Hebahan

Saturday, November 7, 2009

See & Saw (baca sampai faham =)



One fine day, See saw sea; and Saw didn't see sea. See saw sea and jumped in sea. Saw didn't see sea but jumped in sea. See saw Saw in sea and Saw saw See in sea also. See saw both Saw and sea. While Saw just saw See only. Both See and Saw were happy to see sea. The end.

Wednesday, November 4, 2009

November Rain~


Pertama sekali.. tiada kena-mengena dengan lagu November Rain dendangan Guns N Roses. Tetapi lebih merujuk kepada tema bulan ini, yakni bulan November. Hujan! Adakah musim tengkujuh sudah mula melanda?? Sediakan payung sebelum hujan~


Baiklah, jika Oktober penuh dengan review di sini dan di sana. November ini aku akan cuba mengurangkan topik review kepada topik yang lebih santai. Santai kah? Santai bermakna tiada perbincangan yang serius, ataupun kupasan yang mendalam dan terperinci.

Hal ini bermakna, kisah-kisah terpencil.. akan lebih banyak didedahkan kali ini. Kisah hidup aku, kisah hidup mereka, cerita manusia. Manusia seperti kita manusia yang mudah lupa. Itu saja. Cukup sebagai pembuka bicara bulan ini~


Saturday, October 31, 2009

Review : October and HOT meter

Bulan Oktober merupakan bulan yang sangat informatif. Kredibiliti aku selaku penganalisis berita setiap hujung bulan benar-benar tercabar. Setakat ini, bulan Oktober paling sukar bagi aku menentukan berita mana paling hangat kerana isunya seimbang, ceritanya setara malah kontroversi dan prestasi bergerak seiring.

Mengikut kajian aku, berikut merupakan berita paling hangat dari sudut pandang seorang pemerhati bebas dan dari kaca mata aku si tukang tulis :

NOMBOR 10 - BAKAT SI CILIK

USIANYA baru 11 tahun namun kelincahan jari jemari comelnya memetik piano amat mengagumkan. Justeru nada petikan itu yang memainkan karya klasik Ludwig Van Beethoven menjadikan konsert gala sempena pembukaan musim baru Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) sesuatu yang memukau.
Mencipta kadenza sendiri dalam tiga babak, Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal bergandingan dengan pengarah muzik MPO, Claus Peter Flor mempersembahkan Piano Concerto in E flat karya Beethoven. Ini merupakan julung kalinya dimainkan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Gandingan dinamik itu yang memberikan persembahan mempersona turut mendapat pujian daripada penonton pada dua malam berlangsungnya konsert pembukaan musim ke-12 MPO pada Sabtu dan Ahad minggu lepas.
Tentu sahaja bagi anak seusianya muzik klasik bukanlah sesuatu yang begitu diminati apalagi untuk mencipta simfoni sendiri. Tetapi pelajar darjah lima ini pula menunjukkan sikap sebaliknya. Malah bakatnya itu ditunjukkan ketika sejak usia enam tahun lagi apabila mencipta komposisi penuh piano sonata.
Mula belajar bermain piano pada usia tujuh tahun, hanya dalam tempoh dua tahun, anak sulung daripada tiga adik beradik yang belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Petaling, Kuala Lumpur ini dianugerahkan sijil kecemerlangan piano solo Gred Lima dan kurang dua tahun selepas itu menerima pula kepujian dalam Gred Lapan.
Dipelawa menyertai Program Pendidikan dan Luaran MPO, Ahmad Irfan turut menghadiri masterclass bersama Professor Dr Arbo Valdma dan kini di bawah asuhan Professor Snezana Panovska.
Menariknya kemunculan Ahmad Irfan bukan sahaja memeriahkan musim baru MPO, lebih penting petikan piano kanak-kanak berusia 11 tahun ini juga turut meraikan ulang tahun ke-11 MPO yang pertama kali dilancarkan pada 1998.
Adalah sesuatu yang amat menggembirakan lebih-lebih lagi apabila menyaksikan generasi muda terus mengabadikan karya-karya klasik yang tidak pernah lapuk dek hujan dan tidak pula lekang dek panas.
TANGGA SEMBILAN (9) - ANUGERAH
Tiga orang tokoh telah mendapat Anugerah.
Pertama, Anugerah Seniman Negara menjadi milik Datuk Syed Ahmad Jamal. Untuk berita yang lebih lanjut, sila baca di sini.
Kedua, Anugerah Sasterawan Negara ke-10 di bulan 10 menjadi milik Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Berikut merupakan senarai Sasterawan Negara (SN):
1. 1981 : Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas
2. 1982 : Dato' Shahnon Ahmad
3. 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
4. 1986 : Datuk A. Samad Said
5. 1988 : Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati
6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
7. 1993 : Datuk Noordin Hasan
8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain
9. 2001 : S. Othman Kelantan
10. 2009 : Dr. Anwar Ridhwan
Maklumat lebih lanjut mengenai beliau di sini.
Ketiga, Anugerah Tokoh Media Islam Negara 2008menjadi milik Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yacob. Siapakah Yusoff Zaky? Apakah generasi baru kenal atau pernah mendengar nama beliau? Apakah akan muncul lagi pengamal-pengamal media yang sekali gus adalah ilmuan, ulama, pendakwah, pengarang besar yang sanggup berkorban bagaikan dian sebatang? Beliau laksana sebiji mutiara nusa dan bangsa yang sangat tinggi mutu dan nilainya.

Menelusuri kehidupan tokoh pengamal media Islam yang bernama Yusoff Zaky Yacob, kelahiran Kota Bharu pada 13 Jun 1928, mengajak kita mengenali puncak kerja-kerja penanya. Beliau berjaya menterjemahkan tafsir al-Quran yang sangat besar - Fi Zilal al-Quran buah tangan Asy-Syahid Sayyid Qutb. Kitab tafsir itu ditekuninya selama 11 tahun, sebelum akhir hayat. Cara terjemahannya begitu teliti. Fi Zilal al-Quran dianggap orang kitab tafsir yang paling keras atau ekstrem, namun di tangan Yusoff menjadi begitu moderat, cantik, berseni dengan penggunaan bahasa yang mengasyikkan. Cita-cita untuk menterjemahkannya bertunas sejak1952, semasa beliau belajar di Kaherah.
Anak kepada seorang ulama Kelantan terkenal, Tuan Guru Haji Yaacob Lorong Gajah Mati itu tidak pernah kenal lelah dan kecewa dalam menggalas tugas berdakwah malah tetap gagah dan kental tanpa melepaskan tanggungjawab sebagai seorang pengarang dan pendakwah Islam sehingga akhir hayat beliau. Beliau akhirnya menyahut panggilan Ilahi pada 19 Januari 1999.
ANGKA LAPAN (8) - Berita Bencana Alam @ Musibah @ Malapetaka
Umpama nombor 8. Dunia terus berpusing dan berpatah balik meneruskan pusingan seterusnya. Mungkinkah Kiamat sudah dekat? Tanda-tanda kecil kiamat ini semakin hari semakin jelas kelihatan. Gempa bumi yang melanda Indonesia, Tsunami yang melanda Kepulauan Fiji dan Samoa, Taufan Ketsana dan Taufan Parma yang melanda beberapa negara ASEAN terutama Filipina. Malaysia?? Apa yang berlaku di Malaysia? Apakah tragedi yang meragut banyak nyawa orang Malaysia?? Kemalangan, Tanah runtuh, jambatan roboh, kapal terbang terhempas dan sebagainya.
Paling mengejutkan sudah tentu kematian amah Indonesia, Mantik Hani yang maut setelah didera majikannya yang merupakan seorang peniaga air tebu. Kes ini secara tidak langsung akan terus mengeruhkan keadaan ekoran ketegangan Malaysia-Indonesia. Ini juga satu musibah atau mala petaka bukan??
POSISI KETUJUH (7) - TOKOH DUNIA atau berita SELEBRITI LUAR NEGARA
Pertama, Orlando Bloom telah dilantik sebagai duta Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF). Pelakon Britain berusia 32 tahun itu telah memberi sokongan kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh UNICEF sejak tahun 2007, termasuk melawat projek di Nepal, Rusia dan Sarajevo yang membawa air bersih, pendidikan dan perlindungan kepada kanak-kanak.

Dia juga mengambil bahagian dalam penerbitan radio sekolah tempatan untuk kanak-kanak di wilayah paling miskin di Nepal. Bloom yang dianggap sebagai salah seorang selebriti dunia paling panas akan mengikut jejak Audrey Hepburn, David Beckham, penyanyi Columbia, Shakira dan pelakon Mia Farrow. Katanya, dia mahu menjadi duta yang aktif untuk UNICEF, yang membantu kanak-kanak daripada lebih 150 negara.
Kedua. Kenal tak isteri Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy?? Isterinya merupakan bekas penyanyi/model bernama Carla Bruni. Bruni akhirnya berjaya menghasilkan single di mana lagu ini kedengaran di pesawat AirAsia dan mendapat perhatian dan pujian PM kita.
Ketiga, Presiden Amerika, Barack Obama mendapat pengiktirafan yang sungguh kontroversi apabila dianugerahkan Nobel Keamanan. Keamanan apakah yang dibawanya??? TEET~
URUTAN KEENAM - POLITIK
Politik tanahair semakin kucar-kacir. Huru-hara dibuatnya. Haru biru jadinya. Macam budak atas ni. EGM! Adakah itu satu-satunya penyelesaian mengatasi kemelut kepimpinan?? Krisi kepimpinan yang melanda MCA dan PAS lewat kebelakangan ini seboleh-bolehnya mahu diselesaikan dengan EGM iaitu extra-ordinary general meeting. Maknanya Parti PAS akan melangsungkan satu lagi muktamar khas kah?? MCA pula yang masih terkontang-kanting siapakah 2 orang utama yang akan menerajui part berkenaan di masa hadapan. PKR juga menghadapi masalah kepimpinan gara-gara isu yang menyelubungi 3A dan kecamuk di Sabah. Parti lain?? DAP? UMNO? MIC? 2x5 = 5x2 !
Seterusnya, kemenangan BN di Bagan Pinang memberikan sinar dan harapan kepada rakyat Malaysia. Benarkah?? Semangat 1Malaysia. Semua orang tak kira bangsa perlu bersatu menjayakan misi dan hasrat 1Malaysia. Maka mereka semua menuntut hak dan kesamaan yang sama rata. Tetapi apabila disuarakan hasrat sekolah SATU aliran yakni tiada lagi sekolah vernakular, mereka terus diam tak terkata. Terkunci mulut daripada berbicara.
Bajet 2010 juga menarik. Isu petrol lagi dan isu meminimumkan harga rokok. Paling menarik sudah tentu buat mahasiswa yang mendapat pinjaman PTPTN. Sekiranya anda bergraduat Kelas Pertama, makan pinjaman berkenaan akan ditukarkan kepada bentuk biasiswa. Selamat maju jaya dan berusahalah agar segalanya diperoleh dengan mudah dan berjalan dengan lancar.
Semakin hangat dengan isu lompat parti lagi. Kali ini di Selangor. ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham mengisytihar diri bebas dan menyokong BN. Sama seperti di Perak. Dan kenapa mesti yang lompat parti ini berlegar di kalangan orang PKR saja?? Lu pikir lah sendiri. Bezanya, Selangor gagal dirampas BN. Sedangkan di Perak, terus hangat. Tiada kesudahan lagi episod PERAK yang telah bersidang DUN nya buat kesekian kalinya.
KEDUDUKAN KELIMA - SUKAN LUAR NEGARA
Skuad Remaja Ghana (bawah 20 Tahun) telahpun memenangi Piala Dunia Remaja setelah mengalahkan Brazil 4-3 melalui sepakan penalti di peringkat akhir. Yang bagusnya, Ghana merupakan negara Islam dan mereka bersujud dan menadah tangan mensyukuri kemenangan.
Masih lagi kisah bola sepak. Kelayakan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan turut menyaksikan pasukan pilihan mara ke peringkat seterusnya. Terutama pasukan Aregentina, pasti Maradona menarik nafas lega~
Pembalap, Jenson Button dan Brawn GP terus hangat. Walaupun mendapat tempat kelima di GP Brazil, Button akhirnya dinobatkan juara keseluruhan Formula 1 musim ini. Tahniah. Kesempatan untuk menjadi juara dunia terbuka setelah pesaing terdekatnya sekaligus rakan sepasukannya, Rubens Barrichello yang memimpin sejak awal perlumbaan melorot ke urutan ke-8. Sedangkan pesaing lainnya, Sebastian Vettel akhirnya menamatkan perlumbaan di tangga ke-4.
Seterusnya, Rio De Janeiro, yang pernah menjadi ibu negara Brazil telah berjaya mengalahkan Tokyo, Madrid dan Chicago dalam usaha melobi sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2016.
ANGKA EMPAT - SUKAN DALAM NEGARA
Piala Malaysia semakin hangat. Setelah Kedah gagal memasuki Suku Akhir, giliran Selangor pula rebah tersungkur di peringkat suku Akhir di tangan Terengganu. Mungkinkah Perlawanan Akhir nanti melibatkan dua pasukan dari Pantai Timur; Kelantan menentang Terengganu?? Tidak mungkin!
Keseronokan menyaksikan kekalahan Selangor sama saja tahap kepuasannya ketika menyaksikan Manchester United tuntuk di kaki Liverpool dengan jaringan 2-0. Manakala pasukan Chelsea pula baru saja mengenal erti kekalahan di bawah pengurus baru, Ancelotti. Manakala Liverpool pula mengalami beberapa siri kekalahan yang agak memalukan walaupun berjaya menundukkan MU. Arsenal?? Masih sengal kah?? Think it yourself!
Seterusnya nama Datuk Nicol David terus gah sebagai ratu dan lagenda Skuasy Malaysia. Namanya kini terpahat sebagai salah satu gelanggang utama sukan beraket itu setelah Gelanggang Nicol David @ Arena Nicol David diisytiharkan secara rasmi. Air mata yang tumpah dengan nada yang sebak ketika berucap membuktikan betapa segala jerih pengorbanannya membina nama di persada dunia memang berbaloi-baloi~
Sukan Lumba Basikal terus melakar sejarah. Dua nama ini, Azizulhasni Awang, Raja Keirin Asia atau gelarannya The Pocketrocketman! dan Rizal Tisin Kierin merupakan prospek negara merangkul pingat emas di Sukan Olimpik kelak. Azizul berjaya muncul naib juara acara 200m pecut pada kejohanan dunia di Pruzskow, Poland Mac lalu dan terbaru menewaskan juara dunia, Gregory Bauge pada satu kejohanan jemputan di Medellin, Colombia awal bulan ini cukup menjelaskan mengapa Azizulhasni digelar media luar negara Thepocketrocketman. Di kejohanan ACC Track Asia Cup 2009, Azizul turut menyumbangkan emas manakala seorang lagi pelumba negara, Rizal Tisin turut mengharumkan nama negara menyumbangkan satu pingat emas cuma sayang sekali.. khabarnya Rizal kemalangan melibatkan kecederaan di buku lali.
TANGGA TIGA - PENGAJIAN TERTIARI @ INSTITUT PENGAJIAN TINGGI
Universiti Malaya terus gah sebagai universiti nombor satu negara. Biarpun USM mendapat taraf APEX, Universiti Malaya (UM) kini berada pada kedudukan ke-180 universiti terbaik dunia mengikut kajian yang dibuat oleh “Times Higher Education (THE)-QS World University Ranking 2009". Kedudukan UM tahun ini melonjak sebanyak 50 anak tangga ke tangga 180 universiti terbaik dunia. Ini diikuti oleh UKM(291), USM(314), UTM(320) dan UPM (345; alamak.. U aku!) Untuk tengok keseluruhan ranking klik sini.
Sementara itu, ada satu lagi berita hangat berkaitan universiti. Ini berikutan pengiraan merit untuk pemohon akan menggunakan penggredan baru iaitu kelulusan A+.pelajar yang memperoleh A kini terbahagi kepada tiga kategori iaitu A+, A dan A-.

Ini bermakna mereka yang mendapat A+ bakal memperoleh nilai markah bagi pengiraan merit sebanyak 18, A (16) manakala A- (14). Sebagai contoh, jika sebelum ini keseluruhan A dikira berdasarkan markah 90-100 tetapi melalui penggredan baru ini adalah 99-100 (A+), 98-95 (A) manakala 94-90 (A-). Baca lebih lanjut di sini.
DI TEMPAT KEDUA - Terus terbang tinggi
Malaysia Airline System (MAS)kini mampu mendabik dada. Pencapaian yang membanggakan apabila MAS tersenarai di kedudukan ke-9 Airline of The Year 2009. Berikut merupakan senarai penuh mengikut kedudukan. Boleh juga rujuk di sini.
1. Cathay Pacific
2.Singapore Airlines
3.Asiana Airlines
4.Qatar Airways
5.Emirates
6.Qantas
7.Etihad Airways
8.Air New Zealand
9.Malaysia Airlines
10.Thai Airways
TERBAIK mengikut benua :
Australasia
Qantas Airways
Europe
Swiss Int'l Air Lines
Middle East
Qatar Airways
North America
Continental Airlines
South America
LAN Airlines
Asia
Cathay Pacific
Africa
South African Airways


Berita yang lebih hangat daripada biasa. AKHIRNYA.. setelah TIGA tahun berusaha, HOT.FM kini menjadi radio NOMBOR SATU negara! Tahniah kepada Seelan dan pasukan. Pastikan kedudukan nombor satu itu dari sudut kandungan, mesej, maklumat dan khidmat yang terbaik bagi menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia~

Thursday, October 29, 2009

Rawang ~ Here i come!

Pasti ada yang tertanya-tanya ke mana perginya aku. Mengapa begitu sukar menghubungi aku lewat kebelakangan ini? Kenapa begitu payah untuk bertemu dan mengajak aku ke mana-mana saja mengikut kata dan kehendak mereka; rakan-taulan dan sahabat handai.

Untuk pengetahuan kalian yang mengenali aku sebagai Mustakim bin Bahrudin, bukan sebagai si tukang tulis yang punya misi, visi dan sisi kehidupan yang jauh dari kontroversi dan revolusi, aku kini bekerja secara 'freelance'!

Freelance bermakna aku tidak terikat dengan mana-mana kontrak di bawah mana-mana agensi samada kerajaan ataupun swasta. Aku juga tidak mampu membina nama sendiri sebagai satu 'syarikat' yang gah malah aku juga masih terkial-kial mencari tapak yang kukuh, tempat duduk yang tetap,sekata dan selamat serta takkan menggoncangkan masa depan aku kelak.

Sementelah aku juga punya masa depan bersama 'dia' yang masih dalam perancangan dan masih belum dilunaskan. Bila sampai waktunya kelak, bila tiba waktu yang sesuai untuk dibuat hebahan yang sewajarnya, pasti kalian akan dititipkan dengan khabar gembira untuk dikongsikan bersama.

Justeru itu, aku perlu merancang masa depan dengan teratur. Aku mahu melakar hari esok sebagai detik yang amat membahagiakan. Aku juga mahu mencongak masa akan datang supaya setiap perancangan berjaya dilaksanakan dengan baik. I wanna make sure the mission is accomplished! TAPI.. kita hanya merancang, DAN Allah itu sebaik-baik perancang! (ceh, ayat tak nak kalah dan tak mahu klise~) Sesama kita berusaha, kepada Allah diserahkan segalanya.

Moga-moga impian jadi nyata. Segala urusan dipermudahkan. Semoga dengan ikatan yang sah yang terjalin nanti, dapat menjaga maruah dan kehormatan aku selaku makhluk-Nya yang lemah dan serba-serbi kekurangan. Moga kehadirannya nanti akan membuatkan kami saling lengkap-melengkapi. Memberi dan menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing sekaligus menyempurnakan sebahagian iman selaku umat Nabi Muhammad SAW.

Antara langkah yang agak drastik yang aku telah ambil ialah dengan berhenti kerja secara mengejut. Bagi yang kurang jelas, bermula April 2009 aku telah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya sebagai Pegawai Tadbir Sambilan, Gred N41.

Taraf 'sambilan' ini boleh dikategorikan sebagai pekerja kontrak yang dibayar gajinya mengikut jumlah hari bekerja berdasarkan jumlah hari bekerja merujuk kepada kad ketip ataupun punch card. Jumlah gaji bulanan agak berpatutan (nak kata lumayan pun boleh) memandangkan aku masih belum merasa mendapat gaji melebihi dua ribu ringgit sebelum ini.

Kini, peluang dan rezeki itu ada di depan mata. Tambahan pula aku hanya berulang-alik dari rumah ke pejabat setiap hari dengan Panda kesayangan aku itu. Memang kesempatan yang ada ini membolehkan aku membuat sedikit simpanan untuk digunakan di masa depan.

Sayangnya, aku tak dapat menyambung kontrak yang telahpun tamat pada Ogos 2009. (Akhirnya aku membuka mulut. Sekian lama menyimpan rahsia, membisu seribu bahasa. Bagi aku setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rezeki ada di mana-mana. Dan prinsip hidup aku tak mahu menyalahkan sesiapa jika masalah berlaku. Aku bukanlah jenis orang yang mahu menuding jari ke arah orang lain atas kesulitan yang aku alami. Terima kasih kepada Tn. Hj. D yang telah menyerahkan resume aku kepada pihak berkenaan dan menerima kehadiran aku sebagai staf dan sebahagian daripada mereka. Pengalaman yang aku kutip kira-kira 5 bulan itu begitu berharga sehingga membuka mata aku seluas-luasnya mengenai hakikat kehidupan) Dan secara kebetulan, datang pula tawaran bekerja daripada pihak swasta sebaik sahaja aku berkira-kira dan membuat perhitungan mutlak.

Pihak swasta yang dimaksudkan ialah Khazanah Nasional Berhad. Aku diberi peluang untuk menjalani latihan ataupun training selama 8 bulan setengah. 2 bulan setengah latihan melalui kursus, ceramah dan modul yang telah disediakan. Manakala baki 6 bulan dengan menjalani placement di mana-mana syarikat swasta ataupun government link companay (GLC) seperti Proton, TNB, TM, Petronas dll.


Nama program ini ialah Graduate Employability Management Scheme ataupun arbitrasinya GEMS. Sebut betul-betul... (Jems ya.. bukan Gems.. kalau Gems tu gems.. gems... gems.. haha) Program ini khusus buat sesiapa saja (berumur 22-28 tahun sahaja) yang ada ijazah dalam apa jua bidang yang menganggur, tak bekerja, gagal mendapat temuduga(interview) ataupun tiada pekerjaan tetap (seperti aku! haha) hatta mempunyai agenda lain sekalipun.

Ada antara mereka (eh.. kami di sini) yang bertujuan mencari pengalaman baru, pekerjaan dan persekitaran baru, ada yang nak cari kekasih baru, ada yang sekadar mahu jadikan medan persinggahan sebelum mendapat kerja yang lebih bagus, ada yang sekadar mahukan elaun yang disediakan di samping mahu merasa bagaimana tinggal di hotel ataupun resort secara percuma dan sebagainya. Segalanya kembali kepada niat masing-masing kerana setiap amalan bermula dengan niat.

Kerana dalam satu hadith yang amat masyhur, kesinambungan kepada peristiwa Hijrah dari Kota Makkah ke Madinah, ada antara sahabat yang berniat untuk berhijrah kerana ada sebab dan musabab yang lain. Maka Baginda mengatakan "Fa hijratuhu ilaa maa hajara ilaihi" yang bermaksud, maka hijrahnya bergantung kepada apa yang mahu dihijrahkan. Maknanya jika sesiapa berhijrah kerana mahu berkahwin, maka dia akan mencapai kehendaknya. Jika hijrahnya kerana harta, maka harta yang akan didapatinya. What you see is what you get!

Berbalik kepada topik utama kali ini, sukacita dimaklumkan bahawa aku telah mula melaporkan diri pada bulan September yakni selepas Aidilfitri. Dan aku telah ditempatkan di Rawang bagi menjalani kursus dan latihan selama 2 bulan setengah. Di sini, iaitu di Perangsang Templer Golf Club (PTGC) aku akan diajar mengiku modul yang telah ditetapkan antaranya English Class (siap ada pre-test & post test lagi dan tenaga pengajarnya dari British Council), Time Management, Problem Solving, Team Building, Grooming Class dll. Ala-ala buat DPA gitu. Merasa macam peserta The Apprentice pun ada. Haha.

Kini telah sebulan aku berada di PTGC. Banyak cerita yang ingin dikongsikan bersama namun aku terpaksa tangguhkan terlebih dahulu kerana kesuntukan masa. Insya allah aku akan bercerita lebih lanjut melalui entri yang akan datang.




Maka, menjelang Disember kelak, aku akan tamat menjalani latihan seterusnya akan ditempatkan di mana-mana GLC ataupun syarikat swasta untuk bekerja selama 6 bulan. Sekiranya pencapaian aku baik dan memuaskan, kebarangkalian untuk diserap ke jawatan tetap amat besar. Mudah-mudahan insya allah.

Buat kawan-kawan yang sukar menghubungi aku. Siap ajak BBQ lah, open-house raya lah, tengok wayang lah, boling lah, maaf lah banyak-banyak kerana kesuntukan masa. Inilah pengorbanan namanya. Semoga apa yang telah aku korbankan selama ini akan membuahkan hasil yang sepatutnya. (Amboi, meng-update blog sempat pulak! Katanya... Hello.. ni pun pandai-pandai mencelah dan menyelit curi masa). Baiklah, cukup sampai di sini saja. Insya allah, aku akan meriahkan blog ini kembali bulan Disember nanti. Mungkin November agak kurang bahan yang akan dikupas.. tapi kita tengok... dapat lepas gian atau tidak!

Wednesday, October 28, 2009

Review : Hantu~


Awal Oktober lalu, aku mensasarkan tajuk ini. Dengan klu ini :

"Drama bersiri yang bermula dengan huruf G!"

G menuju H ke arah O menghala S dan berakhir di T!

GHOST~

Inilah judul drama bersiri yang dimaksudkan yang telah pun berakhir 2 Musim siarannya di saluran hip, 8TV. Jadi, kalau dah terlepas boleh catch-up balik dengan melayari link ini. Tapi kena ID lah kalau nak layan cerita ini dari Musim 1. (Alaa... susah-susah sangat cari saja kat youtube! Kan??)

Kenapa aku nak ulas drama bersiri ini? Pertama sekali sudah tentu jalan ceritanya yang menarik. Lain daripada yang lain atau lebih tepat lagi TAK KLISE! Keduanya, drama bersiri ini telah pun habis siarannya sebanyak 2 musim. Musim ketiga rasanya macam tak ada. Tiada tanda-tanda untuk meneruskan kesinambungannya lagi buat masa ini. Dan sebab terakhirnya ialah kerana keserasian watak utamanya iaitu Cheryl dan Naz sehingga melayakkan mereka memenangi Anugerah Pasangan Paling Serasi di Kaca TV ketika Anugerah Shout! baru-baru ini.

Ghost merupakan sebuah siri drama televisyen Malaysia bertemakan ghaib dan misteri yang mengisahkan pengembaraan seorang wartawan muda membongkar misteri pembunuhan dengan bantuan roh-roh mangsa bunuh berkenaan. Siri drama ini diterbitkan oleh Ng Ping Ho dari syarikat Popiah Pictures manakala bahasa Melayu dan Inggeris digunakan dengan seimbang.

Siri ini telahpun bersiaran selama dua musim, iaitu musim pertama yang disiarkan pada 3 Februari hingga 6 April 2008; sementara musim keduanya disiarkan mulai 19 April 2009. Musim pertamanya dicalonkan untuk Kategori Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin 2008.

Pada musim pertama siri Ghost, seorang wartawan majalah bernama Eza (Cheryl Samad) dapat melihat roh Zack Imran (Nazrudin Habibur Rahman), seorang pelakon terkenal dan kaki perempuan yang baru terkorban dalam suatu tragedi.

Rohnya bertembung dengan seorang wartawan muda bernama Eza Azmi yang merupakan satu-satunya orang yang mampu melihat rupanya. Walaupun dilaporkan terkorban dalam kemalangan jalan raya, namun Zack mendakwa dirinya sebenarnya dibunuh dalam suatu perbuatan konspirasi. Dengan rasa berat hati, Eza membantu roh Zack merungkai misteri ini walaupun terpaksa menggadai nyawa sendiri. Antara ragam-ragam yang disemuka oleh Eza termasuk Jimmy Rozario (Reefa), pengurus Zack yang membantu Eza menjejak seorang suspek; Maria Zainal, seorang peminat taksub Zack yang benci melihat perempuan lain menghampiri Zack; Datuk Zakaria (Radhi Khalid), seorang tokoh korporat yang bengis kerana isterinya (Yasmin Isa) pernah bermesra dengan Zack. Setelah diugut dan diancam oleh suspek-suspek tersebut, tidak tersangka pembunuh sebenar Zack Imran merupakan ahli psikiatri yang bertemankan seorang rakan karib Eza. (sorry for the spoiler! Haha)

Musim keduanya menyaksikan timbulnya satu lagi kes pembunuhan gempar dan seorang lagi insan menjadi hantu yang mendapatkan pertolongan Eza. Alicia Soo (Melissa Campbell), anak emas kepada peguambela tersohor Edmund Soo (Colin Kirton), hilang secara tiba-tiba. Eza menyahut cabaran merungkai misteri, dan dibawa ke sebuah rumah usang di mana dia sekali lagi melihat hantu, iaitu Harom Abdullah (Isma Hanum) yang boleh membantu siasatan. Turut membantu ialah seorang psikik bernama Alam (Anding Indrawani) yang boleh melihat masa silam orang lain dengan menyentuh badan atau barang-barang milik mereka. Apakah kaitannya Harom Abdullah dengan Zack Imran. Siapa pula Ridzuan dan Romeo?? Malas nak bagi spoiler lagi sekali.. anda tengoklah sendiri dan buat perbandingan mana yang lebih menarik; musim Pertama atau Kedua?

Secara keseluruhannya, aku lebih menggemari musim Pertama. Ya! Sebab watak Naz selaku Zack Imran lebih banyak berbanding musim Kedua yang lebih banyak menampilkan Harom (Isma Hanum) sebagai hantu! Yang penting kedua-dua hantu ada "tahi lalat" di tempat yang sama! Haha.

Musim pertama chemistry Naz-Cheryl sangat menjadi namun musim kedua agak longgar. Mungkin watak Alam lakonan Anding boleh dikategorikan sebagai cemerlang! Jika Musim Pertama menampilkan Nas-T, musim keduanya pula menampilkan Zahiril Adzim. Kedua-dua pelakon ini 'dilahirkan' 8TV menerusi KAMI the Series. Dan dengar-dengarnya KAMI akan dilanjutkan ke musim kedua. I'm looking forward~

Review : Album Tahajjud Cinta - Dato' Siti Nurhaliza


Buat pertama kalinya, aku akan mengupas dengan lebih lanjut dan mendalam berkenaan album ini sebagaimana 'janji' aku di awal bulan lalu. Dan aku telahpun memiliki album ini secara sah dan original! Haha. =) Album ke-13 (rasanya..huahua. sorry, I'm not her die-hard fan like SKM dll) DCT ini merupakan album yang buat pertama kalinya menampilkan lagu-lagu berbentuk kerohanian.

Jika di Indonesia, album-album sebegini disebut sebagai album religi, yakni penyanyi-penyanyi di Indonesia yang gah akan membuat album khas sempena kedatangan Ramadhan atau Syawal. Fenomena sebegini rasanya dicetuskan oleh Kumpulan Gigi dan selanjutnya diteruskan lagi oleh beberapa band-band seangkatan umpama Kumpulan Ungu (hits dengan lagu Andai Ku Tahu, Surgamu dll) dan Radja. Hatta, artis seperti Acha dan Irwansyah juga pernah menghasilkan album duet berkonsepkan religi (contohnya lagu Aku Bersujud).

Justeru kelainan yang cuba ditonjolkan oleh DCT melalui album ini, yang telahpun dilancarkan pada 09.09.09 sempena Ramadhan yang lalu boleh dikatakan percubaan yang agak menarik. (mungkin boleh uji kesusaian pasaran @ test market). Tambahan pula dengan imej ala-ala hendak-tak hendak bertudung itu, maka album ini menjadi satu signifikan ke arah sesuatu yang amat positif. Transformasi~

Aku malas nak berdebat isu imej ataupun cara bertudung khususnya sebagai suatu bahan untuk dibincangkan kerana isu yang lebih penting di sini ialah usaha ataupun inisiatif DCT mengangkat lagu-lagu nasyid (samada dinyanyikan semula, diubah lirik ke Bahasa Melayu dsb) merupakan punca dan tindakan mengapa nadi industri muzik boleh terus bernafas dan menghela nafas lega.

Jualannya agak laris di pasaran yakni mendapat sambutan menggalakkan. Terutama sekali cover album yang agak menarik perhatian. Kombinasi warna putih-biru-hijau.


Kualiti?? Tahap kualiti album ini setaraf dengan album nasyid sedia ada. Aku tak pasti untuk pencalonan AIM akan datang, album ini akan masuk kategori Album Pop Terbaik ataupun Album Nasyid Terbaik. Harap-harapnya, kategori Album Nasyid Terbaik memandangkan genre nasyid seakan suram lewat kebelakangan ini.

Mungkin disebabkan oleh hal ini, lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini amat jarang kedengaran di corong-corong radio. Nasib yang sama menimpa album ini sebagaimana Album Lantera Timur. Mentang-mentang lagu Nasyid, lagu Irama Malaysia, maka stesen-stesen radio itu enggan memutarkan lagu-lagu ini dengan kerap.

Hanya single pertama yang kedengaran. Di Taman Teman. Kali ini, Ku Percaya Ada Cinta ciptaan Audi Mok dan lirik tulisan Habsah Hassan menjadi taruhan. Walhal, banyak lagi lagu yang menarik untuk dijadikan halwa telinga.

Sebelum album ini dipasarkan, 2 buah lagu terlebih dahulu telahpun menjadi runut bunyi (soundtrack) kepada filem Perempuan Berkalung Sorban iaitu Batasku Asaku, ciptaan DCT sendiri dan Ketika Cinta yang pernah dinyanyikan Opick. Kedua-dua lagu ini amat berjiwa dan cukup rencahnya.

Secara peribadi, biarpun Audi Mok menghasilkan kelainan melalui lagu Ku Percaya Ada Cinta, sekaligus dijadikan single pertama, aku lebih menggemari 2 buah lagu ini; Tahajjud Cinta dan Asma Ul-Husna.

Tahajjud Cinta ciptaan Erma Fatimah, liriknya ditulis Hairul Anuar Harun, manakala Asma Ul Husna diberi nafas baru dan berdurasi lebih 6 minit mengalunkan 99 nama Allah dengan begitu indah. Secara keseluruhannya album ini mengalir dengan tenang. Dan diakhiri dengan Selawat ke atas Junjungan Besar. Ya Rasulallah yang pernah dipopularkan Raihan turut dinyanyikan semula. Mungkin gara-gara penglibatan DCT dalam Teater Sirah Junjungan baru-baru ini yang secara kebetulan menyanyikan lagu berkenaan.

Album ini diterbitkan oleh Eddie Marzuki, Audi Mok, Tya Subiakto termasuk DCT sendiri. Berikut merupakan lagu-lagu yang terkandung di dalam album Tahajjud Cinta sebanyak 8 buah lagu:

1.Asma Ul-Husna
2.Tahajjud Cinta(Erma Fatimah/Hairul Anuar Harun)
3.Ketika Cinta(Opick)
4.Ya Rasulullah(Abu Bakar Md Yatim/Raihan)
5.Selawat
6.Pintu Rindu(lagu Arab diubah lirik ke Bahasa Melayu oleh Hairul Anuar Harun)
7.Batasku Asaku(Siti Nurhaliza/Attan Hardilas)
8.Ku Percaya Ada Cinta (Audi Mok/Habsah Hassan)

Kesimpulannya, konsep album sebegini sepatutnya bukan bermusim. Biarlah ianya berterusan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Dan tanggungjawab menyeru ke arah kebaikan, berselawat dan mengingati Tuhan bukan hanya terletak di atas bahu penyanyi nasyid semata-mata. Sesiapa saja mampu menjalankan kegiatan berdakwah secara tidak langsung sebegini.

Thursday, October 22, 2009

Muzik-muzik Separuh Akhir ~

Pada jam 4.30 petang tadi, telah berlangsung sidang media pengumuman lagu-lagu yang berjaya memasuki Separuh Akhir Muzik-Muzik di perkarangan Sri Pentas. Sebanyak 30 lagu yang telah berjaya memasuki pusingan separuh akhir Muzik-Muzik telah diumumkan dan artis serta wakil telah mencabut undi giliran.

Mereka adalah seperti berikut: (14 lagu yang dirasakan mampu mara ke Final Anugerah Juara Lagu diboldkan)

6 Nov
1. Mirage (Pesawat)
2. Kau Aku (Aizat)
3. Dia, Aku dan Kamu (Nadia & Red Peanut)
4. Oh Anok Anok (Reshmonu)
5. Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah)
6. Aku Scandal (Hujan)
7. Enjut (Noraniza Idris)
8. Gila (Mila)
9. Dan Sebenarnya (Yuna)
10. Raja Gelek (One Nation Emcees)
11. Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor)

13 Nov
1. Aurora (Estranged)
2. Seadanya Aku (Nubhan)
3. Tahu Tak Tau Joget (Jinbara)
4. Ku Pinjam Satu Bintang (Alyah & Riz)
5. Fikirlah (Aizat)
6. Khatimah Cinta (6ixth Sense)
7. Bengang (Akim)
8. Aku Rindu Sayang Kamu (Black)
9. Pari-Pari Di Bawah Angin (Meet Uncle Hussain)
10. Benar-Benar (Adam)
11. Masih Jelas (Hafiz)

20 Nov
1. Situasi (Bunkface)
2. Rindu Terhenti (Tomok)
3. Patri (Jinbara)
4. Pakai Buang (Stacy)
5. Pergi (Aizat)
6. Ketika Ini (Estranged)
7. Bencinta (Faizal Tahir)
8. Cinta Adam & Hawa (Misha Omar)

Tarikh 6, 13 dan 20 November merupakan tarikh persembahan mereka, yang akan berlangsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dari jam 10 hingga 11.30 malam, mengikut urutan yang tertera.

Muzik-Muzik edisi ke-24 ini menampilkan format baru dimana pencalonan lagu tidak fokus kepada tiga kategori utama iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock. Pendek kata, Muzik-Muzik kali ini tidak mempertandingkan sebarang kategori.

Tujuannya untuk memberi peluang kepada pengiat-pengiat seni muzik untuk bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori ini saja.

Lagu-lagu yang layak dipertandingkan di Muzik-Muzik Separuh Akhir dipilih melalui markah tertinggi yang diperolehi melalui undian yang dibuat setiap minggu dan berdasarkan tempoh kedudukan lagu tersebut di dalam carta mingguan Muzik-Muzik.

Sebanyak 112 lagu yang telah dicalonkan sepanjang tahun mulai 4 April hingga 17 Oktober tetapi hanya 30 lagu sahaja terpilih ke separuh akhir. Dari situ, 14 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu yang akan diumumkan selepas persembahan terakhir pada 20 November.

Pemilihan dibuat berdasarkan pemarkahan oleh juri profesional berdasarkan persembahan pada malam pertandingan dicampur markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan.

Tiket-tiket percuma ke pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik boleh diperolehi di Balai Pengawal Sri Pentas Bandar Utama dan Balai Pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral mula 31 Oktober.

Untuk maklumat lanjut mengenai Separuh Akhir Muzik-Muzik 24, layari www.tv3.com.my

Credit to Budiey for this info.