Zaman budak-budak.. suka sangat mengejek. Gemar bagi gelaran. Atau lebih tepat lagi, mengutuk. Maka, wujudlah panggilan seperti Halimah Jongang, Fatimah Juling, Dolah Hapak, Kudin Sengau, Amri Katik siap sampai boleh jadi modal buat drama lagi. Ada saja point.. pakai spek, baca buku, tak bergaul dengan orang.. itu skema atau nerd. Badan 'obes' je panggil Bob (badan orang besar).
Itu bab kutuk fizikal.. ada jenis gelaran berpandukan nama mak, bapak hatta nama datuk sekalipun. Sangat kebudak-budakan. Mentaliti tak matang. Ada juga suka mengubah "keunikan" nama seseorang. Sebab nama kawan kita atau nama ayahnya pelik, maka nama mereka diubah menjadi bertambah pelik. Contoh, ada seorang kenalan, namanya Respirasi, Plasenta contohnya (mungkin ayahnya saintis kemaruk idea siapkan tesis). Ada kawan nama Jaidatul Kuyong... Veldana..Rimfiel Janius.. tetapi Muslim. Ada kenalan namanya unik macam Parodi.. Sukma Malati.. dan macam-macam lagi.
Maka masuklah bab-bab ejas(adjust) nama, masing-masing memang "kreatif" bab-bab mengubahsuai nama orang. Contoh..Sofiah..diejek Kopiah. Ida..ditambah jadi Ida Turbo! Nama ayah kawan kita Jubing, maka dapatlah gelaran juling, jbin dan sebagainya. Cuba bayangkan nama betul sahabat kita Fikri.. tetapi dipanggil Usop (sebab suara macam Usop Sontorian). Nama betul Radzi tetapi dipanggil Blair. Nama Syahril.. gelaran Sya'ban. Sebab apa? Panjang ceritanya.
Dan yang paling penting adalah, siap gelaran ada makna-makna tertentu. Man Bunga.. sebab Bunga singkatan kepada "bu... ternganga!" Ji Klen.. Kayap.. Pancut.. dan beberapa jenis gelaran yang dikategorikan sebagai lucah dan busuk maknanya. Itu semua gelaran atau nama floor yang kelakar tetapi mendukacitakan.
Soalannya, adakah budak-budak SAHAJA suka memberi gelaran?? Orang-orang kampung juga tidak berkecuali. Masyarakat luar bandar turut terlibat. Ya! Sebagai contoh, kalau Zamri kahwin dengan Peah, maka dapatlah gelaran Zamri Peah. Kalau Berahim ada anak lelaki nama Nuar, maka orang panggil Nuar Berahim. Kalau Berahim tu duduk dekat Cabang 4, maka gelaran itu ditambah menjadi Nuar Berahim Cabang Empat!
Di Kelantan, kalau orang tua nak tegur atau panggil budak lelaki, maka dipanggilnya Awe (Awang) dan Mek.. untuk budak perempuan. Begitu juga halnya di Negeri Sembilan (Ujang dan Milah), Perak (Yop dan Yong) dan juga KL (Mamat dan Minah)
Emm.. bagaimana pula orang berpelajaran tinggi. Pensyarah, doktor, jurutera contohnya. Kalau CEO kita panggil "bos" sajakah? Kalau sekuriti kita panggil pakgad/makgad kah? Apa kata kita ambil contoh ahli politik. Adakah mereka matang? Gelaran seperti Najib Mongolia, Anwar Al-J@b0ri, dan sebagainya menggambarkan "kematangan" mereka?
Maka soalannya, adakah semua gelaran itu buruk-buruk semata-mata? Walhal, orang Arab turut terlibat. Sebagai contoh Rasulallah digelar Muhammad Al-Amin. Abu Bakar As-siddiq sebab selalu membenarkan Rasulallah. Abi Hurairah sebab terlalu sayangkan kucing. Kalau ada anak bernama Muslim, maka sahabat itu dipanggil Abu Muslim.
Ada juga gelaran yang baik seperti Al-Hafiz... Profesor.. Doktor.. Insenior(Ir.) yang melambangkan ketinggian ilmu yang dimiliki. Ada juga gelaran disebabkan jasa yang ditaburkan. Kalau tak, masakan Puteri Hang Li Po dapat gelaran Hang. Maka adakah dengan pemberian gelaran seperti Datuk, Tan Sri akan membuatkan orang ghairah dan kemaruk mengejar pangkat, gelaran dan kedudukan?
Mungkin "gelaran" diberi merujuk kepada "nama manja" untuk orang yang benar-benar rapat. Sebagai contoh, pengalaman aku sendiri. Selalu hantar Panda ke bengkel Uncle James. Uncle James ni berbangsa India. Rapat tak rapat kami, Uncle James datang masa kenduri kahwin aku tahun lepas. Tapi sampai ke hari ni dia tak hafal nama aku. Nak tahu dia panggil aku apa? Dey Thambi~
Bunyi macam menjengkelkan atau annoying, tetapi di situ menggambarkan betapa mesra dan rapatnya kita dengan seseorang. Macam orang Melaka, yang terkenal dengan bahasa kasarnya. Sama juga macam orang Kelantan yang sesuka hati memanggil 'saing' mereka 'natey', walhal natey bermakna binatang!
Segalanya bergantung kepada bentuk gelaran. Baik atau buruk. Andai baik, maka baiklah reputasinya. Jika buruk, maka buruklah persepsinya. Dan bergantung kepada niat masing-masing. Mungkin juga kita boleh anggap gelaran itu satu doa. Maka, kalau nak beri nama anak, berilah nama-nama yang sedap dan mudah disebut serta elok pengertiannya.
Contohnya, nama anak Mustafa, Muttaqin, Huzaifah atau Ibrahim. Cuba bayangkan bagaimana orang Kelantan akan pronoun nama tersebut? Stopa.. Taqing.. Jepah.. atau Berehem.. Kan? Zubaidah? Bedah!
"Wahai orang yang beriman! Janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina) lebih baik dari mereka (yang menghina), dan jangan pula perempuan-perempuan (menghina) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dihina) lebih baik dari perempuan (yang menghina). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk..." [Al-Hujurat 49: 11]
Tukang Tulis - Kena sediakan nama yang bagus untuk anak yang bakal lahir. Elok maknanya..mudah menyebutnya :)
No comments:
Post a Comment