kezaliman yang amat besar."

Permasalahan Kedua:

Luqman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas anugerah nikmat-Nya yang tak terhitung luas dan banyak. Dan kesyukuran mengandungi erti: Balasan perbuatan yang indah dan baik dengan perbuatan yang juga baik dan indah. Termasuk di dalam erti kata syukur ini ialah beribadah kepadaNya dengan melakukan ibadat-ibadat seperti yang disyariatkan, mendekatkan diri kepadaNya, menuntut keredhaan-Nya dan memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepadaNya yang Maha Esa.

Memuji lebih umum dari bersyukur kerana hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji pabila bersifat dengan sifat atau sifat-sifat yang baik. Hatta yang dipuji itu tidak melakukan sesuatu kebaikan terhadap pemuji. Dan peringatan 'kesyukuran' kepada Allah s.w.t. ini dikaitkan dengan pembalasan pada Hari Qiamat. Jika sekiranya kesyukuran itu kepada Allah s.w.t.,maka akan mendapat balasan pahala dan jika sebaliknya akan mendapat balasan siksaan di atas kekufuran dan keingkaran.

Inilah yang diperkatakan melalui ayat 14 surah Luqman yang bermaksud:

"Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibubapanya...Bersyukurlah kepadaku dan...Kepadaku tempat kembali.".

Permasalahan Ketiga:


Luqman mendidik anaknya agar berterima kasih kepada ibubapa di atas susah payah dan jerit perih mereka membesarkan dan mendidik anak dengan segala macam pemberian dan kebaikan untuk anak tersayang. Tunaikan hak keduanya terutama kepada ibu. Kerana ibu bersusah payah menanggung penderitaan bermulanya dari proses mengandung sehinggalah melahirkan anak,menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama 2 tahun dan mentarbiyah anak siang dan malam.

Sesungguhnya ketaatan kepada ibubapa walaupun berlainan agama adalah wajib diikuti kecuali pabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan oleh Islam. Maka ketika itu haram mentaati perintah itu.

Lihatlah tingkatan terima kasih (syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini. Terima kasih/kesyukuran kepada ibubapa datang selepas syukur kepada Allah s.w.t.. 'Logiklah' bahawa ucapan terima kasih/syukur ini pertama-tamanya buat Khaliq (pencipta). Selepas itu barulah diikuti pula buat makhluk yang didahului oleh ibu bapa yang tercinta.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 14 surah Luqman yang bermaksud:

"Dan kami wasiatkan (perintahkan)kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam 2 tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu! Kepadaku tempat kembali"

Permasalahan Keempat:

Luqman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya dari mentaati ibubapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan Allah s.w.t. dan segala macam perbuatan maksiat yang dilarang Allah s.w.t.

Akan tetapi sebagai anak,ibubapanya harus dilayani ,ditemani dan digauli dalam suasana yang penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan,menghormati dan berkhidmat kepada mereka.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:

"Dan kalau keduanya memaksa engkau supaya mempersekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui ,janganlah dituruti;dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut"

Permasalahan Kelima:

Luqman menasihati anaknya agar melalui jalan yang dilalui oleh mereka yang kembali bertaut kepada Allah s.w.t. dengan keimanan, ketaatan dan meredah jalan yang lurus (jalan yang Allah s.w.t. anugerahkan nikmat kepada mereka).Bukan jalan yang dilalui oleh mereka yang dimurkai Allah s.w.t. dan mereka yang sesat!

Mereka yang kembali kepada Allah s.w.t ini terdiri dari kalangan para Rasul, Nabi, orang benar dan sesiapa sahaja yang mengikuti mereka dengan keikhsanan dari kalangan orang mukmin.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:

"Dan turutlah jalan orang yang kembali kepadaKu "

Permasalahan Keenam:

Luqman berpesan kepada anaknya supaya melakukan 'pemerhatian' tentang Hari Qiamat,urusan al- Qadha',pembalasan amalan serta melakukan pemerhatian terhadap segala arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:

"Nanti kamu akan kembali kepadaKu dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"

Permasalahan Ketujuh:

Luqman menerangkan kepada anaknya akan 'syumul'nya Ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah s.w.t. bebas melakukan apa sahaja tanpa ada halangan. Allah s.w.t. mendatangkan sesuatu yang diinginkanNya dari segenap tempat yang tak mampu dibuat oleh makhluk.

Sesuatu kebaikan,kejahatan,kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh di dalam batu atau jauh berada di tempat yang tinggi seperti langit atau jauh berada di sedalam-dalam tempat seperti di dasar bumi akan didatangkan oleh Allah s.w.t. jua pada Hari Qiamat untuk dihisab / dihitung dan diberi ganjaran dosa atau pahala.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 16 surah Luqman yang bermaksud:

"(Kata Luqman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tesembunyi) dalam batu,di langit atau di bumi ,itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal-hal yang halus) dan Cukup Tahu"

Permasalahan Kelapan:

Luqman menyuruh anaknya agar menunaikan solat/sembahyang kerana solat merupakan fardhu yang difardhukanNya melalui utusanNya di bumi( dari kalangan Nabi dan Rasul).Selepas manusia ditegah dari syirik dan ditakutkan dengaan Ilmu Allah dan QudratNya yang tak dapat ditandingi oleh sesiapa,datanglah arahan supaya beramal dengan amalan-amalan yang serasi dengan prinsip-prinsip Tauhid iaitu antaranya solat / bersembahyang. Solat adalah tiang agama. Dalil keimanan dan yakinnya hamba terhadap Ilahi. Jalan mendekatkan diri kepadaNya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian dan mensucikan diri.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:

"Hai anakku! Dirikanlah solat/sembahyang "

Permasalahan Kesembilan:

Luqman menyuruh anaknya berbuat yang ma'ruf / kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini menunjukkan kepada kita bahawa arahan supaya menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dari 'tugasan' yang terkandung di dalam seruan Ilahi kepada Agama Islam semenjak dahulu lagi. Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:

"Suruhlah mengerjakan yang baik,cegahlah perbuatan yang buruk"

Permasalahan Kesepuluh:

Luqman menasihatkan anaknya agar bersabar di atas segala perkara yang dibenci yang menimpa diri samada musibah itu datang dari Ilahi menguji diri,harta,suami isteri dan anak-anak. Atau musibah ini berpunca dari bertembungnya dengan masyarakat yang membenci pendakwah (pendakwah bersifat pembawa hidayat,pemberi ingatan ,pembaik pulih dan pelindung) apabila menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran dan apabila pendakwah mengajak manusia kepada Agama Allah iaitu Islam serta lain-lain bidang atau cabang-cabang kebaikan.

Dimulakan wasiat dengan arahan solat / bersembahyang dan ditamat dengan arahan supaya bersabar. Mengapa? Kerana solat tiang agama dan sabar merupakan asas kekalnya ketaatan sepanjang masa. Secara jelas dapat difahami ,bahawa sabar menahan musibah ini tergolong di dalam 'perkara yang berhajat kepada kehendak yang kuat dari tahap keazaman'.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:

"Dan berhati teguhlah menghadapi apa yang menimpa engkau;sesungguhnya (sikap) yang demikian itu masuk perintah yang sungguh-sungguh"

Permasalahan Kesebelas:

Luqman menasihati anaknya agar jangan takabbur dengan apa-apa pergerakan sekalipun yang menunjukkan kesombongaan dan ketinggian diri di depan manusia. Luqman berpesan agar jangan memaling muka apabila bercakap dengan manusia kerna ia menunjukkan sifat takabbur dan menghina(merendah-rendahkan seseorang). Jangan takabbur dan merendah-rendahkan seseorang. Jangan memaling muka,membantah atau membangkang tanpa usul periksa. Akan tetapi sentiasalah tawadhuk(merendahkan diri) ,berlembut,manis bicara,senang diajak berbicara,seronok diajak berbicara,riak muka yang gembira,seronok ,ramah dan menjadi pendengar yang baik.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 18 surah Luqman yang bermaksud:

"Janganlah engkau memalingkan muka engkau dari manusia kerana kesombongan"

Permasalahan Kedua Belas:

Luqman nasihati anaknya agar tidak berjalan di atas muka bumi ini dengan menampakkan keseronokan yang amat sangat hinggalah akhirnya keseronokan ini melebihi had di dalam pergerakannya ,membezakan kelakuannya dengan manusia lain kerana ia mengandungi ciri-ciri berlebih-lebihan atau jauh dari kesederhanaan .Dengan ciri ini orang yang gembira ini akan menjadi takabbur dan sombong yang melebihi had syara'. Inilah yang diterangkan melalui ayat 18 surah Luqman yang bermaksud:

"Dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh!Sesungguhnya Allah tidak mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri"

Permasalahan Ketiga Belas:

Luqman menasihati anaknya agar bersederhana dan sekata ketika berjalan. Tidak terlalu perlahan hingga menampakkan kemalasan, kelambatan yang amat sangat sehingga menampakkan diri lemah konon-kononnya ingin dikatakaan 'zuhud'. Tidak terlalu laju sehingga menonjolkan sikap berlebih-lebihan serta tidak peduli kepada suasana sekeliling.Oleh itu sikap sederhana dan sekata di antara lambat dan laju merupakan tanda / lambang seseorang itu tenang,beraqal dan diri yang cergas dan sihat.Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud:

"Dan besederhanalah dalam berjalan"

Permasalahan Keempat Belas:(terakhir)

Luqman menasihati anaknya agar merendahkan suara dan mencukupi suaranya didengari mengikut hajat atau keperluan pendengar. Inilah antara adab bersuara dan bercakap untuk keperluan.Diterangkan dalam wasiat ini ,bahawa mengangkat suara tanpa hajat/keperluan merupakan perkara yang dikutuk ,dikecam ,tidak disukai dan buruk. Contoh yang akan diberikan dalam ayat berikut ini bahawa seburuk-buruk suara adalah suara himar / keldai kerana suara himar / keldai awalnya suara mengeluh dan akhirnya suara menguak /melalak. Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud:

"Dan lembutkan lah suara engkau! Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar"

Artikel ini diambil dari sumber ini.

Semoga wasiat atau nasihat ini menjadi pedoman kita untuk menjadi insan yamg mulia disisi Allah swt dan juga memberikan kekuatan kepada kita untuk mengajak seluruh umat untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Apa yang baik itu adalah dari Allah swt jua dan apa yang kurang itu dari Allah juga tetapi disandarkan kepada kejahilan dan ketidakupayaan saya sendiri.

Waallahua'lam.

Tuesday, June 23, 2009

REJAB ~ =)

FADHILAT BULAN REJAB

Bulan Rejab datang, pergi dan kembali lagi. Ia merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud taazim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya dan Ruangan Bimbingan Rohani kali ini menyorot fadhilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah S.A.W. berkenaan dengannya. Antara amalan terbaik di dalam bulan Rejab ini ialah berpuasa.

1. Sabda Nabi S.A.W : Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab niscaya Allah memuliakan dengan 1000 kemuliaan di hari Qiamat.

2. Sabda Nabi S.A.W. : Bulan Rejab bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku dan Bulan Ramadhan bulan ummatku.

3. Kemuliaan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam Nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul Qodarnya.

4. Malam awal Rejab mustajab doanya (kitab Raudhoh Imam Nawawi).

5. Puasa sehari pada bulan Rejab dijadikan Allah baginya dua sayap, Akan membawanya terbang di atas Sirotmustaqim di hari Qiamat. (Al-Hadis).

6. Puasa sehari dalam bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga. (Al-Hadis).

7. Puasa Sehari pada bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipat gandakan pahalanya. (Al-Hadis).

8. Puasa tiga hari pada Bulan Rejab dijadikan parit yang panjang yang menghalangkan dia ke neraka yang panjangnya setahun perjalanan. (Al-Hadis).

9. Puasa empat hari pada Bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajjal di hari Qiamat. (Al-Hadis).

10. Puasa lima hari pada bulan Rejab, Allah SWT akan amankannya daripada azab kubur. (Al-Hadis)

11. Puasa enam hari pada bulan Rejab, ia keluar daripada kubur dengan bercahaya mukanya. (Al-Hadis)

12. Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripadanya tujuh pintu neraka. (Al-Hadis)

13. Puasa lapan hari pada Bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu Syurga. (Al-Hadis)

14. Puasa sembilan hari pada Bulan Rejab, keluar daripada kuburnya lalu menyeru lailahaillallah dan tidak ditolak dia masuk ke dalam syurga. (Al-Hadis)

15. Puasa sepuluh hari pada Bulan Rejab, Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu. (Al-Hadis)

16. Kelebihan Bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Al-Quran atas segala Qalam. (Al-Hadis)

17. Puasa pada awal Rejab, pertengahan dan akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya. (Al-Hadis).

18. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan Ibadah seumur hidupnya.
Maka akan berseru dari langit :
Gembiralah kamu dengan kemuliaan yang besar dan diminumkan dia ketika hendak mati. Mati ia dengan puasa, masuk kubur ia dengan puasa, keluar kubur dengan puasa, dan masuk syurga dengan puasa dan masuklah syurga dengan sepuas-puasnya. ia terlepas dari azab kubur yakni yang berpuasa disiang hari dan beribadah pada malamnya. (Al-Hadis)

19. Bulan Rejab (Bulan Allah) diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah S.W.T.
Puasa bulan Rejab wajib baginya :
- Diampunkan dosanya yang lalu
- Dipelihara Allah umurnya yang tinggal.
- Terlepas dari dahaga di hari Qiamat.

20. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah sedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. (Al-Hadis).

21. Sesiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma pada jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dan dihapuskan seribu kejahatan.
(Al-Hadis)

22. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka, kerana kemuliaan bulan Rejab, bulan Allah. (Al-Hadis).

23. Apabila engkau mengkehendaki suatu ketenangan waktu mati, dan meninggalkan dunia ini beserta Iman dan selamat dari godaan syaitan, maka hormatilah bulan –bulan ini semua (Rejab,Syakban dan Ramadhan) dengan memperbanyakkan puasa dan menyesali terhadap dosa-dosa lalu, ingatlah kepada pencipta alam ini, maka kamu akan masuk syurga dengan selamat. (Hadis)

24. Dari Anas bin Malik r.u. berkata: " Aku bertemu dengan Muadz bin Jabbar r.a. Maka aku bertanya kepadanya : Dari mana engkau datang wahai Muadz? Ia menjawab "Aku dari tempat Rasulullah s.a.w. "Apa yang engkau dapat daripadanya?" Tanya Anas. "Aku mendengar bahawa barangsiapa yang mengucapkan LAILAHAILLALLAH, Maka ia akan meninggalkan dunia ini dengan Ikhlas masuklah ia kedalam syurga, Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab, kerana mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. maka masuk ia akan syurga". Maka aku terus ke rumah Rasulullah s.a.w. dan bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Muadz bercerita begini-begini kepadaku". Maka Rasulullah s.a.w. menjawab benar apa yang dikatakan oleh Muadz.
(Zuhratur Riyad)

25. Abu Qilabah r.u berkata , ‘Di dalam syurga terdapat sebuah istana yang disediakan khusus bagi orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab.”

Rasulullah saw. Bersabda “ Di dalam bulan Rejab ada satu hari dan satu malam yang mana barangsiapa berpuasa pada hari itu dan sholat malam pada malam itu, maka ia bagaikan berpuasa seratus tahun dan sholat malam seratus tahun lamanya. Hari itu ialah 3 hari terakhir.


Diantara amalan-amalan yang sangat baik dianjurkan ketika berada dalam bulan Rejab:
- Banyakkan puasa sunat.jika mampu,

- Perbanyakkan Solat-solat sunat yang mengiringi solat fardhu (rawatib).
- Solat sunat Dhuha, sunat tasbih, sunat tahajjud, sunat hajat, sunat witir dan sebagainya, buat menampung amalan fardhu
- Banyakkan masa dengan membaca Al-Quran.
- Banyakkan berzikir dengan bertasbih bertahmid, bertakbir dan bertahlil beberapa ratus kali. Jika tak mampu lakukan beberapa kali termampu pada sebilangan waktu. Waktu terbaik ketika hampir subuh selepas subuh dan ketika hampir masuk waktu berbuka puasa.
- Berselawat keatas Nabi S.A.W. sebanyaknya
- Beristighfarlah mohon keampunan diatas dosa-dosa yang lalu. Paling utama bacalah Istighfar Rejab setiap hari (sila rujuk dalam kitab-kitab doa atau melalui tuan-tuan guru mengenainya)
- Berdoalah memohon sebanyak-banyaknya dalam solat, didalam sujud dan selepas solat beberapa lama tanpa berasa jemu meminta.


Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

1. Israk dan Mikraj (27 Rejab)
2. Solat 5 waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)
3. Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.