Hebahan

Monday, March 28, 2011

Dilema & Pilihan Pasca SPM...

Masing-masing sudah ada keputusan. Ada yang tersenyum bangga, ada juga yang berduka lara. Malah ada juga yang tiada perasaan, kerana apa jua keputusan, baik atau tidak, tiada sebarang perubahan drastik akan berlaku.

Apa akan terjadi selepas ini?


Ke mana nak melangkah? Berjalan? Berlari? Atau melompat lebih tinggi??

Umpama orang yang berda di persimpangan dilema. Diluah mati emak, ditelan mati ayah. Tak tahu apa keputusan paling bijak dan tepat untuk diri sendiri. Apabila di persimpangan, harus buat pilihan. Misal kata, cabang tiga, mahu ke kiri atau ke kanan??


Bagaimana pula kalau kita berada di simpang empat?? Adakalanya kita tak perasan, kita TETAP mahu buat pilihan samada mahu ke kiri atau ke kanan, tanpa menyedari bahawa kita PATUT jalan terus. Kita sememangnya berada di atas landasan yang tepat. Platform yang terbaik untuk kita terus maju dalam hidup.

Setelah keputusan SPM diketahui, mahu tak mahu, hendak tak hendak, tidak dapat tidak, kita akan meneruskan kelangsungan hidup berdasarkan apa yang telah tertulis. Mungkin ada mereka yang keputusannya baik, maka senang sambung pengajian. Ada juga yang keputusannya teruk, tapi tetap ada peluang mendapat talian hayat yang baru.

Bukan suatu perkara yang pelik, andai keputusan kita baik macam mana sekalipun, tetapi rezeki tidak berpihak kepada kita, hatta dapat straight A's sekalipun! Kenapa ini semua berlaku?? Soalan yang bertalu-talu menerjah fikiran kita. Kenapa kita tak dapat apa yang kita mahukan biarpun kita sudah memenuhi kriteria dan syarat yang diperlukan??

Soalan yang tiada jawapan.. kerana itulah kehidupan. Perjalanan hidup kita takkan sama. Ada yang lancar saja perjalannnya. Ada yang tersangkut di tengah jalan, lambat; tapi tetap sampai ke destiansi yang dituju. Adakah kita memilih mengehentikan saja perjalanan itu? Fikir masak-masak, sedalam-dalamnya, renungi masa depan yang indah menanti di hadapan. Jangan kelak kita yang rugi.

Baiklah, kita tolak ke tepi mengenai keputusan. Tak guna lagi menangis air mata darah, menyesal tak buat betul-betul, tak pulun habis masa SPM dulu. Kita gantung seketika keputusan SPM itu di atas pagar. Sebabnya kita mahu berfikir dan merenung jauh ke hadapan. Inilah dia dilema dan pilihan yang menanti. Buatlah pertimbangan sewajarnya :

(a) Kursus pengajian - Pilihan sendiri atau keluarga?


Atau pilihan kawan-kawan? Inilah soalan pertama sekali yang kita kena fikir. Sejurus kita dapat keputusan, sudah pasti banyak pihak yang prihatin, ambil kisah dan ambil berat apa yang patut kita belajar. Untung orang yang ada ibu, bapa, abang dan kakak? Anak sulung macam mana? Anak yatim piatu??

Bagaimana pula mereka yang ada ibu bapa tapi sibuk memanjang, tapi tak pernah cakna perihal anak-anak. Keluarga mempengaruhi kita. Ibu bapa sememangnya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mahu anak mereka senang dan bahagia. Kerja apa yang kita minat sebenarnya. Apa yang kita mahukan nanti? Cita-cita kita sudah hampir menjadi realitikah? Doktor? Arkitek? Jurutera?

Adakalanya kita minat nak jadi "pemuzik" tapi mendapat halangan ibu bapa kita di mana kedua-duanya merupakan doktor. Mereka mahukan kita menjadi doktor, seperti mereka, dan Abang/Kak Long.

Agak lawak atau kelakar, jika kita dipengaruhi kawan-kawan. Bunyi macam serius tapi itulah hakikatnya. Alasan seperti, "taknaklah belajar kat situ sebab second in-take, sebab takde kawan" dan macam-macam lagi. Semua kawan ambil Medic kita pun nak buat Medic juga. Ramai kawan ke Matrik kita pun nak gi Matrik juga. Semua pakat sambung Master, kita pun turut sama. Tak penat ke?


(b) Luar negara atau Dalam Negara?


Kalau keputusan bagus, adakah luar negara tempat yang paling layak kita meneruskan pengajian? Adakah setelah bergraduat dari luar negara nanti, kerjaya akan menanti?? Adakah institusi pengajian tinggi tempatan kurang kualiti, tak mampu bersaing dengan produk luar negara?

Kadang kala, kita perlu buat pilihan disebabkan tawaran kursus pengajian. Contohnya, tawaran belajar kejuruteraan di luar negara atau belajar perubatan di dalam negara? Bagaimana harus memilih bila kita berada di posisi sebegini. Tanyalah lubuk hati, kemampuan diri dan kemahuan kita.


(c) IPTA atau IPTS?

Akhirnya kita memilih di dalam negara. Masalah seterusnya, kita mahu sambung pengajian tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta(IPTS). Aduhai~ banyak pilihan sebenarnya kalau kita mahu sambung belajar. Tiada alasan kecuali malas!

Boleh tahan pilih. IPTA ada menawarkan kita kursus yang macam-macam dan pelik-pelik juga ada kalanya. Carilah kesahihan dan peluang, yakni prospek kursus dan "jenama" universiti yang kita pilih. Sebabnya kita membawa "nama" tempat kita belajar ke mana saja kita bakal bekerja kelak.

Tetapi IPTS juga seperti cendawan tumbuh lepas hujan dan lebih hebat tawaran mereka. Pastikan akreditasinya. Kaji elok-elok latar belakang dan orang-orang penting di belakangnya. Jangan pakai semberono menerima tawaran mereka walaupun tengah semangat berkobar-kobar nak sambung belajar, takut penat-penat belajar tapi ibarat mencurah air ke daun keladi. Sia-sia saja~


(d) Foundation (Matrikulasi)/A Level atau Diploma?

Atau STPM? Ramai yang tak mahu kembali ke sekolah walaupun itu satu pilihan yang bijak. Kalau aliran agama lebih untung, lulus saja STAM, pintu universiti terbuka luas. Dan ramai yang memilih alternatif seperti Diploma. Rela belajar lama daripada tertekan siapkan foundation atau masuk matrikulasi yang padat silibusnya.


Kalau kita mahu maju, cabar diri sendiri. Push yourself till the limit. Lepas tu, baru rasa nikmat dan erti kepuasan. Di sini apa yang paling penting ialah kemampuan. Kemampuan, kebolehan, kecekapan kita. Kalau diri kita akui kita agak  "lampi" atau lambat  pick up, maka Diploma yang terbaik bagi kita.

Kalau kita umpama Smart Tag, laju.. maka asasi atau matrikulasi yang terbaik. Singkat, lebih kurang satu tahun, tetapi tetap ada risikonya. Kalau sangkut tengah jalan, memang kena ucap selamat jalan. Sijilnya tidak laku. Diploma, walaupun ambil masa 3 tahun, tetapi ada nilai.

Ada sesetengah kes, sebab SPM teruk, kawan ni mula dengan sijil. Lepas tu sambung pengajian diploma, ijazah, Master dan akhirnya  berjaya dapat PhD! Memang tak kenal putus asa. Yang mana diri kita mahu.; cepat habis belajar tapi menganggur setahun dua? Lambat sikit habis belajar, tetapi ada jaminan kerja yang menunggu? Atau mahu cepat habis belajar, mahu cepat-cepat kerja, nak bayar hutang!

(e) Pinjaman atau Biasiswa? Atau ibu bapa?

Hutang?? Mengapa? Ini satu lagi perkara yang perlu difikirkan. Kalau keputusan baik sekalipun, belum tentu dapat tajaan atau biasiswa dengan mudah. Biasanya perlu melepasi saringan, temuduga, ujian bertulis dan sebagainya, bagi memastikan yang benar-benar layak dan berbaloi ditaja pengajiannya.

Banyak sumber boleh dapatkan biasiswa. Cuba klik sini. Tanggungan ibu bapa? Atau FAMA (merujuk father and mother) kalau mereka benar-benar mampu. Atau kita anak tunggal (mungkin juga anak emas :P), atau adik-beradik lain sudah bekerjaya. Abang dan kakak tolong top up! Kalau tiada peluang, maka satu-satunya pilihan yang tinggal ialah pinjaman! Fikir masak-masak, sebab kita akan membayarnya usai tamat pengajian. Belum ada kerja sudah berhutang. Tapi andai inilah pilihan terakhir, apakan daya.

Kesimpulan : 

Buatlah keputusan yang bijak. Ini bukan soal diri kita seorang. Bincanglah dengan orang yang anda sayang, dan rasa penting dalam hidup anda, 4 ke 5 tahun akan datang. Kejayaan takkan datang dengan mudah. Masing-masing ada corak hidup masing-masing. Percayalah, semua orang akan berjaya, semua orang akan hidup bahagia. Bezanya, kejayaan itu takkan datang dengan mudah. Ada naik turunnya, ada jatuh bangunnya sebelum kita sampai kemuncaknya. Yang bulat takkan bergolek, yang pipih takkan melayang. Usaha, ikhtiar, tawakkal dan yakinlah dengan Tuhan :)


Perhatian : Ini adalah pengalaman hidup tukang tulis. Bukan pandangan profesional atau motivator terkenal :)

Friday, March 25, 2011

Debaran keputusan SPM = Sijil Pekerjaan Manusia?? Satu permulaan menarik...

Aku teringat seketika peristiwa kira-kira 8 tahun dulu.. Waktu itu, debaran mengambil slip keputusan SPM semakin kencang. Seluruh harapan ibu bapa,kaum keluarga, sanak-saudara, guru dan sekolah telah tergalas di atas bahu ini. Setiap asa ditampung oleh pundak ini sehinggalah detik itu tiba.


Mentang-mentanglah aku pernah dicop pelajar harapan sekolah. Aku dilabel "biso", atau bahasa standarnya berbisa. Wah, ada bisa bagai ular~ Tetapi itu dulu.. UPSR, mampu dapat semua A bagi 4 subjek (musim UPSR masih 4 subjek sebab masa tu tiada subjek Sains, tetapi ada subjek Alam & Manusia! Haha).



Orang lain masuk SBP, MRSM..tapi aku bulatkan tekad, nak sekolah agama, sekolah arab, Ma'ahad Muhammadi Lilbanin yang sebelum ini aku hanya memandang sayup-sayup dari jauh tiap kali balik Kota Bharu. Di situ, aku pernah jadi pelajar nombor 1 seluruh tingkatan. Dahlah kena belajar lebih kurang 20 subjek; subjek agama dan akademik biasa. Bermula dengan Peralihan seterusnya masuk Tingkatan 2 sehingga Tingkatan 5, setiap tahun ada peperiksaan besar.

Masa Tingkatan 2, aku kena periksa PMRU. 10 subjek, masa percubaan dapat 10 A dah, tapi sayangnya, bila keputusan sebenar keluar, hanya dapat 9 A. B maddah (atau subjek) Ta'abir yakni karangan B.Arab. Walaubagaimanapun, aku disenaraipendek selaku calon-calon yang berpeluang sambung belajar di Kuwait, di mana kerajaan Kuwait akan menanggung seluruh perbelanjaan sampai dapat ijazah.

Rezeki tak tertulis bagiku. Terus masuk Tingkatan 3, seperti orang lain, kena menduduki peperiksaan PMR (pemberontakan masa remaja.. waktu ni, darah muda..cepat panas. bila ingat balik zaman budak-budak ni, budaya ejek-mengejek menular.. tambah-tambah kalau tahu nama mak bapak member..alahai~) Percubaan aku dapat 5 A je. Lain semua B, tapi alhamdulillah dapat juga 9A biarpun sibuk memanjang gara-gara usia semuda itu dah jadi Ketua Umum asrama, perkara yang tak pernah termimpi sama sekali.

Titik perubahan atau turning point di dalam hidupku bermula ketika Tingkatan 4. Aku nekad tak mahu tukar sekolah, tak mahu ke MRSM, atau SBP. Nak juga sekolah arab. Cuma kali ni taknak duduk asrama. Nekad. Nak ulang-alik, duduk dengan Tok Mek. Masa tu juga ada satu lagi peperiksaan iaitu SMU. Sijil Menengah Ugama atau SMU ni macam SPM dulu-dulu. Pangkat 1 dari 6 hingga 24 aggregat. 10 subjek agama seperti Tafsir, Hadith, Adab Nusus (sastera arab) dan beberapa subjek lagi.

Ketika percubaan, berjaya dapat Pangkat 1, 8 aggregat, tapi subjek Qawaid (Nahu+Saraf subjek Tatabahasa Arab) dapat 8. Nasib baik masih lulus. Namun, bila keputusan sebenar diumumkan, aku masih dapat Pangkat 1, tapi 9 aggregat dan semua kredit. Oh, aku sudah nampak naik turn graf pembelajaran aku. Aku pernah jatuh, naik, jatuh balik dan bangkit kembali. Satu perkara lagi, aku harapkan tuah angka SEMBILAN!


Berdebar jantungku. Dulu pernah dapat 9A, dan 9 aggregat. Maka, untuk SPM kali ni, Papa ada sebut kurang-kurangpun 7A. Mama? Sudah tentu lebih mengharapkan yang terbaik. Mungkin semua A untuk SEBELAS subjek. Aku sendiri? Hanya mengharapkan tuah angka 9! Sebab percubaan dah dapat 4 A. Maka, sasaran  9 A amat relevan. Nah~ dush! Rebah tertiarap..jatuh tersungkurkah??

Itu dia. Hanya separuh daripada 11. LIMA A sahaja. Alhamdulillah. Walaupun tak dapat digambarkan betapa sedihnya waktu itu. Rasa seperti di hujung dunia. Kelam seketika hinggakan tak tahu hala arah tuju. Namun, sebagai Muslim yang waras, aku kena redha. Pasrah dengan keputusan itu walaupun pahit untuk ditelan. Rasa sedikit ralat ketika menghubungi Mama, namun Mama insan pertama yang tahu keputusan penuh, kala hati sebak menyebut gred setiap subjek satu persatu. Menebak masa depan~

Kemudian aku terus lesap. Hilang dalam ramai, tanpa sepatah kata. Kecewa, diusung duka. Aku tak jejakkan kaki lagi ke sekolah arab itu. Namun aku yakin, bila luka itu terubat, bila parut itu hilang, aku pasti jejakkan kaki kembali ke sekolah yang telah mensekolahkan aku. Sekolah yang memanusiakan aku. Yang mengajar aku erti hidup. Duhai hati~ usah takut dengan masa depan, usah ditangisi masa silam. Yakinlah, rahmat Allah melangit luas...


Dejavu~ perasaan itu seakan-akan baru saja berlaku. Biarpun sudah lebih 8 tahun berlalu. Aku kini sudah dewasa. Kian matang. Aku telah memiliki segulung ijazah. Aku punya kerjaya. Sudah beristeri.. dan bakal menjadi bapa. Dan aku sudah beberapa kali "kembali" ke sekolah. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Cewah~ Syukur Alhamdulillah syukur atas segalanya Ya Allah. Setiap orang ada corak hidup masing-masing. Ada yang penuh pancaroba, ada yang beronak liku. Ada yang licin dan lancar perjalanannya.

Dejavu~ Hari ini, aku tersenyum lebar. Mendengar, mengalami dan sama-sama merasai detik-detik penuh debaran. Bukan aku punya keputusan, tetapi adik-adik punya keputusan. Secara peribadi, aku cukup bangga dengan mereka. Adik-adik aku yang dimaksudkan ialah 2 orang sepupu aku, Hidayah dan Yaya. Tidak lupa para sukarelawan Petrosains yang rata-rata lepasan sekolah dan kebanyakan mereka menghasilkan keputusan yang gempak!



Dan termasuklah keputusan luar jangka, junior sekolah Ma'ahad Muhammadi Lilbanin An-Namuzaji. Tahniah kepada adik Nik Muhammad Farhan Hakim yang menjadi Pelajar Terbaik  Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi peperiksaan SPM 2010 yang mendapat 11A+.Berita lanjut klik sini.

Dah tak main SPM Pangkat 1 ataupun SPM dapat 19A1 atau 20A1. Subjek yang diambil kini terhad bergantung kepada sekolah. Tapi sayang, kali ni memang tak dapat liputan media perdana seperti adik Nik Nur Madihah yang dapat 19A1, 1A2 dulu. Biasalah.. sekolah kerajaan negeri. Negeri Kelantan pulak tu.


Apa-apapun keputusan, samada baik atu kurang memuaskan, sekalung tahniah diucapkan. Perjalanan hidup kalian baru bermula. Perjalanan masih jauh, dan baru bermula. Races start, baru tekan pedal minyak. Mungkin sampai dengan lancar, mungkin sangkut tengah jalan, mungkin juga sesat tak sampai ke destinasi.  Jadilah kita benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung.


SPM, Sijil Pelajaran Malaysia. Benar juga, SPM itu Sijil Pekerjaan Manusia. Satu permulaan manis ATAU salah perhitungan masa?? Satu permulaan menarik, tak bererti akan diakhiri dengan baik. Usaha, cekal, tawakkal :) Alasan dan impian takkan bersatu sampai bila-bila~

Wednesday, March 23, 2011

HIJRAH...

Ini cerita pasal penghijrahan. Penghijrahan imej. Daripada terdedah.. kepada yang melitup. Daripada yang terbelah kepada yang tertutup. Kita bukan mahu memperosalkan niat mereka, sebab itu urusan mereka dengan Allah. Yang penting, sekurang-kurangnya mereka menuju ke arah yang lebih positif biarpun ada yang menganggap menutup aurat itu hanya menutup rambut ataupun membungkus rambut.

Imej muslimah ini paling tidak menambahkan lagi keayuan dan kejelitaan mereka. Percaya atau tidak, kecantikan mereka lebih menyerlah selepas disapa hidayah. Alhamdulillah... Terkini, aktress Irma Hasmie memilih untuk bertudung dan terus aktif menceburi kareernya.


Berikut senarai mereka yang bertudung dan masih aktif menyanyi atau berlakon :

Aida Khalida
Catriona Ross
Fauziah Nawi
Safura (kanan)
Lydiawati
Kartina Aziz
Aishah
Ramlah Ram
Noraniza Idris
Liza Hanim
Nora
Datuk Sharifah Aini
Alamak.. perasan tak "pencabar-pencabar" DCT, yang punya vokal hebat kebanyakannya dah bertudung. Dan mari kita doakan mereka konsisten bertudung. Takkan buka-pakai-buka-pakai lagi...

Nur Aliah Lee
Wan Norazlin
Anne Ngasri
Mek @ Nik Sayyidah
Namun, ada juga yang terpaksa memperlahankan karier mereka atau memilih kerjaya yang lebih sesuai dengan penampilan seperti bergelar pengacara.

Farah Diana Anuar @ Farah AF2
Wardina Safiyyah
Ada juga yang mula berubah setelah menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.. ATAU setelah bernikah lalu menemui suami yang layak membimbing mereka lantas memilih untuk terus aktif ATAU bersara contohnya:

Anne bekas DJ Hot.Fm
Ogy Ahmad Daud & Noorkumalasari (ikon fesyen 80-an)
Sheila Rusli
Farra dulu popular dengan lagu Bagaikan Puteri.
Wilma (pelakon seksi filem Pasrah)
Ziela Jalil
Ayuh kita doakan mereka lekas-lekas bertudung dengan betul:

Noryn Aziz memilih gaya turban

Datuk Sheila Majid
Deja Moss
Dan sudah tentu...

Datuk Siti Nurhaliza
Ada juga yang sememangnya bertudung semenjak kemunculan mereka dalam industri seperti Waheeda, Yuna, Rafidah Ibrahim dan beberapa pengacara TV 9 dan TV Al-Hijrah.

Aida Gadis Melayu 1
Aduhai..khabarnya Yuna mencuba fesyen sebegini
Waheeda terus bersara dan berpurdah
Itu selebriti. Bagaimana pula figura awam yang lain. Wanita nombor 1 contohnya...siapakah??


Akhir kata, ada satu persoalan. Jika anda diberi pilihan, makanan mana yang anda mahu pilih. Makanan yang ditutup tudung saji.. atau makanan yang terdedah dan dijamah lalat?? Bagaimana pula calon isteri? Wanita seksi yang telah buat tayangan percuma atau yang menjaga auratnya?? Tepuk dada.. tanya selera.. tanya iman~