Hebahan

Saturday, December 26, 2009

BARU tengok!

Aku bukannya kaki wayang pun. Kalau aku ni seorang kaki wayang, sudah tentu kesemua wayang yang berada di pawagam akan aku tonton. Kesemuanya!

Aku cuma gemar menonton wayang. Dan bukan semua jenis cerita atau genre yang aku tonton. Bukan bermakna juga semata-mata atas nama ‘filem tempatan’ aku sanggup beratur panjang demi menaikkan jumlah kutipan sesuatu filem.

Pendek kata, aku juga amat selektif. Dan sepanjang bulan Disember 2009, aku telah menonton filem-filem berikut :


Dan berikut merupakan bintang yang aku berikan menurut kaca mata aku selaku si tukang tulis:

a) Avatar 5/5
b) Muallaf 5/5

c) Santau 4/5
d) My Spy 3/5


Baiklah, kita mulakan dengan My Spy, arahan Afdlin Shauki, terbitan KRU, lakonan AC Mizal dan Harun Salim Bachik. Lihat saja nama yang tersenarai, bersama barisan pelakonnya, ditambah lagi dengan 3 kuntum bunga iaitu, Hannah Tan, Daphne Iking dan Carmen Soo, sudah pasti ada daya tarikan magnet yang begitu kuat bagi menarik penonton.


Tapi sayang, genre cerita sebegini, seperti Setem, Los & Faun yang berkisarkan dunia penyiasatan diselitkan unsur humor, hasil kutipan kurang memberangsangkan. Dan filem ini juga ditimpa nasib yang serupa. Walaupun melepasi angka 1 juta.

Secara kebetulan, Setem, Los & Faun serta My Spy melibatkan Afdlin Shauki. My Spy di tangan Afdlin kali ini sedikit berbeza dengan filem-filem Afdlin yang lain seperti Buli, Papadom dll. Menurut Afdlin, My Spy memang dihasilkan untuk penonton gelak semata-mata. Tanpa berat kepala memikirkan apa yang tersurat & tersirat mesej yang mahu disampaikan.

Cerita ini ringan, kalau anda serabut kepala, mahu ‘unwind’..inilah jawapannya.


Santau, filem kedua arahan Azhari Zain selepas Jin Notti. Bergenre seram dan menampilkan muka-muka baru dan kurang popular. Hasilnya… sangat impresif. Esma Daniel kali pertama menerajui watak utama, di samping Putri Mardiana yang berlakon sepenuh jiwa dan amat layak dicalonkan Top 5 lakonan terbaik. Mungkin bakat Putri Mardiana yang telah mewakili Malaysia ke Hollywood (kategori lakonan) telah terbukti wibawanya.


Tak salah, dan tak ralat andai dikatakan filem ini boleh menandingi atau lebih baik daripada Jangan Pandang Belakang terbitan Metrowealth juga. Usai menonton filem ini, anda akan sentisa berhati-hati dan waspada dengan hal sekeliling anda. Apa yang anda makan, siapa yang rapat dengan anda, dan mesej kawan makan kawan, kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar dicari disampaikan dengan jelas. Cuma sayang lakonan Lisdawati bagai melukut di tepi gantang.


Avatar, arahan pengarah Titanic, James Cameron boleh dikatakan filem yang sangat mengagumkan. CGI nya yang sangat berkualiti tinggi dan mempesonakan mata. Walaupun aku menontonnya jam 12 tengah malam bersama adik-beradik, dan kami duduk secara berasingan, aku tidak mengantuk langsung. Tidak terlena langsung walau sepicing.

Durasinya lebih kurang 2 jam 40 minit, namun terasa masa berlalu pantas umpama melalui lebuhraya LEKAS ke Nilai. Lakonan yang mantap, tak kira watak utama atau tempelan. Watak yang tidak harus terlepas pandang ataupun penggerak utama cerita ini sudah tentu watak pemandu kapal terbang wanita, lakonan Michelle Rodriguez. Senang cerita, cerita ini boleh pukul habis District 9. District 9 sudah best, akan tetapi Avatar lagi best lah. Apa boleh buat kan.. Rasa macam nak tengok lagi sekali… 3D punya~


Muallaf?? Nantikan ulasan penuh di entri yang akan datang.

Wednesday, December 23, 2009

BARU buku bertemu ruas!


Tak payah cakap panjang. Tak payah ulas melebar. Tengok saja sudah memadai.

Aku dah lama tak sembang pasal bola dalam blog ni. Inilah yang terkini. Champion League pusingan kedua. Aku tak sabar nak tengok mereka berentap. Mereka yang dimaksudkan ialah :

a) David Beckham yang dipinjamkan ke AC Milan akan menentang pasukan MU buat pertama kalinya.
b) Jose Mourinho, pengemudi Inter Milan akan berdepan kelab lamanya, Chelsea.
c) Pemain Real Madrid, Karim Benzema juga akan menetang pasukannya yang terdahulu, Lyon
d) Pasukan pilihan aku --> Fiorentina
e) LIVERPOOL tiada dalam senarai. Tersingkir~


Monday, December 21, 2009

BARU buka meja...

Open Table~

Pernah dengar istilah ini?? Selalunya istilah sebegini di kalangan kawan-kawan yang kita suka, dengan harapan kita akan dapat mengisi kekosongan perut kita dengan sesuatu mengenyangkan dengan PERCUMA!

Nak membodek pun ya juga kan?? Ianya simbolik kepada meraikan sesuatu kejayaan yang diraih oleh rakan/kawan/kenalan/sahabat terbabit. Ayat skema cukup sampai di sini.

Kali ini... bukan kisah aku nak open table, atau sesiapa saja yang mahu open table. Tetapi cerita kali ini mengenai open table yang hanya digunakan dalam famili aku. Setiap kali cuti semester, semua ahli keluarga akan berkumpul. Cici yang belajar di Pantai Timur, manakala Min yang berada di Pulau Mutiara, aku yang sentiasa mengembara ke sini ke sana ekoran kerja, akan berkumpul di rumah.

Inilah satu-satunya peluang dan kesempatan bagi kami untuk "buka meja". Meja apakah? Dulu ada DUA buah meja. Masa kami tinggal di Taman Jasa, Sungai Tua kami selalu buka meja karom dan meja ping pong. Kini meja karom itu hanya tinggal sejarah. Yang tinggal, hanyalah meja ini... >

Inilah meja yang menyatukan kami sekeluarga. Lautan mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tak pernah basah ditimpa hujan mencurah. Sedangkan lidah boleh tergigit, inikan pula ahli keluarga. Adakalanya, timbul salah-faham, pergeseran, dan konflik dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Tidak terkecuali keluarga kami.


Namun, sejurus saja meja ini DIBUKA... buku lama secara automatik TERTUTUP kemas. Orang Klate kata kemas-kemin! Cerita lama usah dikenang. Yang berlalu usah diungkit dan berbangkit. Meja ini akan meneutralkan keadaan. Yang keruh akan kembali jernih! Biduk berlalu, kiambang bertaut!

Suatu ketika (dulu kerap & kini amat jarang sekali), kejiranan kami meriah kerana meja ini. Kami sekeluarga mencuri perhatian semua orang. Sesiapa yang nak cuba main benda alah ini dipersilakan dengan segala hormatnya. Sesiapa nak rasa main tenis atas meja diberi ruang, peluang dan kesempatan secukupnya. Menang tak berani jamin, kalah pasti dalam tangan. Haha, berlagak gila~

Panda bahagia dikelilingi dan dikerumuni penjaganya!

Setiap kali meja ini dibuka, maka beralihlah kesemua kereta. Gelanggang telahpun dibuka, masa usah dibuang sebegitu saja. Sessi warm-up bermula. Aku akan kenang ayat ini. "Buang masa!". Itulah favourite quote Papa. Papa tak sabar-sabar nak kalahkan kami 3 beradik lelaki.


Memang pun. Papa lah juara sebenar. Papa juga juara di hati kami 4 beradik. Walaupun Papa telah mencecah 55 tahun, ditambah dengan penyakit diabetes lagi, Papa masih juara bertahan. Tiada sesiapa lagi antara kami 3 beradik lelaki yang muda belia mampu mengalahkan Papa. Tak kira samada game single atau double. Sesiapa yang pair dengan Papa, pasti menang!



Bila pula agaknya meja ini akan dibuka dan membawa kemeriahan dan keceriaan yang tak berpenghujung??

Saturday, December 19, 2009

BARU nak cerita...

2 minggu pertama bulan Disember ini sangat kesuntukan masa. Kesibukan melanda~

Pejam celik... pejam celik;

Aku BARU saja tamat training(GEMS Part 1) di Rawang. Maka, menurut surat tawaran 'bekerja' aku akan ditempatkan di sebuah kilang (syarikat swasta) di Damansara. Aduhai... bagaimana pula nanti kehidupan aku di tengah-tengah kota lumpur (KL) nanti.


Dikelilingi golongan elit... sudah pasti kos sara hidup juga tinggi. Bagaimana aku akan meneruskan kehidupan di sini... Hopefully I won't be a stranger in a strange place who stuck and lost in the middle of nowhere. Serius, aku telah sesat mencari pintu keluar dari Ikano mencari tempat letak motor! Haha... selalunya orang sesat dalam hutan kan?

Pejam celik... pejam celik;

Aku BARU saja bertunang. Alhamdulillah aku selamat menjadi tunangan orang dan keluarga aku juga selesai menjayakan urusan meminang cinta hatiku gadis Borneo. Walaupun bukan orang Borneo tetapi begitulah analoginya.


Ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk bertemu jua. Istilah orang putihnya "Men are from Mars, Women are from Venus". Perkahwinan yang akan didirikan nanti akan menyatukan dua jiwa, dua hati dan dua keluarga yang jauh berbeza. Sebelah pihak dari Kelantan (ada darah Siam) manakala sebelah pihak lagi dari Sabak Bernam(ada darah Jawa).

Aku hargai apa yang sanak saudara kata(mahu berkahwin dengan orang luar Kelantan).. tetapi penyatuan dua jiwa ini sudah pasti ada hikmahnya kerana junjungan besar kita, Nabi Muhammad sendiri yang menggalakkan perkahwinan yang jauh daripada hubungan darah. Dan yang paling utama, restu mama dan papa yang memperkenankan hubungan kami itu lebih membahagiakan.

Terima kasih atas ucapan tahniah dan doa daripada rakan-rakan. Doakan jodoh kami berdua kekal ke jinjang pelamin, kekal bahagia dunia akhirat. Amin =)

Pertunangan ini hanya satu permulaan. Kami hanya melangkah ke fasa yang baru. Bertunang bukannya tiket untuk kami bebas berhubungan tanpa memikirkan batas-batas yang sepatutnya terpelihara.

Bertunang perlu ke untuk dihebah-hebahkan kepada orang lain? Sebaiknya tidak perlu dihebahkan kepada orang lain, kecuali kepada saudara mara atau sahabat terdekat. Ini kerana pertunangan itu adalah separuh langkah menuju perkahwinan, bukan satu kepastian yang jitu tentang perkahwinan kelak. Jika sesuatu yang buruk berlaku,bagaimana? Sebab itulah pertunangan itu perlu dirahsiakan..

Nabi Muhammad S.A.W ada mengingatkan kepada kita: "Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan." (Riwayat Ahmad drpd Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu dan disahihkan oleh al-albani di dlm Irwa' al-Ghalil).

Tetapi memandangkan sudah ada 'forum' membincangkan status aku di Fesbuk, maka bocor sudah rahsia ini... Itulah penangan Fesbuk. Ada juga keburukannya yang aku mulai nampak! Mulai nampak.. haha.

Pejam celik... pejam celik... suatu hari nanti kita akan pejam tak celik-celik lagi~

Friday, December 18, 2009

Tahun BARU di hujung tahun~

Selalunya... tahun baru akan dimulai dengan bulan baru. Bulan yang menandakan bulan pertama bagi sesuatu tahun. Januari untuk tahun Masihi. Tetapi.. kali ini, di bulan Disember, tahun baru bagi kalendar Hijri telahpun memasuki tahun ke 1431.

Ya.. bulan Muharram telah muncul. Mungkin ada yang tidak sedar kita telah berada di tahun baru ketika bersorak sakan meraikan kemenangan pasukan bola sepak Malaysia merangkul pingat emas sukan SEA.

Ada yang ralit dengan keseronokan dibuai kemenangan indah. Ada yang terus terlena didodoi lagu riang yang mula bergema di pelosok atmosfera Malaysia. Usah cakap soal membaca doa akhir tahun + doa awal tahun, malah ada yang terlepas solat Asar dan Maghrib sekaligus.

Apakah tanda kesyukuran kita?? Adakah dengan mengingati-Nya? Setelah 20 tahun menanti, seharusnya kita bersujud kepada-Nya tanda kesyukuran. Adakah kita mahu menunggu 20 tahun lagi supaya pingat emas bola sepak suka SEA masih menjadi milik Malaysia.

Begitu juga aku. Aku manusia. Manusia sentiasa lupa. Itulah makna 'insan', perkataan Arab yang berasal daripada kata dasar na-si-ya yang bermaksud lupa. Aku lupa untuk bersiap-sedia untuk membaca doa akhir+awal tahun. Nasib baik menjelang Asar aku mendapat SMS daripada Mama mengingatkan aku yang langsung terlupa sama sekali.

Ya.. ini bukan sesuatu yang wajib, tetapi sebagai tanda kehambaan kita kepada-Nya, yang terus memberikan kita ruang dan peluang untuk terus bernafas, inilah kesempatan bagi kita memohon keampunan atas segala dosa dan khilaf kita samada yang terang atau tersembunyi.

Aku juga pernah lupa.. 2 tahun lalu. Gara-gara sibuk berfutsal ketika Sukan MSAE di UPM, aku menyangkakan kita berada di tahun 1419 Hijriah! Dengan penuh konfidennya aku menyebut 1419 Hijriah! 10 tahun aku terkebelakang. Aku hanya malu dengan diri sendiri. Adakah ini maknanya aku juga ketinggalan 10 tahun memenuhkan buku amalan harian yang dicatat Raqib & A'tid?? Sedangkan aku yang ada latar belakang pendidikan agama boleh terlepas pandang atau mengambil mudah perkara sebegini.. apatah lagi mereka dan keluarga mereka. Salah siapa?

Buku amalan telahpun bertukar ganti. Kita kini berada di tahun yang baru. Buku amalan yang lalu akan dipertontonkan dan diperhitungkan suatu hari nanti. Inilah masa terbaik buat kita untuk bermuhasabah. Perhitungkanlah diri kamu sebelum kamu diperhitungkan. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Sembahyanglah kamu di belakang imam sebelum kamu disembahyangkan di hadapan imam.


Tiada lagi Hijrah sesudah peristiwa besar Hijrah Rasul dari Kota Makkah Al-Mukarramah ke Kota Madinah Al-Munawwarah. Tiada lagi jihad yang lebih besar selepas jihad di medan perang melainkan jihad menentang hawa nafsu. Biarpun peristiwa hijrah sebenarnya berlaku di bulan Safar, tetapi Saidina Umar yang menetapkan kalendar Islam bermula dengan Muharram. Mungkin kita boleh sama-sama puasa sunat Hari Asyura 10 Muharram nanti??

Bermuhasabahlah kita. Berubahlah kita ke arah yang lebih positif. Berhijrahlah. HIJRAH juga perkataan Arab, asalnya daripada Ha-Ja-Ro. Ha simpul ya. Bukan Ha pedas. Kalau Ha pedas Hajar bermaksud Batu. Tetapi kalau Ha simpul, Hajar bermakna berganjak, bertukar kedudukan/posisi atau beralih. Jadi anjakan paradigma memang kena dengan Ma'al Hijrah. Moga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang sudah.


Selamat Menyambut Awal Muharram 1431!


p/s : Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009M. Simboliknya?? Motif? Sama-sama fikirkan~

Wednesday, December 9, 2009

BARU~


Baru?? Apa yang baru?

Pos baru?? Entri baru?? Kerja baru?? Tempat baru?? Rumah baru?? Bilik baru?? Katil baru?? Status baru??

Ya.. banyak yang BARU. Dan semuanya berlaku dalam bulan Disember ini... (2 hb B'day Papa, selesai training GEMS, dapat placement di Damansara, nak kena cari rumah/bilik sewa/agenda 12 hb... dll)

Maka, aku tiada mood~ untuk menulis mahupun menebas lalang di laman blog sendiri.

Aku perlukan masa.. kasi beres segala urusan yang tertangguh. Sekarang.. aku perlu tempat duduk dan bersantai~

Monday, November 30, 2009

Hangat November ini~

Ya.. carta bulanan kembali menghiasi dinding blog ini. Tukang tulis akan terus menconteng dan mencoret apa yang patut didedahkan, dan apakah bahan berita yang layak menembusi carta Hangat November ini.

10) Trishna & Krishna - Pasangan kembar siam dari Bangladesh, yang berusia 2 tahun 11 bulan itu telah berjaya dipisahkan setelah menjalani pembedahan di Australia selama kira-kira 29 jam, 17 November lalu.

Kembar yang bercantum pada bahagian kepala itu kelihatan berjaya mengatasi segala cabaran dan dalam keadaan sedar dan stabil selepas pembedahan bagi memisahkan mereka di hospital tersebut. Yayasan Children First, yang membawa mereka ke Australia bagi pembedahan itu, akan menjaga mereka sepanjang tempoh penyembuhan.

SEBELUM

SELEPAS

9) Aina Suzaily M. Zailanny - Juara Penyampai Ikon 2009.

Rancangan ini bersiaran sejurus tamatnya rancangan realiti Pilih Kasih. Rancangan ini ala-ala Malaysian Top Host yang pernah bersiaran di TV3 yang melahirkan Nurul Syuhada Nurul Ain. Kali ini, gadis dari Kelantan berumur 20 tahun ini muncul sebagai juara Penyampai Ikon 2009. Menjadi wajah baru ikon RTM, Aina membawa pulang kereta Proton Saga BLM bernilai RM38,000, wang tunai RM6,000, trofi serta sijil pada Malam Anugerah Penyampai Ikon yang bersiaran di TV2 secara langsung dari Panggung Sari, Istana Budaya. Keputusan diumumkan oleh Pengetua Kolej Penyampai Ikon, Yusanani Yushak.

Hadiah dsampaikan oleh isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Maznah Rais yang diiringi oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya serta Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siara.

Program realiti TV itu yang berkonsepkan pengacaraan dan wartawan penyiaran itu telah menyaksikan enam finalis bersaing termasuk Khairul Faizi Dalaiil, 23; Beatrice Krishnan, 23; Mohamed Shahril Sarapudin, 21; Siti Aisyhah Baslie, 24, dan Hazel Desmond, 26.

Ironinya.. aku tak tengok pun rancangan ini walau 1 episod sekalipun. Haha

8)

Tanggal 19 November 1985 merupakan salah satu tarikh 'hitam' di Baling ekoran peristiwa Memali. Insiden ini mengorbankan 18 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara/Operasi Hapus'.

Peristiwa ini terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China.

Peristiwa berlaku di Kampung Memali yang terletak di mukim Siong, Baling, Kedah berhampiran dengan sempadan Kedah-Thailand. Penduduknya keturunan Melayu. Sebahagian lagi mempunyai kaitan dengan Siam/Patani. Aktiviti ekonomi mereka ialah menoreh getah dan bersawah padi.

Baling merupakan sebuah daerah yang dikaitkan dengan pertemuan antara Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng dari Parti Komunis Malaya pada tahun 1955. Baling dikejutkan lagi pada tahun 1974 berikutan insiden kebuluran pada era Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pelajar. Seterusnya Baling dikejutkan dengan Peristiwa Memali.

7) Gadis Melayu 2

Setelah Aida dinobatkan selaku Gadis Melayu musim pertama, musim terbaru ini menyaksikan seorang lagi gadis bertudung, Fiqa atau nama penuhnya Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin merangkul gelaran Gadis Melayu. Fiqa yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, diikat kontrak selama setahun bersama TV9 sekaligus diangkat sebagai Gadis Safi Balqis dan membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta hadiah iringan.


Fiqa, berjaya mengenepikan empat finalis lain - Shazfinaz Hashim (Finas), Hazlin Hussain (Lyn), Nadiah Adrianna Mohd Akbar (Nadia) dan Putri Noor Nawal Ramlan (Putri). Segala keputusan ditentukan oleh 50% undian penonton dan 50% lagi dari juri profesional iaitu Nurfarahin Jamsari, pengarang majalah Cosmopolitan Izza Safinaz Ibrahim, pengarang hiburan Harian Metro, Adam Salleh, Datin Seri Normala Shamsudin, Syafinaz Selamat dan Rosyam. Fiqa menyampaikan sebuah monologue dan lakonan bersama Fauzi Nawawi.

Ni Aida (Khairul Noormadiah Zali), pemenang Gadis Melayu musim pertama.

Rancangan ni pun sama. Tak pernah tengok. Alih-alih dah tamat siaran dan ada pemenangnya.

6) Manohara disaman Tengku Mohamad Fakhri RM 105 juta.

Manohara atau nama penuhnya Manohara Odelia Pinot telah disaman oleh Tengku Temenggong Kelantan iaitu Tengku Mohammad Fakhry sebanyak RM105 juta setelah didakwa menabur fitnah ke atas Tengku Fakhry dan ahli keluarganya. Tindakan Manohara bersama kakak dan ibunya itu telah merosakkan reputasi Tengku Fakhry dan ahli keluarganya. Mereka dikenakan saman RM35 juta setiap seorang menjadikan jumlah saman yang perlu dibayar jika disabit kesalahan adalah sebanyak RM105 juta!

Soalan TRIVIA - Apa beza Manohara - Manoharan - dan Manone?? Google sendiri~

5) DUN Kota Siputeh diisytihar KOSONG oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Semuanya gara-gara penyandangnya, Datuk Abu Hassan Sarif gagal menghadiri Sidang DUN sebanyak 2 kali. Masalah ini menuju ke klimaksnya.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN. Persoalannya, adakah PRK yang kesepuluh akan diadakan??


Alih-alih.. SPR yang kemuka permohonan ke Mahkamah Rayuan. Dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi.

Soalan yang lebih spesifik lagi... mengapa SPR yang harus kemuka rayuan?? Adakah SPR mewakili mana-mana parti politik?? TEET~

4) World Cup 2010. Akhirnya negara yang berjaya memasuki pusingan akhir di Afrika Selatan pada tahun hadapan telahpun diketahui. Russia akhirnya tersingkir walaupun mengatasi pasukan Slovenia 1-0. Namun kerana peraturan gol di tempat lawan, membolehkan Slovenia layak kerana Slovenia tumpas di Russia 2-1.


Untuk maklumat penuh negara yang layak ke Final Piala Dunia 2010, sila klik di sini.

3) Piala Malaysia - milik Negeri Sembilan. Inilah berita sukan tempatan paling hangat bulan November. Kemuncak Perlawanan Bola Sepak Piala Malaysia akhirnya terjawab setelah Negeri Sembilan menamatkan tempoh penantian selama 63 tahun. Pasukan Kelantan yang beraksi selaku finalis buat kali kedua di Bukit Jalil ternyata bukan tandingan buat Sang Rusa. Tak payah ulas panjang kerana isu ini telahpun diulas di dalam blog ini bulan ini.

2)Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) - dapatkan buku di bawah ini =)


Aku selaku anak jati Kelantan semestinya menghormati dan mengkagumi ketua dan pemimpin negeri kelahiranku ini. Akhir-akhir ini, makin jelas dan ketara usaha-usaha memburukkan nama TGNA. Sampai tak cukup senarai dibuatnya. Bermula dengan isu menantu beliau, Ariffahmi yang akhirnya melepaskan jawatan CEO PMBK, isu TGNA ditaja bagi menunaikan haji dan akhirnya TGNA membatalkan niat ke tanah suci. Semuanya sebab apa? Demi menjaga maruah dan imej Islam, maka menantu beliau diminta melepaskan jawatan dan hasrat murni menunaikan haji dibatalkan.

Tak cukup dengan itu, TGNA diserang bertubi-tubi lagi. Antaranya siapakah yang layak menggantikan beliau selaku Menteri Besar. Sehingga keluar desas-desus mengatakan EXCO Negeri, Dato' Haji Hussam Musa mahu meletak jawatan, sedangkan beliau nama yang sering bermain di bibir TGNA.

Tak cukup dengan itu, negeri Kelantan yang berjaya menuntut ROYALTI minyak telah dinafikan haknya. Sekadar istilah 'wang ihsan' digunakan. Mengapa?? Hal ini bukan sekadar mengguris hati TGNA malah semua rakyat Kelantan.

Malah, bekas Menteri Kewangan, Ku Li sendiri yang khabarnya akan mengetuai kaukus mengenai royalti minyak Kelantan akan hanya diputuskan sekiranya kaukus itu mempunyai perwakilan seimbang dari semua parti.

Ku Li atau nama sebenarnya, Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang BN yang terbabit sejak awal penubuhan Petronas berkata, beliau tidak terdesak untuk membuat keputusan tersebut, tetapi mengharapkan kaukus itu diwakili oleh semua anggota parlimen dari negeri-negeri yang mengeluarkan hasil petroleum.

Kemuncaknya, TGNA mahu berdoa supaya Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri jika tidak memberi royalti minyak kepada negeri Kelantan.

Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah pernah berdoa di hadapan Qazan, Raja Tatar: Wahai Tuhan, jika hambamu ini berperang untuk menjadikan kalimahMu yang tertinggi dan agama itu semuanya bagimu, maka bantulah ia dan berikannya kuasa ke atas negeri dan manusia. Dan jika ia hanya berperang kerana riya', disebut orang, inginkan dunia, menjadikan kalimah ia sendiri yg tertinggi, dan menghina Islam serta penganutnya, maka HINAKANNYA, GONCANGKANNYA, HANCURKANNYA, SERTA PUTUSKAN PENGIKUTNYA. (al-bidayah wa an-nihayah:14/102, tahqiq Ali Syiri, 1988).

Adakah Ibnu Taymiyyah telah mengikut hawa nafsunya dalam doa ini???

1) Dr. M.Asri Zainal Abidin (MAZA), bekas Mufti Perlis ditangkap dan didakwa di mahkamah kerana mengajar tanpa TAULIAH. Alaa.. Akhil Hayy pun pernah kena tangkap JAIS. Isunya.. tiada tauliah juga. Tup... tup.. senyap sebegitu saja.


Tauliah?? Apa itu?? Jika anda berada di Selangor, selaku seorang Muslim, anda ditanya oleh orang Muslim apa itu wudhu'? Dan bagaimana melakukannya jika tiada air mutlak. Anda TIADA TAULIAH untuk menjelaskan isu itu bukan?? Jadi, jika anda menerangkannya dengan betul, jelas dan terperinci, apakah KEBARANGKALIAN anda akan ditangkap dan didakwa kerana tidak memiliki tauliah??? TEET~

Satu lagi isu ini dikaitkan dengan ajaran atau fahaman "Wahabi". Apa itu?? Pernah dengar tak di Perlis mengamalkan Solat Subuh secara berjemaah tanpa membaca qunut. Majlis tahlil, ataupun kenduri arwah itu bid'ah. Baca Yaa-Siin setiap malam Jumaat juga bid'ah.

Adakah Wahabi ini sesat??? TIDAK. Tak percaya?? Baca sini. Dan baca juga tulisan Dr. MAZA di sini.

p/s : Oh..baru kusedar.. bulan November sangat mempopularkan Kelantan. Penuh carta seiring dengan musim tengkujuh yang melanda negeri itu.