Hebahan

Thursday, April 30, 2009

Aku & blog ...


Si tukang tulis memulakan misi sejak usianya genap 25 tahun, 25 Februari yang lalu. Hitam putih Kehidupan, menjadi tema blog si tukang tulis. Kini telah 2 bulan berlalu. Pelbagai respon yang positif mahupun negatif telah diterima. Maklum balas ini benar-benar membuatkan tukang tulis semakin bersemangat menjadi seorang wartawan 'indie' atau nama glamornya... Blogger!

Tukang tulis telah mengupas isu 'politik' selaku generasi muda, warganegara Malaysia yang telah keluar mengundi. Tukang tulis juga telah menganalisis laporan-laporan sukan walaupun...bukan ternyata seorang ahli sukan yang hebat. Tukang tulis juga telah menambah elemen-elemen 'hiburan' sebagai perencah dan perisa tambahan dari perspektif dan sudut pandang yang berbeza di samping himpunan kisah-kisah peribadi tukang tulis untuk dikongsikan bersama pembaca.

Kalau pembaca perasan, setiap tajuk dan entri, pasti ada label di bawahnya seperti Lampu suluh, post morterm etc. Tukang tulis menganggap itu sebagai kata kunci kepada topik. Para pembaca boleh memanfaatkan 'kata kunci' itu di mana setiap kata kunci itu akan ada kaitan dengan entri-entri yang pernah disisipkan. Lembahan cinta merupakan kisah cinta...segala rasa yang terkumpul di lembah hati samada suka, duka ataupun lara, berbentuk cerita, diari atau puisi.

Corak, congak rawak pula lebih fokus kepada jangkaan, sasaran ataupun target mengenai sesuatu isu seperti politik, sukan dsb. Kisah terpencil pula merupakan diari kehidupan tukang tulis, yang semua orang pernah alami. Tiada bezanya...mungkin seolah-olah 'deja-vu' pula yang melanda. Post-mortem pula merupakan analisis selepas tukang tulis habis melalui suatu fasa persembahan, samada anugerah-anugerah, filem, lagu-lagu, perlawanan bola dsb. Lampu suluh pula lebih merujuk kepada tazkirah-tazkirah kecil, kata-kata nasihat yang boleh dijadikan panduan bersama.

Blog ini menjadi platform kepada tukang tulis meneruskan misi dan agenda memartabatkan Bahasa Melayu di mata dunia. Tukang tulis sedaya upaya menggunakan Bahasa Melayu dengan baik dan menggunakan pendekatan yang lebih santai, sinis, sarkastik, satira, berhemah dan lebih berdiplomasi dalam menghuraikan apa jua isu yang hangat ataupun sebaliknya.

Moga-moga Bahasa Melayu yang digunakan Tukang Tulis berjaya difahami semua pembaca, segenap lapisan masyarakat Malaysia tak kira di mana jua anda berada. Tukang tulis bukannya seorang sasterawan negara ataupun pengkaji bahasa yang tegar. Masih banyak kelemahan dan kekurangan dari sudut kandungan dan penggunaan bahasa yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Mengapa Bahasa Melayu? Bukan kerana tukang tulis orang Melayu. Tapi...Tukang tulis ni orang Malaysia. Dan tukang tulis juga bukan seorang 'pengguna' bahasa Inggeris yang baik. Dalam erti kata yang lain, tukang tulis boleh membaca dan memahami bahasa Inggeris tetapi tidak pula terlalu ghairah menggunakan bahasa itu sebagai lidah rasmi.

Pernah juga tukang tulis menggunakan bahasa Inggeris, tetapi tidak sekerap bahasa Melayu. Tukang tulis juga ada sedikit asas memahami bahasa al-Quran, bahasa Arab. Pada masa hadapan, sekiranya tukang tulis berkesempatan dan diberi peluang, tukang tulis mahu menguasai semua bahasa 'rakyat Malaysia' iaitu Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Iban, Bahasa Kadazan, Bahasa Orang Asli dan sebagainya termasuk 'bahasa isyarat'! Tinggi betul cita-cita ini.

Berbalik kepada hasil tulisan di dalam blog ini, tukang tulis akui, dari sudut 'teknikal' seperti 'setting' dan sebagainya, amat ketara sekali kelemahannya. Kan? Contohnya, awal-awal blog ini wujud tiada gambar-gambar hiasan, tiada ruangan 'shoutbox', tiada jam, tiada 'link' kepada Facebook tukang tulis, tiada 'lagu-lagu tema' yang menarik menghiasi blog ini dan macam-macam lagi. Tukang tulis akan cuba belajar dengan pantas dengan lebih terperinci dan mendalam lagi bagi mempertingkatkan lagi mutu dan daya penarik blog ini.

Kerana buat masa ini, setelah 25 entri yang telah tertera dan terpampang di skrin komputer, tukang tulis hanya menekankan isi kandungan ataupun 'content' semata-mata. Beginilah cara tukang tulis mengupas sesuatu topik kulit demi kulit dengan kelas dan gaya tersendiri. Walaupun topik utamanya 'bola sepak', tetapi masih ada cerita-cerita dan kisah sampingan yang menarik yang menjadi perhatian.

Sesetengah pembaca memberi respon kepada tukang tulis, kadang-kadang mereka lebih seronok membaca cerita sampingan itu (atau lebih mudah lagi...iklan!) berbanding topik utama yang didiskusikan. Sebagai contoh, isu hangat PPSMI yang diperdebatkan di Facebook tukang tulis. Tiba-tiba boleh terkeluar cerita "The pearl", analogi "Kerusi" dan sebagainya. Teringat pula kepada bakti dan jasa guru-guru yang pernah mengajar subjek terbabit.

Dan dalam masa yang sama, ada juga yang melemparkan kritikan. Tulisan panjang berjela. Tak larat nak baca. Haha! Bagi tukang tulis, kalau anda tak gemar membaca novel, tak suka membaca tulisan atau artikel ilmiah, sukakan bacaan yang ringan, santai dan ada tempias 'gossip'...bacalah apa yang ditulis tukang tulis. Kalau tak nak baca...tekan Alt+F4 ataupun klik [x] di ruang atas sebelah kanan... (Ada aku kisah?? haha..=)

Seperti tukang tulis tegaskan melalui entri pertama, tiada golongan sasaran ataupun jangkaan jumlah pembaca yang melayari blog ini, serta jangka hayat sampai bila blog ini akan terus bernafas bersama aktiviti "gotong-royong" (a.k.a mengupdate menebas sawang-sawang). Tiada juga sasaran kerja tahunan atapun KPI (key performance indicators) yang menjadi kayu ukur penilaian. Misi si tukang tulis, semoga sesiapa saja yang membaca tulisan di blog ini mendapat manfaat untuk kebaikan bersama.

No comments:

Post a Comment