Hebahan

Monday, November 9, 2009

Piala Malaysia milik N9 - Hikmah di sebalik kekalahan


Sah! Piala Malaysia menjadi milik pasukan Negeri Sembilan. Setelah 61 tahun menanti, piala yang menjadi rebutan itu menjadi milik Jang! Hobin Jang Hobin~ Sang rusa berjaya menanduk Sang kijang!

Anak Kijang belum cukup dewasa lagi. Demikian kata seorang sahabat. Persoalannya mengapakah pasukan Kelantan dianggap sebagai favourite memenangi piala ini, manakala pasukan N9 dianggap underdog?? Walhal jika kita amati 4 perlawanan terakhir antara Kelantan & Negeri Sembilan, 3 kemenangan menjadi milik N9, manakala Kelantan berjaya menundukkan N9 ketika separuh akhir piala FA. Inilah penangan "MEDIA" yang berjaya meletakkan Kelantan di bawah limelight~

Menang sorak, kampung tergadai!! Kenakah ayat ini dengan situasi penyokong Kelantan?? Ada yang kena, ada yang tidak. Yang kena, memang mereka(eh, kami sebab aku tergolong di kalangan mereka) menang sorak. 70% penonton Kelantan membentuk gelombang merah menenggelamkan unsur 'kuning'.

Manakala yang tergadai bukannya kampung, bukan juga negeri. Yang akan bergolok gadai kelak sudah tentu Persatuan Bola Sepak Kelantan yang diterajui Tan Sri Annuar Musa. Apakah hukuman yang bakal dihadapi ekoran tindak-tanduk "segelintir" penyokong di luar batas fikiran?? Tak serikkah dengan hukuman yang pernah dikenakan dulu.

Sepanjang penglibatan Kelantan dalam liga bola sepak tempatan musim ini memang penuh dengan kontroversi. Bermula dengan penarikan diri pasukan Polis daripada Liga Super. Maka, Kelantan diberi keutamaan kerana mendapat tempat ketiga Liga Perdana. Alih-alih, Polis tak jadi tarik diri, tetapi Kelantan terus dibenarkan beraksi kerana wang yang telah dilaburkan sebagai persediaan menghadapi Liga Super.

Di bawah kendalian Peter Butler, yang boleh berbahasa Indonesia, Kelantan memang mengancam dan menjadi pesaing utama. Namun, hujan pula di tengahari, gara-gara 'rusuhan' kecil dan membakar trak polis setelah kalah kepada Negeri Sembilan juga. Hukuman dikenakan, Kelantan hilang hak tuan rumah,mereka berkubu di Bukit Jalil sehingga hampir-hampir menarik diri. Maka kesudahan Liga Super Kelantan gagal menempatkan diri selaku Top 4.

Menjelang Piala Malaysia, Peter Butler pula mengundurkan diri. Katanya.. isterinya ada sedikit masalah. Masalah kesihatan rasanya. Hakikatnya??? Aku pun tak tahu.. Haha. Itu tak penting, yang penting Kelantan berjaya mengenepikan juara treble musim lalu, Kedah, lalu mara ke peringkat seterusnya sehinggalah berjaya melangkah ke Bukit Jalil kali kedua tahun ini.



Adakah patut kerusi dibakar? Kain rentang yang besar itu juga dibakar. Penyokong Kelantan juga beransur-ansur meninggalkan stadium setelah NS mendahului 2-0. Mercun dan percikan bunga api menghiasi stadium menjadikan momen terindah terakam di benak fikiran semua penonton di stadium dan kaca TV. Sedangkan Tok Guru telahpun memberi peringatan berulang-ulang kali, jangan tunjuk sikap kebudak-budakan, tetapi tonjolkan semangat kesukanan yang tinggi. "Nak takbir bulih, tapi jange bakar mercun". Jadi, adakah semua rakyat Kelantan tak mendengar kata??

Kekalahan memang perit dan pahit untuk diterima. Tetapi adakah perkara ini takkan berlaku sekiranya Piala Malaysia berjaya dirangkul pasukan Kelantan?? TIDAK! Perkara sama tetap akan berlaku. Mercun pasti ada yang dibakar. Percayalah... kerana inilah hakikatnya sikap dan karaktor rakyat Kelantan.

Pernah tonton filem Budak Kelantan?? Begitulah gambarannya. Orang Kelantan memang unik , pelik, dan adakalanya jelik. Memang orang Kelantan mahu nampak lain daripada yang lain. Bangga dengan tutur bicara mereka. Suka berniaga dan pandai berniaga macam orang Cina. Bila berada di luar Kelantan, suka cari "gu". Set-set kito. Itulah ukhwah namanya.

Aku ambil contoh, Papa dan Mama aku sendiri. Mereka boleh dikatakan antara anak Kelantan yang merantau, mencari rezeki di bandaraya Kelantan sekitar awal 80-an dulu, lalu menetap dan bermastautin di Kuala Lumpur. Mereka kenal setiap anak Kelantan yang sama-sama memulakan kehidupan di kota lumpur ini. Saling kunjung-berkunjungan, ziarah-menziarahi memang menjadi rutin wajib.

Kalau tak, aku takkan kenal punya Pakcik Zoo, Haji Lah, Pakcik Dusuki dan ahli keluarga mereka. Keluarga kami tiada bau-bau bacang, cuma saudara seagama dan berasal dari negeri yang sama. Inikan pula mereka yang benar-benar ada pertalian darah dengan kami. Sepupu sepapat, dua pupu, mak sepupu, pak sepupu, toksah cakap lah. Kenal.. bukan tak kenal~

Baiklah, kita kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Negeri Sembilan memang layak memenangi perlawanan itu. Mereka menguasai permainan, malah ayam tambatan pasukan The Red Warrior, Indra Putra dan Norfarhan dikawal dan dirantai dengan ketat! Lebih mengharukan, benteng pertahanan Kelantan sangat rapuh dan begitu mudah dibolosi sebanyak 3 kali. Nasib baik, gol saguhati pada minit kecederaan daripada Indra sangat lawa. Ala-ala Rooney~ Hati-hati. Namun, itu sudah terlambat dan tak mampu mengubati kedukaan penyokong tegar.

Harapan hancur berkecai. Musnah. Ramalanku terpesong. Ingatkan setelah Kelantan mendapat royalti bermula 2010 berita baik ini juga akan menyusul. Tetapi ternyata ada yang lebih berkuasa. Kita cuba lagi di masa mendatang. Yang penting tahun 2009, penyokong Kelantan turun ke Bukit Jalil sebanyak dua kali. Biarpun tak menang sebarang piala, tetapi keseronokan dan kepuasan bersorak membentuk 'warna merah' ternyata suatu sejarah.

Merah.. bukan lagi suatu perkara yang gah. Bukti? Red Giants tak masuk pun final Semi Piala Malaysia, Red Warriors pun kalah kepada orang kuning, Red Devils pun baru saja kalah dengan The Blues, The Reds?? dah banyak kali kalah sudah. Jadi jangan agah. Agah ni bahasa Kelantan. Maknanya jangan kita ni mendabik dada. Jangan action lebih. Biarpun Tok Guru telah menawarkan "percutian" menjalankan umrah sebagai daya penarik dan pembakar semangat, tetapi itu bukan rezeki pasukan Kelantan. Redha.. dan terima hakikat. Tok Guru kata ""Masa kita menang tak timbul pula sebarang masalah, takkanlah kita nak menang selama-lamanya, matahari pun ada naik dan jatuh!" Tak percaya? Selak Berita Harian 9 November 2009 muka surat 47.

Jadi, di sebalik kekalahan ini apakah hikmahnya? Pertama, Kelantan masih belum kalah apabila berada di bawah ataupun terlepas 2 piala tahun ini, tetapi pasukan Kelantan dianggap kalah sekiranya gagal bangkit kembali di masa mendatang. Kelantan seharusnya menjadi tumpuan, perhatian dan menjadi pilihan menjelang musim bola sepak Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

Kedua, orang Kelantan membuktikan kuasa membeli di tangan KITA (akupun orang Kelantan, cek IC lah). Biarpun harga tiket final Piala Malaysia naik 100%, daripada RM10 naik menjadi RM20, kita berjaya conquer stadium dengan nisbah 70:30. Jadi, siapa kata orang Kelantan miskin tak hidup senang? Ingat mereka habis RM20 sajakah?? Tidak kalau dicampurkan dengan minyak kereta atau harga tiket bas, penginapan lagi, makan minum lagi, dan macam-macam lagi kaedah menghabiskan wang. Bukannya daun...

Maka, tak hairanlah, satu-satunya Tesco di Kelantan itu merupakan antara pelaburan Tesco yang paling membawa pulangan dan keuntungan yang besar. Adakah rakyat Kelantan mewah berbelanja atau membazir atau itukah tandanya rakyat Kelantan miskin...? Tepuk dada, celikkan mata.

Ketiga, tanpa mengira fahaman parti politik, tak kira BN atau PAS. Orang kuat Annuar Musa ataupun Tok Guru Nik Aziz, rakyat Kelantan bersatu di bawah satu nama, satu negeri.. Kelantan Darul Naim. Maka, tak payahlah nak usulkan lagi retorik 'kerajaan perpaduan'. Ternyata, orang Kelantan yang majoritinya Melayu bersatu.

Apa lagi hikmahnya di sebalik kekalahan ini? Banyak cukuplah tiga perkara yang aku 'nampak' ini. Okaylah.. kasi can, aku bagi satu lagi fakta. Kelantan kalah kepada Negeri Sembilan sebagaimana PAS kalah PRK Bagan Pinang di Negeri Sembilan. Boleh?? Haha. Adakalanya kita kena melihat melalui mata orang lain... kerana di situ kita akan 'nampak' sisi pandang dan sudut yang berbeza. Wallahu a'alam.

No comments:

Post a Comment