Hebahan

Saturday, December 26, 2009

Muallaf : BARU tengok, BARU faham


Inilah filem ‘terakhir’ arwah Yasmin yang menemui khalayak. (padahal Muallaf dah siap sebelum Talentime). Akhirnya…

Muallaf, di dalam bahasa Arab asal daripada perkataan Aliif bermaksud jinak. Sebab itu kita ada istilah merujuk kepada saudara baru ataupun hatinya yang telah jinak dan dilembutkan baginya menerima Islam sebagai pegangan hidup. Cerita ini berkisar soal hati. Hati yang keras, berjaya dijinakkan, berjaya dilembutkan supaya dendam kesumat berlalu pergi. Kemaafan yang dicari.

Dan filem Muallaf ini tiada kaitan langsung dengan sesiapa yang masuk atau memeluk Islam. Sebaliknya merujuk kepada golongan As-Sabiin yang hidup ketika zaman antara Kristian dan Islam yang mengetahui adanya Tuhan Yang Maha Esa (dan ada juga yang tidak beriman). Dan simboliknya juga watak Brian yang berminat dan mendekati Islam bukan memeluk Islam.

Setelah diselubungi beberapa siri kontroversi, filem ini lepas untuk tontotan 18 tahun ke atas tanpa sebarang potongan. Kecuali ada 2 scene yang menerima hukuman ‘mute’ (satu pasal telekung, satu lagi pasal Wahabi KOT??). Klasifikasi filem ini 18PL dan ianya amat wajar sekali. Ya! Amat wajar, kerana filem ini agak berat di minda mereka bawah 18 tahun. Walaupun lebih banyak filem lain yang ada unsur ganas, darah mencurah-curah, tetapi filem ini ada isu yang amat sensitif untuk diterima dan diserap di benak fikiran sesiapa saja.

Kerana itulah Malaysia kita pada hari ini. Sebagaimana watak Rohani, lakonan Amani yang mahu belajar kursus ‘perbandingan agama’ atau teologi di universiti. Isu mengkaji agama, membandingkan agama Islam dengan agama lain dengan ‘membelek’ kitab-kitab seperti Bible dll, itu hanya berlaku kepada 2 beradik ini sahaja di muka bumi Malaysia, Rohana dan Rohani, fantasi dan imaginasi arwah Yasmin.

Justeru, sebelum penonton melangkahkan kaki, kosongkan minda dan terima dengan hati terbuka setiap momen yang ada dalam filem ini. Cuba lihat ‘gajah yang besar’! Bukan sekadar belalainya, ataupun telinganya umpama kipas, hatta kakinya yang bagaikan batang pokok kelapa sekalipun.

Filem ini ada mesej. Berat mana mesej yang cuba disampaikan, berat lagi bahu Amani, Aleysha, Brian dan pelakon-pelakon lain yang memikul dan menggalas watak-watak dan karektor berkaitan.

Brian Goh, lakonan Brian Yap. Seorang guru di sebuah sekolah menengah di mana Rohana belajar. Brian ada kisah silam, di mana ekoran peristiwa itu, Brian amat membenci dan menyampah dengan ibunya sendiri. Brian tiada pegangan agama, digambarkan sebagai seorang yang ‘stingy’ atau kedekut. Berkira nak mampus walaupun RM 2! Brian juga takutkan kucing serta biasa masuk rumah pakai kasut.

Namun, setelah mengenali 2 beradik ini, Rohani dan Rohana, Brian ‘lemas’ di lautan cinta. Kita dapat rasakan getaran cintanya, nampak api cemburunya, walaupun Rohani (Amani) lebih mengutamakan keluarga daripada cinta. Brian berubah. Totally different!

Brian dah tahu buka kasut sebelum masuk rumah.Brian sudah berani dengan kucing, sanggup belanja lebih, dan beralah dan memaafkan ibunya kerana peristiwa lalu. Ular… kalau menyusur akar, takkan hilang bisanya.


Rohani, lakonan Sharifah Amani, lebih baik daripada Orked dalam Gubra. Lakonan terbaik, penuh jiwa dan penghayatan. Anda akan nampak rasionalnya Amani mahu botakkan kepala. Rohani lari daripada cengkaman bapanya yang mabuk (lakonan Rahim Razali) bersama adiknya Rohana.

Mahu lari dari KL ke Singapura, tetapi melalui Ipoh! Haha. Mereka berdua memang hebat bab-bab berborak atau istilah yang lebih tepat lagi, berdiskusi/berdebat mengenai agama. Tauhid uluhiah, tauhid rububiah adalah topik makanan seharian mereka. Hanya mereka berdua saja yang mewarisi ini daripada Mak mereka. Kalaulah Mak mereka masih ada, Mak merekalah yang layak membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada mereka mengenai segala keraguan mereka berdua yang perlu dirungkaikan. Ya lah… Mak dia kan pensyarah universiti.

Di Ipoh, mereka berteduh di sebuah banglo usang, dan Rohani terpaksa bekerja di pub/kelab malam yang ada jual arak walaupun ditegah Rohana. Jangan terus jatuhkan hukuman. Kita bukannya tuhan. Rohani yang bekerja di pub selalu menasihati orang yang suka ‘minum’ samada suruh mereka berhenti atau suruh mereka minum air mineral. Mesej yang paling jelas, kenapa ARAK yang ternyata merosakkan (bahkan meruntuhkan institusi keluarga seperti keluarga Rohani) tidak ada pihak yang berani banned?? Sindiran terbaik untuk kerajaan…sungguh pandai arwah Yasmin berpolitik.

Akibatnya, Rohani dibuang kerja kerana bosnya tak suka Rohani ‘berdakwah’ secara tidak langsung tentang bahaya minum arak. Walaupun tidak memakai tudung kepala, Rohani mengamalkan membaca Al-Quran dengan menutup aurat, sebelum naik skuter baca Bismillah, ketika sedang naik skuter, Rohani gemar berselawat ke atas Nabi(lagu yang paling indah sesudah azan).

Rohani juga menziarah orang sakit di hospital dan membaca ayat suci Al-Quran sebagai cara sedekah, dan yang paling penting, sebelum tidur, setiap malam sebelum lelapkan mata, mereka 2 beradik akan memaafkan kesalahan sesiapa saja yang dilakukan terhadap mereka, dan mereka takkan berdendam dengan sesiapa. Benar! Kemaafan dendam terindah!(lagu Aishah sangat) Kerana keluarga lebih penting daripada cinta, Rohani memaafkan ayahnya dan rela menjaga ayahnya yang terlantar di hospital kerana stroke.

Sharifah Aleysha, kali pertama, memegang watak Rohana, yang suka mengaitkan segenap masalah yang berlaku dalam kehidupan mereka dengan agama. Samada itu dari Al-Quran ataupun kitab-kitab lain. Mungkin remaja seperti Ana tak wujud di dunia ini. Kalau ada pun boleh bilang dengan jari. Memeluk Islam, tak bermakna kita perlu menutup pintu kepada mana agama selain Islam. Ada komprominya bagi mereka yang tidak menentang Islam. Di dalam negara Islam Madinah pimpinan junjungan besar kita Nabi Muhammad juga ada kafir harbi dan kafir zimmi dan mereka tidak terkecuali dikenakan zakat.

Selain itu, watak yang mencuri perhatian aku ialah watak Cindy. Inilah watak kecil paling menyerlah. Walaupun luarannya membenci Rohani, tetapi jauh di sudut hati, ada sekelumit ihsan terhadap nasib yang menimpa Rohani dan adiknya. Watak Brian sewaktu kecil hakikatnya dilakonkan budak lelaki Melayu. Begitu juga watak budak perempuan bangsa Cina yang terlantar di hospital dipukul ayahnya juga budak Melayu.

Ho Yuhang walaupun muncul seketika tetapi menarik perhatian dengan anjingnya. Datuk Rahim Razali selaku seorang ayah yang bergelar ‘Datuk’ tetapi mabuk! Ada satu babak, tiba-tiba Datuk itu merasa jijik dengan anjing dan dalam masa yang sama masih tunggang arak! Sayangnya, Ning Baizura kurang menyerlah, tetapi yang lebih menonjol ialah rambutnya yang besar selaku Mak Datin, tetapi kerana rambut besar itulah cerita ini terjadi dan menemukan Cikgu Brian dengan Rohana yang suka menyebut nombor (mewakili surah-surah) berulang-ulang kali.

Penutup cerita filem ini memang gaya dan cara Yasmin. Play safe seperti Sepet dan Talentime. Kita perlu buat kesimpulan sendiri, samada Brian akan memeluk islam atau tidak dan bagaimana kesudahan cintanya dengan Rohani. Hati yang keras telah dijinakkan bagi memberi kemaafan. Dengan keampunan kita dimaafkan. Tontonlah dengan minda dan hati yang terbuka. Islam itu luas bukannya sempit. Islam itu mudah dan tidak menyusahkan…Tetapi harus ingat. Islam ya'aluu walaa yu'laa alaih. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

3 comments: