Hebahan

Tuesday, June 30, 2009

Maut itu misteri tetapi pasti ~

Alhamdulillah. Pagi ini kita mampu celikkan mata kembali setelah tidur di malam hari. Kita mandi sendiri. Ambil wudhu' sendiri. Pakai baju sendiri ikut warna apa saja yang kita suka. Solat buat sendiri. (Itupun kalau bangun Subuh tadi. Samada Subuh jemaah, subuh dinosaur atau tak solat langsung). Semua kita buat sendiri.

Sedarkah kita, suatu hari nanti. Kita akan tidur untuk selamanya. Tak celik-celik mata lagi. Orang lain yang akan mandikan kita. Orang lain yang akan sucikan diri kita. Orang lain yang akan kafankan diri kita dengan kain kafan warna putih.

Seterusnya, orang lain yang akan sembahyangkan jenazah kita. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Ayat nasihat yang sangat biasa kita dengar, tetapi membawa mesej yang amat besar. Justeru, SILAP BESAR siapa yang berpendirian, bila dia mati kelak, dia tak akan menyusahkan orang lain. Kubur masing-masing ujarnya...~

Mati itu pasti. Akan berlaku. Laa yastakhiruuna saatan wa laa yastaqdimuun. Takkan lambat walau sesaat, takkan cepat walau sesaat. Lihat?? Itu janji Allah yang pasti. Adakah kita akan mati dalam Islam? Adakah kita akan mati dalam iman?

Adakah kita akan mati dengan 'muflis'? Muflis dari sudut amal kebajikan. Kalau kita ada amal di dunia, kita tak sempat bayar hutang, apa maknanya. Jika kita ada buat salah/dosa dengan orang lain dan tak sempat nak minta maaf, bagaimana gambarannya??

Kita yang akan pilih, kita nak mati macam mana. Kan?? Nak mati dengan mudah. Atau seksa ketika sedang nazak tatkala malaikat sakaratul maut telah datang. Husnul khatimah. Kematian yang baik. Ataupun su'ul khatimah. Pengakhiran yang buruk. Bersedialah..menuju ke alam kubur.

Sudah pasti..ada bebanan dan himpunan koleksi dosa kecil mahupun besar yang kita tanggung. Ingatlah...sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang sempat bertaubat dan kembali kepada Tuhan. Maka rugilah mereka yang melakukan dosa tetapi tak sempat memohon keampunan. Itulah pengakhiran yang buruk.

Alam barzakh. Rumah kata pergi. Kubur kata mari. Mari singgah seketika sebelum menuju akhirat yang abadi. Mengingati mati..gambaran kita bersedia untuk akhirat. Tak bermakna kita mengabaikan terus nasib kita di dunia. Hal ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran.

Sewaktu kita di alam rahim, kita merasakan dunia itu sudah cukup luas. Begitu juga ketika hidup di dunia. Walaupun hanya tempat persinggahan. Biarpun hidup hanya sementara, kita tetap seronok meneroka dan menakluk dunia yang kita rasa sangat luas sehingga lupa diri. Tak sedar bahawa hidup di dunia begitu singkat.

Kita lahir ke dunia disambut dengan azan/iqamat. Kita meninggalkan dunia diiringi dengan solat. Betapa singkatnya tempoh antara azan/iqamat dengan solat... begitulah singkatnya hidup kita di dunia~

Ingatlah.. alam barzakh. Alam kubur itu akan menjadi salah satu taman-taman syurga ataupun menjadi salah satu lubang neraka buat kita. Malaikat Munkar Nakir akan menjalankan tanggungjawab. Masa itulah kita akan sibuk menjawab.

Menjawab soalan yang dah bocor. Kita sendiri sudah tahu apa soalannya. Siap hafal lagi. Siapa Tuhan kamu? Siapa imam kamu? Apa agama kamu? Apa kitab kamu? Semua rasa macam dah tahu jawapannya. Tapi tetap alpa dan leka.

Mengingati bukan untuk menakutkan diri kita. Bukan untuk melunturkan semangat. Kerana dalam Islam, kita diajar begini. Bekerjalah seolah-olah kita akan hidup untuk selamanya. Dan beribadahlah seolah-olah esok kita sudah tiada.

Apa bekalan yang akan kita bawa untuk hidup selamanya. Apa bekalan yang kita perlu andai esok telah tiada. Mengingati mati memotivasikan diri kita agar cakna dan ambil berat akan makna dosa dan pahala. Syurga atau neraka. Hitam atau putih. Kita yang memilih. Samada terpilih atau tersisih, kepada-Nya juga kita beralih.

Mengingati mati juga satu ibadah. Kita pernah lihat orang yang dah lama terlantar sakit, tapi ajalnya masih belum tiba. Kapal terbang terhempas pun masih bernyawa. Berpantang maut sebelum ajal. Alih-alih, orang yang jaga orang sakit itu yang pergi dulu. Orang yang kita tengok sihat walafiat baru lepas bersukan yang ajalnya sampai dulu.

Maut itu misteri tetapi pasti. Rahsia Allah. Jodoh, rezeki, ajal maut ketentuan Allah. Kita manusia hanya merancang, tetapi Allah itu sebaik-baik Perancang.




2 comments: