Ya! Itu tepat sekali bagi pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik edisi ke-24 yang telahpun memilih 14 finalis yang akan berentap di Anugerah Juara Lagu 24 kelak. Mengapa? Kerana kita ada Juara beberapa rancangan realiti TV. Ada JUARA daripada rancangan Akademi Fantasia musim 5 (Mila), 6(Stacy), dan 7(Hafiz), jutawan baru daripada rancangan One In A Million 3(Tomok) , Gangstarz 2(One Nation Emcee), Malaysian Idol 1(Jaclyn Victor), termasuk juara Bintang HMI tahun 2000, Alyah Abu Hassan.
Macam perlawanan bola sepak juara antara juara-juara atau terkenal dengan nama manjanya Champion League, yang menampilkan kelab bola sepak Eropah yang menjadi juara Liga Inggeris, Liga Belanda, Liga Sepanyol, Liga Jerman, Liga Itali dan yang setaraf dengannya. Objektif ataupun al-ahdafnya tetap sama iaitu mahu mencari jaguh sebenar dan beradu nasib di pentas yang sama.
Separuh Akhir Muzik-muzik yang kembali ke format lama, iaitu kategori TERBUKA, di mana tiada lagi lagu yang akan dipertandingkan mengikut kategori samada POP ROCK, BALADA, mahupun IRAMA MALAYSIA/ETNIK KREATIF. Sebanyak 30 buah lagu telah disenarai pendek untuk dinilai oleh JURI yang SAMA selama 3 Minggu berturut-turut; 6, 13 dan 20 November 2009.
Belum lagi pertandingan bermula, kumpulan Meet Uncle Hussain yang layak ke Semi dengan lagu Pari-pari Di Bawah Angin, menarik diri dan digantikan oleh kumpulan Grey Sky Morning, dengan lagu Cinta Gila. Manakala, Faizal Tahir membuat 'kejutan' di saat-saat akhir ekoran masalah kesihatan, lalu digantikan oleh Shila mendendangkan lagu Bencinta. Nasib berbeza yang menimpa kedua-dua lagu berkenaan.
Dan daripada link ini, aku telah membuat ramalan lagu mana yang layak ke final AJL 24, Januari 2010 nanti. Daripada 14 lagu tersebut, 9 LAGU yang aku ramal telahpun berjaya. Lagu-lagu yang berjaya menembusi benteng Separuh Akhir, melepasi tembok kebal juri profesional yang dikepalai Azhar Borhan adalah seperti berikut:
Kau Aku (Aizat)
Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah)
Aku Scandal (Hujan)
Dan Sebenarnya (Yuna)
Aurora (Estranged)
Bengang (Akim)
Aku Rindu Sayang Kamu (Black)
Masih Jelas (Hafiz)
Situasi (Bunkface)
Rindu Terhenti (Tomok)
Pakai Buang (Stacy)
Pergi (Aizat)
Bencinta (Faizal Tahir)
Cinta Adam & Hawa (Misha Omar)
Lagu yang diBOLD merupakan pilihan aku. 9/14 betul ataupun 64% tepat. Manakala 5 lagu di bawah yang menjadi pilihan aku gagal ke peringkat seterusnya;
Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor)
Khatimah Cinta (6ixth Sense)
Patri (Jinbara)
Mirage (Pesawat)
Pari-Pari Di Bawah Angin (Meet Uncle Hussain)
Bagi aku, apa-apapun keputusan juri, pasti akan kedengaran lagi bunyi pahat biarpun rumah telah siap dibina. Sama juga halnya jika JARI yang menjadi JURI. Jadi, gunakanlah JARI itu memberi isyarat DIAM! Syyyy~ Tak payah banyak bunyi ya.
Cuma aku ingin memberi sedikit justifikasi mengapa aku berasa sedikit ralat apabila 3 Lagu TERBAIK di hatiku ini gagal menambat hati juri. 3 lagu berkenaan ialah Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor) Khatimah Cinta (6ixth Sense) dan Patri (Jinbara). Bagi aku ketiga-tiga lagu ini sangat romantis, dan indah bahasanya. Melodinya memang sesuai untuk orang yang hangat bercinta macam aku. Cewah~
Manakala baki 2 lagu, iaitu Pesawat-Mirage menjadi pilihan aku kerana band ini merupakan pelapis terbaik kepada MUH dan Hujan. Band ini ada class kata aku. Manakala Pari-pari Di Bawah Angin sememangnya menjadi suatu keajaiban kerana aku mengharapkan Azlan, bekas vokalis MUH dapat melupakan 'sengketa' lama dan bersatu semula demi lagu ini. Sayang seribu kali sayang... sayang sayang buah kepayang.
Kesemua 14 lagu ini diumukan ketika pusingan ketiga telahpun selesai. Mungkin rezeki tak berpihak kepada Nubhan-Seadanya Aku dan Raja Gelek-ONE yang pada mulanya tersenarai Top 5 tersingkir jua akhirnya... Dan yang penting.. irama malaysia dan etnik kreatif tidak akan kedengaran terenjut-enjut untukmu oh anok-anok~ Maka, jangan ada yang jadi gila sebab gagal ya. Cuba lagi lain kali. Dan semoga AJL 24 nanti keputusannya tak klise dan sudah boleh dijangka siapa pemenang yang 'ditentukan' TV3.
No comments:
Post a Comment