Pernah dengar istilah ini?? Selalunya istilah sebegini di kalangan kawan-kawan yang kita suka, dengan harapan kita akan dapat mengisi kekosongan perut kita dengan sesuatu mengenyangkan dengan PERCUMA!
Nak membodek pun ya juga kan?? Ianya simbolik kepada meraikan sesuatu kejayaan yang diraih oleh rakan/kawan/kenalan/sahabat terbabit. Ayat skema cukup sampai di sini.
Kali ini... bukan kisah aku nak open table, atau sesiapa saja yang mahu open table. Tetapi cerita kali ini mengenai open table yang hanya digunakan dalam famili aku. Setiap kali cuti semester, semua ahli keluarga akan berkumpul. Cici yang belajar di Pantai Timur, manakala Min yang berada di Pulau Mutiara, aku yang sentiasa mengembara ke sini ke sana ekoran kerja, akan berkumpul di rumah.
Inilah satu-satunya peluang dan kesempatan bagi kami untuk "buka meja". Meja apakah? Dulu ada DUA buah meja. Masa kami tinggal di Taman Jasa, Sungai Tua kami selalu buka meja karom dan meja ping pong. Kini meja karom itu hanya tinggal sejarah. Yang tinggal, hanyalah meja ini... >
Inilah meja yang menyatukan kami sekeluarga. Lautan mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tak pernah basah ditimpa hujan mencurah. Sedangkan lidah boleh tergigit, inikan pula ahli keluarga. Adakalanya, timbul salah-faham, pergeseran, dan konflik dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Tidak terkecuali keluarga kami.
Namun, sejurus saja meja ini DIBUKA... buku lama secara automatik TERTUTUP kemas. Orang Klate kata kemas-kemin! Cerita lama usah dikenang. Yang berlalu usah diungkit dan berbangkit. Meja ini akan meneutralkan keadaan. Yang keruh akan kembali jernih! Biduk berlalu, kiambang bertaut!
Suatu ketika (dulu kerap & kini amat jarang sekali), kejiranan kami meriah kerana meja ini. Kami sekeluarga mencuri perhatian semua orang. Sesiapa yang nak cuba main benda alah ini dipersilakan dengan segala hormatnya. Sesiapa nak rasa main tenis atas meja diberi ruang, peluang dan kesempatan secukupnya. Menang tak berani jamin, kalah pasti dalam tangan. Haha, berlagak gila~
Setiap kali meja ini dibuka, maka beralihlah kesemua kereta. Gelanggang telahpun dibuka, masa usah dibuang sebegitu saja. Sessi warm-up bermula. Aku akan kenang ayat ini. "Buang masa!". Itulah favourite quote Papa. Papa tak sabar-sabar nak kalahkan kami 3 beradik lelaki.
Memang pun. Papa lah juara sebenar. Papa juga juara di hati kami 4 beradik. Walaupun Papa telah mencecah 55 tahun, ditambah dengan penyakit diabetes lagi, Papa masih juara bertahan. Tiada sesiapa lagi antara kami 3 beradik lelaki yang muda belia mampu mengalahkan Papa. Tak kira samada game single atau double. Sesiapa yang pair dengan Papa, pasti menang!
Bila pula agaknya meja ini akan dibuka dan membawa kemeriahan dan keceriaan yang tak berpenghujung??
No comments:
Post a Comment