Hebahan

Tuesday, January 31, 2012

Resolusi 2012



Awal tahun 2012 baru-baru ni, masing-masing sibuk dengan azam, tekad, pembaharuan, penghijrahan ataupun anjakan paradigma dalam hidup. Ada juga segelintir yang memilih jalan selamat, mahu laksanakan azam yang belum terlaksana tahun sudah. Malah, ada juga yang langsung buat tak tahu saja dengan kehadiran tahun baru. Itu bukan mengejutkan.. bukan?

Apa yang mahu diubah kalau semuanya elok saja di pandangan mata. Apa yang mahu ditukar kalau keadaan sekarang buatkan kita selesa tidak terkata. Buat apa mahu mengejar sesuatu yang sukar didapatkan, kalau yang dikendong berciciran. Bukan? Mengharapkan buah yang tak gugur.. umpama menunggu kucing bertanduk.

Itu cuma pandangan atau pendirian segelintir individu. Terpulang kepada mereka samada mahu terus mendiami zon selesa mereka atau meninggalkannya. Melakukan sesuatu perubahan yang lebih positif atau lebih baik hanyalah satu pilihan bukan paksaan. Moga-moga tahun ini lebih baik daripada tahun sudah. Dan tahun-tahun mendatang lebih baik daripada tahun ini. Itu yang Islam mahu. Dan begitulah hendaknya kita. Sentiasa berubah menjadi bertambah baik.

Jika dulu duduk menyewa rumah teres, tahun ini menyewa rumah semi-D, tahun mendatang mampu beli rumah sendiri. Jika dulu bujang, tahun ini berdua, dan hendaknya bertiga,berempat, berlima tahun selanjutnya. Jika dulu ibu bapa tanggung diri, tahun ni sudah ada pekerjaan, maka tahun depan boleh ringankan beban ibu bapa bantu adik-beradik dan sedia tanggung keluarga sendiri pula.

Itulah yang semoleknya kan? Sepatutnya.. seharusnya.. dan semestinya. Untuk merealisasikannya, kita memerlukan keazaman yang kuat, keinginan yang mendalam, kesungguhan yang berterusan supaya apa yang dihajati mampu dikecapi. Apa yang menjadi sasaran, tepat ke dalam dakapan.

Apa dia misi yang ingin dilaksanakan itu? Apakah projek yang mahu dijayakan itu? Adakah aku mahu memahat nama aku sampai layak menghiasi slot Wajah 2012 walaupun akulah pemilik blog ini?? Teet~ Haha.. Baiklah kalau boleh, aku mahu fokus ke arah pembangunan diri, keluarga dan kerjaya. Itu secara keseluruhannya saja. Aku akan lebih spesifik dan terperinci menjelang ulangtahun ketiga blog ini 25 Februari nanti.

Diri sendiri? Mahu menjadi hamba Allah yang bertaqwa, mahu jadi anak soleh, suami & bapa penyayang, pekerja cemerlang! So cliche~ Yet meaningful. Keluarga? Mahu tambah apa? Anak? Mahu menjana ekonomi keluarga dengan lebih kemas dan jitu. Tapi, bagaimana caranya? Semestinya dengan memantapkan lagi prestasi kerja. Senang cerita, mahu yang manis-manis saja.

Alang-alang buka topik azam ni, apakah progres Azam 2012? Setelah 30 hari berlalu, adakah ia merupakan satu permulaan yang menarik? Emm... Huh! Bukan nak mengeluh, tapi hakikatnya cerita aku berbeza. Kisah aku memang lain sikit. Terkeluar daripada trek landasan kisah terbaik.

Senang cerita, aku melalui permulaan yang agak buruk bagi tahun 2012. Macam-macam juga lah. Kemalangan kereta, adik turut terlibat dengan kemalangan selang beberapa hari kemudian, terlepas kapal terbang pulang ke KL ketika bercuti di Kota Bharu, dan begitu banyak benda yang diharapkan berlaku tapi tak terjadi (termasuklah proses menanti cek yang tak kunjung tiba termasuklah berita kekalahan Arsenal hampir semua perlawanan Januari ini).

Pendek kata, hambar.. permulaan 2012 yang kurang menarik. Tapi tak mengapa.. usah gusar. Anggap saja inilah ujian daripada-Nya supaya aku tabah, dan lebih bersemangat. Jangan mudah putus asa. Rahmat Allah melangit luas.

2012 menjanjikan harapan. Ada impian yang ingin digapai. Ada kehendak yang mahu dilaksana. Soal 2012 menjanjikan sesuatu yang indah itu bukan lagi pertanyaan. Pulangkan saja rasa ralat itu biarpun permulaannya agak teruk, tapi itu tak bermakna pengakhirannya buruk. Walau permulaanya baik, tapi itu bukan jaminan pengakhirannya juga menarik.

Redah saja.. berserah... tawakkal.. hadapi dengan tenang... senyum, tak perlu kata apa-apa :)

No comments:

Post a Comment