Hebahan

Saturday, October 2, 2010

September yang hangat; wajah baru = CDC September!

Ya! Carta ini kembali.. tetapi dengan nama baru. Penjenamaan semula. Rebranding orang putih kata. Ala, rilekslah! Radio Era, rentak muzik terkini pun sudah ada tagline baru 'kini hanya memainkan muzik hit yang terbaik'. Suria.FM pula dengan tema "muzik terbaik 90-an dan terbaru"

Jadi, tiada salahnya aku menjenamakan semula "carta hangat" kepada nama yang lebih singkat, mudah dan senang untuk disebut mahupun diingat. Mulai bulan ini, tiada lagi tajuk seperti Hangatnya Ogos, Carta Hangat Mei, September yang hangat dan sebagainya.

Lagipun, perkataan hangat sudah terlalu sinonim dengan stesen radio Hot.FM. Maka, disebabkan itu, selaku tukang tulis di blog ini, aku jenamakan semula Carta Hangat kepada Carta Darjah Celcius(CDC) yang menampilkan 10 berita hangat rangkuman berita umum,politik,sukan dan hiburan yang berlaku di dalam dan luar negara yang menjadi pilihan tukang tulis bersama label di bawah untuk rujukan bersama.

Jika sebelum ini, tarikh 30 atau 31 haribulan akan menemui pembaca. Tetapi kali ini, setelah penjenamaan semula, ia lebih lambat pada 1 atau 2 haribulan (akan datang). Nah! Terimalah CDC September. Layan saja~

1. Datuk Sosilawati Lawiya


Daripada tajuk berita Misteri Kehilangan kepada Pembunuhan Kejam sudah menggambarkan betapa berita ini merupakan paling hangat sepanjang musim raya. Semuanya gara-gara duit. Harta yang dimiliki jutawan kosmetik itu membuatkan ada pihak yang "dibutakan" matanya.

Orang kata, umpama plot filem Tamil. Betulkah? Tak puas hati boleh bunuh-bunuh. Polis ada yang kena suap bagi menutup kejahatan dan sebagainya. Sebab tukang tulis tak menonton filem Tamil, maka tak boleh komen lebih-lebih. Biarkan pihak berkuasa meneruskan siasatan.

Tukang tulis simpati : Takziah kepada keluarga mangsa. Makin banyak "misteri kehilangan" orang (termasuk ahli perniagaan dari negara India) berjaya dirungkai. Terbongkar sudah. Sepandai-pandai tupai melompat~


2. Sultan Muhammad ke-V


Daulat Tuanku. Pemasyhuran Perlantikan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra selaku Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya yang gering lebih setahun. Yang penting ianya sah dibuat mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).


Tukang tulis tak mahu campur kemelut istana. Yang penting rakyat Kelantan dapat Sultan yang berjiwa rakyat. Kacip molek degan MB, Tok Guru Nik Aziz. Rahmat yang amat besar. Alhamdulillah :)

Tukang tulis tabik : Sultan Perak pun dah cuba naik ETS, Ipoh-KL

3. Datuk Nicole David


Kini layak bergelar LAGENDA..bukan gelaran 'ratu' skuasy lagi setelah menyamai rekod milik legenda skuasy Australia, Sarah Fitz-Gerald dengan menjuarai Terbuka Wanita Dunia buat kali kelima.

Tukang tulis pelik - Hari tu adiknya ada "bergaduh" dalam bidang 'karyawan', kali ni abangnya pula dengan orang kuat Proton pasal "penjenamaan semula" Team Lotus. Boleh majukah industri?

4. Tan Sri Ismail Omar - Ketua Polis Negara yang baru :)


Tan Sri Ismail Omar dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru bermula 13 September 2010. Yang menariknya ketika proses peralihan kuasa, kes pembunuhan berprofil tinggi berjalan dengan lancar. Manakala Datuk Hussin Ismail sebagai Timbalan KPN. Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada kedua-duanya.

Tukang tulis berucap - Selamat bersara mantan KPN, Musa Hassan, adik-beradik aktor Jalaluddin Hassan, dan salam takziah buat keluarga arwah M.Rajoli


5. Album Hangatnya Raya


Masih dengan mood raya. Bukan nak cakap pasal baju raya, kuih raya, jalan raya, lebuh raya, bunga raya mahupun lagu raya. Ini pasal album raya yang melibatkan kolaborasi banyak pihak, Astro dan Media Prima. Maka, hasilnya amat berbaloi dan menarik.

Tak sia-sia duduk semeja berunding menghasilkan produk yang bermutu dan menarik walaupun hanyalah projek istimewa sempena hari raya. Astro sebelum ni memang ada kerjasama dengan Media Prima melalui segmen 'radiopera' Macam-macam Cinta (bukan sequel), namun kali ni usaha tersebut dipanjangkan menerusi kelahiran album Hangatnya Raya.


Lagunya menarik dan kena dengan muzik citarasa terkini. Lebih-lebih lagi susunan Rudy (mungkin orang tak tahu.. tapi kawan Tukang Tulis, Wan MS kata, Rudy berbakat besar. Antara hasilnya yang meletup Cinta Adam & Hawa dan juga muzik montaj Melodi saban minggu). Rasanya tak hairan kalau lagu seperti Hanya Kerana Cinta boleh tersenarai dalam AIM jika diberi peluang pencalonan.

Tukang tulis soal - Umat Islam, orang Melayu?? Mampu dan mahu bersatu kah?? Duduk semeja berunding demi masa depan.


6. Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dipilih antara ketua bank pusat terbaik dunia 2010. Kejayaan Zeti yang dipilih sebagai antara tujuh ketua bank pusat terbaik dunia oleh majalah kewangan dunia, Global Finance berdasarkan kecemerlangan pengurusan ekonomi sepanjang tahun lalu.

Pemilihan itu meletakkan Zeti sebaris dengan rakan sejawatnya bagi Kesatuan Eropah (EU), Jean-Claude Trichet; Glenn Stevens (Australia), Stanley Fischer (Israel), Lee Seongtae (Korea Selatan), Fai-Nan Perng (Taiwan) dan Durmus Yilmaz (Turki).

Penilaian dibuat terhadap ketua bank pusat dari 30 negara utama dunia yang diberikan penilaian terbaik, ‘A’ hingga ‘F’ yang dinilai sebagai gagal dalam pengurusan ekonomi negara masing-masing. Zeti turut mendapat penilaian ‘A’ bagi 2009.

Tukang tulis menanti - Majlis perkahwinan Angkasawan Negara pada tarikh 10.10.10 dengan konsep 'angkasaraya'

7. PROTES

Ada satu teater tajuk Protes tulisan Dinsman. Bukan cerita protes tak puas hati dalam drama mahupun teater. Tetapi ini realiti. Ada dua cerita.Pertama, Benteng Demokrasi Rakyat atau BENDERA yang bajet best nak usir orang Malaysia di sana. Kedutaan kita dilempar najis, bendera dibakar. Kalau kita ikut rentak mereka, memang "masak". Tetapi kita berfikir masak-masak. Usah berfikiran kebudak-budakan.

Tukang tulis seloroh - Upin Ipin lagi bijak! Upin & Ipin kini satu fenomena yang "menyerang" Indonesia


Protes kedua, gerakan anti-Islam atau Islamophobia yang membantah pembinaan masjid di kawazan ground zero di USA. Maka sempena ulangtahun kejadian 9.11 yang secara kebetulan jatuh pada 2 Syawal ketika umat Islam meraikan hari Raya, maka pihak terbabit mahu membuat bantahan besar-besaran siap dengan upacara membakar Al-Quran!


Kitab suci umat Islam dijadikan sasaran mereka yang tak berfikir panjang. Itulah tindakan nekad yang cuba diambil oleh paderi di gereja Dove World Outreach Centre di Florida namun ianya tidak berlaku. Sebaliknya berlaku di 3 tempat berasingan termasuk di Nashville, Tennessee.

Tukang tulis hairan - tak puas hati sikit bakar, bunuh dan bakar, koyak dan bakar. Patutlah akhirat nanti, kena bakar dalam neraka bagi mereka yang berkenaan.


8. The Chance - program realiti sukan yang mahu mencungkil bakat cilik dalam sukan bola sepak anjuran Nike Malaysia (Akademi Nike) yang disokong oleh Liga Perdana Inggeris. Sebab tu mereka yang terpilih akan mempunyai peluang dibimbing oleh Pengurus Arsenal, Arsene Wenger. Setakat ni, 9 orang telah berjaya ditemui.


Tukang tulis runsing - PTPTN bayar mulai Jun 2011, sebab tak habis lagi bayar. Haha

9. Hari Malaysia -16 September diisytiharkan cuti umum sempena Hari Malaysia. Cuti memang seronok. Lantaklah...cuti saja walaupun orang kata "cuti peristiwa" pembentukan Malaysia (Semenanjung + Sabah + Sarawak).


Produktiviti? Prestasi meningkat? Itu pencapaian dan keupayaan masing-masing. Kan? Lepas tu ada usul ujian 1Malaysia pula. Soalan pasal kita cakna atau tidak pasal bangsa lain di Malaysia. Pernah sertai senam-robik yang diberi nama "senam 1Malaysia"?? Tukang tulis pernah.. semua tarian etnik di Malaysia diolah jadi bentuk senaman pula. Macam-macam~

Tukang tulis seloroh - "cuti peristiwa" tak jadi tawan Malaysia ke? Atau peristiwa pelancaran blog 1Malaysia?



10. Ghost 2 mencipta sejarah apabila menang Anugerah Khas Juri di ‘Seoul International Drama Awards 2010’. OK lah tu.. walaupun Anugerah Khas Juri je. Kau ingat senang nak menang? Haha. Takdelah macam cerita Glee yang bukan main lagi dapat pencalonan terbanyak bagi Anugerah Emmy yang akhirnya menang beberapa saja.
Tukang tulis teruja - Akhirnya FFM akan tiba. Siapa akan jadi aktor & aktress terbaik di Malaysia tahun ini?

No comments:

Post a Comment