Hebahan

Wednesday, February 25, 2009

Februari

Februari ialah bulan kedua dalam bulan Masihi. Februari juga merupakan tajuk kedua yang rasmi di sini.Mengapa Februari? Bukankah Februari sudah mulai berlalu? Aku cuma ingin bercerita, betapa pentingnya bulan ini dalam hidup aku. Sepanjang bulan Februari..dari awal bulan, ke pertengahan bulan sehinggalah ke akhir bulan, ada tarikh-tarikh tertentu yang penting untuk aku ingat dan kenang sampai bila-bila.

Kita mula dengan awal Februari, iaitu 3 Februari. Tarikh yang lebih tepat, 3 Februari 1998. Satu-satunya adik perempuan aku, Nursufia Amira lahir ke dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur. Kehadirannya umpama penyeri dalam keluarga. Mama telah ada 3 orang anak lelaki yang dilahirkan secara 'ceasor' atau bahasa kampungnya 'ikut tingkap'. Maka, setelah mama disahkan mengandung buat kali keempat, mama kena marah dengan doktor kenapa dulu tak ikat selepas bersalin kali ketiga secara pembedahan?

Jawapan kepada doktor tersebut...rezeki! Rezeki mama mengandung buat kali keempat. Betapa suspens nya waktu tu. Masa tu, orang sibuk nak scan baby. Girl or boy. Tapi mama tak nak. Takut meletakkan harapan yang tinggi menggunung yang sekiranya tidak kesampaian...pecah musnah segala harapan. Akhirnya, penantian bukan lagi satu penyeksaan. Berganti dengan kebahagiaan. Adik perempuan yang sekian lama dinanti-nantikanlahir ke dunia pada tanggal 3 Februari 1998.

Seterusnya..pertengahan Februari. 14 Februari. Sorry ya.. Not valentine day! 14 Februari 1983. Tahun1983 ada ke istilah valentine segala? Perkahwinan Papa dan Mama lah. Alhamdulillah...kini sudah lebih 26 tahun usia perkahwinan Papa dan Mama. Papa ada cerita...masa tu musim cuti sekolah. Tahun baru cina. Kebetulan pada masa tu, Papa dan Mama bekerja di tempat yang sama. Kementerian Kewangan kalau tak silap. Jadi, bila ada cuti, Papa dan Mama yang memang kedua-duaanya anak jati Kelantan merancang pulang ke kampung halaman.

Tak sangka..percutian itu berakhir dengan satu ikatan yang sah. Setelah habis cuti, masing-masing kembali ke pejabat di Kuala Lumpur. Yang penting...status perkahwinan dirahsiakan! Haha. Macam drama kan? Alasan...mengikut peraturan/ polisi, pasangan suami isteri tak boleh bekerja di bawah satu unit/bahagian yang sama. Satu pejabat tidak mengapa. Tapi, masa tu Papa dan Mama, bekerja di unit yang sama. Gara-gara taknak berpisah...mereka berdua merahsiakan status mereka sehinggalah 'kantoi' suatu hari. Masa tu kena isi borang apa entah. Ada ruangan status, di mana Mama isi telah berkahwin. Dan Papa juga berbuat perkara yang sama. Kantoi di situ...hehe. Berapa lama mereka 'berlakon' tidak diketahui..

Akhir sekali...tarikh yang penting di akhir Februari. Semua kawan-kawan sedia maklum. Ulang tahun kelahiran aku. 25 Februari 1984. Hal ini tak perlu diulas dengan lebih lanjut sebab ada satu lagi tarikh yang penting dalam bulan Februari suatu ketika dulu. Dulu... Yes,suatu ketika dulu. Ada seseorang yang pernah wujud dalam hidup aku. Secara kebetulan lahir bulan 2 juga. Beza dua, tiga hari je. Gadis tu pernah memberikan harapan pada aku, dan akhirnya harapan tu hancur berkecai. Kini, aku pun tak tahu dia di mana. Khabarnya, telah mendapat seorang cahaya mata.

Paling penting,dia kahwin tak jemput aku. Aku tahu pun melalui bekas roommatenya yang juga budak kelas aku. Sehari sebelum berlangsungnya majlis kahwin dia, boleh pulak terserempak di tengah-tengah bandar. Memang takdir menemukan kami kembali, tapi tak ada maknanya. Dua-dua buat tak kenal. Haha. Benar. Ini kisah silam..biarpun hitam, itu tak bermakna aku tak boleh mencipta bahagia dengan perempuan lain. Lagipun, dia bukannya cinta pertama aku. Itu hanya sejarah kan?? Biarpun ada sedikit parut tapi parut tu yang membukakan mata seluas-luasnya. Kalau dia bahagia dengan orang lain, aku turut menumpang berteduh di bawah kebahagiaannya. Moga-moga dia turut mendoakan kebahagian aku jua.

Entri Pertama

Suatu permulaan. Umpama bayi yang baru lahir. Meniarap...mula mengengsot. Mula merangkak. Cuba berdiri. Berjalan dan terus berlari.Menari mengikut emosi suka atau duka. Suatu kelahiran, kewujudan, kemunculan, kehadiran dan apa jua indikasi permulaan bagi seorang penulis baru yang bergelar 'wartawan' indie atau lebih dikenali sebagai blogger.

Apabila kita menyebut sesuatu telah bermula..apa yang pasti akan ada akhirnya. Aku tak tahu...sampai bila aku mampu menaip, mengetuk papan keyboard yang meraung-raung kesakitan. Seiring dengan otak yang senantiasa memproses data-data saintifik dan logik yang relevan dikongsikan bersama.Suatu perkiraan telah dibuat. Tambah..tolak..darab..bahagi.. Tetap sama saja jawapannya. 2 X 5 = 5 x 2.

Mungkin ketika masih hangat mendapat title 'blogger'a.k.a wartawan 'indie', hala tuju penulisan aku masih di awang-awangan. Tiada pengkhususan ke arah mana-mana genre lagi. Banyak perkara yang bermain di fikiran ingin dikongsikan ingin diluahkan melalui alam maya. Apa jua tafsiran 'blog'sebagai suatu wacana fikiran atau apa-apa saja yang kedengaran 'klise', hakikatnya tanggungjawab yang berat hadir bersama samada disedari atau tidak.

Kadang-kadang, perasaan begitu teruja atau istilah Inggerisnya over excited kurang disenangi orang sekeliling. Tetapi semua orang pernah merasai dan melalui perkara ini. Saat seorang bayi kali pertama boleh berjalan menggunakan kaki sendiri...itulah perasaan yang sama dirasai seorang kanak-kanak yang mampu berbasikal roda dua (sebelum ini beroda empat..haha). Bagitu juga sama keadaannya, apabila seorang remaja pertama kali dapat lesen memandu yang sah..tak sah kalau tak 'test drive' bawa kereta. Sedangkan pada masa yang sama, betapa takut dan runsingnya seorang bapa atau ibu apabila memerhatikan anak memandu.

Seorang wartawan 'indie' juga merasai perkara yang sama. Biarpun tidak ditauliahkan secara langsung mengenai dunia penulisan atau kewartawanan, setiap berita atau peristiwa yang berlaku pasti mempunyai kisah dan penilaian yang berbeza. Daripada perspektif seorang rakyat jelata terhadap pemerintahnya, daripada pandangan mata seorang penonton bola yang berada di kalangan jutaan penyokong di dalam sebuah stadium hatta isi hati kecil seorang pemerhati industri yang dia langsung tidak berkecimpung buat kesekian kalinya.

Semua ada hak untuk bersuara. Tulisan akan menzahirkan segala rasa. Rasa seorang blogger. Blogger akan bertanggungjawab terhadap setiap tulisan yang terpampang di skrin. Akan dilabel atau dicop sebagai penghasut, pro-pembangkang, pro-kerajaan, penyebar dakyah palsu atau apa saja gelaran, itulah risiko yang perlu diambil. Itulah harga yang perlu dibayar. Apa saja perkara yang kita buat, pasti ada harga sebuah 'pengorbanan' yang tidak diketahui harganya yang perlu dibayar.

Berdirinya kita hari ini...di mana kita berada sekarang, pasti ada kisah silam yang membawa kita ke sini. Kisah silam yang dinamakan pengalaman.Pengalaman mendewasakan kita. Mematangkan fikiran kita. Menjadikan kita lebih waras, cakna dan berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil.Tetapi ada juga yang dangkal...tak mahu mengambil pengajaran. Tak serik-serik dengan hukuman yang diterima akibat berulang-ulang kali melakukan kesalahan yang sama. Cukup rasanya sampai di sini.

Monday, February 23, 2009

Pre-existence

Salam Perkenalan. Setelah sekian lama melalak, melalut dan merepek di Notes (@Facebook), Buletin (@Friendster) dll, akhirnya aku, Mustakim Bahrudin a.k.a misisitukangtulis akur dengan kehendak semasa. Aku menceburkan diri juga ke dunia blogger. Dunia penulisan yang lebih interaktif. =)

Blog ini wujud bukan untuk menambahkan lagi lambakan penulis bebas mahupun 'wartawan' yang bukan mainstream @ indie (sekarang ni memang musim Indie), sebaliknya sekadar mahu berkongsi idea, mencetuskan ilham dan mewarnai satu lagi sisi media yang sering dianggap 'sesuatu'.

Blog ini muncul bukan dengan matlamat-matlamat dan objektif tertentu seperti, membahaskan cerita-cerita dan isu-isu yang panas, menetapkan sasaran pembaca yang melayari blog ini, mengadakan gotong-royong a.k.a meng'update' blog menebas sawang-sawang dalam tempoh masa yang tertentu dan sebagainya. Sekadar medium dan platform bagi seorang penulis yang mempunyai misi si tukang tulis.

Hitam putih kehidupan. Itulah tema yang akan menjadi ramuan utama aku selaku misisitukangtulis. Aku akan berbicara mengenai kehidupan ini yang penuh warna sebenarnya. Dari pentas seni, budaya dan bangsa, aku akan terjun ke dunia politik sebelum merembat deras di padang sukan, lalu beriktikaf seketika di mimbar masjid, sebelum meneruskan pelayaran yang sementara ini menuju destinasi yang abadi.

Dengan atau tanpa sokongan pembaca, aku akan terus melakarkan, mencoretkan, menukilkan dan menceritakan apa saja kisah yang menarik mahupun tidak dengan rahmat dan keizinan Allah Subhanahu Wata'ala. Harapanku, moga-moga kelahiran blog ini, sedikit sebanyak mampu memberi manfaat kepada sesiapa saja yang membaca. Syuqran jaziilan. Jazaakalahu khairal jazak. Bertemu kembali di episod yang seterusnya...