Buat pertama kalinya, aku akan mengupas dengan lebih lanjut dan mendalam berkenaan album ini sebagaimana 'janji' aku di awal bulan lalu. Dan aku telahpun memiliki album ini secara sah dan original! Haha. =) Album ke-13 (rasanya..huahua. sorry, I'm not her die-hard fan like SKM dll) DCT ini merupakan album yang buat pertama kalinya menampilkan lagu-lagu berbentuk kerohanian.
Jika di Indonesia, album-album sebegini disebut sebagai album religi, yakni penyanyi-penyanyi di Indonesia yang gah akan membuat album khas sempena kedatangan Ramadhan atau Syawal. Fenomena sebegini rasanya dicetuskan oleh Kumpulan Gigi dan selanjutnya diteruskan lagi oleh beberapa band-band seangkatan umpama Kumpulan Ungu (hits dengan lagu Andai Ku Tahu, Surgamu dll) dan Radja. Hatta, artis seperti Acha dan Irwansyah juga pernah menghasilkan album duet berkonsepkan religi (contohnya lagu Aku Bersujud).
Justeru kelainan yang cuba ditonjolkan oleh DCT melalui album ini, yang telahpun dilancarkan pada 09.09.09 sempena Ramadhan yang lalu boleh dikatakan percubaan yang agak menarik. (mungkin boleh uji kesusaian pasaran @ test market). Tambahan pula dengan imej ala-ala hendak-tak hendak bertudung itu, maka album ini menjadi satu signifikan ke arah sesuatu yang amat positif. Transformasi~
Aku malas nak berdebat isu imej ataupun cara bertudung khususnya sebagai suatu bahan untuk dibincangkan kerana isu yang lebih penting di sini ialah usaha ataupun inisiatif DCT mengangkat lagu-lagu nasyid (samada dinyanyikan semula, diubah lirik ke Bahasa Melayu dsb) merupakan punca dan tindakan mengapa nadi industri muzik boleh terus bernafas dan menghela nafas lega.
Jualannya agak laris di pasaran yakni mendapat sambutan menggalakkan. Terutama sekali cover album yang agak menarik perhatian. Kombinasi warna putih-biru-hijau.
Kualiti?? Tahap kualiti album ini setaraf dengan album nasyid sedia ada. Aku tak pasti untuk pencalonan AIM akan datang, album ini akan masuk kategori Album Pop Terbaik ataupun Album Nasyid Terbaik. Harap-harapnya, kategori Album Nasyid Terbaik memandangkan genre nasyid seakan suram lewat kebelakangan ini.
Mungkin disebabkan oleh hal ini, lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini amat jarang kedengaran di corong-corong radio. Nasib yang sama menimpa album ini sebagaimana Album Lantera Timur. Mentang-mentang lagu Nasyid, lagu Irama Malaysia, maka stesen-stesen radio itu enggan memutarkan lagu-lagu ini dengan kerap.
Hanya single pertama yang kedengaran. Di Taman Teman. Kali ini, Ku Percaya Ada Cinta ciptaan Audi Mok dan lirik tulisan Habsah Hassan menjadi taruhan. Walhal, banyak lagi lagu yang menarik untuk dijadikan halwa telinga.
Sebelum album ini dipasarkan, 2 buah lagu terlebih dahulu telahpun menjadi runut bunyi (soundtrack) kepada filem Perempuan Berkalung Sorban iaitu Batasku Asaku, ciptaan DCT sendiri dan Ketika Cinta yang pernah dinyanyikan Opick. Kedua-dua lagu ini amat berjiwa dan cukup rencahnya.
Secara peribadi, biarpun Audi Mok menghasilkan kelainan melalui lagu Ku Percaya Ada Cinta, sekaligus dijadikan single pertama, aku lebih menggemari 2 buah lagu ini; Tahajjud Cinta dan Asma Ul-Husna.
Tahajjud Cinta ciptaan Erma Fatimah, liriknya ditulis Hairul Anuar Harun, manakala Asma Ul Husna diberi nafas baru dan berdurasi lebih 6 minit mengalunkan 99 nama Allah dengan begitu indah. Secara keseluruhannya album ini mengalir dengan tenang. Dan diakhiri dengan Selawat ke atas Junjungan Besar. Ya Rasulallah yang pernah dipopularkan Raihan turut dinyanyikan semula. Mungkin gara-gara penglibatan DCT dalam Teater Sirah Junjungan baru-baru ini yang secara kebetulan menyanyikan lagu berkenaan.
Album ini diterbitkan oleh Eddie Marzuki, Audi Mok, Tya Subiakto termasuk DCT sendiri. Berikut merupakan lagu-lagu yang terkandung di dalam album Tahajjud Cinta sebanyak 8 buah lagu:
1.Asma Ul-Husna
2.Tahajjud Cinta(Erma Fatimah/Hairul Anuar Harun)
3.Ketika Cinta(Opick)
4.Ya Rasulullah(Abu Bakar Md Yatim/Raihan)
5.Selawat
6.Pintu Rindu(lagu Arab diubah lirik ke Bahasa Melayu oleh Hairul Anuar Harun)
7.Batasku Asaku(Siti Nurhaliza/Attan Hardilas)
8.Ku Percaya Ada Cinta (Audi Mok/Habsah Hassan)
Kesimpulannya, konsep album sebegini sepatutnya bukan bermusim. Biarlah ianya berterusan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Dan tanggungjawab menyeru ke arah kebaikan, berselawat dan mengingati Tuhan bukan hanya terletak di atas bahu penyanyi nasyid semata-mata. Sesiapa saja mampu menjalankan kegiatan berdakwah secara tidak langsung sebegini.
No comments:
Post a Comment