Hebahan

Wednesday, July 21, 2010

Gorgeous Chain Sdn Bhd Penipu????

Tajuk mesti gempak..taknak kalah. Mengapa tiba-tiba saja nak buka topik ni ek? Sebelum ni, aku ada selit sedikit pasal kisah ni dalam entri "Jadi mangsa". Namun, entri ini menjadi hangat gara-gara ditemui bertepatan dengan pencarian google atas nama Gorgeous Chain Sdn Bhd, GCSB, Gorgeous Chain Plaza Sentral dan yang adik-beradik dengan namanya.

Entri itu paling hangat diperkatakan, diperdebatkan, dan diperbahaskan oleh pengunjung blog ini (termasuk di ruangan beberapa forum, Forum Lowyat contohnya) yang rata-ratanya masih muda belia, masih mencari kerja, masih segar majlis graduasinya hatta belum berkonvo lagi. Memang niat asalnya aku sekadar berkongsi pengalaman menjadi mangsa syarikat ini.

Kenapa menjadi mangsa? Sebabnya aku ditipu bulat-bulat dan aku tak mahu ada mangsa lagi yang seterusnya ditipu hidup-hidup. Waima, hingga ke saat ini, syarikat ini masih aktif & licik beroperasi di tempat yang sama dengan nama yang sama (mungkin suatu hari nanti mereka akan tukar nama, sebab modus operandinya terjejas gara-gara carian hit Gorgeous Chain membawa mangsanya singgah berkunjung di sini terlebih dahulu, sebelum terkena!)

Aku bukan nak mempengaruhi apa yang aku kata ini benar atau sebaliknya. Syarikat Gorgeous Chain memang penipu besar terang-terangan di mata aku, tapi mungkin di mata sesetengah orang, itulah tempat mereka cari makan kononnya. Justeru, aku tak mahu menutup periuk nasi orang lain  gara-gara kenyataan pahit yang sukar diterima mereka.

Terserah kepada anda pengunjung blog sekalian..anda mahu ditipu, anda mahu menipu atau anda mahu terus tertipu. Tapi, jangan kata aku tak pernah beri amaran anda akan ditipu. Sebabnya bukan aku seorang saja yang kata macam tu. Lepas aku jadi mangsa sekitar Januari 2010, telah menyusul beberapa mangsa lagi yang buat pengakuan di blog mereka seperti beikut:




Terserah anda..pisau di tangan kanan, buah di tangan kiri. Anda nak hiris buah..atau sembelih diri sendiri?? Bukti?? Cakap bukan sembarangan ..bukan semberono saja. Sebab jelas ternyata, sudah terang lagi bersuluh berderet mangsa mereka seperti di atas. Itu luahan rasa mereka yang ada blog. Yang tiada blog? Yang tadah tulis di ruangan komen entri  "Jadi mangsa"?? Yang mengadu di Facebook? Yang tulis di chatbox "sila tegur"? Yang tak bercerita langsung?? Bersepah lagi mangsa mereka sebenarnya..

Pasti ada orang tanya, apa motif aku nak dedahkan lagi kepincangan ni. Nak mengeruhkan lagi keadaan buat apa? Kan aku dah terselamat, daripada menjadi mangsa. Ya! Betul.. sudah setengah tahun berlalu, tapi orang ramai yang tak tahu-menahu akan terus menyerbu nombor di bawah dan bakal menjadi mangsa. Aku dah bosan dengan pertanyaan di sini atau Facebook yang  masih ragu-ragu, masih tak percaya wujudnya syarikat macam tu. Jadi lepas ni jangan banyak tanya lagi ya..terserah anda!


Semuanya bermula di sini.. anda terpengaruh dengan iklan ini. Ini iklan yang bertarikh 10 Julai 2010. Iklan macam nilah juga yang aku terkena dulu..sekitar hujung Disember 2009 atau awal Januari 2010. Mesti ada iklan macam ni.  Pattern & design yang sama. Sebijik! Takde ubahsuai langsung.

Fikirlah secara logik. Daya tarikan utamanya ialah angka gaji yang ditawarkan! WOW! RM 2200-2900, bagi jawatan Admin Executive! RM 1700-RM 2000 bagi jawatan Admin Assistant! Mata siapa tak terbeliak kan? Fikir masak-masak, mana ada orang bincang terang-terangan tentang benda yang sulit & persendirian ni. Sudahlah tak letak langsung nama syarikat. Kena hubungi nombor yang tertera. Sebab tu lah Google menyelamatkan anda!

Cubalah.. pasti salah satu nama ni akan terpacul! Gorgeous Chain.. kalau tak.. Elegant Destiny! Mungkin suatu hari nanti mereka akan tukar nama syarikat! Mungkin! Tetapi modus operandinya tetap sama. Nanti lepas anda call nombor tu, mereka akan hubungi anda tanpa- putus-putus sampailah anda hadir temuduga. Cara temuduga dijalankan memang profesional, tapi cuba bincang pasal gaji yang ditawarkan di atas. Tanya skop tugas jawatan yang anda pohon. Cuba tanya apa core business syarikat... pasti mereka berdolak-dalih! Putar alam...

Iklan saja dah nampak betapa tak professionalnya mereka. Tak berani letak nama syarikat..Tak berani letak e-mail. Kita pula yang kena hubungi mereka. Kalau anda pernah kerja di syarikat tu.. anda akan tahu kenapa ada beberapa orang tu kerjanya angkat telefon jawab panggilan saja kerjanya.

Sayangkan.. kita ada mata tapi hanya mampu melihat tapi tak dapat memandang. Ada telinga hanya mampu mendengar tapi tak peka. Ada mulut hanya mampu bercakap tapi tak mampu bersuara. Jangan butakan mata hati.. hanya hati yang tulus mampu menilai. Hanya jauhari yang mengenal manikam!!!

p/s: ada tengok tak Cerekarama, Saham Neraka di TV3 17 Julai 2010? Lebih kurang camtu lah.. Ni nak buka website kononnya berpangkalan di New Zealand. Alih-alih under construction..duit orang USD 120 K bersamaan RM 450 K beb!

Latest UPDATE:

Ada org anta mesej kat FB, seperti berikut:

salam mustakim,

I'm a friend of Syaza. I called Syaza just now but she don't hv your number. I really2 need to hv a conversation with you. It's all about GC, ED, & other company yg seangkatan dgnnya.
I read your blog about GC. Luckily, I x pergi interview GC at KL Sentral.

However, I attend an interview at Titan Benchmark Sdn. Bhd. (913636-X) at level 8, Menara Amcorp, Petaling Jaya yg menawarkan post = admin executive juga. Modus operandi Titan Benchmark ni exactly 100% sama mcm apa yg u wrote in your blog.

In addition, I checked with SSM, & Titan Benchmark just registered 4 months ago. It's same as you predicted that they will change their company's name soon!

The question is : my personal data & original pic ada di tgn (amanda) company tu. Ada ke -ve impacts if they hv my personal detail ? takut2 jugak kalau diorg buat loan guna maklumat2 tu or salahguna..

hope you can reply my msg as soon as possible.

DAUD SULAIMAN

Seperti yang dijangka, MUNGKIN mereka tukar nama syarikat! Berhati-hati saja
!

Saturday, July 17, 2010

Eksklusif - Carta 10 Hangat 3 Bulan

Telah sedia maklum, aku berehat seketika selama 3 bulan namun itu tidak bermakna isu-isu hangat yang melanda tidak dihiraukan sama sekali. Justeru terimalah 10 berita paling hangat dalam tempoh 3 bulan terakhir ini.

(10) Piala Thomas!

Sekali lagi Malaysia gigit jari. Piala Thomas terlepas buat kesekian kalinya. Ternyata Malaysia hanya mengharapkan status nombor satu dunia milik Datuk Lee Chong Wei dan pasangan beregu negara Koo Kean Keat / Tan Boon Heong. Peringkat kumpulan pun sudah kalah dengan pasukan Jepun. Nasib baik menang percuma dengan Nigeria.

Mara ke separuh akhir mengalahkan Denmark namun kandas bila bertemu China. Pasukan China bukanlah tandingan Malaysia. Sememangnya ini bukanlah buku bertemu ruas sebab Malaysia dikalahkan straight set, Lin Dan mn Lee Chong Wei 21-17, 21-8; Cai Yun / Fu Haifeng mn Koo Kean Keat / Tan Boon Heong 21-15, 21-10. Chen Jin mn Wong Choon Han 21-16, 21-7.

Bilakah kemarau 18 tahun akan berakhir? Dan sampai bila kita hanya menyandarkan harapan kepada pemain yang meningkat usianya seperti Wong Choon Han, Hafiz dan lain-lain. Di manakah barisan muda pelapis skuad utama ini? Sama-sama kita nantikan.


(tukang tulis tanya: Piala Uber?)

(9) AIM?

Aim perkataan Inggeris bermaksud matlamat. Hala tuju. Objektif. Al-ahdaf, kalimah Arabnya. Ke mana hala tuju muzik Malaysia yang hakikatnya lebih berkiblatkan muzik barat. Kalau dulu, kita dapat saksikan sekurang-kurangnya satu persembahan nasyid di pentas AIM. Tetapi situasi kini berubah. Kini sudah wujud kategori baru, yang bergenrekan muzik hip hop. Kategori etnik kreatif atau irama Malaysia terus dihapuskan. Kategori lagu sahaja yang wujud, bukan lagi album.

Aku bukan anti muzik hip-hop bukan juga penyanjung setia irama nasyid, dan etnik, cuma sekadar melontarkan pandangan. Persoalan yang belum berpenghujung. Kita lupakan soal Yuna menang besar, Faizal Tahir menang album terbaik lagi sekali atau Datuk CT kalah dengan Dayang (yang bertanding atas tiket rakaman secara langsung, LIVE). Klise~


Cuma nak tahu ke mana hala arah tujunya. Pemenangnya ialah sekian-sekian pemenang. Seterusnya? Kemudian? Kamu diam?

Adakah genre nasyid akan mengikut jejak langkah genre dangdut dan etnik kreatif/irama malaysia yang telah dilenyapkan? Sedangkan hakikatnya, album nasyid masih ada pasaran. Penggemar nasyid menyokong industri dengan membeli dan mendapatkan album yag asli, di sebalik asakan cetakan rompak dan muat turun. Sekarang, kumpulan Mirwana, Hijjaz, Raihan, Far East, Inteam+Unique sudah ada album baru. Yang menyusul nanti juga sudah ada.

Lebih-lebih lagi trend sekarang hanya berpandukan single atau sebuah lagu sahaja. Itulah lagu cari makan.

(tukang tulis menelah: ABP? Taknak ulas? Pemenang sama saja)

(8) Radio Sinar.FM
Terlanjur bercerita pasal lagu, mahu sembanglah pulak pasal radio. Radio nombor satu di Malaysia kini milik Radio Sinar.FM. Radio yang dikatakan kampung dan ketinggalan zaman oleh sesetengah pihak. Katanya tak ikut perkembangan lah. Bekas DJnya siap kata tak tahu lagu Yuna macam mana bila kerja di situ. Alih-alih. Radio Era dan Hot yang jatuh terduduk-duduk.

Siapa kata lagu buatan Malaysia tak malar segar, tak dapat sambutan. Justeru jangan lah hairan kalau dengar radio Hot atau Era tiba-tiba kita dapat dengar banyak lagu lama, lagu rock kapak seperti konsep radio Sinar, muzik retro terbaik. Mungkin ledakan muzik & komposisi lagu dari Indo telah reda dan kedengaran agak klise lewat kebelakangan ini. Sedangkan kumpulan Wali sendiri mengaku muzik mereka agak kampung, namun itulah lagu yang dimainkan oleh stesen yang menggunakan tagline 'muzik terkini', atau 'lebih hangat daripada biasa'.

Dulu radio Era jangan harap nak main lagu ciptaan Eddie Hamid atau Eddie 'lentok' sebab lagunya mendayu dan meleleh jiwang karat. Tapi terpaksa juga siar lagu seperti Rindu serindu-rindunya dendangan Spoon. Cuma satu perkara yang boleh dipuji. Era sudah siarkan lagu paling indah iaitu, Azan! Tahniah! Radio swasta lain? Bila lagi.

Soal tagline pula nampaknya Era dah buat perubahan drastik. Tiada lagi rentak muzik terkini. Kini bertukar, 'kini hanya memainkan muzik hit'. Suria FM yang mencatatkan penambahan pendengar paling banyak juga menggunakan tagline 'muzik terbaik 90-an dan terbaru'. Macam-macam~

(tukang tulis usul: Hot.fm taknak tukar tagline?)

(7) Realiti TV (Hiburan vs Keagamaan)

Emm.. Rancangan realiti TV bersepah? Musim yang semakin lesu. Tapi bukan semua rancangan ya. Tak tahulah rancangan realiti nyanyian nak cari siapa lagi. AF 8 berjaya melahirkan juara baru, Shahir, bekas ahli kumpulan Saujana. Terus tenggelam aura Mawi nampak gayanya. Emm..Mentor? Nak kata apa? Pemenangnya pun ala-ala..malas nak ulas.


Sebab aku lebih teruja nak ulas rancangan realiti lain yang ada kelainan. Saya Nak Cuti!(MAS) agak menarik, kerana setiap 'pelancong' ada kisah masing-masing. Ada yang pernah ke Padang untuk misi kemanusiaan mahu ke sana semula melihat perkembangan terkini dan macam-macam lagi cerita menarik.

Ada pertandingan tarian jalanan, Showdown tetapi isunya menampilkan peserta bawah umur yang masih bersekolah.
Tapi yang menariknya ialah rancangan ini:

 Dan juga ini :

(tukang tulis aju: Kenapa AQ 4 & Imam Muda disiarkan serentak hari Jumaat?? Hari Khamis malam Jumaat pulak Forum Perdana Ehwal Islam pula serentak dengan rancangan Semanis Kurma di TV9? Ling2~ )

(6) 2 PRK vs PKR

Hangat tak macam biasa.

PKR semakin didominasi golongan tertentu kah gara-gara semakin ramai orang Melayu keluar PKR, lompat masuk BN balik. Ahli Parlimen PKR pun semakin ramai mengisytiharkan diri Bebas membentuk Konsensus Bebas. Nampak gayanya Ibrahim Ali tambah geng di dalam Parlimen.

2 pilihanraya kecil bagi Parlimen Hulu Selangor & Sibu menyaksikan keputusan yang agak mengejutkan. Momentum kejayaan BN di PRK Bagan Pinang berterusan lagi. Kali ini calon MIC menang besar mengalahkan bekas Menteri Datuk Zaid Ibrahim. Emm..adakah MIC semakin relevan? Samy Vellu kata kalau MIC menang nak lepas jawatan Presiden? Betul kah? Dulu pun beliau pernah kata, kalau MIC kalah di Lunas tak mahu balik KL? Apa macam?


Cuba baca kupasan & kajian Zentrum future studies(Dr Abu Hassan) di sini. Hasil PRK terakhir di Sibu.

(tukang tulis jawab: ada orang kata fokus sangat kat Hulu Selangor, Sibu terlepas dekat DAP. Ahli parlimen PKR berkurang, ahli perlimen DAP bertambah, tapi DSAI tetap Ketua Pembangkang?)

(5) Bola ( EPL vs WC)

Isu sukan paling popular di dunia, semestinya bola sepak!

Ada banyak piala. Antaranya EPL menjadi milik Chelsea. La Liga, milik Barcelona. Serie A, milik Inter Milan, Bayern Munich, juara Bundesliga. Jose Mourinho berjaya mendapatkan Piala Liga-liga Eropah yang kedua buat dirinya. Jika dulu bersama, Porto, namun kini bersama Inter Milan. Manakala Fulham terlepas Piala Europa setelah tewas di aksi final menentang Atletico Madrid. (Diego Forlan ada di situ)

World Cup? Dah tahu siapa pemenangnya kan? Nantikan saja ulasan Piala Dunia di blog ini akhir bulan nanti.

(tukang tulis teruja: Nak tengok siri pemindahan pemain/pengurus. Roy Hodgson ke LIverpool, Benitez ke Inter, Mourinho ke Real! Wah, ada Kaka + Ronaldo, apa strategi Mourinho ya?)

(4) Lisa Surihani (Adamaya vs Lagenda Budak Setan)

Setelah fenomena Nur Kasih pada tahun lalu, kini drama tempatan yang diolah daripada filem I'm not single, menjadi buah mulut. Lisa Surihani selaku heroinnya digandingkan bersama Sein juara Sehati Berdansa 3 ditambah serinya dengan kehadiran adik Mia Sara sambil dibantu lakonan berkesan Faizal Yusop selaku Dani, maka formula ini benar-benar menjadi. Tahniah kepada David Teo dan Feroz Kadir.


Ternyata Lisa Surihani heroin paling laris masa kini. Bersusun-susun drama dan filem lakonannya. Bermula dari V3-Samseng jalanan, Semerah cinta Stilleto,Lagenda Budak Setan, Kapoww! dan Zoo. Berturut-turut ditayangkan, dan lakonannya yang paling menyerlah semestinya dalam filem Lagenda Budak Setan(LBS) yang diadaptasi dari novel terlaris Ahadiat Akashah. Graf lakonannya sama naik dengan Que Haidar yang beraksi cemerlang dalam LBS.


(tukang tulis soseh : Imej Tiz Zakiah tercemar, tercalar & terjejas gara-gara FS? Adakah Nur Kasih The Movie akan mendapat sambutan sebagaimana drama bersirinya? Khabarnya adik Mia Sara@Amani berlakon sama)

(3) Perlu kajian terperinci.

Ada 3 perkara perlu kajian terperinci oleh kerajaan.

Pertama, (TKI/tenaga kerja Indonesia atau lebih khusus amah/orang gaji mendapat cuti) Setelah pengambilan amah/orang gaji dari negara tetangga, Indonesia dibekukan sejak Jun 2009. Namun, pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dijangka ditarik balik apabila kedua-dua negara menandantangani Memorandum Persefahaman (MoU).


Majikan akan diwajibkan memberi cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah warga Indonesia dan membayar mereka kerana bekerja pada hari bercuti jika kedua-dua pihak bersetuju pembantu rumah tidak mengambil cuti.

Selain itu, pembantu rumah dibenarkan menyimpan pasport mereka kecuali kedua-dua pihak bersetuju ia disimpan oleh majikan. Ia dipersetujui dalam Rundingan Tahunan Ketujuh antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, di pejabatnya semalam dan diikuti majlis menandatangani Surat Hasrat berhubung syarat penggajian pembantu rumah Indonesia.

Memorandum persefahaman (MOU) mengenai Indonesia sebelum perkara itu dijangka menyusul dalam tempoh dua bulan lagi bagi membolehkan penghantaran pembantu rumah yang diberhentikan sejak Jun tahun lalu disambung semula.


Emm.. Motif? Tunggu saja perkembangannya..berita ni bulan Jun.

Kedua, (Parlimen dipindahkan ke Putrajaya) Setelah Penjara Pudu rebah menyembah bumi, ada ura-ura pula mengatakan bahawa giliran Parlimen yang berada di Kuala Lumpur pula akan dipindahkan ke Putrajaya? Betulkah? Baca komen Pak Menteri di sini.

Ketiga, (PMR, UPSR dimansuhkan??)


Apa? Motif? Justifikasi? Setelah sekian lama 2 peperiksaan besar ini menjadi nadi, penentu hala tuju seorang pelajar, 2 peperiksaan ini mahu dihapuskan sewenang-wenangnya? Kajian terperinci diperlukan. Lebih banyak pro atau kontra.

Pendapat peribadi aku, kalau nak hapuskan boleh, tapi sistem pembelajaran kena lebih keras. Maknanya, kalau tak lulus periksa atau dapat peratusan 50 % bagi semua subjek contohnya, maka pelajar itu tak dapat naik kelas. Contohnya, budak darjah 1 dapat 49.8%, maka tahun depan kena repeat darjah 1. Tak boleh naik darjah 2. Hua hua hua~

(tukang tulis fikir : Banyak sangat isu di luar kotak fikiran dewasa ini)

(2) Remaja - Rafiqin Darwish, Aminulrashid & Naim Mustaqim

Dulu kita tak kenal pun siapa remaja-remaja di atas. Tetapi ekoran beberapa tragedi, nama mereka dikenali.

Tragedi pertama, kematian arwah Din Beramboi (pada mulanya spekulasi kena kencing tikus) menyebabkan remaja bernama Rafiqin Darwish ini lantang bersuara di laman sesawang, rangkaian sosial, Facebook. Perkataan Al-F*** itu sudah cukup menghiris perasaan. Namun adakah salah remaja ini sepenuhnya??


Tragedi kedua, gara-gara keluar lewat malam memandu kereta bersama rakan tanpa lesen memandu yang sah, remaja ini panik setelah terserempak polis dan dicop sebagai penjenayah(oleh media pada mulanya) lalu menjadi mangsa terbaru tak tersengaja 1Malaysia. Setelah S.Kugan, Beng Hock dan kini Aminulrashid, PDRM perlu membuktikan kredibilitinya dan meningtkan imej dan martabat polis yang sebenarnya banyak berjasa membanteras jenayah dan mempertahankan keamanan negara. Gara-gara 3 nyawa yang melayang ini umpama nila setitik rosak susu sebelanga.


Tragedi ketiga, mangsa buli! Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri. Terselit nama aku di tengahnya!

Seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi, yang didakwa dibuli sekumpulan pelajar senior meninggal dunia selepas kepalanya terhantuk pada lantai sejurus ditendang pelajar senior sehingga tidak sedarkan diri. Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 16 tahun dipanggil sekumpulan pelajar senior dan dipaksa menjalani hukuman tekan tubi berulang kali sebelum ditendang.

Susulan kejadian itu, pelajar malang berkenaan, Mohammad Naim Mustaqin Mohamad Sobri, segera diberikan rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Kem Sungai Besi, tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di situ.

Siasatan awal mendapati mangsa dipaksa menjalani hukuman tekan tubi pada kira-kira jam jam 10.45 malam oleh sekumpulan pelajar senior. Ketika dalam keadaan tekan tubi, seorang daripada pelajar senior terbabit didakwa menendang perut Mohammad Naim dengan kuat menyebabkan mangsa yang cuba berdiri dan berjalan gagal mengimbangi badan sebelum terjatuh dan kepalanya terhentak ke lantai sehingga tidak sedarkan diri

(tukang tulis tebak : Bagaimana agaknya remaja generasi 2010-an nanti? 2020-an nanti? Gusar~ )

(1) WE HATE ISRAEL!
1Israel? Wujudkah slogan mereka ini? Kaji sendiri.. Google sendiri.


Namun kali ini benar-benar melampau. Kapal Mavi Marmara konvoi ke Gaza membawa misi kemanusiaan telah diserang rejim zionis, Israel. Isra-hell~ Semua sibuk menghentam Israel. Di FB semua tukar profile picture masing-masing. Namun bila musim Piala Dunia menjelma, sekelip mata berubah! Profile picture anti-Israel, support Gaza berubah menjadi jersi bola! Wah, hebat sungguh percaturan mereka!

(tukang tulis seloroh: Ada orang tertanya-tanya YB Parit, nama Nizar parti mana? Jawapannya BN lah. Kagum :)

Thursday, July 15, 2010

Carta menjadi~

Ya! Carta menjadi-jadi.. sudah kembali ke sini. Seperti biasa, di dalam carta ini akan disenaraikan lagu-lagu yang semakin menarik pendengaran telinga ini. Lagu yang payah atau jarang kita dengar di corong radio tetapi lagu ini enak didengar. Tak mustahil suatu hari nanti lagu-lagu ini akan menjadi hit atau mula meledak di corong-corong radio. Cuba semak balik carta yang sudah-sudah. Ada lagu yang sudah menjadi siulan masa kini. Dan eksklusif kali ini, bukan 15 lagu seperti kebiasaan, tetapi terimalah 20 lagu untuk anda dengar. 
(p/s: Nak dengar macam mana? Anda fikirlah sendiri..nak muat turun atau dengar di youtube atau dapatkan saja yang asli.)




1. Maher Zain - Insha Allah
2. Aizat - Erti Hari Ini
3. Inteam - Dia Muhammad (lagu nasyid terbaik AIM17)
4. Bunkface - Soldier
5. Lady Gaga - Alejandro
6. Justin Bieber ft. Sean Kingston - Eenie Meenie
7. Prema Yin - Eyo-eyo
8. Nad AF8 - Aku sudah merdeka
9. Gio - Bila Cinta (OST Lagenda Budak Setan)
10. Cheryl Cole - Parachute
11. B.O.B ft. Haley Williams - Airplanes
12. Travis McCoy ft. Bruno Mars - Billionaire
13. John Mayer ft. Taylor Swift - Half of my heart
14. Mizz Nina ft. Noh Hujan - Kurnia
15. Atilia - Indah
16. 6ixth sense - Yang sempurnakanku
17. Fiq t. Mirwana - Manifestasi Cinta
18. Ezad Lazim - Bertemu cintaku
19. Miley Cyrus - When I look at you
20. Disagree - Haley

Monday, July 12, 2010

Kembali~


Ya aku kembali.. kembali berblog. Melepaskan rindu yang bersarang. Tapi setelah tamat tempoh 3 bulan berbulan madu, aku agak buntu nak mulakan dari mana. Kisah diri? Status baru?  Perkembangan terkini? Semasa? Dunia? Dan ada sesuatu yang hangat telah berlaku di dalam blog ini.

Gara-gara entri "Jadi mangsa", blog ini diserbu bagai nak rak. Nantikan, pendedahan seterusnya. Ada sambungan lagi. Wah! Sedikit emosi.. namun lebih matang. Itulah yang aku janjikan dalam penulisan yang akan datang.


Carta? Ya! Carta akan diteruskan sebab itu yang ramai orang nantikan? Berangan lebih... Tunggu saja kemunculannya. Nantikan saja kehadirannya. Awas~

Tuesday, July 6, 2010

Aku terima nikahnya ~

SATU janji.. SATU lafaz... SATU kali. (bukan promosi 1Malaysia ya..hua hua hua :P)

Aku terima nikah Nurulhuda bt Noordin dengan maskahwinnya ... 




Akad nikahnya bertarikh, 6 Jun 2010 bersamaan 23 Jamdilakhir 1431 Hijrah. Ironinya aku lahir pada 25 Februari 1984 bersamaan 23 Jamadilakhir 1405 Hijrah. Lafaz aku terima.. kuterima dirinya adalah segala-galanya.. menerima dirinya seadanya.. sikap baik serta buruknya. Begitu juga dirinya. Kita saling lengkap-melengkapi. Apa yang aku kurang, dia akan tambahkan.

Alhamdulillah.. aku kini bergelar suami orang. Aku kini menggalas tanggungjawab selaku ketua keluarga. Amanah daripada-Nya, daripada orang tuanya. Aku akan menjaga, melindungi, mengasihi, menyanyangi & mencintainya.. kerana ALLAH. Tiada sebab lain yang perlu diperincikan. 






Alhamdulillah..perkahwinan ini dilangsungkan dengan tenang. Tak terlalu cepat, dan tidak terlalu lambat. Just nice, kata orang putih. Orang Klate kata sedang molek. Usia 26 tahun. Perkahwinan ini melengkapkan hidup kami. Terbinanya masjid tanpa perlu ongkos yang tinggi (atau lebih tepat lagi berhutang atau pinjaman!), bermakna aku telah berkongsi hidup dengannya. Suka dan duka dilalui bersama isteri tercinta. Susah dan senang. Dialah sahabat.. isteri dan pendorong utama aku.

Perkahwinan ini cukup mudah namun meninggalkan momen yang cukup indah. Sederhana saja sambutannya. Tanpa pelamin.. tanpa undangan khas jurugambar profesional atau amatur. Yang penting, hadirin yang sudi menyerikan majlis kami merupakan orang-orang yang dianggap rapat dan sangat dekat di hati. Kalian hadir bersama senyuman dan doa berkat itu sudah memadai. Malah ada yang tidak berkesempatan untuk hadir masih sempat lagi menitipkan pesanan ringkas SMS, bersama hadiah yang tidak dijangka sama sekali.

Terharu~ Akhir kata, terima kasih buat semua yang menghadiri majlis kami 12 & 13 Jun lalu. Saudara-mara, sahabat handai, kaum keluarga.. terima kasih atas kehadiran, hadiah dan doa kalian. Jazakallahu khairan kathira. Jazakallahu khairal jazak ~

Sunday, May 30, 2010

SATU pengumuman... bukan iklan !


Cuma ada satu pengumuman, biarpun banyak perkara yang aku mahu perkatakan di sini. Seksa juga menunggu habis 'tempoh berkurung' 3 bulan ni. Ada yang sudah rindukan celoteh aku, ada yang tak sabar-sabar menunggu carta terbaru, rebiu terkini, lagu yang menjadi penyeri dan halwa telinga. Ah! Itu semua akan kulagukan nanti. Sedikit masa lagi. Nantikan... penulisan yang lebih matang!! Dan kupasan yang lebih menyegarkan selepas bertukas status memikul tanggungjawab baru ;)

Fokus aku sekarang ialah mendendangkan lagu rindu, meraikan kemuncak kisah aku & dia di lembahan cinta seterusnya melalui fasa 'bulan madu' (bulan manis bak madu, bukan berbulan madu ya..bulan madu di rumah sudah :). Buat teman-teman yang mengenali si tukang tulis tak kira di mana jua berada, jika kelapangan, serikanlah majlis kami, tanggal 12 & 13 Jun nanti. Alamat lengkap kliklah di sini (bagi yg ada FB). Tak perlu buah tangan, tak payah hadiah gah mewah dan tajaan. Cukup saja kehadiran kalian kelak memberi momen yang cukup indah buat kami berdua. Andai tak mampu hadir, cukuplah doa harapan kalian agar ikatan yang terjalin kekal berpanjangan serta aku mampu melaksanakan amanah & tanggungjawab selaku suami & ketua keluarga dengan baik. Amin~


Lembahan Cinta

[A]
Kumencintaimu sepenuh jiwaku
Setiap hariku indah kerana hadirmu

Bertemu, bersatu, ikrar janji kasih
Lafaz Kuterima segalanya oh dirimu

[B]
Sahnya ikatan kita tanda saling melengkapi
Ruang-ruang kosong telah terisi kini

Kita langkah seiring menuju gerbang bahagia
Layari bahtera teroka dunia baru

[A]
Kumenyayangimu seumur hidupku
Setiap hariku indah dengan kehadiranmu

[B]
Sahnya ikatan kita tanda saling melengkapi
Ruang-ruang ksong telah terisi kini

Kita langkah seiring menuju gerbang bahagia
Layari Bahtera teroka dunia baru

Chorus:

[1]
Aku nakhoda kemudi bahtera
Meredah samudera
Kau teguh berdiri
Walau dilanda prahara

[2]
Lembahan cinta limpahan kurnia
Rahmat dari Yang Esa
Raikan kemuncak
Kisah cinta nan abadi

Bridge:

Cinta nan abadi

Repeat chorus [2]

Kumencintaimu sepenuh jiwaku
Setiap hariku indah kerana diri-Mu

Sebuah Lagu kah?? Emm..tak mahu kalah?? Tungguuu~

Saturday, April 3, 2010

Mula berkira-kira...

Dalam kiraan 3!





3 bulan! 3 bulan aku mahu bercuti. Dengan ini aku mengisytiharkan aku akan menyepi di blog ini dalam tempoh 3 bulan, bagi menguruskan kerja-kerja berkaitan nikah-kahwin.

Hah?? Aku mula berkira-kira untuk bercuti.. bukan bersara ya. Masih dalam proses rasmi, menemui tarikh yang sesuai untuk umumkan aku akan berehat seketika daripada menjadi wartawan indie di blog sendiri.

Mula berkira-kira.. 3... 2... 1.... ?Congak.. corak.. rawak~