Aik? Apa kes? Sepatutnya orang yang hangat bercinta.. menjadi tunangan orang, menunggu detik bahagia saat diijabkabulkan sepatutnya gembira tidak terkata. Ceria.. seri yang terpancar di muka dengan mata yang berkaca.
Memang tak dinafikan, perasaan berdebar itu tetap ada, tetapi kali ini aku rasakan satu bebanan yang tidak terkira beratnya akan terpikul di bahu ini. Amanah.. perkahwinan itu amanah. Perkahwinan ini perlu dijaga hak dan keharmoniannya.
Aku gusar sekiranya aku tak mampu membahagiakan dirinya, aku takut sekiranya aku mensia-siakan dirinya. Aku takut aku gagal menjadi ketua keluarga yang baik, dan dalam masa yang sama aku juga khuatir sekiranya aku meminggirkan mama kelak.
Walau bagaimana rukun dan bahagianya rumahtangga yang aku bina sekalipun, sekiranya ada hati yang terguris, lebih-lebih lagi hati Mama, perasaan ralat telah mula menyerang seluruh rongga tubuhku!
Aku akui, mengapa dia yang menjadi pilihan hatiku, salah satu faktor utamanya ialah restu daripada Mama. Mama sendiri yang berkenan dengan Nurul untuk dijadikan menantu. Sebagai anak sulung dan cucu sulung, maka Nurul yang akan menjadi menantu sulung dalam keluarga.
Seluruh ahli keluarga begitu teruja menanti dan meraikan saat kami disatukan kelak. Langkah pertama sudah diambil. Tali pertunangan terikat sudah. Ramai rakan ucap tahniah, mendoakan kami selamat menuju ke gerbang perkahwinan. Dan ada juga yang memberi nasihat dan pandangan peribadi. Terima kasih kawan-kawan~
Salah satunya ialah isu 'darah manis'. Banyak halangan sebenarnya sepanjang tempoh pertunangan ini. Makin dekat menuju tarikh keramat, maka lagi banyak cabarannya. Ya! Aku akui hakikat ini. Cuba bayangkan, menjelang tarikh 12.12.2009, macam-macam kisah yang berlaku. Inikan pula menanti saat diijabkabulkan. Kira-kira 5 bulan lgi.
Salah satu cerita waktu sebelum bertunang dulu berkisar adat resam, atau tradisi setempat. Kami dari Kelantan berbeza caranya dengan budaya tradisi di Sabak Bernam. Macam-macam. Di Kelantan, kalau bertunang, orang lelaki pun dapat cincin, bawa 3 ke 5 hantaran sudah memadai. Sebaliknya, di sebelah sana, kalau mahu bertunang, perlu sediakan 2 bentuk cincin, satu cincin belah rotan tanda merisik, dan sebentuk lagi cincin bertunang. Hantaran pula selesai sekaligus! 15 hantaran ya~
Tak kisah. Tidak mengapa. Itu cuma prosedurnya. Protokol semata-mata. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan licin dan lancar. Walaupun, ini cara bertunang 'zaman moden', menurut kata Mama. Ya lah.. tiada pantun-pantun sebagai pembuka bicara. Selalunya, majlis bertunang akan diwakili oleh orang-orang tua ataupun generasi yang terdahulu yang akan mempertahankan adat dan warisan, tetapi kali ini tak berkira sangat. Budak-budak pun datang sama. Siap bergambar dengan bakal pengantin di dalam bilik yang cantik berhias.
Masing-masing faham, walaupun ini kali pertama bagi keluarga kami, nampak sedikit janggal, dan rasa sedikit ralat di mata kami, tetapi itu sudah cukup sempurna di mata mereka. Alhamdulillah. Syukur. Segala rasa yang pahit lalu bertukar menjadi manis membuatkan aku terus lupa segala masalah yang pernah melanda.
Diam tak diam, sedar tak sedar, air mata ini mengalir.. menitis. Sebak? Gembira? Tidak tahu apa puncanya. Ya! Itu yang berlaku selepas solat Jumaat, sehari sebelum bertunang. Dan kali ini air mata ini sekali lagi tumpah! Makin aku menghampiri hari bahagia, makin banyak cabarannya.
Benar, jika kita mahu menawan puncak Kinabalu atau puncak Everest, kita takkan lalui jalan yang mudah menuju ke sana. Ada banyak cabarannya. Kadang-kadang kita kena turun ke bawah dahulu baru boleh naik ke atas kembali. Kalau kita tergesa-gesa atau bergegas melompat ke atas mungkin kita akan tergelincir.
Kita akan tiba di puncak dengan payah tetapi cukup bermakna. Segala calar-balar, luka di seluruh anggota merupakan kenangan terindah yang mengajar kita erti hidup. Pengalaman yang benar-benar mengajar. Walaupun parut lama baru nak hilang, luka baru pula yang datang, tetapi itu bukan batu penghalang, tetapi itu dia batu loncatan meraih bahagia.
Cabaran pertama yang datang menerpa ialah penetapan tarikh perkahwinan kami, atau lebih tepat lagi kendurinya. Backwork atau orang Kelantan sebut bekwoh! Masalahnya ialah ada ura-ura mengatakan tarikh cuti sekolah pertengahan tahun telah dianjak!
Diawalkan seminggu. Dan kami merancang untuk mengadakan kenduri ketika musim cuti sekolah nanti. Masalahnya juga hanya di Kelantan. Walaupun di negeri lain telah mendapat pekeliling cuti sekolah diawalkan, pekeliling terkini yang membatalkan pekeliling lama dan ikut balik kalendar asal. Tetapi di seluruh negeri Kelantan tidak dihebahkan! Pening~
Kedua, apa yang aku takutkan telah berlaku. Aku takut aku lupa tanggungjawab. Selaku suami, sebagai anak, dan sebagai hamba-Nya di muka bumi. Rasa mahu menangis. Menangis saja kerana tangisan itu melegakan keresahan. Masa itu air mata begitu bernilai. Banyak maknanya. Pelbagai pengertiannya. Macam-macam definisinya.
Mungkin air mata bahagia. Mungkin juga lara. Berlinangan mungkin rasa bersalah. Rasa bersalah yang menebal kerana aku terasa aku telah 'meminggirkan' keluarga. Meminggirkan?? Maknanya?? Meminggirkan tanggungjawab. Alhamdulillah, berjaya jalankan tanggungjawab sebagai anak terhadap ibu bapanya. Aku terlupa satu lagi. Tanggungjawab selaku abang sulung terhadap 3 orang adiknya.
Tiba-tiba aku membayangkan andai kedua-dua orang tua yang dijemput ilahi terlebih dahulu, ke mana terlepasnya tanggungjawab 'menjaga dan memelihara' hak adik-adik kalau bukan di atas pundakku. Bahu ini yang akan menggalasnya memikul bebannya.
Mungkin, aku merasakan papa dan mama masih berkemampuan menyara dan membiayai adik-adik yang masih belajar. Mungkin! Aku akui, aku tak mampu hulurkan 'sedikit' bagi meringankan tanggungan beban kewangan. Sebabnya... kerja!
Aku tiada kerja tetap lagi. Kontrak! Wang lebihan untuk hantaran masa menikah masih belum cukup lagi. Tu belum lagi soal baju pengantin, nak sewa dewan, tempah catering dan yang bersangkutan dengannya yang menelan belanja ribuan ringgit. Aku hanya fikirkan apa yang akan aku lalui dan hadapi kelak. Adakah aku mementingkan diri sendiri??
Sedih.. mungkin juga aku abang yang tak menyelami perasaan adik-adiknya. Dasarnya tak dapat dibaca. Biasalah.. awal-awal semester, awal-awal tahun waktu buka sekolah. Aku bukan tak sumbangkan apa-apa, tetapi aku rasa sesuatu. Rasa kurang.
Bila dengar cerita orang lain, yang ada abang, yang ada kakak, banyak juga yang mereka dapat. Maknanya abang dan kakak mereka banyak juga menghulurkan duit. Tapi aku bagi sedikit saja. Ditambah dengan keadaan sekarang, Mama saja yang bekerja (sebab Papa pencen sepenuh masa), mungkin Mama dah merasai bebanan yang tak mampu ditanggung.
Walaupun Mama tak minta duit aku, Mama tak mengeluh depan mata aku, tetapi bila Mama bersuara "Abe kena ingat, abe anak sulung, abang sulung, banyak tanggungjawab!" Aduh! Aku rasa sangat bersalah. Tak pasal-pasal berair mata. Terbuka kelopak mata seluas-luasnya.
Gara-gara duit, boleh bikin hati gusar. Resah gelisah merawan. Duit bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya perlukan duit. Tiada yang percuma di dunia ini. Aku pasrah.. berserah kepada-Nya. Moga jalan yang aku pilih untuk dilalui ini akan kuhadapinya dengan tabah, walaupun payah tetapi terasa mudah. Kembali senyum =)
begitulah kehidupan ....
ReplyDelete