Hebahan

Monday, February 1, 2010

JADI Hangat Sepanjang Januari 2010~

Walaupun tirai 2010 baru disingkap, dan Januari sebagai 'kunci' pembukanya, namun itu tak bermakna bulan Januari sekadar suram. Siapa kata Januari tak hangat?? Permulaan yang baik?? Permulaan yang baik tak menjamin pengakhirannya juga menarik! Tanpa buang masa, ayuh kita menaiki darjah kehangatan.

Kali ini ada 6 kategori; dan 3 berita terhangat dipilih bagi setiap kategori:

Kategori F (Paling Suam) : Hiburan.


3. Senarai finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) telah diumumkan.


2. Ada 3 orang juara bulan Januari ini. Juara Lagu menjadi milik Aizat dengan lagu ciptaan Pete Teo, lirik oleh Amran Omar bertajuk PERGI diangkat menjadi juara. Adik Dayana, menjadi juara Idola Kecil musim kedua, manakala peserta bukan Melayu, Lakshman Balakrishnan menjadi juara Irama 1Malaysia anjuran RTM.


1. Pemenang kategori ini -> Air mata lelaki, sebak, pasrah, terharu yang sukar dijelaskan maknanya adalah milik pelakon bertubuh sasa, Fahrin Ahmad. Mungkin hatinya bukan lagi terguris, tapi luka yang mendalam buat kesekian kalinya selepas dituduh baran dan kaki pukul.


Kategori E (Suam) : RencAM.

3. Walaupun masih di awal tahun, tetapi maut tak peduilkan itu semua. Kalau sudah tiba ajalnya, itu yang telah tertulis, maka ia takkan awal, takkan lambat walau sesaat sekalipun. Mungkin lebih ramai yang pergi meninggalkan dunia yang fana ini, namun yang mendapat liputan akhbar hanya 6 nama besar ini. Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, mangkat pada jam 7.15 malam, 22 Januari 2010 di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru. Tun Ghazali Shafie(bekas Menteri Dalam Negeri), Dr. Anuar Nor Arai(pengarah Johnny Bikin Filem-filem durasi paling lama dalam sejarah) bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat atau Tok Mat, pada usia 71 tahun, menteri wanita pertama, Tun Fatimah Hashim, dan mantan Presiden Indonesia, Gus Dur Abdul Rahman Wahid(menjelang 2010) juga telah pergi. Al-fatihah.

2. Masih juga isu kematian, tetapi bukan kerana penyakit tetapi 'dibunuh' yakni menjadi mangsa. Peristiwa tragis di Gemencheh, N9, kes bunuh 4 sekeluarga(ayah,adik,nenek dan datuk). Begitu juga jalan raya terus meragut nyawa ekoran 'sikap' pemandu bas (wartawan Utusan telah membuat pendedahan kerakusan pemandu bas ekspress memandu melebihi had laju). Kemalangan tak mengenal mangsa termasuk anak lelaki ADUN Sungai Tiang, YB Suraya.

1.Isu pendidikan. Tahun 2011, takkan ada sesiapa lagi yang akan memecah rekod mengumpul 1A paling banyak kerana sistem terbuka SPM kini diganti dengan sistem 10+2. Bermakna paling banyak pun 12 1A saja. Emm.. bagus juga, jadi adik-adik kita boleh fokus kepada pelajaran yang patut sahaja. Dalam masa yang sama, Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumukan 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT). 6 sekolah rendah, 4 sekolah menengah, dan 10 sekolah berasrama tersenarai. Berikut merupakan senarainya :

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.
Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.
Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.
Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.
Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.
SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.
Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.
Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.
Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.
SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.
SMK (P) St. George, Pulau Pinang.
Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis.
Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.
SMS Muzaffar Syah, Melaka.
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.
SK Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan.
SK Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur.
SK Convent Kota, Taiping, Perak.
SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.


Kategori D (Sederhana Suam) : Sukan

3. Lee Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia buat kali keenam. Beregu Lelaki, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong juga berjaya menjadi Juara Terbuka Malaysia.


2. Selangor menjuarai Piala Sumbangsih selepas menumpaskan Juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan 2-1. Perlawanan ini juga sebagai pembuka Liga Super di Malaysia. Selangor terus gah di carta Liga, manakala pasukan "Manchester City Malaysia", Kelantan pula telah kalah kepada Kedah dan banyak kali seri.



1. Piala Afrika di Angola. Pasukan Egypt telah mempertahankan Piala mereka selepas menumpaskan Ghana 1-0. Sebelum pertandingan bermula, telah tercetus kontroversi 'serangan bunuh' ke atas pasukan kebangsaan Togo. Nasib baik Emmanuel Adebayor terselamat.


Kategori C (Sederhana Hangat) : Dunia


3. Negara UAE mencatat sejarah. Negara Emirate Arab Bersatu ini telah memiliki bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa di Dubai. Ironinya, Dubai bukanlah ibu negara UAE, tetapi Abu Dhabi. Abu Dhabi pun tak nak kalah,sebab di sana ada Ferrari World Abu Dhabi(FWAD) Taman Tema TERBESAR di dunia juga.


2. Viva Palestine. Hidup panjang Palestin. Jangka hayat yang lebih lama untuk Palestin. Konvoi memperjuangkan hak dan nasib Palestin tidak mendapat kerjasama negara Arab yang berjiran dengan Palestin iaitu Mesir yang enggan membuka sempadan. Umat Islam Arab pun tak bersatu hati... umat Islam Melayu di Malaysia pun sama.

1. Negara Haiti digegarkan oleh gempa bumi pada 7 skala ritcher dan mengorbankan banyak nyawa.



Kategori B (Hangat) : Pengguna / Rakyat

3. Isu ini tiada kaitan dengan rakyat Malaysia secara langsung, tetapi ada kaitan dengan keselesaan dan keselamatan rakyat Malaysia. Pasti anda menyedari kebanjiran warga asing di bumi Malaysia kan?? Salah satu puncanya ialah Visa Ketibaan atau Visa On Arriving(VOA) yang banayk diberi kepada warganegara India. Alih-alih hilang.. lenyap.. lesap tak dapat dijejak. Maka, berhati-hatilah memilih kedai 'mapley'. Mungkin mereka tak faham Bahasa Malaysia, bukan beragama Islam dan menjadi tukang masak!

2. Banyak barang naik. Rokok kini berharga RM 6.40 minimum sekotak. Bagus juga, tapi macam mana kalau ada cubaan mendapatkan rokok seludup yang lebih murah. Gula pun naik. Bagus juga, banyakkan manis dalam senyuman dan kurangkan manis dalam makanan/minuman. Minyak pun nak naik?? Dengar kata Mei nanti, tetapi siap ada kategori-kategori pula bergantung kepada CC kenderaan (berat atau ringan). MyKad akan diaplikasi penggunaannya. Banyak perkara perlu dikaji dengan teliti ni.. takut nanti ada pihak yang menangguk di air keruh.

1. Selepas banyak perkara naik, maka kerajaan cover balik dengan pelancaran 1Klinik 1Malaysia. Dengar kata pihak swasta sedikit tergugat, sebab hanya RM 1 dikenakan bagi perkhidmatan(tertentu) untuk seluruh warga Malaysia. Kalau bukan warganegara lima belas hengget! Bagus juga, sebab soal penyakit, ajal maut kadang-kadang dibebankan lagi dengan isu wang ringgit. Jadi, pihak swasta perlu berpada-pada dalam mengenakan bayaran perkhidmatan.

Kategori A (Paling Hangat) : Politik


3. Dua 'selebriti' pembangkang menarik perhatian kembali. Datuk Seri Ir. Nizar terlibat dengan kemalangan tetapi tak sampai meragut nyawa. 9 Februari nanti kita tunggu apa keputusan Mahkamah Persekutuan siapakah Menteri Besar Perak yang sah; Nizar atau Zambry? DSAI pula dengan isu 'bersama' Saiful. Tiba-tiba nama Doktor Pornthip, pakar patologi dari Thailand mendadak popularitinya gara-gara mendedahkan kepada media hasil bedah siasat mayat mendiang Teoh bahawa 80% kebarangkalian Teoh dibunuh.


2. Kelantan. Nak juga kan.. Pemangku Sultan yang berjiwa rakyat, menjadi imam solat telah membuat seluruh rakyat jelata di negeri Kelantan berbangga. Isu Royalti juga hangat. Ku Li, Ahli Parlimen Gua Musang BN juga pengasas Petronas sendiri mendedahkan rakyat Kelantan ada hak! Tok Guru Nik Aziz (TGNA) juga masih diserang kiri kanan atas bawah depan belakang. Isu mahu mengkaji nama makanan tradisi "tahi itik" pun boleh jadi sensasi.



1. Sudah tentu paling hangat sepanjang Januari ini isu kalimah ALLAH. Banyak pihak tak puas hati. Ini lah yang menjejaskan keharmonian dalam negara. Aku tak mahu ulas lebih lanjut, sekarang ni bukan isu main-main. Seorang blogger didakwa kerana menghina kesultanan Johor, seorang pelajar juga ditangkap kerana "mengugut" di Fesbuk isu bom gereja. BUkan gereja saja yang dibom, malah dua buah masjid di Lembah Klang dilempar kepala babi. Apa nak jadi ni?? Semakin haru-biru. Rumah ibadat pula menjadi sasaran. Dalam Islam kalau berperang pun tak boleh bunuh orang dalam gereja.


Isu ini bertambah hangat apabila masing-masing sibuk memberi pendapat dan ideologi masing-masing. Masa dan saat genting sebegini, fikrah atau ideologi hanya mengeruhkan lagi keadaan. Maka itulah yang terjadi. Pertelagahan antara ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu juga gara-gara ideologi. Akibatnya, Ahli Parlimen Shah Alam, digantung manakala YDP Pas Selangor digantung. Perpecahan di kalangan komponen parti Pakatan Rakyat semakin ketara. Masa depan negara di tangan mereka kah?

No comments:

Post a Comment