Hebahan

Monday, November 9, 2009

Pisau Cukur - Tajam & Mengancam



Di sebalik kehangatan bola sepak yang melanda negara, di sebalik kesibukan yang melanda, aku masih berjaya mencuri masa menonton wayang. Ini semua gara-gara aku telahpun menyenaraikan 3 filem tempatan 'wajib' aku tonton sebelum tahun 2009 melabuhkan tirainya.

3 filem yang dimaksudkan adalah seperti berikut; Papadom, Pisau Cukur dan Estet. Papadom telahpun menemui penonton Oktober lalu, manakala Pisau Cukur telahpun menyusul kini. Sayang sekali Estet tidak dapat ditayangkan pada tahun ini. Khabarnya Februari 2010 dijadualkan menemui khalayak walaupun aku telah menonton Estet yang belum sempurna sebanyak 2 kali hasil jemputan abang Mamat Khalid.


Pisau Cukur sekali lagi gandingan 3 nama, Bernard Chauly-Rafidah Abdullah-Nur Fazura, menghasilkan suatu yang segar dan baru. Tambahan pula, filem ini menampilkan Maya Karin, Aaron Aziz, Eizlan Yusof dan banyak lagi nama besar dan pernah menang anugerah. Adakah Pisau Cukur ini tajam atau tumpul? Mengancam atau terancam?

Lakonan Fazura memang mengancam habis. Sebagai penggemar lakonan Fazura yang tak klise, aku akan menyokong karier Fazura dengan sentiasa menonton hasil kerja beliau samada filem mahupun drama di kaca TV. Ada orang tanya kenapa suka sangat Minah ni? Best sangat ke? Bagi aku, satu perkara saja yang aku suka pasal Fazura.

Dia menjadi diri sendiri. Tak plastik dan menipu orang lain seperti pelakon itu. Contohnya, ketika ditanya wartawan sejurus filem Gol & Gincu dilancarkan, "Adakah anda gedik macam Puteri tu?". Lalu dengan penuh keyakinan jawapan YA diberikan. Apabila episod kelam menyelubungi Fazura, gara-gara 'kasut tumit tinggi' dan memerlukannya ulang-alik, naik tangga turun tangga mahkamah, dan akhirnya kes itu selesai, Fazura ditanya soalan yang lebih kurang begini "Masih ke kelab lagi ke?" Dan jawapan sama tetap diberikan. YA! Masih ada ke sana lagi.

Kali ini, berkenaan gadis pisau cukur pula, atau istilah Inggerisnya, "Gold digger". "Adakah anda seorang pisau cukur? Gemar mendekati lelaki kaya". Lebih kurang begitulah soalan wartawan yang memang itulah kerjanya. Apa jawabnya? YA. Sebab semua orang mahu hidup senang,. Setiap orang akan ada sekelumit perasaan macam Intan dan orang seperti Intan ada di mana-mana walaupun hakikatnya Intan didekati atau dihampiri oleh golongan tertentu. Sudah! Ada orang kisah aku suka Fazura. Haha. Kesimpulannya, I prefer this F than other F.

Pisau Cukur memang diciptakan khusus buat Fazura menang anugerah. Nampak macam terlalu yakin atau over confident. Tetapi setelah menonton memang tak tak dinafikan lagi hakikatnya. Gedik yang dibuat sangat natural. Berbanding Maya Karin yang perlu usaha sedikit melenturkan lakonan dan lidahnya. Namun, chemistry mereka berdua selaku kawan serumah sangat menjadi.


Selalunya, apabila ada 2 watak utama yang dibarisi pelakon wanita, pasti ada salah seorang yang nak tunjuk hebat atau berlagak diva. Contohnya Maya pernah di"overshadow" oleh seorang lagi aktres dalam filem Anak Halal. Dan hal sebaliknya berlaku dalam filem Pisau Cukur dan diakui sendiri oleh Maya yang senang bekerjasama dengan Fazura.

Apakah daya tarikan filem Pisau Cukur ini? Pertama, kelainan jalan ceritanya. Semuanya gara-gara nama ini, Bernard Chauly, yang mengarah cerita tulisan Rafidah Abdullah. Cerita ini langsung tak menggunakan kapal mewah sebagai lokasi penggambaran walaupun cerita ini berkisarkan apa yang berlaku (ada 2 cerita, satu kes pembunuhan, satu lagi kisah Bella yang mahu mengubat duka lara setelah tersingkir rancangan realiti TV) di atas sebuah kapal mewah umpama Titanic yang berlayar di lautan selama beberapa hari. Lokasi sebenar hanyalah sebuah kolam renang yang lama dan dijadikan sedikit renovasi sebelum penggambaran bermula. Ketahui dengan lebih lanjut di sini.

Kedua, pelakon-pelakon kelas A banyak membintangi filem ini. Rahim Razali, Khatijah Tan, Umie Aida, Liyana Jasmay yang pernah dapat anugerah pelakon terbaik. Nas-T, Nabil, Raja Lawak, Sharifah Sofea yang terkenal sebagai Katrina(Nur Kasih) pun ada. Yang penting, setiap kali kemunculan pelakon-pelakon terbabit tidak akan meneggelamkan mana-mana pelakon.

Ketiga, cerita ini memang kelakar. Genre Komedi lah kiranya. Mesti tergelak-gelak dengan telatah kesemua watak dan setiap butir bicara yang keluar daripada mulut pelakonnya. Satu lagi yang aku perasan corak penceritaan Bernard-Rafidah yang gemar wujudkan watak anti-hero. Jika Gol dan Gincu memperkenalkan Redza, lakonan Pierre Andre. Kali ini, giliran Redza Minhat pula.

Siapa Redza Minhat ni? Yang aku tahu, Mamat ni aktivis teater. Aku pernah tonton teater Allah! lakonan Redza bersama 2 orang lagi pelakon di The Actor's Studio@Lot10. Bekas student MMU yang gemar bermain ragbi atau lebih mesra dengan panggilan Rodek ini menunjukkan lakonan yang meyakinkan lebih-lebih lagi adegan tarian ballroom yang memerlukan usaha gigih melenturkan tubuh mengikut nada irama. Jika diberi lebih peluang, mungkin sisi bakatnya lebih menyerlah.


Orang kata, dalam setandan pisang, pasti ada pisang yang busuk. Sama juga halnya di sini. Orang kata, filem ini nampak seperti merendahkan wanita terutama wanita Melayu yang berpakaian seksi, gedik dan gilakan harta. Betapa murahnya maruah wanita Melayu. Tetapi dalam filem ini, ada justifikasinya mengapa perkara ini terjadi.

Contohnya, Intan Mastura, lakonan Fazura, merupakan selebriti TV. Pengacara yang mahu membuktikan dia bukan sekadar baca skrip depan kamera. Dan Intan sendiri yang dihimpit golongan VIP manakala Bella,lakonan Maya Karin yang pernah hidup susah dibela ibu tunggal. Lalu ibunya meninggal dunia dan neneknya mengambil alih tugas menjaga Bella dan adiknya. Bella bukannya melacurkan diri, bukan juga terhegeh-hegeh mengejar kemewahan sebaliknya mengharapkan jodohnya bersama lelaki yang menjamin masa depan dirinya dan anak-anak.

Segalanya bergantung kepada niat. Anda mahu hidup senang dengan cara yang mudah, atau mahu hidup susah dengan cara yang senang. Atau lebih rela menempuh kesusahan demi kesenangan. Pisau Cukur di tangan anda.. terserah, mahu mencukur atau dicukur.


No comments:

Post a Comment