Hebahan

Friday, April 3, 2009

Terima kasih Pak Lah, Selamat bertugas Najib.


Hari ini, 3 April 2009 dengan rasminya proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar. Setelah mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong, Datuk Seri Mohd Najib sah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi PM Malaysia yang ke-5 kira-kira 5 tahun lebih.

Sepanjang tempoh itu, rakyat Malaysia boleh menilai sejauh mana kemampuan beliau mengemudi negara. Terima kasih daun keladi kerana menjadi pemimpin yang bersederhana dalam segala segi. Kesabaran beliau dan kekentalan hati ketika berdepan kritikan-kritikan dan tohmahan sangat dikagumi.

Sebagai rakyat Malaysia, benda yang paling tak boleh dilupakan ialah lawatan mengejut Pak Lah ke stesen Komuter Serdang. Sebagai bekas warga UPM... aku tahu sendirilah betapa seksanya berhimpit-himpit dan berasak-asak dengan warga asing. Dan sebagai warga Putrajaya yang sudah menetap kira-kira 6 tahun, sempat juga tangan ini berjabat dengan tangan beliau yang sangat lembut. (atau tangan aku yang terlalu kasar? haha)

Rekod kemenangan BN dalam pilihan raya. Antara rekod paling cemerlang pada tahun 2004 serta peristiwa tsunami yang menimpa BN tahun lalu juga berlaku ketika di bawah tampuk kepimpinan Pak Lah. Kerana sikap keterbukaan yang beliau milikilah menjadikan Malaysia memiliki pasukan pembangkang yang kuat dan berat. Hal ini sangat penting sebagai check and balance. Dan akhirnya beliau mewariskan tampuk kepimpinan negara kepada pelengkap teori R-A-H-M-A-N. Lengkap sudah teori ini. Selanjutnya...? Kita tunggu...

Kepada PM yang baru, selamat menjalankan tugas dengan bersih, amanah dan tanggungjawab. Begitu berat tugas ini sebenarnya memandangkan beliau menerima jawatan ini ketika masalah kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik negara sedang berlaku. Jika beliau seorang pemimpin yang bijak, semua ini akan dilalui dengan mudah dan sudah pasti rakyat Malaysia yang bertuah sekaligus persepsi negatif rakyat terhadap BN akan berubah.

Kita tengok...sejauh mana konsep "One Malaysia" mampu beliau bawa. Sabda nabi, "Kullukum raa'in wa kullukum mas'uulun 'an ra'iyyatih" Setiap kamu adalah pemimpin (penjaga), dan setiap kamu akan dipersoalkan mengenai apa yang kamu jaga (dipertanggungjawabkan)"

Langkah pertama telah beliau ambil...sejurus pelantikan beliau selaku PM. Permit akhbar Harakah dan Suara Keadilan yang ditarik baru-baru ini dikembalikan haknya serta-merta. Manakala 13 tahanan di bawah ISA juga dibebaskan serta-merta. Wow! Satu perang psikologi yang begitu hebat sekali. Tahniah. Kita tengok keputusan 3 pilhanraya kecil yang akan diadakan nanti. Bagaimana keputusannya... Menang 3-0, 2-1 atau kalah 1-2, 0-3 ?

No comments:

Post a Comment