Hebahan

Tuesday, September 8, 2009

Buta mata, cerah hati.

Aku terkesima. Kagum dengan apa Allah anugerahkan kepadanya. I am so impressed. Aku pernah berpeluang menjadi sukarelawan kepada golongan istimewa. Golongan istimewa yang dimaksudkan ialah mereka yang kurang bernasib baik. Orang kurang upaya atau istilah ringkasnya OKU.

Aku pernah terlibat dengan Sukan Paralimpik, FESPIC KL'06. Aku lihat dengan mata kepala sendiri bagaimana orang kudung tangan dan kaki mampu berenang dengan lajunya. Aku juga pernah berkhidmat di Malaysian Associated Blind(MAB), sebuah organisasi untuk orang buta. Mata mereka saja yang buta, tapi hati mereka lebih celik daripada kita.

Baru-baru ni, ada ura-ura mengatakan supaya istilah OKU diubah kerana perkataan 'kurang upaya' seakan-akan merendahkan martabat mereka. Istilah yang dicadangkan ialah golongan 'lain upaya'. Bagi aku, sama saja. Apa jua istilah, samada terang-terang mengutuk atau membodek, hakikatnya itu cuma perkataan.

Yang penting, bagaimana kita mahu memberikan perkhidmatan yang sewajarnya kepada mereka. Istilah seperti anak istimewa, golongan warga emas hatta orang kurang upaya sekalipun, kita telah jelas kondisi dan keadaan mereka. Maka, buat apa nak melatah tak tentu hala, kalau slogan membela nasib golongan kurang bernasib baik hanyalah slogan semata-mata.

Orang putih kata, more talk, less actions. Jadi kita kena ubah 360 darjah sudut pandangnya. Biar banyak tindakan daripada hanya bercakap bertempik terlolong mahu memperjuangkan nasib mereka sedangkan hakikatnya hanyalah ucapan yang lebat tapi langsung tiada kesan.

Ketika bersekolah Maahad dulu, aku memegang jawatan utama Badan Kaunseling sekolah. Salah satu program tahunan ialah Program Pelajar Berpotensi Bersama Murabbi. Hal ini sama saja dengan situasi di atas. Cuma suasananya berbeza. Pelajar Berpotensi... merujuk kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah disiplin dan kekurangan motivasi.

Orang sindir... ni nak mengutuk ke apa? Berpotensilah sangat-sangat, sebab semua pesertanya di kalangan mereka yang "wanted" dan disenarai-hitamkan dengan pelbagai kes seperti ponteng, rokok, dan sebagainya. Kesemua peserta ini dicalonkan oleh guru kelas masing-masing.

Dalam konteks ini, perkataan BERPOTENSI itu sekurang-kurangnya kita mendoakan perkara baik buat mereka. Bayangkan ibu yang sangat marah terhadap anaknya berkata "Tak guna punya anak. Masuk jahanam lah engkau anak derhaka!" Wah, doa ibu yang sangat mustajab. Alangkah baiknya jika ibu itu berkata "Bertuah punya anak. Ya Allah kau ampunkanlah dosa anak aku ni. Kau bukalah mata hatinya yang buta itu". Kata-kata itu doa!

Kembali ke cerita asal, kisah pelajar berpotensi bersama murabbi. Maka, berkumpul dan bersidanglah pelajar-pelajar berpotensi ini. Segala macam masalah melanda. Bayangkan kita kumpulkan kepala segala kepala di tempat yang sama. Mana tak pening kepala urusetia. Bergaduh sesama sendiri. Melawan kata dan macam-macam lagi perkara yang menguji kesabaran.

Namun, setelah dikumpulkan, dihimpun segala kekuatan, dengan izin-Nya, pengisian program yang lebih bersifat diplomasi di samping diberi sentuhan rohani, Alhamdulillah. Batu yang keras, kalau setiap hari dititiskan air, akan ada lekuknya. Namun ada juga yang umpama daun keladi. Simbahlah satu tong air sekalipun... sia-sia saja.

Murabbi itu perkataan arab. Murabbi, mursyid, ustaz, teacher, guru. Sama saja peranannya. Ni kira program macam Mentor-Mentee lah. Kesemua pelajar berpotensi itu akan mempunyai ibu/bapa angkat yang akan memantau prestasi mereka dari semasa ke semasa. Akan ada usrah dan perjumpaan sebagainya. Kerana di situlah terjalinnya satu ikatan. Ada bond istilah Inggerisnya. Rabitah istilah arabnya.

Kerana masalah yang dihadapi mereka, bukanlah satu permintaan. Ada yang ponteng sekolah sebab masalah ibu bapa bercerai setelah kaji selidik dan tinjauan dibuat. Ada yang ketagih hisap rokok sebab tersalah pilih kawan. Orang Kelantan kata, jenis kuca-haya. Saing koksei-kokde'. Alangkah bertuahnya mereka, ada orang prihatin dan cakna akan kehidupan mereka.

Inilah kehidupan. Hidup tak selalunya indah. Langit tak selalu cerah. Masalah akan datang juga. Tetapi ada juga yang suka cari masalah. Bila berdepan dengan masalah, ada yang kandas, tewas, rebah tertiarap. Ada yang berjaya bangun dan bangkit kembali. Dan ada juga yang berjaya berdepan dengan tenang, tiada sekelumit gentar. Dan ada juga yang berdepan masalah dengan susah-payah dan akhirnya berjaya.

Pengalaman itulah yang mematangkan kita. Hidup ni, tak namanya hidup kalau tiada masalah. Kalau kita memandu jalan yang lurus selurus-lurusnya, boleh mengantuk dibuatnya. Kena ada juga lubang dan batu-batu untuk dielak. Baiklah, itu hanya entri. Entri kisah lalu.

Kembali kepada tajuk utama kali ini. Baru-baru ini, aku berpeluang bertemu sahabat-sahabat Maahad yang ada di kalangan mereka hampir 10 tahun tak jumpa. Tahun 2000 kali terakhir bersama. Setelah PMR, masing-masing bawa haluan dan kini, menuju ke hujung tahun 2009, akhirnya bertemu kembali. 9 tahun beb tak jumpa.

Kami nak buka puasa sama-sama. Di mana lagi kalau bukan Jalan TAR. Tengah-tengah bandar. Jadi sementara menunggu ketibaan mereka, aku singgah sekejap di Masjid India untuk bersolat Asar. Di situlah terjadinya peristiwa ini. Aku melihat keajaiban Allah berikan kepadanya.


Matanya buta, tetapi mulutnya fasih dan lancar mengaji Al-Quran. Bukan seorang al-hafiz, tetapi mengaji menggunakan braille. Ya! Tulisan braille yang dicipta khusus untuk orang buta juga ada versi Al-Qurannya. Bezanya kalau kita mengaji dari kanan ke kiri, tetapi braille itu masih dari kiri ke kanan. Sebutannya jelas dan lancar.

Betapa cerah mata hatinya. Mungkin ayat-ayat suci Al-uran itu telah sebati di jiwa, dan sentiasa bermain di mulutnya. Subhanallah~ Sedangkan orang buta mampu membaca Al-Quran dengan lancar, takkanlah kita yang celik mata ini masih merangkak-rangkak nak baca Al-Quran dan fobia dengan tulisan jawi. Tepuk dada.. sampai tersentuh hati nurani. Dengarlah bacaannya~








No comments:

Post a Comment