Hebahan

Monday, June 27, 2011

Saat & Pasca Kelahiran

Selamat lahir ke dunia puteriku, Sumayyah Hannani binti Mustakim. Detik 00:43, 30 Mei 2011. Bersamaan 26 jamadilakhir 1432.

ALHAMDULILLAH... Segala debaran reda akhirnya. Perjuangan seorang ibu berjihad, mempertaruhkan nyawa sewaktu melahirkan anak disaksikan sendiri oleh aku selaku suami & bapa!

Di dalam dewan bersalin itu, baru aku tahu mengapa darjat ibu 3 KALI lebih hebat daripada seorang bapa. Segala kesakitan yang ditanggung saat melahirkan umpama menghapus segala dosa. Demikian jikalau ibu bertarung lalu tewas di pertempuran, maka syahid kecil layak baginya. Amat tepat sekali pepatah, syurga itu di telapak kaki ibu.

ALHAMDULILLAH.. ibu dan bayi selamat. Aku sudah bergelar Walid! Dan isteriku sudah menjadi Ummi kepada anak perempuan sulung kami yang telah dipersetujui bersama menamakannya Sumayyah Hannani binti Mustakim.


Saat melahirkan amat mendebarkan. Setelah segala persiapan dilakukan, termasuklah beg yang telah lengkap terisi semua keperlan telah disimpan di belakang bonet kereta. Walaupun kami tahu, kami tak perlu menunggu sampai genap 40 minggu di mana isteriku akan merasa sakit untuk bersalin, dan lepas tu baru bergegas ke hospital! Semua itu takkan dialami kali ini gara-gara BP tinggi. Dan doktor telah menetapkan bahawa tarikh 26 Mei 2011, isteriku kena masuk wad!

Ya! Induce! Pernah dengar? Inilah dia istilah buat mereka yang dipaksa bersalin lebih awal. Proses mengecutkan rahim supaya csegera bersalin. Kandungan isteriku sudah 38 minggu. Jika dicongak, dikira besar kemungkinan 27 Mei hari Jumaat insya allah isteriku akan bersalin. Cantik.. hari Jumaat dan kebetulan bersamaan 23 Jamdilakhir, tarikh kami sah diijabkabulkan tahun lepas.

Walaupun berat untuk melaksanakan proses induce (termasuk runsing kena caesar), namun kami akur. Nak buat macam mana. Masa check up 6 bulan di An-Nur, Bangi okay saja. Tiada masalah. Alih-alih bila nak daftar klinik kerajaan, doktor kata BP (blood pressure) tinggi. Dan amat berisiko sekiranya kami tunggu  sehingga genap 40 minggu.

Maka, tak dapat tidak, kami kena bersedia dan berserah kepada Allah. Kita manusia hanya merancang. Dia juga merancang. Dan Dia ALLAH itu sebaik-baik perancang! Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-Nya.


Maka, tak dapat tidak, aku telah pun ambil cuti bermula Khamis, 26 Mei sehingga hari Selasa, 1 Jun 2011. Cuti lain stand-by untuk kecemasan. Pagi Khamis itu, segala persiapan dibuat. Solat Hajat berjemaah semakin kerap memohon kepada-Nya agar dipermudahkan segala urusan. Kira-kira jam 12 tengahari, kami bergerak ke Hospital Putrajaya.

Mak ai! Kena beratur.. nak masuk wad pun ada waiting list ok. Giliran ke-16. Maka, kami pun balik ke rumah. Nasib baik dekat kan? Harap-harap lepas Asar dah dapat masuk. Tunggu punya tunggu, dah pukul 5. Telefon hospital.. dan wad penuh lagi katanya. Maka lepak di rumah saja. Tiba-tiba saja dapat panggilan, lepas Maghrib kena buat ECG apa entah. Yang kesan denyut pergerakan bayi.

Maka sekali lagi ke sana. Tunggu bukan main lama. Isteri di dalam, aku menunggu sendirian di luar. Nasib baik ada budak ni. Mula-mula dia nyenyak tidur, tapi bila emak dia dah selamat bersalin, budak ni teruja! Maklumlah dapat adik baru. Baru tunjuk true colour lepas bangun tidur. Ayat kegemaran dia.. "Mael lambung! Sambil baling selipar dekat adik dia. Maharaja lawak! M-A Ma, H-A Ha R-A Ra J-A Ja Maharaja!

Ya! Kelas mengeja ya~ Maklumlah Maharaja Lawak tengah meletup. Itulah hiburan aku waktu itu. Taklah sunyi, mengantu & bosan. Layan saja karenah nakal budak "baru nak naik" ni. Tup-tup, dah pukul 11 lebih. Nak dekat pukul 12 tengah malam. Masih menunggu wad kosong. Penuh lagi~

Akhirnya.. kami kena balik juga. Sebab tak ada katil. Maka, esok kami datang lagi. Pagi.. pukul 10 lebih. Dan... masih dalam senarai menunggu. Kali ni nombor 4. Emm... balik dulu. Lepas Jumaat nanti kami datang balik. Aduhai~ memang letih dan penat sebab menunggu. Innallaha ma'as sobirin~ S-A-B-A-R. Dan sekali lagi.. menunggu sepanjang hari petang itu. 

Dan kejadian semalam berulang lagi sekali. Pisang berbuah lagi buat kesekian kalinya. Sampai ke malam menunggu.. tapi kena balik akhirnya. Alasan sama, tiada katil kosong. Takpe. Kita fikir positif. Kena sabar. Moga-moga anak kami dapat mewarisi sikap sabar itu. Kan? Emm.. ada can lagi isteri aku nak tengok Maharaja Lawak. Last kopek! Padahal aku yang beriya nak tengok.  Haha



Maka, 27 Mei bukan harinya seperti yang aku jangka. Tunda. Dan kali ini, hari Sabtu confirm dapat masuk wad. Doktor Maria siap telefon, bersama jaminan dapat MC 2 hari yang panjang sebelum ini. Maka lepas Zohor, isteriku dimasukkan ke wad 2A. sepanjang petang hingga Maghrib aku menemani isteri tercinta. Kemudian terpaksa berpisah seketika sebab tak boleh teman hatta suami sekalipun. Jumpa esok ya sayang.

Pagi Ahad.. lepas solat Subuh aku dapat SMS. Isteriku kata, sudah kena induce. Sakit sangat. Rasa macam nak bagi penampar tawar dekat orang. Aku cepat-cepat ke hospital. Aku saksikan sendiri betapa sakitnya yang tak dapat digambarkan. Aku cuba mengurangkan kesakitan isteri..cuba picit-picit, urut-urut apa yang patut tapi sayang, tak meninggalkan kesan.

Nasib baik tengahari Mama & Mok datang jenguk. Ada orang boleh tolong picit-picit kan. Serius aku tak pakar bab urut-mengurut ni. Nak mengurat tahulah! Haha. Walaupun ku cuba melawak, tapi masa itu kurang sesuai. Yang menanggung sakitnya waktu itu isteriku. Dari pagi sampai ke petang, dengan sakit yang tak tertanggung itu, baru terbuka 1 cm!

Masya allah. Patutlah darjat ibu 3 KALI ganda lebih besar daripada darjat bapa. Nak masuk Maghrib, dah 2 cm. Dan segalanya mungkin! Aku kena bersedia. Dan waktu itu tiba akhirnya. Jam 11.30 malam isteriku sudah masuk ke dewan bersalin. Aku gagahkan diri menemani isteri. Lengan ini digenggam sekuat mungkin oleh isteriku. Perjuangan bermula.. tawakkal kepada Allah.

Aku tiba-tiba diarah keluar. Mungkin ada beberapa prosedur sebab isteriku masih belum cukup teran atau ayat drama "push". Aku keluar lalu menelefon Mama, ibuku. Rasa terharu.. dan macam-macam perasaan ada. Saat bergelar ayah ibu akan menjelma. Harap-harap tak payah caesar.

Tiba-tiba jururawat panggil. ALHAMDULILLAH.. dah selamat bersalin. Sayangnya aku tak dapat dengar tangisan anak kecilku. Aku mahu azan & iqamatkan telinganya. Dan akhirnya momen itu nyata. Macam-macam perasaan & perkara bermain di benak fikiran. Takpe.. yang penting ibu & bayi selamat. Alhamdulillah. Begitu tenteram jiwa saat menatap wajah anak buat kali pertama. Inilah dia wajah yang dinantikan selama ini.


Anakku.. jadilah hamba Allah yang bertaqwa, jadilah anak yang solehah, dan jadilah orang yang berguna kepada agama & masyarakat. Hidup di dunia ini sementara & hati-hatilah dengan tipu dayanya. Tabahlah menghadapi pancaroba.

Sah! Bayi perempuan. Nama seperti yang telah kami bincangkan. Hak anak untuk diazan & diiqamatkan sudah aku sempurnakan. Seterusnya, tahliq (cukur jambul), tahnik(belah mulut) & aqiqah. Perkara-perkara ini tak sampai jatuh hukum wajib, tetapi sebagai tanda meraikan & tanda kesyukuran, kita ibu dan bapa kena laksanakan.


Itu bab hak anak. Hak ibunya? Yakni kali pertama aku menguruskan uri. nasib baik ada orang tua yang bagi tunjuk ajar. Mok (yakni nenek sebelah mama) bagi tunjuk ajar, kaifiyat menguruskan uri. Bermula daripada proses basuh. Letak asam keping, garam, besi tajam & tanam! Harus diingatkan.. uri inilah pendamping anak kita sewaktu di alam rahim.

Seterusnya prosedur & syarat-syarat di bumi Malaysia. Proses mendapatkan surat beranak yang bermula dengan pendaftaran dan seterusnya mengambil MyKid! Susu ibu memang penting! Walaupun awal-awal pasca kelahiran, susu ibu sedikit, namun setelah berurut & berpatang.. susunya cukup. Tapi kami stand-by juga dengan susu temurun keluarga isteri, Mamex! Dan yang penting... pastikan botol susu bebas BPA! Aku tersilap beli hari itu. BPA bahaya kalau kita buat susu panas! Takut ada kesan kimia.


Begitulah sedikit sebanyak pengalaman aku bergelar bapa. Saat-saat getir. Pertarungan nyawa bak telur di hujung tanduk. Janganlah kita baru tergadah setelah terhantuk. Tak cukup buku kalau nak cerita panjang lebar lagi. Apa-apapun persediaan ibu & ayah itu sendiri, dan juga khidmat nasihat & pandangan orang tua amat penting. Iseriku kini berpantang di Sungai Besar bersama Maya (panggilan manja)

Lahir ke dunia, kita diiringi azan & iqamat, mati kelak kita diiringi solat. Betapa singkatnya waktu antara azan & solat, begitulah pendeknya hidup kita di dunia.

Demikian saat lahir ke dunia. Macam-macam hak yang perlu dipenuhi. Tak kira hak dunia mahupun hak akhirat! Begitu juga saat kematian kelak. Ada hak yang perlu disempurnakan. Hak mayat untuk dimandikan, dikafankan, disembahyangkan &dikebumikan secepat mungkin. begitu tersusun cantik sekali kehidupan manusia yang telah diaturkan Allah. Rugilah mereka yang tidak pernah berfikir...

Begitu cepat anakku membesar. Hari kelima sudah tercabut tali pusatnya. Hari itu tak sabar bila anak ini lahir. Sekarang rasa tak sabar melihat perkembangan anak. Mahu dengar apa perkataan pertama keluar daripada mulutnya. Mahu melihatnya membesar dengan sihat. Duduk.. merangkak.. berjalan & berlari. SUBHANALLAH~

3 comments: