Hidup di kotaraya, kota lumpur Kuala Lumpur memang mencabar. Banyak dugaannya. Boleh menggelupur kalau iman di dada senipis kulit bawang. Tak percaya?
Telah banyak buktinya di sini sana. Takkan cukup senarai kalau dituliskan satu per satu. Tapi apakan daya, aku mencari sesuap rezeki untuk keluarga di tengah-tengah kota. Tempat cari makan. Kalau tak, maka tak berasaplah dapur gamaknya.
Dan aku bukannya mengeluh menyatakan bahawa tempat aku meraih rezeki itu "sarang" ataupun "punca" segala maksiat yang berleluasa. Cuma khuatir suatu hari nanti, aku tergelincir, terjatuh ke dalam perangkap iblis, syaitan durjana. Runsing akan tewas pada godaan duniawi, dugaan diri.
SATU contoh; bukti di depan mata seperti gambar di bawah. Kaki botol!
Nampak tak gambar itu? Sedikit kabur, sebab tangan mengigil-gigil tangkap gambar curi! Nak lagi?? Tak perlulah. Tapi cukuplah jalan/lorong/laluan ini menjadi "santapan" harian aku. Orang boleh minum arak secara terbuka.
Air kencing syaitan ni minum main-main je. Tak kira masa, waktu dan ketika hatta bulan Ramadhan sekalipun. Jual tempat terbuka macam gambar di bawah pun ada. Dalam bangunan yang sama juga.
Termasuklah 7-E ada jual secara terbuka. Cuma ada pengumumaman sebegini.
Jadi, apa masalahnya? Yang minum kebanyakannya non-muslim. Bukannya ada orang yang Islam berani secara terang-terangan minum di tempat terbuka macam tu. Gila ke apa! Betul! Mungkin kita terlepas pandang jika ada segelintir Muslim yang berani. Tetapi bagaimana pula yang menjualnya.. menghidangnya.. dan segala yang berkaitan dengan arak.
Sebab, Nabi pernah bersabda
لعن النبي صلى الله عليه وسلم في الخمر عشرة عاصرها و معتصرها و شاربها وحاملها
و المحمولة إليه وساقيها و بائعها و أكل ثمنها و المشترى لها و المشترى له
و المحمولة إليه وساقيها و بائعها و أكل ثمنها و المشترى لها و المشترى له
Ibn Mas’ud berkata: “Telah dilaknat dalam khamar itu sepuluh orang iaitu:
* Yang memerah
* Yang minta diperah
* Yang minum
* Yang memberi minum
* Yang membawa
* Yang menghantar
* Yang membekal
* Yang menjual
* Yang membeli
* Yang menyimpan
(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)
Ramaikan sebenarnya umat Islam yang termasuk senarai 10 golongan itu tanpa kita sedari. Alasan bekerja bukan alasan sebab kita mahu hasil titik peluh yang halal bukan? Secara mutlaknya, arak mula diharamkan pada bulan Ramadhan tahun kedelapan Hijrah. Ianya diharamkan sekaligus, bukan secara berperingkat! Mengapakah? Sebabnya...
الخمر أم الخبائث
Alkhomru ummul khobaith~ Khamar [ arak ] itu adalah ibu segala kejahatan (Riwayat At Tabarani)
Dahulu, ada satu kisah di mana hidupnya seorang ahli ibadah yang selalu tekun beribadah ke masjid. Suatu hari lelaki yang soleh itu berkenalan dengan seorang wanita cantik. Kerana sudah terjatuh hati, lelaki itu menurut sahaja ketika disuruh memilih antara tiga permintaannya, tentang kemaksiatan.
Pertama minum khamr, kedua berzina dan ketiga membunuh bayi. Mengira minum arak dosanya lebih kecil daripada dua pilihan lain yang diajukan wanita pujaan itu, lelaki soleh itu lalu memilih minum khamar tetapi apa yang terjadi, dengan minum arak yang memabukkan itu malah dia melanggar dua kejahatan yang lain.
Dalam keadaan mabuk dan lupa diri, lelaki itu menzinai pelacur itu dan membunuh bayi di sisinya. Kerana itulah hindarilah khamar, kerana minuman itu sebagai biang keladi segala kejahatan dan perbuatan dosa. Ingatlah, iman dengan arak tidak mungkin bersatu dalam tubuh manusia. Salah satu di antaranya harus keluar. Orang yang mabuk mulutnya akan mengeluarkan kata-kata kufur, dan jika menjadi kebiasaan sampai akhir ayatnya, ia akan kekal di neraka.
Tambahan pula Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan:
"Minuman apapun kalau banyaknya itu memabukkan, maka sedikitnya pun adalah haram." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tarmizi)
Itu baru hadith kan? Dalil Naqli di dalam Al-Quran ada tak? Ambil wudhu' dan baca tafsir Al-Quran surah dan ayat-ayat berikut:
Al-Baqarah ayat 219
An-Nisa'a ayat 43
Surah al Maaidah : Ayat 90 - 91
Apakah hukumannya di dunia?? Yakni jika HUDUD dilaksana??
40 KALI sebatan!
Islam kata , orang Islam yang didapati bersalah minum arak harus dirotan mengikut syariat Islam . Rotan tidak menyiksa tetapi untuk pengajaran. Sementara saintis bukan Islam pula kata merotan boleh merawat mereka yang ketagih arak.
Dr Marina Chuhrova (seorang saintis Rusia) menyatakan bahawa beliau mempunyai pesakit tetap seramai 10 orang yang memerlukan rawatan merotan ini. Menurut beliau pada mulanya mereka tidak suka kaedah ini tetapi apabila mereka merasai kebaikannya, mereka mula gemar pada kaedah rawatan sebegini (yakni merotan). Malah mereka sanggup pula membayar sekitar RM 400 untuk satu sesi rawatan.
Sumber-sumber dan info tambahan : 1, ,2, 3 (kalau wujud lagi) dan 4.
Aku bukannya baik dan betul sangat pun. Sementara diri masih ada kesedaran, kita saling ingat-mengingati satu sama lain. Tegur-menegur untuk kebaikan bersama. Dan moga hari ini lebih baik daripada semalam. Harapkan esok lebih baik daripada hari ini :)
Aku bukannya baik dan betul sangat pun. Sementara diri masih ada kesedaran, kita saling ingat-mengingati satu sama lain. Tegur-menegur untuk kebaikan bersama. Dan moga hari ini lebih baik daripada semalam. Harapkan esok lebih baik daripada hari ini :)
No comments:
Post a Comment