Hebahan

Sunday, March 28, 2010

MULA mendaftar

Sesi persekolahan dah lama bermula. Semester baru pun sudah lama bermula. Tapi aku sudah mula mendaftarkan diri. Daftar diri?? Daftar diri ke mana ek?? Sambung Master kah?? Di mana?? BUKAN!

Mahu masuk pertandingan realiti Imam Muda anjuran Astro Oasis?? Layakkah?? BUKAN juga! Aku hanya mendaftarkan diri aku sebagai ketua. Ketua apa?? Ketua keluarga! Ya.. aku akan bergelar ketua keluarga dalam tempoh kurang 90 hari saja lagi.

Aku akan mengemudi bahtera, melayari alam rumahtangga kelak. Aku bakal mendirikan masjid. Aku bakal menamatkan zaman bujang. Aku bakal melafazkan kalimah "Aku terima nikahnya...". Aku akan itu .. aku akan ini.. Senang cerita, pemudah bicara, aku akan menikah.


Berkahwin! Kahwin bukan kerja senang. Bukan perkara main-main. Benda berat ni.. Perkara serius yang bukan gurauan. Aku akan kahwin buat kesekian kalinya. Pengalaman pertama dan terakhir(hendaknya) dalam seumur hidup. Aku telah fikir masak-masak, inilah masa yang paling sesuai. Tidak terlalu cepat, tidak terlalu lambat. Tidak tergesa-gesa.. tidak bertangguh. Just nice.. orang putih kata.

Bukan soal sudah sampai seru.. tetapi inilah kehendak ALLAH. Jodoh, Rezeki dan Ajal. 3 perkara yang menjadi rahsia ALLAH kepada hamba-Nya. Sudah tersirat, jodoh aku bersama Nurulhuda. Masih belum sah lagi ikatan kami... tetapi kami sedang menuju ke arah itu. Kami datang dari arah yang berbeza... tetapi menuju ke titik pertemuan yang sama hendaknya.

Mencari kesamaan, mencipta keserasian,meraikan kepelbagaian, menyatukan ikatan.. antara 2 jiwa, 2 keluarga, 2 negeri, 2 dunia yang jelas berbeza. Tetapi itu bukan penghalang kalau itulah yang tersirat.

Ni mungkin 5 tahun dulu kot.. sekarang sudah lebih.

Berbalik kepada cerita kali ini, aku mahu berkongsi pengalaman aku yang pertama kali mendaftar perkahwinan kami. Status perkahwinan kami.. luar qaryah. Qaryah tu bahasa Arab. Maknanya kampung. Luar kampung! Bukan berasal dari kampung yang sama.. walaupun sama-sama pernah tinggal di sekitar Kampung Sungai Tua.. Kampung Nak'Huda' eh.. Kampung Nakhoda.

Memang itu tempat di mana kami pernah ditemukan lebih 15 tahun yang lalu. Ya! Kami kawan sekolah rendah. Satu kelas pulak tu! Tapi dulu kami tak bercinta pun. Dia suka dekat...(ooops, rahsia!) Aku pulak memang suka dekat dia masa tu. Tapi malu nak mengaku! Cinta monyet.. cinta beruk.. zaman budak-budak yang masih mentah bicara soal cinta.

Hatta, masa kini pun.. setelah usia kami menginjak 26 tahun, cinta baru saja berputik. Masih belum cukup matang lagi. Biarlah kami simpan selebihnya untuk era pasca-perkahwinan. Kiranya kami tak bercinta bagai nak rak lagi lah. Belum sampai klimaksnya lagi. Perjalanan masih jauh ~

Baiklah.. berbalik kepada status "luar qaryah" sebabnya si kanda tinggal di Putrajaya, manakala si dinda pulak nun jauh di Sungai Besar, Sabak Bernam. Syarat pertama untuk mendaftar perkahwinan ialah 90 hari sebelum tarikh akad nikah. Aku congak secara rawak.. tarikh 8 Mac ngam-ngam 90 hari. (Kalau nak tahu tarikh akad nikah, kira sendiri 90 hari selepas 8 Mac2010.. hehe ;P)

Syarat kedua.. memandangkan status luar qaryah, maka pihak kanda kena daftar dahulu, dan seterusnya baru boleh sebelah dinda daftar pulak bersama wali. Dalam kes ni, memandangkan dinda sekarang mendidik anak bangsa di kepulauan Borneo sana, maka dinda cuma ada peluang balik ke semenanjung sempena Cuti sekolah bermula 13-21 Mac 2010. Aduhai.. bahasa orang lama. Kanda sayang dinda. Sangat klasik~

Maka, sebelum 13 Mac 2010, aku perlu selesaikan urusan pendaftaran sebelah lelaki. Bermula 8 Mac 2010 (yakni ngam-ngam ho 90 hari sebelum tarikh lafaz kuterima) sehingga 12 Mac 2010, aku cuma ada masa 5 hari untuk selesaikan segala urusan. 5 hari beb. Isnin sampai Jumaat.

Kerja??? Dahlah hari bekerja. Kan?? Syukur.. aku bekerja ikut syif! Minggu tersebut jadual syif aku cuti hari Jumaat dan Sabtu. (Standardlah kerja syif jarang dapat cuti Sabtu-Ahad.. kadang-kadang dapat tiang gol Selasa-Ahad, Rabu-Sabtu dsb). Siang-siang lagi aku sudah muat turun(download) borang JAIS dari internet.

Maka, mengikut perancangan asal, aku mahu daftar bawah JAIS dekat dengan rumah sewa sekitar Flora Damansara. Senang. Walaupun duduk di Putrajaya, tetapi Putrajaya bawah JAWI. Dari internet dapat borang JAIS. JAWI punya tak jumpa. Tambahan pulak IC aku memang alamat Kg. Sg. Tua! Sah-sah kena isi satu lagi borang iaitu borang bermastautin/ bermukim.

Sama saja kisahnya kan??(Tulah.. nak sangat mengundi di Batu Caves masa PRU-12 semata-mata nak undi parti X dan menang!) Sekarang.. masa untuk menebus kesilapan. Masa Kursus Kahwin dulu ada bagitau awal-awal tentang isu ni. Itulah kelebihannya kita ikuti Kursus Kahwin dahulu. Siap diajar prosedur dan langkah berjaga-jaga sekaligus!

Aku pun fikir JAIS yang paling dekat.. malas pulak mahu ke Gombak. Jauh. Kerja syif petang sepanjang minggu(masuk 2.30 petang) , maka waktu pagi adalah can nak selesaikan urusan. Rumah sewa pulak dekat Flora Damansara, nak daftar dekat JAIS kawasan ni lah.


Pusing punya pusing...maka aku tersinggah Masjid Taman Tun Dr Ismail(TTDI). Singgah solat Zohor di situ, hari Isnin 8 Mac sebelum masuk kerja 2.30 petang. Aku tengok senarai AJK Masjid. Orang-orang tua saja. Mana orang muda?? Ada! Imam muda ada. 2 orang. Salah seorang namanya.. Mohd Solleh Abdul Razak. Aik?? Macam kenal nama itu. Oh, junior aku rupanya!

Sah! Solat Zohor diimamkan Ustaz Solleh. Usai solat, aku terus menemuinya, sahabat lama. Terkejut dengan kehadiran aku. Maka, berceritalah hajat ke sana untuk mendaftar nikah. Rupa-rupanya, TTDI sudah berada di kawasan Kuala Lumpur. Berada di bawah JAWI walaupun sebelah PJ saja.

Status aku yang tinggal di Flora Damansara pulak kena daftar di Masjid Kayu Ara. Masjid Kayu Ara?? Wah.. pertama kali ku mendengarnya. Tetapi Ustaz Solleh sempat berikan nombor Ustaz Zaki yang lebih berpengalaman untuk urusan seterusnya. Lalu terus aku masuk kerja 2.30 petang.. habis kerja 12.00 tengah malam. Pengsan!

Hari kedua pula.. pagi-pagi hari lagi sudah telefon Ustza Zaki. Ustaz Zaki kata, kena cari Masjid Kayu Ara dekat kawasan One Utama katanya. Ustaz Zaki juga bagi nombor telefon JAIS. Oh! JAIS pun ada operator ya. Sila tekan 1 untuk urusan... tekan 2 untuk urusan... dan ikut arahan seterusnya. Sebijik macam aku kerja TM. Apa-apa hal.. sila dail 100!

Maka aku berjaya hubungi JAIS yang ibu pejabatnya di Shah Alam. Dapat pula nama Ustaz Misri yang bertugas sebagai imam di Masjid Kayu Ara. Oh.. terlupa. Borang menetap/bermukim. Rupa-rupanya kena dapatkan tanda tangan ketua kampung yang mengesahkan kita telah bermukim di kawasan ini. Haiyo!

Ketua Kampung?? Kenal lah sangat-sangat. Paras rupa yang menarik perhatian. Aku langsung tak tahu nak cari di mana Ketua Kampung itu. Maka urusan terbengkalai.. Tertangguh lagi. Kena pergi kerja. Masuk hari ketiga.. misi mencari Masjid Kayu Ara. Dah 'googlemap' tapi tetap makan buah langsat. Sesat! Jammed pulak tu mencelah OU. Lebih banyak jem daripada roti! Tapi sempat juga aku tanya Ustaz Misri tu. Nak buat ujian HIV di mana ? Di mana-mana klinik kerajaan. Klinik ya.. bukan hospital. Ada beza di situ.

HIV?? Ya! Wajib sekarang kena buat ujian saringan HIV kalau nak kahwin. Pastikan kita bersih! Teringat pulak cerita novel Ketika Cinta Bertasbih yang telah difilemkan itu. Ada orang sabotaj lelaki tu ada HIV, bila kahwin, tak sentuh bini dia. Ujian HIV wajib! Ujian Talasemia pula optional.. pilihan.

Maka hari rabu, 10 Mac aku tak sempat cari klinik.. tak jumpa Masjid Kayu Ara. Tak daftar apa-apa lagi! 2 hari lagi tinggal! Macam mana ni?? Allahumma rabbi yassir, walaa tu'assir. Permudahkanlah Ya Allah.. Jangan Kau sulitkan. Amiiin~

Keesokan hari.. 11 Mac 2010. Aku ke Klinik Kesihatan Kelana Jaya, belakang ofis je rupanya. Buat ujian HIV. Pergi pukul 11, tapi kena datang balik pukul 2. Masa tanya dekat kaunter tu, misi tu 'wusha slack' je.. Apa yang sedang bermain di sarang fikirannya ya??

Aku ni... ada HIV?? Muka penagih?? Muka pengamal seks bebas?? Seks songsang?? Oh.. aku rasa dia macam tak percaya muka aku ni dah nak kahwin. Macam budak sekolah! Takpe.. tak tunjuk IC lagi.. Ada aku kisah?? Cak..cak...cak..cak.. Amboi~ Buat iklan nampak...

Maka aku datang balik pukul 2. Saspen juga menunggu keputusan. Berdebar! Alhamdulillah. Bersih. Keputusannya.. non-reactive. Tak guna istilah positif atau negatif ya! Syukur, selesai satu perkara. Masa untuk masuk kerja. Jam 2.45. Lambat.. tapi sudah bagi tahu bos.. Rexo. Hoho~

Jumaat cuti. Aku balik Putrajaya. Maka tak dapat tidak..aku hanya ada satu pilihan. Daftar saja di Masjid Sungai Tua. Balik ke tempat asal, ikut IC. Maka aku dengan penuh konfidennya telah isi lengkap semua borang termasuk 2 orang saksi. Saat kelam-kabut macam tu, Mama & Papa saja yang sain borang! Mula keluar rumah selepas solat Jumaat dan hantar adik Ya ke sekolah agama.


Aku terus ke Pejabat JAIS Gombak Timur.. hasil bantuan Amirul Hafiz yang masih segar status Pengantin Baru! Terletak di Keramat. Googlemap juga.. tapi Alhamdulillah kali ni berjaya. Rupa-rupanya.. borang aku download tak cukup syarat. Mana boleh orang perempuan jadi saksi! Hmm.. aku pun lupa! Saat kelam-kabut..macam dilanda ribut. Sakit perut dibuatnya. Dan 2 orang saksi tu kena sain depan imam! Imam nak intebiu lah.. aku ni betul-betul bujang ke.. dan yang sewaktu dengan kisahnya.

Macam mana sekalipun, tidak dapat tidak.. by hook or by crook, Mat Saleh kata, aku kena cari 2 orang saksi. Bawa ke Masjid Sungai Tua. Maka, destinasi aku sudah tentu UIA. Walaupun sahabat Ma'ahad ramai dah habis belajar, tapi para al-huffaz masih ada. Itu Plan A! Plan kontigensi nya pula.. ataupun Plan B ialah terpaksa pusing satu Taman Jasa, satu Kampung Sungai TUa, satu Kampung Nakhoda. Kot-kot ada kawan-kawan lama. Hari Jumaat beb! Ramai yang kerja kot.

Maka antara 2 pilihan ini, aku memilih Plan A. Jam 3.45 petang. Tiba di UIA Kampus Gombak. Telefon Fakhri, unreachable (ayat skema call center TM). Telefon Raja Afiq. Oh, di Kuantan rupanya. Raja bagi nombor Fauzan. Telefon Fauzan, ringing no answer. Hantar SMS (bukan dengan Infoblast. Budak TM faham. Hahahah!) Aku dah nekad, redah saja Taman Jasa.

Elok-elok nak bergerak, Fauzan telefon. Aku pun ceritalah hajat mahu bernikah. Ceh, dia ingat macam berita yang keluar paper, nikah kat Kampus, masing-masing jadi imam, qadi, wali, saksi dan sebagainya. Aku jelaskan.. saksi untuk isi borang sahaja. Dan Fauzan @ Pojei perlu cari seorang lagi saksi.

Tunggu punya tunggu.. pusing punya pusing.. Alhamdulillah. Dua orang sahabat Ma'ahad ini menjadi saksi bagi borang nikah aku. Mereka berdua aku bawa solat Asar di Masjid Kampung Sungai Tua. Jazakumallah... Fauzan, dan juga Wan Fathi (maaf sengoti nih, ambo dok cei demo). Alhamdulillah, borang diisi lengkap. Cuma kena ke Keramat balik. Dapatkan tandatangan Pendaftar.

Hari sudah lewat. Maka terpaksalah aku pergi hari Isnin. Minggu tersebut aku syif petang juga. Masuk 1.30 petang hari Isnin. Selasa dan Ahad cuti. Tapi aku swap dengan Kay-Z@Fahmi. Mahu cuti hari Jumaat semata-mata mahu meluangkan masa kualiti bersama yang tersayang. Cewah! Seminggu je beb Dinda balik semenanjung. Lepas ni jumpa masa nak kahwin lah.

Maka, hari Isnin aku bergegas ke Keramat, JAIS Gombak Timur. Aduhai~ Satu lagi cabaran. Nak dapatkan satu lagi sign! Pendaftar punya cop je pun. Orangnya takde! Ingatkan kalau dah settle, Dinda bolehlah terus balik Sungai Besar, selesaikan pendaftaran sebelah perempuan pulak. Tapi, yang jaga kaunter tu kata, sebelah perempuan boleh isi dulu. Nak sedapkan hati aku je ke? Habis cepat pun pukul 4 petang. Aku sudah masuk kerja maa~

Maka, Dinda balik kampung. Malam tu dia telefon, kalau boleh minta tolong aku hantar borang tu ke Sungai Besar. Ya! Esok aku cuti. Hari Selasa. Maka, pagi-pagi lagi aku siap. Dari Flora ke Keramat bersama Panda. Destinasi seterusnya... Sungai Besar, Sabak Bernam.


Naik Panda juga ke?? Hahaha. Kesian Panda. Masa bertunang dulu perjalanan Putrajaya- Sungai Besar 2 jam kot. Dengan kereta. Lalu Lebuhraya Guthrie, keluar hala Kuala Selangor. Cuba teka, Panda rela berkhidmat ke untuk Dinda?? Jawapannya.. tidak!


Aku yang tak larat nak naik motor. Risiko beb! Kalau hujan ke macam mana. Jauh tu. Jalan lama ke Ipoh sebelum wujud lebuhraya PLUS. 37 km je nak ke Teluk Intan. Tengoklah tempatnya. Sawah padi. Hijau.. walaupun tak berapa nak hijau sangat. Sekinchan, Sungai Burung, kawasan sawah padi lah tu. Alaaa.. lokasi Nur Kasih~ Hijau membiru~


Alhamdulillah. Selesai urusan pendaftaran. Lepas tu, terus balik rumah. Famili semua di KB. Cuti sekolah kan.. Ingatkan dapat rehat cukup-cukup, rupa-rupanya memang taklah. Kunci kereta Papa pulak hilang. Maka aku kena bawa kunci pendua(spare key)pergi Putrajaya Sentral. Cari bas menuju ke KB, minta tolong pemandu bas. Alhamdulillah. Selesai.

Alahai, apa sangat kalau nak dibandingkan jasa bakti orang tua kita kan?? Lepas tu makan roti john best in the world, bersama colleague, Fizal-Za n da gang.

No comments:

Post a Comment