Menyorot kembali kisah aku.. dan pesta buku yang saban tahun diadakan ini, aku menggamit kembali rindu ini kepada alam remaja yang aku lalui suatu masa dahulu. Ya! Aku membesar dengan Pesta Buku ini. Aku semakin dewasa di hadapan bangunan PWTC itu. Hentian Putra... The Mall a.k.a Yaohan...Ah! Begitu banyak memori indah dan gundah. Di pesta buku ini menjadi pertemuan empat mata antara aku dan dia yang istimewa di hati... Haha!
Kenapa? Kerana aku...yang lahir di Kota Bharu...membesar di Gombak...lalu alam remajaku menjengah bandar Kota Bharu gara-gara bersekolah arab di negeri serambi Makkah. Dari usia 13 tahun aku sudah terbiasa dengan hiruk-pikuk Hentian Putra. Segenap sudut Hentian Putra yang dahulunya 'penuh asap' telah aku hafal.
Kerana bas-bas itulah yang akan menuju ke Pantai Timur sebagai destinasinya. Di sinilah berlakunya detik perpisahan. Aku meninggalkan kedua ibu bapaku dan adika-adikku demi menuntut ilmu jauh beribu batu. Dan dalam masa yang sama, di sini juga aku menemui rakan-rakan, sahabat seperjuangan yang mungkin nasib mereka lebih malang daripada aku.
Orang-orang kampung ingat...orang bandar yang tinggal di KL ni semuanya hidup senang. Semua anak orang kaya. Padahal di sini lah aku bertemu dengan sahabat yang sememangnya hidup agak melarat di kota raya. Rumah setinggan. Keluarga porak peranda. Jiwa memberontak kerana merasakan diri 'terpaksa' hidup di Kota Bharu dan macam-macam lagi sehinggakan ada yang terbawa-bawa 'musibah' ini bersama-sama.
Aku kagum dan "salute" habis mereka yang berjaya melupakan duka lara mereka di sini. Memulakan hidup baru di Kota Bharu. Tak sangka, begitu cepat masa berlalu. Begitu lekas bumi beredar. Begitu laju waktu bergerak. Kini, masing-masing telah membawa haluan hidup masing-masing. Ada yang masih macam dulu. Tak berganjak walau seinci. Ada yang berubah habis. Dulu kopiah melekat atas kepala, sekarang entah di mana. Contohnya aku! Ada yang dulu agak nakal, tapi sekarang warak habis. Di manakah kalian berada wahai sahabat-sahabat ?
Ingatkah lagi, suatu ketika dulu, ketika cuti sekolah pasti akan berlangsung Pesta Buku di PWTC. Kita selalu nak berjumpa ala-ala 'reunion' walaupun cuti sekolah tak sampai seminggu. Masa tu, aku ada driver. Driver bas! Haha. Mana ada 'transport' wajib lagi masa tu. Maka aku bersiap-siap awal-awal pagi lagi. Yang penting seluar slack hitam dan kasut kulit hitam tetap menjadi pilihan. Nasib baik tak pakai batik asrama je...
Lalu aku menapak.. Ya..berjalan kaki menuju ke "bus stop". Tunggu bas Intrakota nombor 11. Dari Taman Jasa, Sungai Tua, bas ini akan masuk Kampung Nakhoda. Haa.. di sini pasti aku ketemu kembali kawan-kawan sekolah rendah. Kemudian bas bergerak ke Kampung Laksamana sebelum masuk Selayang Baru. Kalau nak pergi Warta Selayang...turunlah aku di situ. Dulu famous gila dapat jalan-jalan sekitar Warta Selayang. Haha.
Kemudian bas mula menuju ke Kuala Lumpur. Bila dah sampai dekat PWTC, baru turun. Janji Melayu... Cakap pukul 11 pagi. 11.30 sampai. Okaylah tu =) Lepas tu, lepak-lepak, pusing-pusing dalam PWTC. Kawan-kawan yang gila komik...takkan lepaskan peluang. Masa tu famous gila Majalah Ujang.. Apo?... Gila-gila (bolehlah). Dulu mana ada Utopia, Hype dan macam-macam lagi lambakan majalah dan komik seperti hari ini. Aku bukan gila komik...tetapi satu-satunya komik yang aku baca dari mula sampai habis...ialah komik Dragon Ball. Haha! Lepas tu, ada pulak anime nya di TV2 setiap hari Sabtu dan Ahad. Nostalgia sangat benda-benda ni...
( Suatu ketika dulu..di sinilah aku menunggu Papa dan Mama menjemput aku pulang ke rumah jam 5, 6 pagi...kadang-kadang sampai 8 pagi sebab bas lambat. Jalan inilah yang menyambut kepulangan aku dari KB)
Setelah penat merewang...memborong apa-apa yang patut, aku dan kawan-kawan aku meneruskan 'outing' ini. Menuju ke Jalan TAR. Masuk SOGO... Dulu mana ada Mid Val.. KLCC dan Timesquare. Masuk SOGO tunggu jam besar itu... Setiap kali genap satu jam... ada patung-patung comel menari-nari. Tak ada yang menarik sangat pun...tetapi bila kenang balik detik-detik tersebut.. tersentuh hati dan jiwa ini.
Ah! Kita tinggalkan peristiwa yang telah berlaku kira-kira 10 tahun dulu. Ayuh kita berpijak di bumi realiti. Di alam nyata. Sekali lagi aku berkesempatan menjejakkan kaki ke Pesta Buku di PWTC. Suasananya masih belum berubah. Orang ramai masih berpusu-pusu. Berduyun-duyun memeriahkan PWTC. Apa maknanya? Maknanya Rakyat Malaysia masih cintakan ilmu???
Ilmu yang diperoleh melalui pembacaan, sebagaimana wahyu pertama... IQRA' ! Hakikatnya sikap gemar membaca rakyat Malaysia masih rendah lagi. Kesedaran terhadap budaya membaca masih belum "merebak" dengan pantas dan jitu. Kita tak boleh menilai samada rakyat Malaysia suka membaca atau tidak melalui kehadiran ke Pesta Buku yang hanya setahun sekali diadakan seperti ini. Kerana...yang pergi Pesta Buku belum tentu beli buku. Dan yang beli buku, belum tentu baca buku-buku itu sampai habis...sampai rabak buku itu kulit ke kulit. Kan??
Tepuk dada...tanya selera. Orang Jepun, katanya... suka membaca di mana saja. Menunggu bas, semasa berada di dalam bas/ keretapi dsb. Begitu juga Mat Salih dan Minah Salih. Mantan PM, Tun Dr. M benar-benar menggalakkan sikap suka membaca. Membaca menambah pengetahuan dan membawa kita selangkah ke hadapan. Ah! Teori lagi. Tukang tulis pun sama. Aku pun sama. Kenapa aku suka gemar membaca berita-berita yang ringan? Gosip-gosip hiburan dan gosip politik. Berita sukan yang santai. Tetapi bukan karya-karya yang 'berat'?? Yang tinggi nilai bahasa dan estetikanya...
Cukup! Tak larat aku nak taip. Orang lain pun dah tak larat nak baca. Apa yang aku dapat sempena Pesta Buku baru ni? Novel lagi? Haha... Sufia punya idealah ni. Adik Ya nak cari majalah Ana Muslim... tapi novel pula yang dibeli. Hanya 3 beranak yang bersiar-siar. Papa di Kota Bharu, menjenguk Tok Mek. Cici dan Min di kampus masing-masing. Masa begitu mencemburui kita...Klise!
salam..suka baca blog hang...
ReplyDeletewslm..thanx..enjoy urs too~
ReplyDelete