Masing-masing sudah ada keputusan. Ada yang tersenyum bangga, ada juga yang berduka lara. Malah ada juga yang tiada perasaan, kerana apa jua keputusan, baik atau tidak, tiada sebarang perubahan drastik akan berlaku.
Apa akan terjadi selepas ini?
Ke mana nak melangkah? Berjalan? Berlari? Atau melompat lebih tinggi??
Umpama orang yang berda di persimpangan dilema. Diluah mati emak, ditelan mati ayah. Tak tahu apa keputusan paling bijak dan tepat untuk diri sendiri. Apabila di persimpangan, harus buat pilihan. Misal kata, cabang tiga, mahu ke kiri atau ke kanan??
Bagaimana pula kalau kita berada di simpang empat?? Adakalanya kita tak perasan, kita TETAP mahu buat pilihan samada mahu ke kiri atau ke kanan, tanpa menyedari bahawa kita PATUT jalan terus. Kita sememangnya berada di atas landasan yang tepat. Platform yang terbaik untuk kita terus maju dalam hidup.
Setelah keputusan SPM diketahui, mahu tak mahu, hendak tak hendak, tidak dapat tidak, kita akan meneruskan kelangsungan hidup berdasarkan apa yang telah tertulis. Mungkin ada mereka yang keputusannya baik, maka senang sambung pengajian. Ada juga yang keputusannya teruk, tapi tetap ada peluang mendapat talian hayat yang baru.
Bukan suatu perkara yang pelik, andai keputusan kita baik macam mana sekalipun, tetapi rezeki tidak berpihak kepada kita, hatta dapat straight A's sekalipun! Kenapa ini semua berlaku?? Soalan yang bertalu-talu menerjah fikiran kita. Kenapa kita tak dapat apa yang kita mahukan biarpun kita sudah memenuhi kriteria dan syarat yang diperlukan??
Soalan yang tiada jawapan.. kerana itulah kehidupan. Perjalanan hidup kita takkan sama. Ada yang lancar saja perjalannnya. Ada yang tersangkut di tengah jalan, lambat; tapi tetap sampai ke destiansi yang dituju. Adakah kita memilih mengehentikan saja perjalanan itu? Fikir masak-masak, sedalam-dalamnya, renungi masa depan yang indah menanti di hadapan. Jangan kelak kita yang rugi.
Baiklah, kita tolak ke tepi mengenai keputusan. Tak guna lagi menangis air mata darah, menyesal tak buat betul-betul, tak pulun habis masa SPM dulu. Kita gantung seketika keputusan SPM itu di atas pagar. Sebabnya kita mahu berfikir dan merenung jauh ke hadapan. Inilah dia dilema dan pilihan yang menanti. Buatlah pertimbangan sewajarnya :
(a) Kursus pengajian - Pilihan sendiri atau keluarga?
Atau pilihan kawan-kawan? Inilah soalan pertama sekali yang kita kena fikir. Sejurus kita dapat keputusan, sudah pasti banyak pihak yang prihatin, ambil kisah dan ambil berat apa yang patut kita belajar. Untung orang yang ada ibu, bapa, abang dan kakak? Anak sulung macam mana? Anak yatim piatu??
Bagaimana pula mereka yang ada ibu bapa tapi sibuk memanjang, tapi tak pernah cakna perihal anak-anak. Keluarga mempengaruhi kita. Ibu bapa sememangnya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mahu anak mereka senang dan bahagia. Kerja apa yang kita minat sebenarnya. Apa yang kita mahukan nanti? Cita-cita kita sudah hampir menjadi realitikah? Doktor? Arkitek? Jurutera?
Adakalanya kita minat nak jadi "pemuzik" tapi mendapat halangan ibu bapa kita di mana kedua-duanya merupakan doktor. Mereka mahukan kita menjadi doktor, seperti mereka, dan Abang/Kak Long.
Agak lawak atau kelakar, jika kita dipengaruhi kawan-kawan. Bunyi macam serius tapi itulah hakikatnya. Alasan seperti, "taknaklah belajar kat situ sebab second in-take, sebab takde kawan" dan macam-macam lagi. Semua kawan ambil Medic kita pun nak buat Medic juga. Ramai kawan ke Matrik kita pun nak gi Matrik juga. Semua pakat sambung Master, kita pun turut sama. Tak penat ke?
(b) Luar negara atau Dalam Negara?
Kalau keputusan bagus, adakah luar negara tempat yang paling layak kita meneruskan pengajian? Adakah setelah bergraduat dari luar negara nanti, kerjaya akan menanti?? Adakah institusi pengajian tinggi tempatan kurang kualiti, tak mampu bersaing dengan produk luar negara?
Kadang kala, kita perlu buat pilihan disebabkan tawaran kursus pengajian. Contohnya, tawaran belajar kejuruteraan di luar negara atau belajar perubatan di dalam negara? Bagaimana harus memilih bila kita berada di posisi sebegini. Tanyalah lubuk hati, kemampuan diri dan kemahuan kita.
(c) IPTA atau IPTS?
Akhirnya kita memilih di dalam negara. Masalah seterusnya, kita mahu sambung pengajian tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta(IPTS). Aduhai~ banyak pilihan sebenarnya kalau kita mahu sambung belajar. Tiada alasan kecuali malas!
Boleh tahan pilih. IPTA ada menawarkan kita kursus yang macam-macam dan pelik-pelik juga ada kalanya. Carilah kesahihan dan peluang, yakni prospek kursus dan "jenama" universiti yang kita pilih. Sebabnya kita membawa "nama" tempat kita belajar ke mana saja kita bakal bekerja kelak.
Tetapi IPTS juga seperti cendawan tumbuh lepas hujan dan lebih hebat tawaran mereka. Pastikan akreditasinya. Kaji elok-elok latar belakang dan orang-orang penting di belakangnya. Jangan pakai semberono menerima tawaran mereka walaupun tengah semangat berkobar-kobar nak sambung belajar, takut penat-penat belajar tapi ibarat mencurah air ke daun keladi. Sia-sia saja~
(d) Foundation (Matrikulasi)/A Level atau Diploma?
Atau STPM? Ramai yang tak mahu kembali ke sekolah walaupun itu satu pilihan yang bijak. Kalau aliran agama lebih untung, lulus saja STAM, pintu universiti terbuka luas. Dan ramai yang memilih alternatif seperti Diploma. Rela belajar lama daripada tertekan siapkan foundation atau masuk matrikulasi yang padat silibusnya.
Kalau kita mahu maju, cabar diri sendiri. Push yourself till the limit. Lepas tu, baru rasa nikmat dan erti kepuasan. Di sini apa yang paling penting ialah kemampuan. Kemampuan, kebolehan, kecekapan kita. Kalau diri kita akui kita agak "lampi" atau lambat pick up, maka Diploma yang terbaik bagi kita.
Kalau kita umpama Smart Tag, laju.. maka asasi atau matrikulasi yang terbaik. Singkat, lebih kurang satu tahun, tetapi tetap ada risikonya. Kalau sangkut tengah jalan, memang kena ucap selamat jalan. Sijilnya tidak laku. Diploma, walaupun ambil masa 3 tahun, tetapi ada nilai.
Ada sesetengah kes, sebab SPM teruk, kawan ni mula dengan sijil. Lepas tu sambung pengajian diploma, ijazah, Master dan akhirnya berjaya dapat PhD! Memang tak kenal putus asa. Yang mana diri kita mahu.; cepat habis belajar tapi menganggur setahun dua? Lambat sikit habis belajar, tetapi ada jaminan kerja yang menunggu? Atau mahu cepat habis belajar, mahu cepat-cepat kerja, nak bayar hutang!
Ada sesetengah kes, sebab SPM teruk, kawan ni mula dengan sijil. Lepas tu sambung pengajian diploma, ijazah, Master dan akhirnya berjaya dapat PhD! Memang tak kenal putus asa. Yang mana diri kita mahu.; cepat habis belajar tapi menganggur setahun dua? Lambat sikit habis belajar, tetapi ada jaminan kerja yang menunggu? Atau mahu cepat habis belajar, mahu cepat-cepat kerja, nak bayar hutang!
(e) Pinjaman atau Biasiswa? Atau ibu bapa?
Hutang?? Mengapa? Ini satu lagi perkara yang perlu difikirkan. Kalau keputusan baik sekalipun, belum tentu dapat tajaan atau biasiswa dengan mudah. Biasanya perlu melepasi saringan, temuduga, ujian bertulis dan sebagainya, bagi memastikan yang benar-benar layak dan berbaloi ditaja pengajiannya.
Banyak sumber boleh dapatkan biasiswa. Cuba klik sini. Tanggungan ibu bapa? Atau FAMA (merujuk father and mother) kalau mereka benar-benar mampu. Atau kita anak tunggal (mungkin juga anak emas :P), atau adik-beradik lain sudah bekerjaya. Abang dan kakak tolong top up! Kalau tiada peluang, maka satu-satunya pilihan yang tinggal ialah pinjaman! Fikir masak-masak, sebab kita akan membayarnya usai tamat pengajian. Belum ada kerja sudah berhutang. Tapi andai inilah pilihan terakhir, apakan daya.
Buatlah keputusan yang bijak. Ini bukan soal diri kita seorang. Bincanglah dengan orang yang anda sayang, dan rasa penting dalam hidup anda, 4 ke 5 tahun akan datang. Kejayaan takkan datang dengan mudah. Masing-masing ada corak hidup masing-masing. Percayalah, semua orang akan berjaya, semua orang akan hidup bahagia. Bezanya, kejayaan itu takkan datang dengan mudah. Ada naik turunnya, ada jatuh bangunnya sebelum kita sampai kemuncaknya. Yang bulat takkan bergolek, yang pipih takkan melayang. Usaha, ikhtiar, tawakkal dan yakinlah dengan Tuhan :)
Perhatian : Ini adalah pengalaman hidup tukang tulis. Bukan pandangan profesional atau motivator terkenal :)
No comments:
Post a Comment