Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Hati-hati di jalan raya... namun malang tidak berbau.
Itulah ironinya. Dua kata-kata keramat/nasihat yang seringkali kita dengar. Biarpun bunyinya amat klise tapi ia menggalas makna yang begitu mendalam. Sama seperti kata-kata nasihat lain yang seakan-akan stereotype seperti "Belajar rajin-rajin", "Rajin usaha tangga kejayaan", "Ilmu itu pelita hidup", "Membaca jambatan ilmu" dan macam-macam lagi teguran membina.
Berbalik kepada entri kali ini, aku mengambil masa selama 10 hari untuk mengumpul kembali segala kekuatan untuk menyusun kata-kata, melakar jalan cerita malapetaka yang menimpa baru-baru ini. Rasanya ramai kawan-kawan yang telah sedia maklum dan mengetahui bahawa aku telah terlibat dengan satu kemalangan.
Bagaimana mereka tahu? Hebat kan? Itulah penangan internet. Fesbuk.. Dan begitulah juga hebatnya Petrosains, tempat di mana aku bekerja. Tak payah buka mulut, semua sibuk bertanya pasal kemalangan itu. Rata-rata bersyukur sebab aku selamat. Alhamdulillah.
Jom kita mulakan cerita. Jumaat malam, tanggal 13 Januari 2012, jam 9.20 malam aku memandu La Diva(LD) dari Putrajaya ke KLCC. Bekerjakah di waktu malam? TAK! Semata-mata untuk bermain futsal. Mungkin lewat kebelakangan ini aku telah menjadi "kaki futsal". Nyata berbaloi kasut futsal yang mula dirasmikan sewaktu menjadi peserta GEMS 3 tahun lepas.
Sepak mula jam 10 malam dan sepatutnya game ini berlanjutan selama 2 jam. Namun, kerana "tak cukup korum", kami bermain selama satu jam sahaja. Maknanya jam 11 malam permainan tamat. Maka, tak dapat tidak, mahu tak mahu, penat tak penat, kami semua bersurai dari rooftop The Zon.
Maka, bermulalah destinasi aku pulang ke Putrajaya. Kebiasaannya, aku memilih Lebuhraya MEX, sebagai jalan pintas ke Putrajaya. Tapi, entah kenapa entah, terdetik nak lalu Sungai Besi. Nak jimat kononnya tak mahu lalu tol mahal.
Dan.. nak dijadikan cerita, Jalan Tun Razak amat sesak waktu itu kerana ada 'roadblock' di hadapan. Semestinya, lorong kanan paling laju biarpun terkedek-kedek di malam hari. La Diva juga tak terkecuali. Aku memilih lorong kanan, menunggu giliran untuk "lepas".
Alih-alih.. tak hujan tak ribut, aku melihat ke belakang melalui cermin pandang belakang, ada sebuah kenderaan dengan lampu yang tinggi menuju ke arahku dengan begitu laju sekali. Aku kaget! Tergamam seketika. Apa aku nak buat hah?
Makin hampir, semakin laju kenderaan pacuan empat roda itu dipandu. Tiada tanda-tanda ianya akan berhenti. Macam memandu pecut di lebuhraya nan luas corak pemanduannya. Dan...PANG! BANG! (ke apa ek bunyi hentaman?). Dia langgar juga kereta aku yang memang sedia pegun. Statik!
Ya! Mungkin secara luarannya.. nampak kereta itu remek teruk. Honda City bertukar menjadi Honda Aeroback. Kemalangan tak melibatkan nyawa atau jiwa. Syukur. Tetapi, hakikat yang tidak dapat dinafikan, aku mengalami kemalangan emosi!
Emm.. kemalangan emosi? Mengapa? Sebab ini merupakan kali ketiga aku terlibat dengan kemalangan yang melibatkan kerugian yang amat besar daripada sudut ongkosnya mahupun materialnya. Dan dek kesan hentaman elastik (elastic collision) itu, aku terkehadapan dan terlanggar kereta Alza di hadapan.
Dan paling menyedihkan pemandu itu mabuk! (tak mahu cakap bangsa, sebab orang Islam pun ramai yang minum kan). Yang mampu diucap 1000 kali sorry. I'm really..deeply sorry! Sambil turun dari kereta terhuyung-hayang.Dan.. babak paling memualkan ialah.. boleh pula pemandu tu kata "I nampak kereta you jauh lagi kat depan" Oh, sebab tulah kau hentam kereta aku 120km/j? (very da exagerate~)
Kalau orang lain berada di tempat aku, apa yang mereka akan buat ek?
a) Nak mengamuk, belasah pemandu belakang, kasi penampar ke penumbuk pun sedap juga kan?
b) Pergi pecahkan lagi lampu kereta dia (sebab 4 wheel-drive Rexton itu masih kental tak terusik, sekadar nombor plat saja pecah)
c) Kawtim dengan kereta depan, heret pemandu itu ke balai polis, sumbat lokap
d) Menangis samahu-mahunya sebab kepala terhantuk stereng (airbag tak keluar sebab kereta memang statik, tak dipandu dengan laju)
DAN.. Aku memilih jawapan e!
Ini saja kata-kata pedas penuh berhemah yang mampu aku ucapkan..
"You cakap sorry beribu kali senanglah.. yang nak tanggung rugi, susah takde kereta siapa nak jawab"
Senyum meleret pun macam tak ikhlas. Nak berkias, cakap beralas pun tak guna, apatah lagi kalau aku keluarkan kata-kata nista, sumpah seranah sekalipun, bukannya kereta itu akan 'pulih balik' seperti sediakala. Kan? Benda dah berlaku. Alhamdulillah tak melibatkan nyawa.. cuba bayangkan aku menunggang Panda malam itu? Nauzubillah~
Selepas itu.. apa yang berlaku? Sebab pemandu Alza memang nampak bengang dengan pemandu mabuk itu. Itulah.. pepatah mat saleh.. don't drink and drive! Tapi dalam Islam.. arak itu.. roksul karohah. Ibu segala kejahatan. Klik entri arak!
Justeru, jom kita cuba, try, test, teka siapa yang sampai dulu sejurus kemalangan ini? Polis kah? Jeng jeng jeng... Jawapannya.. orang penunda. Towing service. Mereka yang sibuk dulu. Macam tak percaya tapi itulah hakikatnya.
Seterusnya.. apa yang bermain di benak fikiran bila kemalangan itu berlaku? Satu perkara saja. Rasa bersalah mula bersarang.. sebab La Diva milik isteriku. Macam mana beliau mahu ke sekolah nanti? Nak hantar Maya ke nurseri? Ah, memang bertambah kusut. Pening kepala dan bertambah serabut.. kerana sudah pasti kereta akan tersadai di bengkel dalam tempoh tertentu. Koman-koman sebulan lebih kot. Nak cuti raya cina lagi...
Selanjutnya.. siapakah penyelamat? Nak minta tolong siapa ek? Kenapa tak call adik-beradik..? Malas nak menyusahkan orang lain. Dah menggatal nak main futsal tengah malam sangat, bila perkara yang tak berapa menarik ni berlaku, tanggunglah sendiri yek. Kebetulan pula, colleague Petrosains yang sama-sama main futsal tadi lalu jalan yang sama. Lutfi dan adiknya, Nazren yang menghala ke arah Seri Kembangan.
Maka, mereka berdualah yang menjalankan tugas wartawan merangkap kawan. Mereka yang tangkap gambar kereta yang remek teruk depandan belakang. (Aku memang takde mood nak tangkap gambar). Merekalah yang menemani aku buat laporan polis seterusnya hantar aku balik ke rumah di Desa Pinggiran Putra pukul 3 pagi.
Apa yang berlaku selepas itu? Aku agak buntu. Err..dejavu! Mungkin ini kali ketiga aku terlibat dengan kemalangan. Ketiga? Ya.. kali pertama aku menadu, terlanggar motor betul-betul depan simpang Masjid UPM. Walaupun kemalangan kecil, tetapi agak fobia sebab kali pertama. Kali kedua? Memang memberi kesan yang amat mendalam.
Siap buat entri khas 3 tahun lepas. Boleh baca di sini. Aku dilanggar oleh motor, tetapi selepas polis selesai buat siasatan, keputusannya dua-dua salah dan boleh claim insuran masing-masing. Dan tambah merumitkan keadaan, mat mot itu tak puas hati siap lantik peguam dan telah mengheret aku dan mama ke kamar mahkamah tahun lepas.
Aku memang runsing takut-takut laporan polis ini ditwist sekali lagi, sebab pemandu yang mabuk itu memang ada potensi untuk putar-belit sebab bangsanya ramai bergelar peguam. Nasib baik polis muncul juga dan membawa kereta Rexton itu ke balai polis berdekatan dan merampas IC/lesen orang itu. Satu kelegaan. Bertambah lega.. siasatan polis membuktikan orang itu bersalah. Dan maknanya, boleh claim insuran dia.
Aduhai~ walaupun pepatah hati-hati di jalan raya memang dipraktis, tapi.. kalau kita seorang sahaja yang berhati-hati.. orang lain memandu dengan cuai, memang malang tak berbau kan? Kalau dah boleh hidu malang akan berlaku, dah lama ikut MEX. Menyesal pun tak guna.
Dan di sinilah terletaknya di mana keimanan dan pegangan kita. Percayakan rukun iman keenam, percaya kepada qada' dan qadar.Aku tak mahu cakap pasal "hikmah" di sebalik kemalangan mengusik jiwa ini, tetapi aku anggap tragedi ini sebagai 'alarm clock' ataupun 'turning point' dalam hidup. Bak lirik lagu "kutempuhi dengan kesabaran.. kusedar kebesaran-Mu Tuhan..~"
Inaa lillahi wa innaa ilaihi raji'uun...kereta itu milik Allah hakikatnya walaupun akulah pemandunya. Aku memandu berpandukan kehendak-Nya. Sudah tertulis kemalangan ini menimpa saat kesempitan wang. Moga-moga jiwa ini lebih besar dan bertambah nilainya mengharap redha Allah. Hidup di dunia cuma sementara. Berpantang maut sebelum ajal. Tetapi Allah berfirman, "apabila sampai ajal kita, takkan lambat dan takkan cepat walau sesaat sekalipun". Mati itu misteri Ilahi.. tetapi pasti tiba mendekati.
Nota kaki - Selang 4 hari selepas kemalangan itu, adik aku pula kemalangan motor kerana cuai. Terlanggar pembahagi jalan. Mungkin efek melambung membuatkannya agak parah di bahagian kepala dan jemarinya. Nasib baik ada Hamba Allah menghulurkan bantuan, hantar ke hospital. Bersabarlah dik.. Allah sedang mengujimu. Memberi ruang dan peluang kepada kita untuk berubah menjadi lebih baik.
No comments:
Post a Comment