Hebahan

Friday, December 18, 2009

Tahun BARU di hujung tahun~

Selalunya... tahun baru akan dimulai dengan bulan baru. Bulan yang menandakan bulan pertama bagi sesuatu tahun. Januari untuk tahun Masihi. Tetapi.. kali ini, di bulan Disember, tahun baru bagi kalendar Hijri telahpun memasuki tahun ke 1431.

Ya.. bulan Muharram telah muncul. Mungkin ada yang tidak sedar kita telah berada di tahun baru ketika bersorak sakan meraikan kemenangan pasukan bola sepak Malaysia merangkul pingat emas sukan SEA.

Ada yang ralit dengan keseronokan dibuai kemenangan indah. Ada yang terus terlena didodoi lagu riang yang mula bergema di pelosok atmosfera Malaysia. Usah cakap soal membaca doa akhir tahun + doa awal tahun, malah ada yang terlepas solat Asar dan Maghrib sekaligus.

Apakah tanda kesyukuran kita?? Adakah dengan mengingati-Nya? Setelah 20 tahun menanti, seharusnya kita bersujud kepada-Nya tanda kesyukuran. Adakah kita mahu menunggu 20 tahun lagi supaya pingat emas bola sepak suka SEA masih menjadi milik Malaysia.

Begitu juga aku. Aku manusia. Manusia sentiasa lupa. Itulah makna 'insan', perkataan Arab yang berasal daripada kata dasar na-si-ya yang bermaksud lupa. Aku lupa untuk bersiap-sedia untuk membaca doa akhir+awal tahun. Nasib baik menjelang Asar aku mendapat SMS daripada Mama mengingatkan aku yang langsung terlupa sama sekali.

Ya.. ini bukan sesuatu yang wajib, tetapi sebagai tanda kehambaan kita kepada-Nya, yang terus memberikan kita ruang dan peluang untuk terus bernafas, inilah kesempatan bagi kita memohon keampunan atas segala dosa dan khilaf kita samada yang terang atau tersembunyi.

Aku juga pernah lupa.. 2 tahun lalu. Gara-gara sibuk berfutsal ketika Sukan MSAE di UPM, aku menyangkakan kita berada di tahun 1419 Hijriah! Dengan penuh konfidennya aku menyebut 1419 Hijriah! 10 tahun aku terkebelakang. Aku hanya malu dengan diri sendiri. Adakah ini maknanya aku juga ketinggalan 10 tahun memenuhkan buku amalan harian yang dicatat Raqib & A'tid?? Sedangkan aku yang ada latar belakang pendidikan agama boleh terlepas pandang atau mengambil mudah perkara sebegini.. apatah lagi mereka dan keluarga mereka. Salah siapa?

Buku amalan telahpun bertukar ganti. Kita kini berada di tahun yang baru. Buku amalan yang lalu akan dipertontonkan dan diperhitungkan suatu hari nanti. Inilah masa terbaik buat kita untuk bermuhasabah. Perhitungkanlah diri kamu sebelum kamu diperhitungkan. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Sembahyanglah kamu di belakang imam sebelum kamu disembahyangkan di hadapan imam.


Tiada lagi Hijrah sesudah peristiwa besar Hijrah Rasul dari Kota Makkah Al-Mukarramah ke Kota Madinah Al-Munawwarah. Tiada lagi jihad yang lebih besar selepas jihad di medan perang melainkan jihad menentang hawa nafsu. Biarpun peristiwa hijrah sebenarnya berlaku di bulan Safar, tetapi Saidina Umar yang menetapkan kalendar Islam bermula dengan Muharram. Mungkin kita boleh sama-sama puasa sunat Hari Asyura 10 Muharram nanti??

Bermuhasabahlah kita. Berubahlah kita ke arah yang lebih positif. Berhijrahlah. HIJRAH juga perkataan Arab, asalnya daripada Ha-Ja-Ro. Ha simpul ya. Bukan Ha pedas. Kalau Ha pedas Hajar bermaksud Batu. Tetapi kalau Ha simpul, Hajar bermakna berganjak, bertukar kedudukan/posisi atau beralih. Jadi anjakan paradigma memang kena dengan Ma'al Hijrah. Moga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang sudah.


Selamat Menyambut Awal Muharram 1431!


p/s : Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009M. Simboliknya?? Motif? Sama-sama fikirkan~

No comments:

Post a Comment