Yang tak berapa nak kenal MJ, baru terhegeh-hegeh nak dengar balik lagu-lagu MJ. Siap hafal lirik dan tarian lagi. Minggu lepas, tukang tulis berjalan-jalan ke OU, untuk mengambil telefon bimbit yang sudah siap dibaiki (akhirnya...setelah 2 minggu henfonku masuk wad). Secara kebetulan di OU masa tu ada konsert "tribute to MJ".
Bila pusing-pusing satu OU, setiap kali lalu di depan TV, atau lebih tepat lagi, kedai muzik yang jual DVD, album dan sebagainya, masing-masing sibuk nak tayang video klip ataupun rakaman konsert MJ yang agak thriller. Satu kesimpulan aku dapat, harimau yang mati meninggalkan belang, manusia pula mati meninggalkan nama. Tak kira...nama kau kecil atau besar. Nama kau gah atau rebah ataupun orang tak kisah.
Janji..selepas kau tiada, ada perkara atau benda pasal kau orang akan ingat. Orang akan kenang. Begitu juga halnya dengan MJ. Aku tak mahu cerita pasal kisah hidup beliau seperti pembedahan plastik itu... album Thriller yang laku itu, kisah perkahwinan beliau yang mendapat 3 cahaya mata, kisah skandal bersama "kanak-kanak", kontroversi hayun anak di balkoni hotel dan sebagainya. Cerita tu semua orang boleh korek sendiri. Google sendiri. Sebab di sebalik kontroversi-kontroversi itu, ada yang terlupa bahawa MJ juga banyak membantu mereka yang memerlukan seperti kanak-kanak dll. Justeru..beliau memang layak diangkat sebagai "Legenda".
Legenda?? Menurut Kamus Dewan, ada 2 maksud Legenda. 1. Cerita dongeng yang bersangkutan dengan kisah-kisah yang bersejarah; 2. petunjuk atau kata-kata keterangan tentang sesuatu (seperti peta, carta, ilustrasi, dll). Maka.. bolehlah diklasifikasikan sebagai "Legenda" sebagaimana Tan Sri Dr. P.Ramlee ~
Cuma aku tertarik dengan satu artikel yang aku baca di sini. Persoalan mengenai keislaman MJ. Benarkah dia telah memeluk Islam dengan nama Islamnya Mikaeel. Yalah, di facebook ada kawan-kawan yang menyedekahkan Al-Fatihah kepada beliau. Persoalannya, benarkah beliau mati di dalam islam?? Kerana ada ura-ura di sini mengatakan pula mayat beliau akan diawet. Akasnya, ada yang mengatakan mayat beliau dimasukkan ke dalam keranda dan ditutup dengan kain putih dan akan dikebumikan selaku orang Islam menurut sumber yang agak mutakhir ini. Yakni pada hari Selasa ini(7 Julai 2009). Kalau benar beliau mati sebagai Islam, bayangkan betapa terseksanya beliau kerana mayat beliau ditangguhkan perkebumiannya.. Kan??
Nah! Baca saja artikel tulisan Siti Aniza Kamsari ini.
SEHINGGA rencana ini ditulis, sukar untuk kita perkatakan mengenai apa kesudahan urusan jenazah Raja Pop Dunia, Michael Jackson yang meninggal dunia baru-baru ini.
Ia berikutan artis pujaan jutaan peminat di seluruh dunia itu dikatakan telah memeluk Islam pada 20 November 2008 dengan panggilan nama yang baru iaitu Mikaeel.
Begitu pun menerusi sebuah laman blog, penulisnya Daniel Pipes berkata adalah tidak menghairankan jika Raja Pop itu memeluk Islam. Ia sebagaimana yang banyak berlaku kepada penduduk kulit hitam (African American) di Amerika lain yang akan memeluk Islam semata-mata bagi mengembalikan reputasi diri yang selama ini telah hilang atau rosak akibat perbuatan mereka sendiri.
"Jika benar Jackson turut memeluk Islam maka dia juga sebagai Afro American lain menyertai Nation of Islam (Islam) kerana agama itu menawarkan kepada mereka ketenangan dan bantuan.
"Fenomena ini lazimnya berlaku ketika mereka menjalani hukuman di penjara apabila begitu ramai kaum kulit hitam ini sejak lewat 1940-an telah menukarkan agama mereka kepada Islam," katanya.
Menurut Pipes, kini tidak sahaja yang sedang menjalani hukuman penjara, kalangan kulit hitam memeluk Islam juga akibat mengalami konflik dan krisis dalam hidup mereka.
Antaranya seperti:
1) Tawana Brawley memeluk Islam selepas dakwaan beliau dirogol oleh sekumpulan lelaki kulit putih yang mendapat liputan meluas negara dan didapati beliau sebenarnya menipu terhadap dakwaan itu.
2) Mike Tyson juara tinju Heavyweight yang memeluk Islam ketika dipenjara setelah didapati bersalah melakukan jenayah rogol.
3) Benjamin Chavis memeluk Islam setelah diusir dari sebuah pertubuhan National Association for the Advancement of Colored People.
4) Kenny Gamble seorang penerbit Muzik yang mengalami kejatuhan dalam hidupnya akibat menghadapi tuduhan dalam Siasatan Payola pada tahun 1975.
Apa yang cuba diberitahu oleh Pipes bahawa Jackson memeluk Islam semata-mata kerana menghadapi konflik yang teruk dalam hidupnya.
Iaitu sebagaimana individu kulit hitam yang lain memeluk Islam semata-mata sebagai satu pelarian 'sementara', bukannya kerana keikhlasan atau minat yang mendalam untuk memeluk Islam.
Walau apapun kritikan Pipes dalam usaha beliau untuk memperlekehkan pengislaman seseorang itu, beliau tidak menyedari betapa dunia semakin menuju dan mencari ke arah Islam.
Sekalipun seseorang itu telah mempunyai keimanan yang kental dan kukuh lebih-lebih lagi jika dia beragama Yahudi.
Agama yang kononnya untuk bangsa terpilih sahaja kerana mereka mendabik dada sebagai umat pilihan tuhan. Namun apabila kebenaran telah datang, maka pengislaman tidak dapat disekat-sekat lagi.
Begitulah yang terjadi kepada seorang pendita atau Rabbi Yahudi terkenal di Turki, Aaron Cohen, 46, yang akhirnya memeluk Islam. Peristiwa itu dikatakan berlaku pada Oktober 2008 di mana beliau lafazkan kalimah syahadah di hadapan Mufti Syaikh Bey Oglu di Istanbul.
Akhbar harian Turki yang berbahasa Arab, Akhbaralaalam hanya dapat melaporkan sebulan selepas pengislaman bekas pendita itu apabila Cohen sendiri akhirnya secara terbuka mengaku telah memeluk Islam.
"Saya sangat menghormati ketiga-tiga agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Hormat saya bermakna kerana agama itu sama sekali bukan rekaan manusia, tetapi agama Maha Pencipta Allah dan Islam itu adalah agama yang menyempurnakan kesemua agama-agama itu.
"Segala kebenaran dan ketepatan dari ajaran Yahudi dan Nasrani itu ada terkandung semuanya di dalam al-Quran.
"Ini membuatkan saya tidak perlu terasa saya seperti memeluk agama yang baru tetapi saya hanya menyempurnakan apa yang selama ini saya iktikad dan percaya mengenai soal ketuhanan, kenabian dan lain-lain aspek pengajaran dan ajaran dalam agama Yahudi," katanya.
Menurutnya, ajaran dan syariat agama Islam benar-benar menepati, melengkapi dan menyempurnakan syariat agama-agama Samawi sebelumnya.
"Dalam kitab suci al-Quran itu sendiri misalnya, sesungguhnya telah terkumpul ajaran-ajaran mulia agama-agama sebelumnya. Malah melalui al-Quran itu segala apa yang selama ini diselewengkan dalam kitab Taurat dan Injil diperbetulkan tanpa sebarang prejudis," kata Cohen.
Selama ini iaitu hampir 20 tahun lamanya Cohen tidak sekadar menjadi pendita yang mempertahan dan memastikan ajaran Yahudi itu kukuh dalam pegangan penduduk Yahudi di Turki.
Namun, selama beliau berada di Sinagog, rumah ibadat Yahudi di Istanbul beliau sebenarnya mengkaji secara mendalam antara akidah dan syariah agama Yahudi, Kristian dan Islam.
"Kesempatan berada di Sinagog itu memberi saya satu peluang yang sangat baik untuk mendalami ketiga-tiga agama ini. Walaupun ia menimbulkan konflik yang sangat besar pada diri saya tetapi 20 tahun sudah menjadi satu tempoh yang cukup untuk saya menemui kebenaran dan kini saya berasa seolah-olah seperti wira yang berjaya di medan tempur," jelas beliau.
Cohen akhirnya memutuskan untuk menerima Islam kerana beliau dan keluarga ingin mendapatkan kebahagiaan hidup yang sejati lagi murni.
Malah beliau juga berjaya mengajak isteri, Filori dan anak mereka untuk turut sama memeluk Islam.
Tindakannya memeluk Islam pastinya mengundang kecaman dan kemarahan oleh pelbagai pihak. Lebih-lebih lagi dari pihak Sinagog dan komuniti Yahudi yang ada di Turki itu.
"Saya banyak menerima kritikan dan kecaman dari saudara-saudara Yahudi saya tetapi saya tabah dan tidak begitu ambil peduli akan apa juga reaksi dari mereka kerana apa yang jauh lebih penting saya kini menikmati kedamaian dalam hati," katanya.
Bagi menambahkan lagi kedamaian di hatinya, Cohen menjalankan tanggungjawab yang paling murni iaitu mendekati dan membantu golongan yang miskin dan malang atau lebih tepat yang kebuluran.
Beliau sering ke negara-negara malang tersebut sebagai usaha meringankan penderitaan dan mengambil berat dan mencurahkan kasih yang tidak berbelah bahagi walaupun mereka berbeza warna dan kulit.
Beliau benar-benar bertindak seperti seorang duta dan sangat bersyukur kerana Islam menjadikan beliau semakin prihatin, bertimbang rasa dan mengasihi sesama insan.
Secara ringkas, negara Turki tercatat sebagai negara Muslim yang memiliki sejarah gemilang yang berkait rapat dengan umat Yahudi. Iaitu sebuah umat yang diterima masuk dan kebanyakan mereka menetap di Istanbul dan Armenia (bersempadan dengan Iran) setelah mengalami pengusiran di Sepanyol dan Portugal terutama pada abad ke 16 Masihi.
Mereka diterima masuk ke Turki setelah negara-negara Eropah yang lain enggan menerima mereka dan atas dasar sikap terbuka pemerintah Uthmaniah mereka membuka pintu untuk menolong kaum ini.
Dianggarkan seramai 500,000 penduduk Yahudi (Sephardic) menetap masuk ke Turki dan sehingga kini jumlah mereka dikatakan masih signifikan. Mereka tergolong sebagaimana Yahudi yang menetap di negara-negara bukan Eropah dan Asia Barat atau dikenali sebagai Yahudi Timur.
Sekian buat renungan~
No comments:
Post a Comment