Hebahan

Wednesday, December 30, 2009

Carta BARU Disember disambar...~

Carta Baru?? Apa yang baru? Mungkin sebelum ini, carta bulanan di hujung bulan menampilkan 10 berita paling hangat sepanjang satu bulan 'bersiaran'. Kali ini juaranya DISAMBAR oleh siapa?? Baca hingga noktah akhir~

Kali ini ada sedikit kelainan, yakni ada pembaharuan. Inilah BARU yang dikatakan transformasi. Carta hangat bulan ini merangkumi 4 kategori utama, iaitu 5 berita hangat bagi 4 kategori iaitu politik, sukan, hiburan dan rencam. Kiranya 5x4 = 20 berita yang masuk carta bulan ini.

Berita Politik

5. Isu BTN iaitu Biro Tata Negara yang dikatakan bersifat perkauman. Ekoran itu, kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan telah menolak penglibatan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri-negeri ini daripada menyertai program BTN. Menteri yang berkaitan, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri siap bertikam lidah lagi dengan bekas PM, Tun Dr. M gara-gara isu ini. Kemuncaknya, Menteri berkenaan dicabar untuk meletak jawatan. Mengapa pula tiba-tiba timbul isu rasis ni? Cakap 1Malaysia. Aku tak bolehlah komen lebih-lebih sebab tak pernah jadi peserta pun... hahahaha


4. Pernah dengar Kelab Penyokong Pas (KPP)??



Ia kini bertaraf sayap apabila namanya dinaiktaraf menjadi Dewan Perhimpunan Penyokong PAS. Dewan ini menaungi mereka yang bukan beragama Islam tetapi setia menyokong PAS dalam apa jua keadaan sekalipun. Inilah buktinya masyarakat Cina dan India bersedia untuk berbaik-baik dan berjinak-jinak dengan Islam sekaligus membuktikan Islam bukan menggalakkan keganasan apatah lagi kezaliman. Sah, Islam untuk semua. Islam for ALL. Islam bukan milik eksklusif orang Arab atau Melayu.



3. Konvenseyen Pakatan Rakyat yang berlangsung pada 18 Disember di Shah Alam melakar sejarah baru politik negara. "Perkahwinan" ini tetap berlangsung biarpun apa jua ideologi ketiga-tiga parti utama yang membentuk Pakatan Rakyat. Ada peranan bekas Menteri, Datuk Zaid Ibrahim di sini dalam usaha menyatukan ketiga-tiga parti. PAS, PKR dan DAP duduk sebumbung membincangkan masa depan PR dan melancarkan "Agenda Bersama Pakatan Rakyat". Seampuh mana pakatan ini? Sjauh mana dan selama mana pakatan ini akan bertahan?? Sama-sama kita nantikan...



2. Isu 14 Disember?? Apakah?? Oh.. isu 66-63. Faham?? Bajet 2010 hanya diluluskan sebanyak 3 undi sahaja. Sekali lagi, TIGA UNDI SAHAJA. Wah.. ke mana perginya Ahli Parlimen yang lain? Makan gaji butakah?? Sibuk menikah kah?? Hari ini dalam sejarah!



Impaknya bukan sahaja dari segi politik malah ekonomi dan pembangunan negara. Katakanlah bajet tidak lulus, timbul persoalan bagaimana kerajaan hendak mentadbir negara untuk Januari hingga seterusnya. Adakah politik Malaysia semakin matang??? TEET~


1. Sah sah. Sudah terang lagi bersuluh. Tidak lain, tidak bukan. Kehilangan 2 enjin F-5E milik TUDM menjadi tanda tanya. Bagaimana sekuriti negara sebenarnya? Begitu senangkah menembusi kubu dan kem pertahanan negara? Aneh. Bukan satu, tetapi DUA! Aduhai.. pening-pening. Hari tu pun kecoh bom C4 pun boleh hilang..

Gambar hiasan!

Berita Hiburan

Jangan kusutkan fikiran dengan masalah politik. Mari kita santaikan minda. Haha. Ini bukan berita gossip, cuma hangat-hangat air suam saja.

5. Tak tahulah berita ini wajar kategori mana. Hiburan atau Politik? Inilah akibatnya apabila orangseni dan politik bersatu dalam satu perkahwinan. Al-kisahnya kahwin sembunyi-sembunyi, atau sorok-sorok. Ada 2 kes. Kes pertama, juara AF 4, Faizal yang dikatakan kahwin senyap-senyap, sampai orang tua sendiri pun tak tahu. Nama Faizal melonjak semula gara-gara isu ini, tambahan pula filem keduanya, Pulau Asmara mula ditayangkan di pawagam. Pulau Asmara? Maaf, tiada ulasan.

Kedua, setelah gossip dan desas-desus melanda, akhirnya pelakon Zizie Ezette mengaku berkahwin dengan Ahli Parlimen Kinabatangan (BN), Datuk Bung Mokhtar. Ada kaitankah dengan isu 14 Disember?? TEET~ Sebenarnya ini bukan berita yang mengejutkan bagi aku sebab di Fesbuk, pelakon Fazura telah mengucapkan tahniah kepada Zize awal-awal lagi. Soalan cepu emas, menurut Zizie, katanya "kena jaga hati banyak pihak". Klise?? TEET~

4. Anugerah! Ada 2 anugerah blan ini sebenarnya. Serentak pulak tu. 4 Disember 2009! Jadi aku pun malas nak ulas lebih-lebih. Satu, Anugerah Skrin (untuk penggiat TV, drama & filem) yang menyaksikan filem Wayang dan drama arahan Erma Fatima, Tersasar di jalan-Mu menang besar. Kedua, Anugerah MACP (untuk komposer, dan orang belakang tabir muzik), untuk pengkarya muzik. Mungkin nampak macam tiada yang menarik perhatian kecuali kemenagna Hafiz Hamidun selaku Komposer Muda Berpotensi. Tahniah buat kesemua pemenang? Soalan pasca-anugerah, adakah industri makin berkembang??

Berikut merupakan keputusan penuhnya:

Anugerah Skrin 2009:

KATEGORI DRAMA

* Drama Terbaik: Tersasar di Jalanmu
* Pelakon Lelaki Terbaik Drama: Que Haidar ( Terlerai Takbir Kasih )
* Pelakon Wanita Terbaik Drama: Rosnah Mat Aris (Tersasar di Jalanmu)
* Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama: Ahmad Tamimi Siregar (Tak Serupa Tapi Sama)
* Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama: Norish Ismail (Tersasar Di Jalanmu)
* Pengarah Terbaik Drama: Erma Fatima (Tersasar di Jalanmu)
* Lakon TV Terbaik: Erma Fatima (Tersasar Di Jalanmu)
* Drama Rantaian Terbaik: Kekasihku Seru
* Drama Komedi Terbaik: Datin Wan Abe
* Videografi Terbaik: Tersasar Di Jalanmu

KATEGORI FILEM
* Filem Terbaik : Wayang
* Pelakon Lelaki Terbaik Filem : Eman Manan (Wayang)
* Pelakon Wanita Terbaik Filem : Liyana Jasmay (KAMI The Movie)
* Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem : Zulhuzaimy (Wayang)
* Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem : Ida Nerina (Wayang)
* Pengarah Terbaik Filem : Dr. Hatta Azad Khan (Wayang)
* Lakon Layar Terbaik : Fariza Azlina Isahak (KAMI The Movie)

KATEGORI PENERBITAN DALAMAN
* Rancangan Dokumentari / Majalah Terbaik : Majalah 3 “Gaza”
* Rancangan Bual Bicara Terbaik : AC Di Sini
* Rancangan Hiburan Terbaik : Kemuncak Sehati Berdansa 2
* Rancangan Muzikal Terbaik: Anugerah Juara Lagu 23
* Rancangan Realiti Terbaik : Gadis Melayu Akhir * Rancangan Laporan Khas / Berita Terbaik : Buletin Utama “Air Najis” ANUGERAH KHAS JURI

* Anugerah Yasmin Ahmad: Jaclyn Victor

Anugerah MACP (Perlindungan Hak Cipta Penerbit Muzik)

Anugerah Nadi Cipta - Omar Taib Muzik Malaysia CISAC-MACP - Datuk Freddie Fernandez dan Beh Suat Pheng
Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak - M Nasir
Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak - Rosli Khamis
Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak - EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd
Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak - Luncai Emas Sdn Bhd
Komposer Muda Berpotensi - Hafiz Hamidun

Lagu:
Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi - Tong Hua. Ciptaan: Michael Wong Kong Leong

Lagu Luar Negara: Kategori Persembahan Terbanyak - Kekasih Gelapku. Ciptaan: Enda Ungu.

Lagu Melayu:
Kategori Persembahan Terbanyak - Aku Cinta Padamu. Ciptaan Rozman Shafie dan Norkhayati Mohd Hashim

Lagu Cina:
Kategori Persembahan Terbanyak - Kao An. Ciptaan: Lee Chee Cheng dan Teo Li Lian.

Lagu Inggeris:
Kategori Persembahan Terbanyak - Hey General. Ciptaan: Sasidharan Naidu A/L Chandran

3. Nombor TIGA... bagilah dekat rancangan Sehati Berdansa musim keTIGA!


Pemenangnya telah diumukan pada malam kemuncak. Tahniah kepada Sein-Nana yang mengejutkan pilihan ramai, Sazzy-Nash. Timbul pula isu kononnya Sein-Nana mengundi diri sendiri. Mentang-mentang anak somebody. 100% SMS pula tu. Tapi, kalau betullah undi sendiri, Nana pernah masuk Mentor musim pertama dulu. Tak menang pun! Emm.. faktor Sein kot... Mungkin?? Satu lagi yang mencuri perhatian sudah tentu koreografernya, Mohd Hafiz Untok atau Bayu!


Tetapi, kejayaan Sein-Nana ditenggelami oleh isu 'kantoi' pengacara SB 3, Scha dan Awal. Itu lebih hebat diperkatakan. Malam kemuncak tu orang tak teruja nak tahu siapa menang dah, sebaliknya tak sabar tunggu PC Awal-Scha. Patutlah Scha tak bersemangat mengacara malam itu, gangguan emosi kot. Nasib baik Fahrin berjaya mengendalikan dengan professional. Masin juga mulut Fahrin bila berbicara isu hubungannya yang terputus di tengah jalan. "Kamu carilah sendiri, saya tidak mahu cakap siapa dia. Tapi kalau nak tahu, ikuti perkembangan dia (Scha) dan carilah dia dengan siapa sekarang" lebih kurang begitulah katanya. Tup.. tup.. ~

2. NATRAH & Erma Fatima + TV Al-Hijrah

Natrah, teater arahan Erma Fatima yang dipentaskan di Istana Budaya, berdasarkan kisah benar yang menggemparkan negara suatu ketika dulu mendapat sambutan. Inilah kali pertama teater BUKAN MUZIKAL yang mendapat sambutan sehingga masa pementasannya dipanjangkan lagi bagi memberi peluang kepada orang ramai menyaksikannya. Sayang sekali, aku tak berpeluang pun. Langsung tak sempat, ditambah dengan krisis duit yang mengalir bagai air, den memang tak mampu tengok teater berskala besar itu.


Ada ulasan pro dan kontra untuk teater Natrah ini, samada untuk pelakon-pelakonnya seperti Maya Karin, Remy Ishak, Umie Aida, Sofe Jane dll termasuk pengarahnya sendiri Erma Fatima. Erma Fatima yang masih segar dengankemenangan tersasar di Jalan-Mu, Anugerah Skrin 2009 turut dihentam oleh penggiat teater tegar, dan aktivis-aktivis tetaer. Isu sensitif melibatkan agama menjadi bualan hangat di ruang forum dan sebagainya. Hal ini sebenarnya membantu dari segi publisiti mahupun perkembangan teater yang bukan bercorak muzikal. Apa-apapun teater ini berjaya membuka mata sesiapa saja.

Selain itu, Erma Fatima juga terlibat secara tidak langsung dengan saluran TV baru PERCUMA yang bercorak keagamaan. Kiranya Astro Oasis ada sangan lah kali ini. Saluran TV ini diberi nama Al-Hijrah.

Sepatutnya, majlis pelancaran TV Al-Hijrah diadakan sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1431H/2009M yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tetapi terpaksa ditangguh.

Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) TV9, Bukhari Che Muda akan menerajui stesen TV baru ini. Sebelum ini, setelah dipindahkan dari TV9 ke Primeworks Studios Sdn Bhd (PWS), beliau diberi tanggungjawab untuk meneraju unit yang mengendalikan kandungan program Islam dan Melayu. Namun itu bukan sesuatu yang mengembirakannya. Kini beliau kembali ke bidang yang lebih diminatinya dalam bidang penyiaran.

Bertitik tolak daripada penjenamaan yang tersasar di TV9 kekecewaannya mula berputik. Anda rasakan sendiri perbezaannya, TV9 konon nak makin urban. Ambil SATU contoh sahaja, Gadis Melayu Musim Pertama & Kedua, apa yag tak kena??? TEET~ Dan dengan tawaran yang sememangnya dicari-cari sejak detik itu, ia bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Segalanya adalah ketentuan daripada Allah s.w.t.

Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dilantik Pengerusi Alhijrah Media Corporation, peneraju operasi TV Islam pertama negara, TV Alhijrah yang dijangka memulakan siarannya awal tahun depan.

1. Siapa lagi paling hangat bulan ini kalau bukan Adam Nur Kasih aka Remy Ishak. Nur Kasih telahpun habis siarannya pada dengan penonton kira-kira 4 juta orang. Tahniah buat krew penerbitan Nur kasih. Lagu ciptaan Yasin itu amat menarik, ditambah dngan lakonan berkesan kesemua pelakonnya. Boleh kata Nur kasih lebih hebat daripada Ayat-ayat Cinta.

Watak Aidil, dibawakan oleh Fizz Fairuz dengan berkesan sekali. Kalah watak Fahri Ayat-ayat Cinta. Nama Tiz Zaqyah mula terlakar dan terpahat penangan watak Nur Amina. Sehingga habis koleksi dan kisah terdahulu Tiz Zaqyah yang dulu orang tak kisah dan peduli pun menjadi topik bualan. Mereka mengharapkan Tiz seperti NurAmina. Haha. Itu maknanya lakonan Tiz berkesan.

Lokasinya?? Kawasan Sungai Burung, Sekinchan, Selangor. Wah, itu kawasan majlis pertunangan aku 12 Disember lalu. Memang cantik kawasan sawah padi di situ. Eh, tiba-tiba buat iklan pulak =P

Berbalik kepada nombor satu, mengapa Remy paling hangat bulan ini?? Pertama sudah tentu penglibatannya dalam teater Natrah. Yang lebih hangat apabila isu Remy dibelasah ketika di Istana Budaya. Dan ada kaitannya pula dengan Sarah Nur Kasih iaitu Ummi Nazeera. Mungkin dek fenomena Nur Kasih yang melanda, ada sesetengah membuat andaian ataupun terus jump to conclusion, Ummi is Sarah. Mentang-mentang watak Sarah itu hitam, lalu mereka menyangka Ummi seperti itu juga. Habis tu, isu Ummi dibelasah sampai lebam, apa kes?? Ada saksi lagi iaitu bibiknya. Aku tak sebelah mana-mana, kita tunggu dan lihat~ siapa benar siapa salah, siapa menang siapa kalah!

Kategori rencam (campur-baur)

5. Via Ferrata iaitu jalan besi yang digantung dekat puncak Gunung Kinabalu diumumkan sebagai yang tertinggi di dunia. Tercatat dalam Guinness World Records (GWR).

Laluan tersebut yang dibina oleh Mountain Torq Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Itali direkod mempunyai ketinggian 3,776 meter dari aras laut.

Ketinggiannya mengatasi Via Ferrata di Permatang Marmolada Barat, Itali yang merupakan tertinggi sebelum ini iaitu 3,343 meter dari aras laut.Via Ferrata itu akan menjadi satu lagi tarikan ke gunung tersebut selain keunikan alam semula jadinya yang memang menjadi pilihan utama pengunjung.

4. Tiba-tiba nama Nur Amalina Che Bakri menjadi sebutan! Hangat kerana bekas pelajar TERBAIK SPM 2004 yang masih lagi memegang rekod A1 bagi kesemua 17 subjek dikatakan telah GAGAL ketika berada di universiti. Ada ura-ura mengatakan Amalina telah kembali ke kampung halamannya di Johor secara senyap-senyap.


Angin desas-desus ini semakin bertiup kencang dengan bertujuan memburukkan nama baik Amalina. Siap kata Amalina dah free hair sekarang. Konfiden~

Amalina, gadis Melayu, yang beragama Islam, yang hanya bersekolah kebangsaan berjaya mencuri perhatian seluruh rakyat Malaysia. Mesti ada pihak yang mahu mempertikaikan kemampuan sebenar Amalina. Akhirnya, ibu Amalina sendiri yang tampil bagi menjelaskan keadaan. Harap-harap semuanya telah jelas dan keadaan kembali normal seperti biasa ya!

3. KEMALANGAN di jalan raya. Sedih betul. Ada pengantin yang baru 3 jam saja akad nikah. Lepas tu ada kemalangan yang melibatkan sebuah bas. Kerana pemandu bas mengantuk, bas tersebut kemalangan. 10 orang meninggal. Bolehkah alasan mengantuk diterima??

Ah, tak mahu letak gambar!

Ingatkan kemalangan di jalanraya sahaja. Rupanya kemalangan nyawa turut berlaku di dalam pasar raya. Istilah hati-hati di jalan raya perlu ditambah lagi. Hati-hati juga di pasar raya. Itulah, maut tak kenal tempat. Malang tak berbau. Dulupun ada kes orang mati kena tembak di Giant, Batu Caves. Letaklah juga gambar. Ngeri..



2. Mulai 1 Januari 2010, harga minimum sekotak rkok ialah RM 6.40 untuk 20 batang! Seterusnya ada usul supaya cukai rokok yang dikutip akan diagih-agihkan kepada persatuan-persatuan sukan untuk pembangunan sukan.

1. Mas Kahwin di Selangor/KL akan dinaikkan menjadi RM 300 daripada RM 80. Bagi aku yang akan menikahi orang Selangor, ini bukan isunya. Isu yang lebih besar ialah hantaran. Kan??

Berita Sukan

5. Piala Dunia 2010. Negara yang telah layak ke peringkat akhir telahpun dipecahkan kepada 8 kumpulan. Nak tahu negara pilihan anda dalam kumpulan mana?? Klik sini.

Pembahagian kali ini disifatkan paling seimbang kecuali Kumpulan G, yang terdiri daripada Brazil, Ivory Coast, Korea Utara dan Portugal yang dianggap KUMPULAN MAUT!

p/s: Bilalah agaknya Malaysia akan layak??

4. Pemandu Lotus F1 Malaysia. Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen, masing-masing dari Itali dan Finland dipilih sebagai pemandu pasukan F1 Malaysia, Lotus F1 Racing.


Ia diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek. Pasukan Lotus F1 Racing disahkan oleh FIA menjadi salah sebuah pasukan yang menyertai perlumbaan F1 musim 2010 pada September lalu.


Pertengahan bulan lalu, Lotus F1 Racing mencatat satu lagi kejayaan memberangsangkan dalam persediaan pasukan itu menjelang penampilan pertama pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu Dunia (F1) 2010 selepas lulus ujian impak kemalangan dalaman.

Pasukan ini dijangka membuat penampilan pertama pada perlumbaan pembukaan F1 Dunia 2010 di Bahrain pada Mac.

Lotus F1 Racing telah mengumumkan tiga pelantikan pegawai kanan pasukan. Ketua Eksekutif Motorsports Association of Malaysia (MAM), Mia Sharizman Ismail dilantik sebagai Ketua Operasi (Asia) Lotus F1 Racing, bekas pemandu F1 Malaysia Alex Yoong sebagai Ketua Pembangunan Pemandu (Asia) serta Pengetua Pasukan Litespeed Formula 3 yang berpejabat di United Kingdom, Nino Judge sebagai Ketua Pembangunan Pemandu (Eropah).

Lotus F1 Racing dikendalikan oleh 1Malaysia Racing Team Sdn Bhd. Pasukan itu diletakkan pada tangga ke-18 dan 19 dalam senarai penuh pengeluar dan pemandu yang diumumkan oleh Federation of International Automobile (FIA) pada Nov 30. Anak Malaysia, Fairuz Fauzy dipilih sebagai pemandu ketiga!

3. Kemenangan. Ada 3 kemenangan.

Pertama, kemenangan kelab Barcelona menjuarai Piala Dunia Kelab yang merupakan piala KEENAM buat mereka pada tahun ini. selepas menundukkan kelab Argentina, Estudiantes 2-1 pada masa tambahan.Piala Dunia Kelab menghimpunkan kelab terbaik dari setiap benua.
Barcelona pernah mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Kelab pada edisi 2006 tetapi tewas kepada 0-1 kepada kelab Brazil, Internacional.

Kedua, Ryan Giggs telah mendapat Anugerah Personaliti Sukan BBC 2009 mengalahkan Jenson Button dan Jessica Ennis.

Ketiga, Lionel Messi, pemain Argentina ini telah dinobatkan selaku Pemain Terbaik Dunia 2009 mengalahkan saingan terdekatnya, Christiano Ronaldo. Messi yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan rata-rata pemain Malaysia seharusnya menjadi inspirasi kepada sesiapa saja samada melalui ketangkasan dan kemahiran atas padang.

2. Tiger Woods dan skandal. Ini adalah segmen kantoi! Temberangnya pecah. Apa boleh buat.. nasib badan. Nasib lelaki kaya yang sentiasa dihimpit wanita kerana kekayaannya. Mungkin juga lelaki kaya memancing berumpankan wang ringgit. Bukan??

1. Sukan SEA. Inilah yang paling hangat diperkatakan. Ibu pingat emas, iaitu emas sukan bola sepak kembali menjadi milik negara setelah kemarau 20 tahun. Tahniah buat skuad bawah 23 negara yang kini dinaiktaraf menjadi skuad utama. Tahniah juga buat Rajagopal. Banyak halangan ditempuh mereka. Ke Laos dengan tiket kategori B, di mana perbelanjaan mereka ditampung persatuan. Mereka terlepas kapal terbang, sewaktu PERGI dan BALIK! Tersangkut, tersadai di lapangan terbang. Kalah dengan Vietnam peringkat kumpulan, namun kemenangan ke atas Thailand itulah pembuka jalan sebenar. Tahniah.


Daniel Bego juga mencuri perhatian. 5 pingat emas. Michael Phelps Malaysia! Dinobatkan Atlit lelaki Terbaik Sukan Sea Laos. Ya lah, dengan pecah rekod temasya.

Skuad badminton wanita juga menyumbangkan 2 emas melalui acara beregu wanita dan pasukan wanita. Penantian 34 tahun berakhir sudah. Wanita?? Pasukan lelaki??

Bagaimana sukan lain?? Menembak tersasar?? Takraw sudah tak 'raw'?? Mentah??

Mahukan lagi carta EKSTRA?? Nantikan... sebelum disambar!

No comments:

Post a Comment