Apa beza seseorang yang sedang berkaraoke dan menyanyi?? Ada bezanya.. Masakan tidak. Orang yang menyanyi selalunya hafal lirik dan menyanyi dengan penuh penghayatan dan emosi di depan khalayak. Usah cakap soal pitching ke laut, orang yang suka berkaraoke kebanyakannya lebih banyak menjerit atau melalak…lebih-lebih lagi kalau nyanyi lagu rock kapak. Itupun dalam karaoke ‘jamban’! Orang yang berkaraoke selalunya tak hafal lirik lagu. Kadang-kadang hanya sekadar ‘membaca’ lirik lagu dan adakalanya terbabas dan buat lirik sendiri. Perhatian! Ini bukannya rancangan Jangan Lupa Lirik ya! Ini realiti kehidupan.
Remaja masa kini sememangnya tak dapat dipisahkan dengan elemen berhibur. Nak hiburan saja kerjanya. Adakah budaya hedonisme semakin subur di hati dan sanubari anak muda termasuk diri AKU?? Tengok wayang, main boling, snooker, melayari internet (Facebook, blog dan website/forum dll) termasuklah berkaraoke. Malah ada yang lebih teruk lagi gemar berhibur di kelab hingga larut malam sampai ada yang mabuk tak ingat dunia. Kan?? Berhibur tak salah… tetapi jika unsur hiburan yang terlalu banyak itu sekadar melambakkan individu yang semakin berkecamuk dan bermasalah maka makin bersepahlah manusia yang kurang kualiti dan teguh jati dirinya..
Cukup! Ini bukan tazkirah.. bukan juga ceramah. Tetapi inilah yang tersirat di sebalik filem yang aku baru saja tonton. Karaoke. Filem ini boleh dikategorikan sebagai filem indielah kiranya. Filem arahan Chris Chong Chan Fui lakonan Zahiril Adzim, Mislina Mustaffa, Nadiyatul Nisaa dan lain-lain. Apabila kita tengok tajuknya, KARAOKE, sudah pasti kita membayangkan pelakonnya hanya “berkarok” semata-mata. Salah! Ianya lebih daripada itu. Di luar jangkauan fikiran anda. Bukan sekadar membaca lirik.
Filem ini berbajet kecil, tetapi berjiwa besar. Masakan tidak. Filem ini telahpun menjengah Festival Filem Cannes, di Perancis dan mendapat Anugerah Mavericks, di Calgary, Kanada. Senang cerita, tak klise dan aku suka kerja kamera Chris dan juga lagu-lagu yang menarik ciptaan Shanon Shah yang pernah menang Vokal Lelaki Terbaik AIM dulu. Filem ini telahpun menemui khalayak bermula 26 November, hanya di GSC Mid Valley SAHAJA dan tempoh tayangannya CUMA SEMINGGU sahaja.
Aku sememangnya nak tengok filem ini maka aku berjaya mendapatkan tiket pada hari pertama tayangan. Masalahnya, tayangan jam 9 malam telahpun sold out. Beb, takkanlah aku nak tengok filem malam raya? Haha. Maka pilihan yang ada hanyalah tayangan jam 6.30 petang. Merujuk kepada durasi filem yang tertera, Karaoke mengambil masa 97 minit. Aku congak-congak.. kira-kira jam 8.07 malam tamat tayangannya! MAGHRIB?? Teet!
Aku terpaksa keluar daripada panggung jam 7.45 malam. Sekembalinya aku kira-kira 10 minit kemudian… filem ini telahpun menyiarkan ‘kredit’ yakni dah habislah ceritanya. Persoalannya, berapa ramai lagi makhluk Allah yang terlepas waktu Maghribnya gara-gara menonton wayang yang bermula jam 6.30 petang. Sudah terang lagi bersuluh! Hari Jumaat jam 12.30 tengahari menonton wayang bersama pasangan.. sah-sah tak pergi solat Jumaat si Lelaki itu. Alasan bujang lapok yang sentiasa diberikan, baru 2 kali tak solat Jumaat. Wah..bijak sungguh. Hebat sungguh melawan hukum Tuhan.
Karaoke, bahasa Jepun, Kara- maknanya kosong /empty. Dan okesutora- yang bermaksud orkestra. Jadi, maknanya empty orchestra atau lebih tepat dan kena maknanya ialah empty track. Berbaloikah aku berhabis RM 11? Jawapan aku.. YA! Baiklah.. cukup sebagai muqaddimah!
Kita teruskan mengupas isi yang lebih rangup dan penting. Karaoke ada falsafahnya yang tersendiri. Dibuka dengan warna gelap. Kedengaran orang berbisik-bisik. Cakap malam-malam pandang-pandang. Cakap siang-siang dengar-dengar. Tiba-tiba telinga dimeriahkan dengan hiruk-pikuk dan atmosfera di dalam sebuah pusat karaoke mula dialami.
Perasaan itu umpama kita berada bersama mereka. Kala berborak-borak, telinga ini kedengaran suara-suara yang ‘menyumbangkan’ lagu. Tiba-tiba suasana berubah 100%. Rasa kosong di telinga. Operasi pusat karaoke telah terhenti. Kak Ani dan adik iparnya, Bak, mula membersihkan dan membuat apa yang patut sejurus tamatnya operasi pusat karaoke.
Penonton pastinya mula tertanya-tanya apakah hubungan antara Betik dan Kak Ani. Kakak-Adik? Makcik-Anak saudara? Ibu-Anak? Mak ikan-Anak ikan? Segalanya akan terjawab sedikit demi sedikit. Bak ataupun Pak Usu kepada Betik telah mendapat kerja. Kerjanya ‘membuat’ video klip untuk lagu-lagu karaoke. Aku tergelak-gelak sendirian di dalam panggung ketika menyaksikan proses menghasilkan video klip yang bukan menampilkan penyanyi utama, tetapi pelakon entah dari mana-mana datangnya.
Aku juga terkekeh-kekeh menyaksikan seorang wanita India(mungkin Sikh) berkaraoke lagu NASYID. Sangat sarkastik dengan kondisi politik negara. Maka terjawablah.. pusat karaoke itu diusahakan di kawasan kelapa sawit. Inilah kisah yang berlaku di celah-celah kehidupan ladang kelapa sawit. Majoritinya masyarakat India. Maka, orang Melayu yang hidup bersama-sama turut terkesan dan terbiasa dengan rutin harian mereka sehingga mampu berbahsa Tamil hatta minum todi sekalipun.
Watak Anisah lakonan Nadiyatul Nisaa' bukan watak tempelan atau tangkap muat. Ada jiwa. Rasa mahu bebas dan menghirup udara KOTA begitu membuak-buak. Biarpun memiliki seorang abang yang sangat protektif, itu tak menghalang Anisah menjalin hubungan dengan orang yang begitu kontra dengan dirinya. Anisah tak belajar tinggi.. macam Betik, lulusan UiTM katanya.
Betik dilakonkan Zahiril Adzim dengan begitu meyakinkan sekali. Beliau berjaya keluar daripada watak Boy (KAMI - filem pertamanya) yang masih melekat dan begitu kuat penagannya. Tiada lagi riak wajah nakal dan menjengkelkan itu. Betik yang innocent, lurus dan dihantui rasa bersalah (kerana tidak pulang ke kampung memberi penghormatan terakhir kepada arwah ayahnya) dibawa dengan begitu semulajadi.
Betik yang tinggal bersama ibunya, Kak Ani lakonan Mislina Mustaffa yang usah diragui kredibilitinya. Mislina yang beraksi cemerlang dalam beberapa filem seperti Anak Halal, Mukhsin dan Talentime menampilkan sisi lakonan selaku seorang ibu yang kecewa dengan anaknya. Satu-satunya orang yang diharapkan ialah adik iparnya, Baktiar lakonan Hariry.
Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Itulah yang dialami dan dirasai Betik. Tatkala Betik pusing keliling kampung dan ladang kelapa sawit itu, Betik sedar akan perubahan yang berlaku. Bukan anti-pembangunan, tetapi setiap apa yang berubah walaupun seinci tetap ada kesan dan akibatnya. Akibatnya, Betik sesat di kampung sendiri tak ketemu jalan pulang.
Berlagak umpama pencuri di dalam rumah sendiri. Perubahan yang sedikit itu memberi kesan yang mendalam. Mungkin padang bola yang suatu ketika dulu meriah dengan jeritan anak muda, kini meriah dengan kambing biri-biri meragut rumput. Cuba bayangkan perubahan yang akan berlaku di situ begitu drastik? Umpama Prang Besar yang berubah menjadi Putrajaya?? Mungkin gila meroyan dibuatnya.. Haha.
Rindu aku terhadap kelapa sawit terubat. Rindu?? Aku pasti aku dan x-coursemate aku di UPM akan merindui suasana begini. Kami di UPM suatu ketika dulu merupakan pelajar Kejuruteraan Biologi dan Pertanian. Aku menjalani latihan industri di Malaysian Palm Oil Board(MPOB) ataupun Lembaga Kelapa Sawit Malaysia. Selama 10 minggu, aku sempat masuk Estet di Bahau, Negeri Sembilan. Masuk ke ladang kelapa sawit. Dah kenal apa dia EFB, FFB, sudah cam warna merah-oren menandakan buah kelapa sawit itu telah masak. Praktis sendiri guna galah yang ada sabit di hujungnya mendapatkan FFB istilahnya.
Segala proses yang berlaku di kilang kelapa sawit ataupun palm oil mill termasuk segala bagai kelengkapan dan fasiliti yang perlu ada dalam sebuah kilang kelapa sawit seperti elevator, boiler dan lain-lain secara tidak langsung membuatkan filem Karaoke umpama filem dokumentari berkisar kelapa sawit. Biarpun aku memilih untuk tidak menjadi mill engineer,rasa rindu itu tetap datang bertamu. Lepas segala rindu bila menonton Karaoke. Kawan-kawanku..yang bekerja di Sime Darby, IOI dan mana-mana ladang atau kilang kelapa sawit..ini kisah kita~
Hidup ini umpama orang berkaraoke. Biarpun telah ada panduan untuk diikuti tetapi masih ada yang terpesong. Pervert! Lirik telah terpapar di skrin tetapi masih suka buat lirik sendiri. Hidup kita berpandukan hukum-hakam Tuhan tetapi masih ada mereka yang berani buat hukum sendiri. Karaoke bukan sekadar menyanyi berpandukan lirik semata-mata jika ini pentas pemulaan dan latihan asas menjadi seorang penyanyi/penghibur yang baik.
Biarpun 10 minit terakhir tidak dapat aku tonton… sedikit rasa kesal atau bersalah tak bersarang di hati. Tak rasa rugi RM 11 itu hanya kerana membeli waktu solat Maghrib yang belum tentu lagi diterima Allah. Berdasarkan cakap mulut aku bersama pengarahnya, Chris, 10 minit terakhir itulah klimaks ceritanya..bila Betik merenung ke atas penuh persoalan. Mungkin juga aku terlepas babak Betik berkaraoke?? Tak mengapa, aku masih ada masa menonton lagi…
No comments:
Post a Comment