Hebahan

Friday, March 25, 2011

Debaran keputusan SPM = Sijil Pekerjaan Manusia?? Satu permulaan menarik...

Aku teringat seketika peristiwa kira-kira 8 tahun dulu.. Waktu itu, debaran mengambil slip keputusan SPM semakin kencang. Seluruh harapan ibu bapa,kaum keluarga, sanak-saudara, guru dan sekolah telah tergalas di atas bahu ini. Setiap asa ditampung oleh pundak ini sehinggalah detik itu tiba.


Mentang-mentanglah aku pernah dicop pelajar harapan sekolah. Aku dilabel "biso", atau bahasa standarnya berbisa. Wah, ada bisa bagai ular~ Tetapi itu dulu.. UPSR, mampu dapat semua A bagi 4 subjek (musim UPSR masih 4 subjek sebab masa tu tiada subjek Sains, tetapi ada subjek Alam & Manusia! Haha).



Orang lain masuk SBP, MRSM..tapi aku bulatkan tekad, nak sekolah agama, sekolah arab, Ma'ahad Muhammadi Lilbanin yang sebelum ini aku hanya memandang sayup-sayup dari jauh tiap kali balik Kota Bharu. Di situ, aku pernah jadi pelajar nombor 1 seluruh tingkatan. Dahlah kena belajar lebih kurang 20 subjek; subjek agama dan akademik biasa. Bermula dengan Peralihan seterusnya masuk Tingkatan 2 sehingga Tingkatan 5, setiap tahun ada peperiksaan besar.

Masa Tingkatan 2, aku kena periksa PMRU. 10 subjek, masa percubaan dapat 10 A dah, tapi sayangnya, bila keputusan sebenar keluar, hanya dapat 9 A. B maddah (atau subjek) Ta'abir yakni karangan B.Arab. Walaubagaimanapun, aku disenaraipendek selaku calon-calon yang berpeluang sambung belajar di Kuwait, di mana kerajaan Kuwait akan menanggung seluruh perbelanjaan sampai dapat ijazah.

Rezeki tak tertulis bagiku. Terus masuk Tingkatan 3, seperti orang lain, kena menduduki peperiksaan PMR (pemberontakan masa remaja.. waktu ni, darah muda..cepat panas. bila ingat balik zaman budak-budak ni, budaya ejek-mengejek menular.. tambah-tambah kalau tahu nama mak bapak member..alahai~) Percubaan aku dapat 5 A je. Lain semua B, tapi alhamdulillah dapat juga 9A biarpun sibuk memanjang gara-gara usia semuda itu dah jadi Ketua Umum asrama, perkara yang tak pernah termimpi sama sekali.

Titik perubahan atau turning point di dalam hidupku bermula ketika Tingkatan 4. Aku nekad tak mahu tukar sekolah, tak mahu ke MRSM, atau SBP. Nak juga sekolah arab. Cuma kali ni taknak duduk asrama. Nekad. Nak ulang-alik, duduk dengan Tok Mek. Masa tu juga ada satu lagi peperiksaan iaitu SMU. Sijil Menengah Ugama atau SMU ni macam SPM dulu-dulu. Pangkat 1 dari 6 hingga 24 aggregat. 10 subjek agama seperti Tafsir, Hadith, Adab Nusus (sastera arab) dan beberapa subjek lagi.

Ketika percubaan, berjaya dapat Pangkat 1, 8 aggregat, tapi subjek Qawaid (Nahu+Saraf subjek Tatabahasa Arab) dapat 8. Nasib baik masih lulus. Namun, bila keputusan sebenar diumumkan, aku masih dapat Pangkat 1, tapi 9 aggregat dan semua kredit. Oh, aku sudah nampak naik turn graf pembelajaran aku. Aku pernah jatuh, naik, jatuh balik dan bangkit kembali. Satu perkara lagi, aku harapkan tuah angka SEMBILAN!


Berdebar jantungku. Dulu pernah dapat 9A, dan 9 aggregat. Maka, untuk SPM kali ni, Papa ada sebut kurang-kurangpun 7A. Mama? Sudah tentu lebih mengharapkan yang terbaik. Mungkin semua A untuk SEBELAS subjek. Aku sendiri? Hanya mengharapkan tuah angka 9! Sebab percubaan dah dapat 4 A. Maka, sasaran  9 A amat relevan. Nah~ dush! Rebah tertiarap..jatuh tersungkurkah??

Itu dia. Hanya separuh daripada 11. LIMA A sahaja. Alhamdulillah. Walaupun tak dapat digambarkan betapa sedihnya waktu itu. Rasa seperti di hujung dunia. Kelam seketika hinggakan tak tahu hala arah tuju. Namun, sebagai Muslim yang waras, aku kena redha. Pasrah dengan keputusan itu walaupun pahit untuk ditelan. Rasa sedikit ralat ketika menghubungi Mama, namun Mama insan pertama yang tahu keputusan penuh, kala hati sebak menyebut gred setiap subjek satu persatu. Menebak masa depan~

Kemudian aku terus lesap. Hilang dalam ramai, tanpa sepatah kata. Kecewa, diusung duka. Aku tak jejakkan kaki lagi ke sekolah arab itu. Namun aku yakin, bila luka itu terubat, bila parut itu hilang, aku pasti jejakkan kaki kembali ke sekolah yang telah mensekolahkan aku. Sekolah yang memanusiakan aku. Yang mengajar aku erti hidup. Duhai hati~ usah takut dengan masa depan, usah ditangisi masa silam. Yakinlah, rahmat Allah melangit luas...


Dejavu~ perasaan itu seakan-akan baru saja berlaku. Biarpun sudah lebih 8 tahun berlalu. Aku kini sudah dewasa. Kian matang. Aku telah memiliki segulung ijazah. Aku punya kerjaya. Sudah beristeri.. dan bakal menjadi bapa. Dan aku sudah beberapa kali "kembali" ke sekolah. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Cewah~ Syukur Alhamdulillah syukur atas segalanya Ya Allah. Setiap orang ada corak hidup masing-masing. Ada yang penuh pancaroba, ada yang beronak liku. Ada yang licin dan lancar perjalanannya.

Dejavu~ Hari ini, aku tersenyum lebar. Mendengar, mengalami dan sama-sama merasai detik-detik penuh debaran. Bukan aku punya keputusan, tetapi adik-adik punya keputusan. Secara peribadi, aku cukup bangga dengan mereka. Adik-adik aku yang dimaksudkan ialah 2 orang sepupu aku, Hidayah dan Yaya. Tidak lupa para sukarelawan Petrosains yang rata-rata lepasan sekolah dan kebanyakan mereka menghasilkan keputusan yang gempak!



Dan termasuklah keputusan luar jangka, junior sekolah Ma'ahad Muhammadi Lilbanin An-Namuzaji. Tahniah kepada adik Nik Muhammad Farhan Hakim yang menjadi Pelajar Terbaik  Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi peperiksaan SPM 2010 yang mendapat 11A+.Berita lanjut klik sini.

Dah tak main SPM Pangkat 1 ataupun SPM dapat 19A1 atau 20A1. Subjek yang diambil kini terhad bergantung kepada sekolah. Tapi sayang, kali ni memang tak dapat liputan media perdana seperti adik Nik Nur Madihah yang dapat 19A1, 1A2 dulu. Biasalah.. sekolah kerajaan negeri. Negeri Kelantan pulak tu.


Apa-apapun keputusan, samada baik atu kurang memuaskan, sekalung tahniah diucapkan. Perjalanan hidup kalian baru bermula. Perjalanan masih jauh, dan baru bermula. Races start, baru tekan pedal minyak. Mungkin sampai dengan lancar, mungkin sangkut tengah jalan, mungkin juga sesat tak sampai ke destinasi.  Jadilah kita benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung.


SPM, Sijil Pelajaran Malaysia. Benar juga, SPM itu Sijil Pekerjaan Manusia. Satu permulaan manis ATAU salah perhitungan masa?? Satu permulaan menarik, tak bererti akan diakhiri dengan baik. Usaha, cekal, tawakkal :) Alasan dan impian takkan bersatu sampai bila-bila~

No comments:

Post a Comment