Hebahan

Thursday, October 29, 2009

Rawang ~ Here i come!

Pasti ada yang tertanya-tanya ke mana perginya aku. Mengapa begitu sukar menghubungi aku lewat kebelakangan ini? Kenapa begitu payah untuk bertemu dan mengajak aku ke mana-mana saja mengikut kata dan kehendak mereka; rakan-taulan dan sahabat handai.

Untuk pengetahuan kalian yang mengenali aku sebagai Mustakim bin Bahrudin, bukan sebagai si tukang tulis yang punya misi, visi dan sisi kehidupan yang jauh dari kontroversi dan revolusi, aku kini bekerja secara 'freelance'!

Freelance bermakna aku tidak terikat dengan mana-mana kontrak di bawah mana-mana agensi samada kerajaan ataupun swasta. Aku juga tidak mampu membina nama sendiri sebagai satu 'syarikat' yang gah malah aku juga masih terkial-kial mencari tapak yang kukuh, tempat duduk yang tetap,sekata dan selamat serta takkan menggoncangkan masa depan aku kelak.

Sementelah aku juga punya masa depan bersama 'dia' yang masih dalam perancangan dan masih belum dilunaskan. Bila sampai waktunya kelak, bila tiba waktu yang sesuai untuk dibuat hebahan yang sewajarnya, pasti kalian akan dititipkan dengan khabar gembira untuk dikongsikan bersama.

Justeru itu, aku perlu merancang masa depan dengan teratur. Aku mahu melakar hari esok sebagai detik yang amat membahagiakan. Aku juga mahu mencongak masa akan datang supaya setiap perancangan berjaya dilaksanakan dengan baik. I wanna make sure the mission is accomplished! TAPI.. kita hanya merancang, DAN Allah itu sebaik-baik perancang! (ceh, ayat tak nak kalah dan tak mahu klise~) Sesama kita berusaha, kepada Allah diserahkan segalanya.

Moga-moga impian jadi nyata. Segala urusan dipermudahkan. Semoga dengan ikatan yang sah yang terjalin nanti, dapat menjaga maruah dan kehormatan aku selaku makhluk-Nya yang lemah dan serba-serbi kekurangan. Moga kehadirannya nanti akan membuatkan kami saling lengkap-melengkapi. Memberi dan menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing sekaligus menyempurnakan sebahagian iman selaku umat Nabi Muhammad SAW.

Antara langkah yang agak drastik yang aku telah ambil ialah dengan berhenti kerja secara mengejut. Bagi yang kurang jelas, bermula April 2009 aku telah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya sebagai Pegawai Tadbir Sambilan, Gred N41.

Taraf 'sambilan' ini boleh dikategorikan sebagai pekerja kontrak yang dibayar gajinya mengikut jumlah hari bekerja berdasarkan jumlah hari bekerja merujuk kepada kad ketip ataupun punch card. Jumlah gaji bulanan agak berpatutan (nak kata lumayan pun boleh) memandangkan aku masih belum merasa mendapat gaji melebihi dua ribu ringgit sebelum ini.

Kini, peluang dan rezeki itu ada di depan mata. Tambahan pula aku hanya berulang-alik dari rumah ke pejabat setiap hari dengan Panda kesayangan aku itu. Memang kesempatan yang ada ini membolehkan aku membuat sedikit simpanan untuk digunakan di masa depan.

Sayangnya, aku tak dapat menyambung kontrak yang telahpun tamat pada Ogos 2009. (Akhirnya aku membuka mulut. Sekian lama menyimpan rahsia, membisu seribu bahasa. Bagi aku setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rezeki ada di mana-mana. Dan prinsip hidup aku tak mahu menyalahkan sesiapa jika masalah berlaku. Aku bukanlah jenis orang yang mahu menuding jari ke arah orang lain atas kesulitan yang aku alami. Terima kasih kepada Tn. Hj. D yang telah menyerahkan resume aku kepada pihak berkenaan dan menerima kehadiran aku sebagai staf dan sebahagian daripada mereka. Pengalaman yang aku kutip kira-kira 5 bulan itu begitu berharga sehingga membuka mata aku seluas-luasnya mengenai hakikat kehidupan) Dan secara kebetulan, datang pula tawaran bekerja daripada pihak swasta sebaik sahaja aku berkira-kira dan membuat perhitungan mutlak.

Pihak swasta yang dimaksudkan ialah Khazanah Nasional Berhad. Aku diberi peluang untuk menjalani latihan ataupun training selama 8 bulan setengah. 2 bulan setengah latihan melalui kursus, ceramah dan modul yang telah disediakan. Manakala baki 6 bulan dengan menjalani placement di mana-mana syarikat swasta ataupun government link companay (GLC) seperti Proton, TNB, TM, Petronas dll.


Nama program ini ialah Graduate Employability Management Scheme ataupun arbitrasinya GEMS. Sebut betul-betul... (Jems ya.. bukan Gems.. kalau Gems tu gems.. gems... gems.. haha) Program ini khusus buat sesiapa saja (berumur 22-28 tahun sahaja) yang ada ijazah dalam apa jua bidang yang menganggur, tak bekerja, gagal mendapat temuduga(interview) ataupun tiada pekerjaan tetap (seperti aku! haha) hatta mempunyai agenda lain sekalipun.

Ada antara mereka (eh.. kami di sini) yang bertujuan mencari pengalaman baru, pekerjaan dan persekitaran baru, ada yang nak cari kekasih baru, ada yang sekadar mahu jadikan medan persinggahan sebelum mendapat kerja yang lebih bagus, ada yang sekadar mahukan elaun yang disediakan di samping mahu merasa bagaimana tinggal di hotel ataupun resort secara percuma dan sebagainya. Segalanya kembali kepada niat masing-masing kerana setiap amalan bermula dengan niat.

Kerana dalam satu hadith yang amat masyhur, kesinambungan kepada peristiwa Hijrah dari Kota Makkah ke Madinah, ada antara sahabat yang berniat untuk berhijrah kerana ada sebab dan musabab yang lain. Maka Baginda mengatakan "Fa hijratuhu ilaa maa hajara ilaihi" yang bermaksud, maka hijrahnya bergantung kepada apa yang mahu dihijrahkan. Maknanya jika sesiapa berhijrah kerana mahu berkahwin, maka dia akan mencapai kehendaknya. Jika hijrahnya kerana harta, maka harta yang akan didapatinya. What you see is what you get!

Berbalik kepada topik utama kali ini, sukacita dimaklumkan bahawa aku telah mula melaporkan diri pada bulan September yakni selepas Aidilfitri. Dan aku telah ditempatkan di Rawang bagi menjalani kursus dan latihan selama 2 bulan setengah. Di sini, iaitu di Perangsang Templer Golf Club (PTGC) aku akan diajar mengiku modul yang telah ditetapkan antaranya English Class (siap ada pre-test & post test lagi dan tenaga pengajarnya dari British Council), Time Management, Problem Solving, Team Building, Grooming Class dll. Ala-ala buat DPA gitu. Merasa macam peserta The Apprentice pun ada. Haha.

Kini telah sebulan aku berada di PTGC. Banyak cerita yang ingin dikongsikan bersama namun aku terpaksa tangguhkan terlebih dahulu kerana kesuntukan masa. Insya allah aku akan bercerita lebih lanjut melalui entri yang akan datang.




Maka, menjelang Disember kelak, aku akan tamat menjalani latihan seterusnya akan ditempatkan di mana-mana GLC ataupun syarikat swasta untuk bekerja selama 6 bulan. Sekiranya pencapaian aku baik dan memuaskan, kebarangkalian untuk diserap ke jawatan tetap amat besar. Mudah-mudahan insya allah.

Buat kawan-kawan yang sukar menghubungi aku. Siap ajak BBQ lah, open-house raya lah, tengok wayang lah, boling lah, maaf lah banyak-banyak kerana kesuntukan masa. Inilah pengorbanan namanya. Semoga apa yang telah aku korbankan selama ini akan membuahkan hasil yang sepatutnya. (Amboi, meng-update blog sempat pulak! Katanya... Hello.. ni pun pandai-pandai mencelah dan menyelit curi masa). Baiklah, cukup sampai di sini saja. Insya allah, aku akan meriahkan blog ini kembali bulan Disember nanti. Mungkin November agak kurang bahan yang akan dikupas.. tapi kita tengok... dapat lepas gian atau tidak!

No comments:

Post a Comment