Selalu orang tanya soalan klise macam ni, "Apa cerita?"
Dah jadi trend lah pulak orang-orang KL ni suka meringkaskan soalan, "Apa cer??" ataupun "Apa cerit??"
Hakikatnya mereka hanya bertanyakan perkembangan terkini kita. Apa yang kita buat dan rancang sekarang.. Kan??
Perkembangan?? Maka banyaklah tubuh badan kita yang berkembang. Makin mengembang. Mengembang! Membesar.. Ada yang dulunya halus bak lidi, kini bagaikan dipam-pam menjadi kayu balak.
Ada pulak yang dulunya bentuk O. Bulat.. tapi kini berjaya menjadi I. Ai. Aizat! Ada can nak menang pertandingan The Biggest Loser ni. Dan tidak dinafikan juga ada yang dari dulu hingga kini.. macam tu saja. Tak berubah, tak berganjak hatta seinci pun.
Itu yang 'mata kasar' kita nampak. Perubahan fizikal. Ada juga yang berubah dari sudut emosi dan jiwa. Berubah tingkah laku tabiatnya. Daripada nakal menjadi alim. Daripada pendiam menjadi murai. Daripada aktif menjadi pasif. Itulah lumrah kehidupan.
Hitam putih kehidupan. Ada corak, warna dan variasinya. Kita sendiri yang memilihnya. Jiwa kita yang menentukannya. Akal fikiran kita yang mengadilinya. Keimanan kita yang menghakiminya. Bijak atau tidak, waras atau tidak, matang atau tidak itulah namanya perkembangan!
Ada yang mengalami proses perkembangan secara natural. Ada yang berkembang mengikut persekitaran. Ya! Perkembangan itulah seiring dengan perubahan. Istilah orang putih yang sangat glamour.. "People change..."
Sekali air bah, sekali pantai berubah. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepian pantai. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga. Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina. Begitulah hebatnya guru kita iaitu PENGALAMAN.
Semua orang akan mengalaminya. Aku turut mengalaminya. Perubahan.. perkembangan.. pengembangan.. pembezaan.. pengamiran.. (eh, termasuk subjek Matematik Tambahan pulak =P) merupakan pengalaman yang sangat berharga. Mematangkan hidup kita.
Hidup ini.. kalau tidak menempuh masalah.. tidak sah! Kerana masalah akan membuka jalan yang lebih luas lagi. Satu masalah, bukan satu saja jalan keluarnya. Banyak pilihan. Jadi, kita jangan sesekali mudah menjatuhkan hukuman.
Mudah benar buat penilaian sendiri. Mengadili orang sesuka hati. Hari ini, mungkin kita mencemuh seseorang kerana "kehitamannya".. dan kita menyanjung seseorang dek "keputihannya". Dan tanpa kita sedar, mungkin suatu hari nanti ianya akan berubah arah.
Yang hitam itu menawan.. dan yang putih itu membuatkan kita berputih mata. Benar! Ada hadith nabi; "Cintailaah orang yang kamu cintai dengan sewajarnya kerana boleh jadi suatu hari kelak dia akan mennjadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu dengan sewajarnya, kerana boleh jadi suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai." (Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Kesimpulannya ; "Jika kamu mencintai seseorang, cintailah ia sewajarnya, kelak cinta itu berubah menjadi benci. Dan jika kamu membenci seseorang, bencilah ia dengan sewajarnya, kelak benci itu akan berbalik menjadi cinta."
Sudah alang-alang berbicara mengenai perkembangan, apa yang mutakhir ialah satu perkembangan sihat telah aku saksikan. Hasil yang sangat positif. Entri yang lepas aku ada bercerita mengenai "keghairahan" aku menulis dan berangan.
Apa yang aku angan-angankan dulu.. telah ada kesinambungannya. Kesinambungan kejayaan. Hayunan rentak bersahut. Dulu sebelah mata orang tak pandang, kini orang telah membuka mata seluas-luasnya. Dulu hanyalah taraf "underdog" ataupun cukupkan kuota saja, tetapi kini sudah menang besar dan menjadi pilihan ramai. From zero to hero from nobody to somebody!
Dulu ianya bermula dengan gerak tari. Seni Tari... ringkasannya SETA. Seta Walinongsari yang diilhamkan oleh Bernard. Hasil kombinasi Kolej 10 (Siswa) dan Kolej 11(Siswi) maka terbentuklah jalinan kerjasama antara dua kolej kejiranan.
Bermula dengan gerak tari...memenangi pertandingan Festari UPM, seterusnya sekadar pelengkap nominasi Festik. Aku terlibat dengan Festik bermula dari zero. Masih ingat lagi penyertaan kali pertama mementaskan Lantai T.Pinkie. Hancur~
Sangat memalukan.. seterusnya mula mengorak langkah ke peringkat seterusnya. Aku membina SEL.. diteruskan lagi oleh Ammar dengan Tudung Periuknya. Kini, Amin berjaya melunaskan janji kemengan. Protes.. dan Vakum telah meletakkan Seta Arts berada dalam liga dan kelas tersendiri. Seta telah berkembang.. daripada gerak tari Seta Walinongsari.. kini sudah ada Seta Arts.. Seta Suara dan sebagainya.
Aku sendiri kagum dan terpegun akan hasil pementasan mereka. Aku akui, aku tak mampu membawanya sampai ke tahap itu. Tapi, ternyata, hasil gerak kerja kumpulan, segalanya tak mustahil. Tahniah buat Seta Arts, Amin dan team produksinya. Dua tahun berturut-turut mendapat anugerah Arahan / Adaptasi Terbaik dan Johan Keseluruhan Festival Teater Inter Kolej (FESTIK) UPM tahun 2009 dan 2010.
MULA mendaki carta...
No comments:
Post a Comment