Hebahan

Monday, July 26, 2010

Mendirikan masjid



Masjid? Masjid merupakan kalimah arab, merujuk kepada isim makan, yakni tempat.(bukan makan nyum!nyum! ya) Kata dasarnya sa-ja-da, lalu wujudlah perkataan masjid, yang maknanya tempat kita bersujud. Mengapa kita bersujud? Tanda bersyukur kepada Allah atas segala kurniaan-Nya.

Banyak perkara yang kita perlu syukuri, terutama sekali nikmat iman & islam. Sekiranya kita bersyukur, maka akan bertambahlah kenikmatannya. La in syakartum, la aziidannakum. Dan...Wa la in kafartum..sekiranya kamu kufur...inna azabii la syadiid. ingatlah sesungguhnya azab-Ku (Allah) amatlah pedih. Rujuk tafsir Surah Ibrahim ayat (7)

Apabila kita siap mendirikan masjid, yakni berumahtangga atau bernikah dengan pasangan kita secara sah, maka telah lengkap sebahagian agama kita sebagaimana sabda baginda “Apabila sesorang hamba berkahwin, ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang lainnya”. Riwayat at – Thabrani dan al – Hakim.

Di dalam hadith lain Baginda bersabda bermaksud: “Nikah itu sunahku, siapa tidak suka sunahku, maka bukan ia daripada golonganku.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sesudah berkahwin, hidup lebih tenteram, ibadat lebih tenang dan mantap. Makin dekat dengan Allah. Itulah yang sepatutnya berlaku sejurus kita selamat diijabkabulkan. Lepas sudah bab nikah kahwin. Jodoh kita telah ditentukan-Nya. Belajar menerima orang baru berkongsi hidup dengan kita seadanya. Nikmatilah hidup bersuami isteri. Syurga dunia bagi hamba Allah yang berfikir!

Kalau kita bercakap secara literal, sesebuah masjid yang dibina memang mengambil masa yang lama. Bukan sehari dua dah siap. Kena ikut spesifikasinya,rekabentuknya, bahan yang digunakan dan sebagainya. Begitu juga soal pernikahan. Kita bukan kahwin suka-suka, bukan untuk sehari dua, bukan untuk setahun dua tetapi untuk sampai bila-bila.

Apa hukumnya meruntuhkan masjid orang lain? Kau ingat murah/senang ke nak dirikan masjid?? Telah banyak benda/perkara yang dikorbankan sebelum siap terbinanya sebuah masjid atau lebih tepat lagi sebuah keluarga.

Masjid didirikan.. maka ramai jemaah berhimpun mendirikan solat. Struktur utama yang menyebabkan teguh berdirinya sesebuah masjid ialah tiang. Tiang! Jelas sekali,solat itu tiang agama. Begitulah simboliknya perkahwinan, umpama mendirikan masjid. Kita akan menyatukan 2 buah keluarga yang besar. Sanak saudara akan dihimpunkan dalam satu majlis keraian.

Masa nilah tiba-tiba terjumpa orang yang tak disangka-sangka..

Eh, kau kenal dia ni. Ni budak kolej aku. 

Laa.. dia ni anak sepupu arwah atuk aku. Oh macam tu ke??

Itulah hikmahnya perkahwinan yang jauh 'jarak'nya. Bukan bau-bau bacang. Bukan sepupu. Menyatukan 2 keluarga yang latar belakangnya jauh berbeza. Jawa dan Siam contohnya :) Bayangkan perkahwinan campur antara 2 bangsa berbeza. Melayu-Inggeris, Melayu-Korea.

Lebih besar hikmahnya..mungkin akan bertambah umat Muhammad. Tetapi sedari awal, niat harus diperbetulkan. Memeluk Islam bukan sebab berkahwin, tetapi kerana hidayah Allah. Mungkin sebab tu banyak anak mix yang genius, bijak2. Kot??

Apa lagi peranan masjid? Masjid menyebarkan syiar Islam. Institusi masjid, ada struktur dan organisasinya. Begitu juga institusi kekeluargaan. Kita bersolat di masjid secara berjemaah, ada imamnya. Bayangkan keluarga yang tak pernah bersolat jemaah.

Sebagai lelaki, ketua keluarga, jadi imam solat jemaah. Nak jadi imam,kena tahu hukum-hakamnya. Ada pra-syaratnya. Tak boleh redah saja. Sebab tu wanita yang mahu berkahwin, dia bukan sekadar memilih pasangan, tetapi dia juga memilih siapa yang akan jadi imamnya ketika bersolat. Siapa yang akan menegur bacaan Al-Qurannya jika tersilap. Suami yang boleh mendidik. Memberi tunjuk ajar, membimbing ke arah jalan yang benar dan lurus. 

Arrijaalu qawwaamuna a'alaan nisaak. Lelaki merupakan ketua wanita. Jelas termaktub di dalam al-Quran. Mungkin ada bos wanita yang berkahwin dengan pekerja lelaki bawahannya. Tetapi di dalam keluarga, lelaki itulah ketuanya.Suaminya adalah ketua keluarga.

Sebab tu kuasa talak di tangan suami. Lelaki lebih rasional. Nisbah 1:9. 1 merujuk kepada nafsu, dan 9 akal. Namun ada juga lelaki yang gagal mengawal nafsu. Tewas walaupun sudah bergelar datuk kepada beberapa orang cucu. Tunduk kepada godaan nafsu walaupun bergelar ustaz atau imam. Makin besar skop tugas/jawatan kita, maka makin besarlah godaan syaitan.

Ironinya nisbah nafsu wanita lebih besar. 9 nafsu. Bukan nafsu seks semata-mata. Nafsu makan. Nafsu berbelanja. Memang wanitalah juaranya. Akan tetapi kerana dihiasi sikap MALU, di situlah terletaknya kecantikan wanita. Al-hayaa'u minal iman. Malu sebahagian daripada iman.

Buat mereka yang sudah mendirikan masjid..alhamdulillah. Jaga, pelihara dan pertahankan masjid yang dibina. Yang akan menyusul..moga dipermudahkan-Nya. Bagi mereka yang mahu tetapi masih belum mampu ke arah itu..bersabar... bermujahadah. Yang penting kita mahu menambah umat Muhammad yang berkualiti, bukan setakat menambahkan kuantiti semata-mata tapi jadi masalah yang barah lagi parah di hari kelak.

No comments:

Post a Comment