Hebahan

Wednesday, September 9, 2009

Bezakah bangsa, warna kulit dan rupa?

Lewat kebelakangan ini, pasca 52 tahun Merdeka, nampak gayanya masih ada pihak yang masih belum merdeka mindanya. Berfikiran jumud, terbelenggu oleh permasalahan lalu. Sikap tasammuh atau toleransi sesama kita masih jauh untuk diamalkan. Jauh panggang dari api.

Ini bukan soal kaum mana yang bersikap rasis, tetapi lebih kepada kesedaran individu. Ini soal hidup bermasyarakat. Bagaimana kita mahu hidup dengan persekitaran yang aman, selesa dan tidak mengundang persengketaan. Malaysia telah 52 tahun Merdeka, namun masih berlaku peristiwa seperti berikut.

Di Selangor, orang Melayu membantah pembinaan kuil Hindu siap dengan kepala lembu. Di Melaka, surau/masjid umat Islam dicemari dengan kepala babi dan beberapa kerat bahagian dan organ binatang itu. Pembantu rumah warga Indonesia yang Muslim diberi arahan supaya memandikan anjing dan memasak daging babi dan sebagainya.

Senarai friendlist aku dalam Facebook, memang terdiri daripada pelbagai bangsa. Aku berkawan dengan semua orang tak kira bangsa. Ada orang Cina, India, Borneo hatta bangsa asing sekalipun. Aku mendengar cerita seorang rakan yang beragama Sikh, ketika sedang bercuti di Jenderam. Gara-gara kulitnya gelap, dia disangka sebagai orang India yang beragama Hindu.

Di sana dia telah dihampiri sekumpulan Mat Rempit yang majoritinya Melayu dan diserang! Katanya, mereka tak puas hati dengan orang India mungkin gara-gara isu kuil di Selangor. Mungkin ini hanya kisah terpencil yang tidak disebar dan dibesarkan.

Cerita yang lebih kurang sama juga berlaku. Kali ini, dengar cerita orang Melayu pula diserang di Batu Caves. Peristiwa Kampung Medan, Jalan Klang-Lama, sejarah isu pergeseran kaum peristiwa berdarah 13 Mei 1969 seakan-akan mahu diulang kembali. Apa ni?? Kita mahu hidup dengan aman dan merdeka.

Ini cerita yang sedikit berbeza. Aku ada seorang kawan,Rizwan (bukan nama sebenar) gara-gara kulitnya gelap seperti orang India, dia sering menjadi bahan usikan dan ejekan. Dan aku tak terkecuali tergolong di kalangan mereka yang suka mengusik. Panggilan seperti Macha, Aneh, Maulana sinonim dengan dirinya.

Apa yang sahabat aku ini mampu buat? Mulut tempayan boleh ditutup, tapi mulut manusia?? Jadi, hanya senyuman yang mampu dilemparkan. Manis senyumannya menampakkan lesung pipit. Adakah senyum itu hanya lakonan? Senyum tawar saja. Hati menangis siapa yang tahu kan? Aku memang kagum akan tahap kesabaran yang menebal dalam dirinya. Dia kata, dah biasa, dari kecik lagi selalu kena ejek. Alah bisa tegal biasa.

Ada seorang kawan Juliana (bukan nama sebenar). Juliana Watson apa entah. Hasil perkahwinan campur. Ibunya Melayu, ayahnya Mat Salih. Muka dia memang pan-asian lah juga. Sebijik Minah Salih. Tapi cakap Melayu berhabuk tak ingat. Makan petai. Suka nasi lemak.

Aku ada ramai kawan dari Borneo, Sabah dan Sarawak. Janice dan Burn (juga bukan nama sebenar) berbangsa Iban. Bila tiba bulan puasa saja, kadang-kadang mereka terpaksa puasa sebab ramai orang ingat mereka orang Melayu. Puas diterangkan kepada semua orang mereka bukan Muslim.

Siap pernah ditahan dan disoal-siasat pihak berkuasa lagi. sampai si Janice sanggup pakai seluar pendek semata-mata nak buktikan dia non-Muslim walaupun hakikatnya dia tak suka pakai seksi-meksi ni. Alaa.. wanita Muslim pun bersepah pakai seluar pendek. Kan?

Seorang lagi kawan, Spenser(bukan nama sebenar) siap puasa lagi sebab semua orang dalam rumah sewanya yang beragama Islam puasa. Tak malu ke kalau ada Muslim yang tak puasa??

Ada sesetengah orang namanya agak pelik. Sukar disebut dan ada juga yang senang disebut. Nama tidak melambangkan agama anutan individu terbabit. Kartika Sari Dewi Shukarno, beragama Islam. Menteri yang tak berfolio, Datuk Seri Idris Jala, beragama Kristian.

Seorang pensyarah yang pernah mendidik aku, mengajar ilmu kejuruteraan, yang bernama Rimfiel Janius. Nama macam orang Jawa, tapi orang Kedah. Bukannya Sabah, Sarawak atau Indonesia, dan beliau Muslim!

Ada apa dengan nama? Nama yang baik menggambarkan orangnya baik kah? Nama Rahim contohnya. Maksudnya penyayang, tetapi orangnya "pongoh". Pongoh ni adik-beradik panas baran lah. Bukan panas barang ya! Bahasa Kelantan ;P

Ada apa dengan warna kulit?? Warna kulit menggambarkan bangsa seseorang kah?? Jadi, ada apa dengan bangsa? Kalau soalan ini diajukan kepada rakyat Malaysia, pentingkah untuk dijawab?? Apa bezanya kalau si Abu kata dia orang Melayu walaupun kulitnya gelap dan matanya sepet??

Apa bezanya kalau Ah Seng kata dia orang Cina walaupun kulitnya sedikit gelap dan matanya bundar? Dan apakah bezanya kalau Siva kata dia orang India walaupun kulitnya putih melepak. Ore klate kato.. putih sepol. Dan matanya pula sepet~

Ada apa dengan bangsa? Ada apa dengan rupa? Kalau ya pun Amin sedikit gempal, rendah, hitam dan masam adakah itu satu masalah kepada kekasihnya Mei Hua yang tinggi lampai persis model, tubuh langsing dan bergaya sofistikated?? Itu semua luaran. Pandangan fizikal semata-mata.

TETAPI, jika persoalan ini diutarakan.. Ada apa dengan agama? YA! Di situ ada jurang bezanya. Penganut agama masing-masing akan mempertahankan hak dan kesucian agama masing-masing. Dan itu juga bukan lesen untuk merendahkan agama orang lain.

Benar, dalam Islam ada mengatakan " Islam ya'aluu wa laa yu'laa a'alaih " Islam itu tinggi, dan tak ada yang lebih tinggi daripadanya. Dan tiada juga paksaan kepada orang bukan Islam memeluk agama Islam. Laa ikraaha fiddiin. Tiada paksaan di dalam beragama. Tetapi sejurus saja beliau menjadikan Islam sebagai pegangan hidupnya, di situ memang ada paksaan agar memenuhi kehendak dan tuntutan agama.

Umat Islam wajib mempertahankan kesucian agama Islam. Andai ada pihak yang mempertikaikan apa yang dituntut agama Islam, maka di situ perlunya penjelasan dan huraian terperinci secara berhikmah dan bijaksana. Jika soalan dilontarkan dengan keras, maka keras juga nada kita, agar tidak mudah diperkotak-katikkan.

Jika soalan ditanya secara lemah lembut, jujur dan mengharapkan penjelasan, maka layan penuhilah tuntutan tersebut sebaik mungkin. Jaga juga sensitiviti agama orang lain sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Al-An'aam ayat 108 yang bermaksud “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”

Demikian, beberapa cebis kisah dan warna berdarah yang sememangnya berlaku di negara kita yang kita cintai ini. Gambaran betapa masih ada jurang yang wujud antara kita. Jurang itu.. jarak itu.. sempadan itu.. dekat atau jauh bukan persoalannya. Kerana soalan yang perlu dijawab bagaimana mahu merapatkan dan memperkemaskan dan mengisi segala lubang dan lompang itu.

Bersatulah rakyat Malaysia. Seiring dengan kempen kerajaan 1Malaysia, Rukunegara yang menjadi amalan, seharusnya soal ketaksamaan dan ketidakpuasan hati ditolak ke tepi. Ketika negara jirang sibuk melaungkan ganyang Malaysia! Ganyang Malingsia! Jalur Gemilang dipijak dan dibakar, apakah perasaan kita sebagai warga Malaysia??

Rakyat Malaysia di Jakarta diancam buluh runcing menurut seorang kenalan yang belajar di negara seberang! Jadi, apa yang kita rasa??? Oren??

Bukan selaku orang Melayu.. orang Cina.. orang India... orang Iban... Orang Kadazan... hatta orang asli sekalipun! Negara kita yang mahu diganyang mereka gara-gara tarian Pendet. Orang berakal pendek nak cari gaduh sebab Tarian Pendet malah keaslian lagu Negaraku dipertikaikan sewenang-wenangnya. Percayalah, jika Indonesiaraya wujud sekalipun(seperti yang diimpikan pemerintah mereka), perpaduan tetap tak akan wujud!

Kalau Malaysia ni 100% orang Melayu, sudah pasti bukan semua bersatu-padu. Percayalah. Sikap kenegerian, berpuak-puak mengikut kasta kedudukan tetap akan wujud. Inilah sebenarnya cabaran hidup BERMASYARAKAT. Tak kira kita bermasyarakat dengan bangsa apa sekalipun. Bila BERMASYARAKAT kena ada sikap hormat-menghormati.

Di Tanah Besar China, yang majoritinya berbangsa Cina juga ada perpecahan mengikut etnik dan agama. Etnik Uighur di Xinjiang didisriminasikan hak mereka. Hatta jika kita melihat golongan Arab sekalipun tak pernah bersatu. Lihat saja apa yang berlaku di Palestin yang dikelilingi negara Arab, di mana suara pembelaan dan huluran tangan. Sejarah orang Arab, sebelum kedatangan Islam memang hidup berpuak-puak. Ada yang dijadikan hamba dan sebagainya. Wanita dianggap lemah dan menyusahkan serta rendah darjat dan martabatnya.

Nur islam hanya satu saja. Nur itu mufrad. Kalau istilah Inggeris Nur is single, not plural. Yakhrujna minaz zulumaati ilan nuur; maknannya mengeluarkan kami daripada kegelapan kepada cahaya. Zulumat itu jamak. Zulumat is plural. Kenapa kegelapan itu banyak tetapi cahaya kebenaran, NUR itu hanya SATU??

Setelah nur Islam hadir, darjat wanita diangkat, golongan Aus dan Khazraj bersatu sebagai Ansar. Golongan Ansar menerima kehadiran Muhajirin yang berhijrah dari Kota Makkah. Nabi Muhammad SAW mewujudkan negara Islam Madinah. Madinah tu bukan 100% muslim. Tetap ada golongan Yahudi dan Nasrani, malah jiran baginda sendiri ada yang berbangsa Yahudi. Namun, sebagai ketua negara, Baginda menunjukkan contoh teladan yang baik.

Hak mereka tetap dijaga dan dipelihara walaupun bukan Muslim. Namun, setelah mereka bersekongkol dan bersekutu dengan musuh Islam, kaum Musyrikin di Kota Makkah sehingga meletusnya Perang Khandaq. Lihat apa yang Baginda buat selaku ketua negara. Di sinilah terletaknya ketegasan baginda.

Kita memang dicipta pelbagai bentuk dan variasinya. Ada yang kurus, gemuk, tinggi, rendah, hitam dan putih. Kita juga dijadikan berpasang-pasang. Ada lelaki, ada wanita. Bayangkan dunia ini hanya ada orang lelaki saja?? Seseungguhnya Allah tidak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Ada hikmahnya.

Jadi, apa langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah perpecahan yang masih tak berpenghujung ini? Perpaduan... penyatuan.. Nak bersatu-padu atasa nama apa? Nama negara? Nama agama? Atau nama bangsa?? Aku nak kongsi 3 teori. Aku bukan profesor ataupun ada kelulusan doktor falsafah yang boleh dibanggakan, tetapi aku sekadar berkongsi sedikit ilmu, sedikit pandangan mengenai kehidupan.

Teori pertama, Teori Pokok! Pernah saksikan filem pendek The Tree, arahan Amir Muhammad? Tonton di sini. (cewah, sempat promot lagi). Filem itu tiada kena mengena dengan Teori Pokok ini. Teorinya bermula dengan satu cerita. Ada sebatang pokok yang sangat besar dan rendang di tengah-tengah hutan.

Ini pokok hiasan

Pokok ini lebih besar, lebih tinggi, lebih rendang, dan lebih lebat buahnya berbanding pokok-pokok lain. Nak dijadikan cerita, bahagian-bahagian pokok ini saling berbangga akan kehebatan masing-masing. Masing-masing mengiktiraf diri masing-masing hebat dan menjadi punca mengapa pokok ini kelihatan gah.

Akar-akar pokok mendakwa merekalah punca kekuatan kerana sanggup ke dasar bumi demi mencari air yang berkualiti. Batang pokok pula mendakwa dia paling gagah dan kuat kerana menampung dahan dan ranting yang besar, manakala daun-daun mendakwa mereka paling berbakti kerana sanggup menerjah ke atas demi medapatkan sinar mentari yang memberi tenaga kepada pokok.

Tiba-tiba datang seekor burung hinggap. Memakan buah-buah yang ada. Pokok kononnya bertanya kepada burung, antara kami siapa yang paling hebat?? Kata burung, "Kamu semua itu penting. Kerana kamu memerlukan satu sama lain. Sebab itu kamu dipanggil pokok!"

PAP! Sebiji batu dilontarkan dari bawah dan mengenai burung. Burung rebah ke bumi. Sebiji batu lagi dilontarkan. Terkena batang pokok. Sebiji batu lagi dilemparkan, terkena dahan. Manusia dibawah menghentak-hentak kakinya ke atas akar. Dicubanya sekali lagi, dilontarkan batu dan akhirnya manusia itu mendapat buah untuk dimakan!

Selang beberapa tahun kemudian, akhirnya pokok itu rebah. Ditebang kerana kawasan perumahan baru akan dibuka. Dapat tak pengajarannya??? Renung-renungkan~

Teori kedua, Teori Gajah namanya. Ada 4 orang buta. Seorang Melayu, seorang Cina, seorang India dan seorang lagi orang Asli. Sepanjang hidup mereka, mereka tak pernah melihat gajah. Ya lah, buta kan..nak tengok macam mana. Suatu hari mereka ke Zoo Negara. Binatang pertama mereka jumpa ialah gajah.


Melayu buta memegang belalai gajah. Katanya " Eh.. eh.. gajah ni macam ular rupanya." "Bukan maa... gajah ni macam batang pokok maa.." Kata Cina buta (awas, jangan salah faham! Bukan 'cina buta' yang itu) yang memegang kaki gajah. Menyempuk pula India buta yang memegang telinga gajah " Gajah ni macam daun lah. Daun pisang!" "Eh, bukan! Gajah ni macam dinding" kata orang Asli buta yang memegang badan gajah. Maka, kesemua orang buta itu bergaduh sesam sendiri mempertahankan hak dan pendapat masing-masing.

Siapa yang betul.. siapa yang salah, bukan persoalannya. Soalannya sekarang.. "Can't you see the BIG elephant?? Do I speak/type Russian??". Haa...ni ayat keramat pensyarah aku yang juga Dekan Fakulti Kejuruteraan yang mengajar subjek Analisis Struktur. Cuba bayangkan Melayu, Cina, India dan orang Asli yang buta itu bersatu?? Bukankah mereka dapat melengkapkan gambar gajah itu???

Dan teori terakhir bukan sebarang teori. Teori ni bukan aku yang reka. Inilah Teori Allah. Dah lebih 1400 tahun lalu ayat ini telah menceritakan duduk perkara sebenarnya. Bagi yang Muslim, apa salahnya ambil wudhu', ambil Al-Quran, dan cuba baca ayat ini. Hayati maknanya. Kalau guna Al-Quran resam Othmani buka muka surat 517, Surah Al-Hujurat ayat 13.

Bagi yang bukan Muslim, Al-Quran ini juga boleh dikongsi isi kandungannya. Ayat Allah ini untuk semua hamba-Nya. Allah Ya Rahman, Allah Maha Pemurah untuk kesemua hamba-Nya tak kira orang itu Muslim atau tidak. Allah Ya Rahim, Allah Yang Maha Mengasihani untuk hamba-Nya yang menyembah-Nya. Ayat ini untuk semua manusia kerana dimulakan dengan YAA AYYUHAN NAAS.. yang bermaksud wahai sekalian Manusia.

Firman Allah ini bermaksud, "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kami jadikan kamu terdiri daripada lelaki dan wanita. Dan kami jadikan kamu berpuak-puak dan berkabilah-kabilah SUPAYA SALING MENGENALI." Jelas, terang di dalam Al-Quran. Bersatu DALAM ISLAM.
Islam bukan hak eksklusif orang Arab. Bukan agama orang Melayu saja. Islam untuk semua.

SEMUA! Tak kira bangsa. Ada hikmahnya kita berlainan bangsa. Itulah yang Allah tekankan di dalam firman yang disebut di atas. LI TA'AARAFUU. Jika kita mahu mengistinbat hukum. Huruf Lam untuk perkataan LI itu merupakan LAM AMAR. Yakni satu perintah. Perintah untuk apa?? PERINTAH AGAR SALING KENAL-MENGENALI ANTARA SATU SAMA LAIN.

Bukan UNTUK BERMUSUH. Perbezaan memang akan wujud. Kepelbagaian memang tercipta. Supaya kita juga mengenali budaya, dan tatacara hidup orang lain. Mengenali keunikan bangsa lain.

Kadang-kadang perpecahan dan perseteruan juga perlu supaya kita kenal pasti apakah puncanya, seterusnya punca dan masalah tersebut berjaya diselesaikan dengan baik. Semua pihak berpuas hati, semua orang bersatu kembali tanpa rasa ragu-ragu. Biduk berlalu... kiambang bertaut!

Sambung Allah lagi. Inna akramakum 'indalaahi atqaakum! Sesungguhnya manusia yang paling mulia di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa. Tak ada pun ayat mengatakan ketuanan Melayu yang paling Mulia? Keturunan kerabat di-Raja yang paling mulia. Orang Inggeris yang paling mulia pun bukan. Tetapi yang paling bertaqwa!

Sesuai~ Kena pula dengan matlamat UTAMA Ramadhan, La'allakum tattaquun. Mudah-mudahan kamu bertaqwa. Bagaimanakah taqwa itu?? Gambaran orang bertaqwa ialah mereka yang melalui sebuah lorong/jalan yang GELAP dan PENUH DURI. Maka, dia akan melaluinya dengan penuh hati-hati dan waspada.

Maka, dari ayat Allah inilah blog ini mendapat sumber inspirasi. HITAM PUTIH kehidupan. Sesungguhnya manusia yang paling mulia di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengerti.

No comments:

Post a Comment