Hebahan

Saturday, December 26, 2009

Muallaf : BARU tengok, BARU faham


Inilah filem ‘terakhir’ arwah Yasmin yang menemui khalayak. (padahal Muallaf dah siap sebelum Talentime). Akhirnya…

Muallaf, di dalam bahasa Arab asal daripada perkataan Aliif bermaksud jinak. Sebab itu kita ada istilah merujuk kepada saudara baru ataupun hatinya yang telah jinak dan dilembutkan baginya menerima Islam sebagai pegangan hidup. Cerita ini berkisar soal hati. Hati yang keras, berjaya dijinakkan, berjaya dilembutkan supaya dendam kesumat berlalu pergi. Kemaafan yang dicari.

Dan filem Muallaf ini tiada kaitan langsung dengan sesiapa yang masuk atau memeluk Islam. Sebaliknya merujuk kepada golongan As-Sabiin yang hidup ketika zaman antara Kristian dan Islam yang mengetahui adanya Tuhan Yang Maha Esa (dan ada juga yang tidak beriman). Dan simboliknya juga watak Brian yang berminat dan mendekati Islam bukan memeluk Islam.

Setelah diselubungi beberapa siri kontroversi, filem ini lepas untuk tontotan 18 tahun ke atas tanpa sebarang potongan. Kecuali ada 2 scene yang menerima hukuman ‘mute’ (satu pasal telekung, satu lagi pasal Wahabi KOT??). Klasifikasi filem ini 18PL dan ianya amat wajar sekali. Ya! Amat wajar, kerana filem ini agak berat di minda mereka bawah 18 tahun. Walaupun lebih banyak filem lain yang ada unsur ganas, darah mencurah-curah, tetapi filem ini ada isu yang amat sensitif untuk diterima dan diserap di benak fikiran sesiapa saja.

Kerana itulah Malaysia kita pada hari ini. Sebagaimana watak Rohani, lakonan Amani yang mahu belajar kursus ‘perbandingan agama’ atau teologi di universiti. Isu mengkaji agama, membandingkan agama Islam dengan agama lain dengan ‘membelek’ kitab-kitab seperti Bible dll, itu hanya berlaku kepada 2 beradik ini sahaja di muka bumi Malaysia, Rohana dan Rohani, fantasi dan imaginasi arwah Yasmin.

Justeru, sebelum penonton melangkahkan kaki, kosongkan minda dan terima dengan hati terbuka setiap momen yang ada dalam filem ini. Cuba lihat ‘gajah yang besar’! Bukan sekadar belalainya, ataupun telinganya umpama kipas, hatta kakinya yang bagaikan batang pokok kelapa sekalipun.

Filem ini ada mesej. Berat mana mesej yang cuba disampaikan, berat lagi bahu Amani, Aleysha, Brian dan pelakon-pelakon lain yang memikul dan menggalas watak-watak dan karektor berkaitan.

Brian Goh, lakonan Brian Yap. Seorang guru di sebuah sekolah menengah di mana Rohana belajar. Brian ada kisah silam, di mana ekoran peristiwa itu, Brian amat membenci dan menyampah dengan ibunya sendiri. Brian tiada pegangan agama, digambarkan sebagai seorang yang ‘stingy’ atau kedekut. Berkira nak mampus walaupun RM 2! Brian juga takutkan kucing serta biasa masuk rumah pakai kasut.

Namun, setelah mengenali 2 beradik ini, Rohani dan Rohana, Brian ‘lemas’ di lautan cinta. Kita dapat rasakan getaran cintanya, nampak api cemburunya, walaupun Rohani (Amani) lebih mengutamakan keluarga daripada cinta. Brian berubah. Totally different!

Brian dah tahu buka kasut sebelum masuk rumah.Brian sudah berani dengan kucing, sanggup belanja lebih, dan beralah dan memaafkan ibunya kerana peristiwa lalu. Ular… kalau menyusur akar, takkan hilang bisanya.


Rohani, lakonan Sharifah Amani, lebih baik daripada Orked dalam Gubra. Lakonan terbaik, penuh jiwa dan penghayatan. Anda akan nampak rasionalnya Amani mahu botakkan kepala. Rohani lari daripada cengkaman bapanya yang mabuk (lakonan Rahim Razali) bersama adiknya Rohana.

Mahu lari dari KL ke Singapura, tetapi melalui Ipoh! Haha. Mereka berdua memang hebat bab-bab berborak atau istilah yang lebih tepat lagi, berdiskusi/berdebat mengenai agama. Tauhid uluhiah, tauhid rububiah adalah topik makanan seharian mereka. Hanya mereka berdua saja yang mewarisi ini daripada Mak mereka. Kalaulah Mak mereka masih ada, Mak merekalah yang layak membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada mereka mengenai segala keraguan mereka berdua yang perlu dirungkaikan. Ya lah… Mak dia kan pensyarah universiti.

Di Ipoh, mereka berteduh di sebuah banglo usang, dan Rohani terpaksa bekerja di pub/kelab malam yang ada jual arak walaupun ditegah Rohana. Jangan terus jatuhkan hukuman. Kita bukannya tuhan. Rohani yang bekerja di pub selalu menasihati orang yang suka ‘minum’ samada suruh mereka berhenti atau suruh mereka minum air mineral. Mesej yang paling jelas, kenapa ARAK yang ternyata merosakkan (bahkan meruntuhkan institusi keluarga seperti keluarga Rohani) tidak ada pihak yang berani banned?? Sindiran terbaik untuk kerajaan…sungguh pandai arwah Yasmin berpolitik.

Akibatnya, Rohani dibuang kerja kerana bosnya tak suka Rohani ‘berdakwah’ secara tidak langsung tentang bahaya minum arak. Walaupun tidak memakai tudung kepala, Rohani mengamalkan membaca Al-Quran dengan menutup aurat, sebelum naik skuter baca Bismillah, ketika sedang naik skuter, Rohani gemar berselawat ke atas Nabi(lagu yang paling indah sesudah azan).

Rohani juga menziarah orang sakit di hospital dan membaca ayat suci Al-Quran sebagai cara sedekah, dan yang paling penting, sebelum tidur, setiap malam sebelum lelapkan mata, mereka 2 beradik akan memaafkan kesalahan sesiapa saja yang dilakukan terhadap mereka, dan mereka takkan berdendam dengan sesiapa. Benar! Kemaafan dendam terindah!(lagu Aishah sangat) Kerana keluarga lebih penting daripada cinta, Rohani memaafkan ayahnya dan rela menjaga ayahnya yang terlantar di hospital kerana stroke.

Sharifah Aleysha, kali pertama, memegang watak Rohana, yang suka mengaitkan segenap masalah yang berlaku dalam kehidupan mereka dengan agama. Samada itu dari Al-Quran ataupun kitab-kitab lain. Mungkin remaja seperti Ana tak wujud di dunia ini. Kalau ada pun boleh bilang dengan jari. Memeluk Islam, tak bermakna kita perlu menutup pintu kepada mana agama selain Islam. Ada komprominya bagi mereka yang tidak menentang Islam. Di dalam negara Islam Madinah pimpinan junjungan besar kita Nabi Muhammad juga ada kafir harbi dan kafir zimmi dan mereka tidak terkecuali dikenakan zakat.

Selain itu, watak yang mencuri perhatian aku ialah watak Cindy. Inilah watak kecil paling menyerlah. Walaupun luarannya membenci Rohani, tetapi jauh di sudut hati, ada sekelumit ihsan terhadap nasib yang menimpa Rohani dan adiknya. Watak Brian sewaktu kecil hakikatnya dilakonkan budak lelaki Melayu. Begitu juga watak budak perempuan bangsa Cina yang terlantar di hospital dipukul ayahnya juga budak Melayu.

Ho Yuhang walaupun muncul seketika tetapi menarik perhatian dengan anjingnya. Datuk Rahim Razali selaku seorang ayah yang bergelar ‘Datuk’ tetapi mabuk! Ada satu babak, tiba-tiba Datuk itu merasa jijik dengan anjing dan dalam masa yang sama masih tunggang arak! Sayangnya, Ning Baizura kurang menyerlah, tetapi yang lebih menonjol ialah rambutnya yang besar selaku Mak Datin, tetapi kerana rambut besar itulah cerita ini terjadi dan menemukan Cikgu Brian dengan Rohana yang suka menyebut nombor (mewakili surah-surah) berulang-ulang kali.

Penutup cerita filem ini memang gaya dan cara Yasmin. Play safe seperti Sepet dan Talentime. Kita perlu buat kesimpulan sendiri, samada Brian akan memeluk islam atau tidak dan bagaimana kesudahan cintanya dengan Rohani. Hati yang keras telah dijinakkan bagi memberi kemaafan. Dengan keampunan kita dimaafkan. Tontonlah dengan minda dan hati yang terbuka. Islam itu luas bukannya sempit. Islam itu mudah dan tidak menyusahkan…Tetapi harus ingat. Islam ya'aluu walaa yu'laa alaih. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

BARU tengok!

Aku bukannya kaki wayang pun. Kalau aku ni seorang kaki wayang, sudah tentu kesemua wayang yang berada di pawagam akan aku tonton. Kesemuanya!

Aku cuma gemar menonton wayang. Dan bukan semua jenis cerita atau genre yang aku tonton. Bukan bermakna juga semata-mata atas nama ‘filem tempatan’ aku sanggup beratur panjang demi menaikkan jumlah kutipan sesuatu filem.

Pendek kata, aku juga amat selektif. Dan sepanjang bulan Disember 2009, aku telah menonton filem-filem berikut :


Dan berikut merupakan bintang yang aku berikan menurut kaca mata aku selaku si tukang tulis:

a) Avatar 5/5
b) Muallaf 5/5

c) Santau 4/5
d) My Spy 3/5


Baiklah, kita mulakan dengan My Spy, arahan Afdlin Shauki, terbitan KRU, lakonan AC Mizal dan Harun Salim Bachik. Lihat saja nama yang tersenarai, bersama barisan pelakonnya, ditambah lagi dengan 3 kuntum bunga iaitu, Hannah Tan, Daphne Iking dan Carmen Soo, sudah pasti ada daya tarikan magnet yang begitu kuat bagi menarik penonton.


Tapi sayang, genre cerita sebegini, seperti Setem, Los & Faun yang berkisarkan dunia penyiasatan diselitkan unsur humor, hasil kutipan kurang memberangsangkan. Dan filem ini juga ditimpa nasib yang serupa. Walaupun melepasi angka 1 juta.

Secara kebetulan, Setem, Los & Faun serta My Spy melibatkan Afdlin Shauki. My Spy di tangan Afdlin kali ini sedikit berbeza dengan filem-filem Afdlin yang lain seperti Buli, Papadom dll. Menurut Afdlin, My Spy memang dihasilkan untuk penonton gelak semata-mata. Tanpa berat kepala memikirkan apa yang tersurat & tersirat mesej yang mahu disampaikan.

Cerita ini ringan, kalau anda serabut kepala, mahu ‘unwind’..inilah jawapannya.


Santau, filem kedua arahan Azhari Zain selepas Jin Notti. Bergenre seram dan menampilkan muka-muka baru dan kurang popular. Hasilnya… sangat impresif. Esma Daniel kali pertama menerajui watak utama, di samping Putri Mardiana yang berlakon sepenuh jiwa dan amat layak dicalonkan Top 5 lakonan terbaik. Mungkin bakat Putri Mardiana yang telah mewakili Malaysia ke Hollywood (kategori lakonan) telah terbukti wibawanya.


Tak salah, dan tak ralat andai dikatakan filem ini boleh menandingi atau lebih baik daripada Jangan Pandang Belakang terbitan Metrowealth juga. Usai menonton filem ini, anda akan sentisa berhati-hati dan waspada dengan hal sekeliling anda. Apa yang anda makan, siapa yang rapat dengan anda, dan mesej kawan makan kawan, kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar dicari disampaikan dengan jelas. Cuma sayang lakonan Lisdawati bagai melukut di tepi gantang.


Avatar, arahan pengarah Titanic, James Cameron boleh dikatakan filem yang sangat mengagumkan. CGI nya yang sangat berkualiti tinggi dan mempesonakan mata. Walaupun aku menontonnya jam 12 tengah malam bersama adik-beradik, dan kami duduk secara berasingan, aku tidak mengantuk langsung. Tidak terlena langsung walau sepicing.

Durasinya lebih kurang 2 jam 40 minit, namun terasa masa berlalu pantas umpama melalui lebuhraya LEKAS ke Nilai. Lakonan yang mantap, tak kira watak utama atau tempelan. Watak yang tidak harus terlepas pandang ataupun penggerak utama cerita ini sudah tentu watak pemandu kapal terbang wanita, lakonan Michelle Rodriguez. Senang cerita, cerita ini boleh pukul habis District 9. District 9 sudah best, akan tetapi Avatar lagi best lah. Apa boleh buat kan.. Rasa macam nak tengok lagi sekali… 3D punya~


Muallaf?? Nantikan ulasan penuh di entri yang akan datang.

Wednesday, December 23, 2009

BARU buku bertemu ruas!


Tak payah cakap panjang. Tak payah ulas melebar. Tengok saja sudah memadai.

Aku dah lama tak sembang pasal bola dalam blog ni. Inilah yang terkini. Champion League pusingan kedua. Aku tak sabar nak tengok mereka berentap. Mereka yang dimaksudkan ialah :

a) David Beckham yang dipinjamkan ke AC Milan akan menentang pasukan MU buat pertama kalinya.
b) Jose Mourinho, pengemudi Inter Milan akan berdepan kelab lamanya, Chelsea.
c) Pemain Real Madrid, Karim Benzema juga akan menetang pasukannya yang terdahulu, Lyon
d) Pasukan pilihan aku --> Fiorentina
e) LIVERPOOL tiada dalam senarai. Tersingkir~


Monday, December 21, 2009

BARU buka meja...

Open Table~

Pernah dengar istilah ini?? Selalunya istilah sebegini di kalangan kawan-kawan yang kita suka, dengan harapan kita akan dapat mengisi kekosongan perut kita dengan sesuatu mengenyangkan dengan PERCUMA!

Nak membodek pun ya juga kan?? Ianya simbolik kepada meraikan sesuatu kejayaan yang diraih oleh rakan/kawan/kenalan/sahabat terbabit. Ayat skema cukup sampai di sini.

Kali ini... bukan kisah aku nak open table, atau sesiapa saja yang mahu open table. Tetapi cerita kali ini mengenai open table yang hanya digunakan dalam famili aku. Setiap kali cuti semester, semua ahli keluarga akan berkumpul. Cici yang belajar di Pantai Timur, manakala Min yang berada di Pulau Mutiara, aku yang sentiasa mengembara ke sini ke sana ekoran kerja, akan berkumpul di rumah.

Inilah satu-satunya peluang dan kesempatan bagi kami untuk "buka meja". Meja apakah? Dulu ada DUA buah meja. Masa kami tinggal di Taman Jasa, Sungai Tua kami selalu buka meja karom dan meja ping pong. Kini meja karom itu hanya tinggal sejarah. Yang tinggal, hanyalah meja ini... >

Inilah meja yang menyatukan kami sekeluarga. Lautan mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tak pernah basah ditimpa hujan mencurah. Sedangkan lidah boleh tergigit, inikan pula ahli keluarga. Adakalanya, timbul salah-faham, pergeseran, dan konflik dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Tidak terkecuali keluarga kami.


Namun, sejurus saja meja ini DIBUKA... buku lama secara automatik TERTUTUP kemas. Orang Klate kata kemas-kemin! Cerita lama usah dikenang. Yang berlalu usah diungkit dan berbangkit. Meja ini akan meneutralkan keadaan. Yang keruh akan kembali jernih! Biduk berlalu, kiambang bertaut!

Suatu ketika (dulu kerap & kini amat jarang sekali), kejiranan kami meriah kerana meja ini. Kami sekeluarga mencuri perhatian semua orang. Sesiapa yang nak cuba main benda alah ini dipersilakan dengan segala hormatnya. Sesiapa nak rasa main tenis atas meja diberi ruang, peluang dan kesempatan secukupnya. Menang tak berani jamin, kalah pasti dalam tangan. Haha, berlagak gila~

Panda bahagia dikelilingi dan dikerumuni penjaganya!

Setiap kali meja ini dibuka, maka beralihlah kesemua kereta. Gelanggang telahpun dibuka, masa usah dibuang sebegitu saja. Sessi warm-up bermula. Aku akan kenang ayat ini. "Buang masa!". Itulah favourite quote Papa. Papa tak sabar-sabar nak kalahkan kami 3 beradik lelaki.


Memang pun. Papa lah juara sebenar. Papa juga juara di hati kami 4 beradik. Walaupun Papa telah mencecah 55 tahun, ditambah dengan penyakit diabetes lagi, Papa masih juara bertahan. Tiada sesiapa lagi antara kami 3 beradik lelaki yang muda belia mampu mengalahkan Papa. Tak kira samada game single atau double. Sesiapa yang pair dengan Papa, pasti menang!



Bila pula agaknya meja ini akan dibuka dan membawa kemeriahan dan keceriaan yang tak berpenghujung??

Saturday, December 19, 2009

BARU nak cerita...

2 minggu pertama bulan Disember ini sangat kesuntukan masa. Kesibukan melanda~

Pejam celik... pejam celik;

Aku BARU saja tamat training(GEMS Part 1) di Rawang. Maka, menurut surat tawaran 'bekerja' aku akan ditempatkan di sebuah kilang (syarikat swasta) di Damansara. Aduhai... bagaimana pula nanti kehidupan aku di tengah-tengah kota lumpur (KL) nanti.


Dikelilingi golongan elit... sudah pasti kos sara hidup juga tinggi. Bagaimana aku akan meneruskan kehidupan di sini... Hopefully I won't be a stranger in a strange place who stuck and lost in the middle of nowhere. Serius, aku telah sesat mencari pintu keluar dari Ikano mencari tempat letak motor! Haha... selalunya orang sesat dalam hutan kan?

Pejam celik... pejam celik;

Aku BARU saja bertunang. Alhamdulillah aku selamat menjadi tunangan orang dan keluarga aku juga selesai menjayakan urusan meminang cinta hatiku gadis Borneo. Walaupun bukan orang Borneo tetapi begitulah analoginya.


Ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk bertemu jua. Istilah orang putihnya "Men are from Mars, Women are from Venus". Perkahwinan yang akan didirikan nanti akan menyatukan dua jiwa, dua hati dan dua keluarga yang jauh berbeza. Sebelah pihak dari Kelantan (ada darah Siam) manakala sebelah pihak lagi dari Sabak Bernam(ada darah Jawa).

Aku hargai apa yang sanak saudara kata(mahu berkahwin dengan orang luar Kelantan).. tetapi penyatuan dua jiwa ini sudah pasti ada hikmahnya kerana junjungan besar kita, Nabi Muhammad sendiri yang menggalakkan perkahwinan yang jauh daripada hubungan darah. Dan yang paling utama, restu mama dan papa yang memperkenankan hubungan kami itu lebih membahagiakan.

Terima kasih atas ucapan tahniah dan doa daripada rakan-rakan. Doakan jodoh kami berdua kekal ke jinjang pelamin, kekal bahagia dunia akhirat. Amin =)

Pertunangan ini hanya satu permulaan. Kami hanya melangkah ke fasa yang baru. Bertunang bukannya tiket untuk kami bebas berhubungan tanpa memikirkan batas-batas yang sepatutnya terpelihara.

Bertunang perlu ke untuk dihebah-hebahkan kepada orang lain? Sebaiknya tidak perlu dihebahkan kepada orang lain, kecuali kepada saudara mara atau sahabat terdekat. Ini kerana pertunangan itu adalah separuh langkah menuju perkahwinan, bukan satu kepastian yang jitu tentang perkahwinan kelak. Jika sesuatu yang buruk berlaku,bagaimana? Sebab itulah pertunangan itu perlu dirahsiakan..

Nabi Muhammad S.A.W ada mengingatkan kepada kita: "Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan." (Riwayat Ahmad drpd Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu dan disahihkan oleh al-albani di dlm Irwa' al-Ghalil).

Tetapi memandangkan sudah ada 'forum' membincangkan status aku di Fesbuk, maka bocor sudah rahsia ini... Itulah penangan Fesbuk. Ada juga keburukannya yang aku mulai nampak! Mulai nampak.. haha.

Pejam celik... pejam celik... suatu hari nanti kita akan pejam tak celik-celik lagi~

Friday, December 18, 2009

Tahun BARU di hujung tahun~

Selalunya... tahun baru akan dimulai dengan bulan baru. Bulan yang menandakan bulan pertama bagi sesuatu tahun. Januari untuk tahun Masihi. Tetapi.. kali ini, di bulan Disember, tahun baru bagi kalendar Hijri telahpun memasuki tahun ke 1431.

Ya.. bulan Muharram telah muncul. Mungkin ada yang tidak sedar kita telah berada di tahun baru ketika bersorak sakan meraikan kemenangan pasukan bola sepak Malaysia merangkul pingat emas sukan SEA.

Ada yang ralit dengan keseronokan dibuai kemenangan indah. Ada yang terus terlena didodoi lagu riang yang mula bergema di pelosok atmosfera Malaysia. Usah cakap soal membaca doa akhir tahun + doa awal tahun, malah ada yang terlepas solat Asar dan Maghrib sekaligus.

Apakah tanda kesyukuran kita?? Adakah dengan mengingati-Nya? Setelah 20 tahun menanti, seharusnya kita bersujud kepada-Nya tanda kesyukuran. Adakah kita mahu menunggu 20 tahun lagi supaya pingat emas bola sepak suka SEA masih menjadi milik Malaysia.

Begitu juga aku. Aku manusia. Manusia sentiasa lupa. Itulah makna 'insan', perkataan Arab yang berasal daripada kata dasar na-si-ya yang bermaksud lupa. Aku lupa untuk bersiap-sedia untuk membaca doa akhir+awal tahun. Nasib baik menjelang Asar aku mendapat SMS daripada Mama mengingatkan aku yang langsung terlupa sama sekali.

Ya.. ini bukan sesuatu yang wajib, tetapi sebagai tanda kehambaan kita kepada-Nya, yang terus memberikan kita ruang dan peluang untuk terus bernafas, inilah kesempatan bagi kita memohon keampunan atas segala dosa dan khilaf kita samada yang terang atau tersembunyi.

Aku juga pernah lupa.. 2 tahun lalu. Gara-gara sibuk berfutsal ketika Sukan MSAE di UPM, aku menyangkakan kita berada di tahun 1419 Hijriah! Dengan penuh konfidennya aku menyebut 1419 Hijriah! 10 tahun aku terkebelakang. Aku hanya malu dengan diri sendiri. Adakah ini maknanya aku juga ketinggalan 10 tahun memenuhkan buku amalan harian yang dicatat Raqib & A'tid?? Sedangkan aku yang ada latar belakang pendidikan agama boleh terlepas pandang atau mengambil mudah perkara sebegini.. apatah lagi mereka dan keluarga mereka. Salah siapa?

Buku amalan telahpun bertukar ganti. Kita kini berada di tahun yang baru. Buku amalan yang lalu akan dipertontonkan dan diperhitungkan suatu hari nanti. Inilah masa terbaik buat kita untuk bermuhasabah. Perhitungkanlah diri kamu sebelum kamu diperhitungkan. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Sembahyanglah kamu di belakang imam sebelum kamu disembahyangkan di hadapan imam.


Tiada lagi Hijrah sesudah peristiwa besar Hijrah Rasul dari Kota Makkah Al-Mukarramah ke Kota Madinah Al-Munawwarah. Tiada lagi jihad yang lebih besar selepas jihad di medan perang melainkan jihad menentang hawa nafsu. Biarpun peristiwa hijrah sebenarnya berlaku di bulan Safar, tetapi Saidina Umar yang menetapkan kalendar Islam bermula dengan Muharram. Mungkin kita boleh sama-sama puasa sunat Hari Asyura 10 Muharram nanti??

Bermuhasabahlah kita. Berubahlah kita ke arah yang lebih positif. Berhijrahlah. HIJRAH juga perkataan Arab, asalnya daripada Ha-Ja-Ro. Ha simpul ya. Bukan Ha pedas. Kalau Ha pedas Hajar bermaksud Batu. Tetapi kalau Ha simpul, Hajar bermakna berganjak, bertukar kedudukan/posisi atau beralih. Jadi anjakan paradigma memang kena dengan Ma'al Hijrah. Moga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang sudah.


Selamat Menyambut Awal Muharram 1431!


p/s : Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009M. Simboliknya?? Motif? Sama-sama fikirkan~

Wednesday, December 9, 2009

BARU~


Baru?? Apa yang baru?

Pos baru?? Entri baru?? Kerja baru?? Tempat baru?? Rumah baru?? Bilik baru?? Katil baru?? Status baru??

Ya.. banyak yang BARU. Dan semuanya berlaku dalam bulan Disember ini... (2 hb B'day Papa, selesai training GEMS, dapat placement di Damansara, nak kena cari rumah/bilik sewa/agenda 12 hb... dll)

Maka, aku tiada mood~ untuk menulis mahupun menebas lalang di laman blog sendiri.

Aku perlukan masa.. kasi beres segala urusan yang tertangguh. Sekarang.. aku perlu tempat duduk dan bersantai~