Hebahan

Monday, October 11, 2010

Cerita raya DUA dunia ~

Wah! Cerita raya? Benarkah.. walaupun Syawal sudah habis. Puasa 6 pun sudah. Raya kali kedua pun sudah. Raya tahun ni, kami berdua nekad dan sepakat, balik Kota Bharu. Selepas kami selamat diijabkabulkan, ada seorang individu yang isteri aku WAJIB jumpa, tapi sebelum ini tak berkesempatan.

Di KLIA
Beliau yang dimaksudkan ialah, Tok Mek, yakni ibu kepada Papa, yang ketika ini terlantar sakit di Kota Bharu sebab diserang angin ahmar. Lumpuh sebelah badan(kanan) Tok Mek. Perlu diingatkan, ketika aku belajar di Ma'ahad Muhammadi, Kota Bharu, Tok Mek lah orang yang jaga makan, minum, sakit, bangun aku. Maka, sudah semestinya aku bawa isteri berjumpa Tok Mek. Sementelahan, isteriku itu merupakan cucu menantu yang sulung. Aku anak sulung, dan cucu sulung bagi kedua-dua belah keluarga Papa & Mama. 

@ Taman Tengku Anis


Tanggal 3 September 2010 isteri aku sudah sampai Putrajaya dari Labuan. Kemudian, 7 September 2010 kami terus ke Kota Bharu dengan menaiki kapal terbang. Semua tempat wajib singgah telah kami jelajah. Pusing Kota Bharu,masuk Pasar Besar Siti Khadijah, Tesco & Giant(walaupun bersepah di KL) sampailah ke Rantau Panjang. Aku siap beli jersi Jerman, manakala isteri belanja sakan beli tudung.

Wakaf Che Yeh pun ada 'bunga api'.. hilir sengoti siap ada Drive-thru McD
Malam raya, sempat pula singgah Wakaf Che Yeh. Sampai kami berdua sesat tak ketemu kereta. Haha. Aku pun jarang-jarang balik, maka sesat dimaafkan ya :) Malam raya juga isteriku dapat menyaksikan betapa ramainya "tok fakir" yang berlegar di sekeliling KB mengharapkan duit zakat fitrah. Datang entah dari mana. Papa kata seberang dari Siam.

Raya kali ni, semua rumah mak saudara, ayah saudara telah kami singgah termasuklah rumah nenek kedua (arwah Tok Ayah berpoligami). Memang raya sakan dan yang penting, isteri aku orang paling seronok sebab setiap kali singgah ke rumah saudara-mara, pasti akan dapat ole-ole yang paling koman kain batik! Itulah budaya orang Kelantan agaknya. Sangat teruja menyambut kehadiran orang baru. Untung kahwin dengan orang Kelantan kan, sayang?


Raya kedua, kami terus pulang ke Putrajaya. Sebab raya keempat, Isnin sudah mula kerja. Giliran beraya di rumah mertua pula. Keluarga mertua aku di Sungai Besar sangat besar. Maka, sangat meriah. Tambahan pula, Mak baru dapat cucu ke-18, anak abang Aman. Tahun depan insya allah akan bertambah jadi 21 orang cucu. Mama dan Papa juga yang akan dapat pangkat "Datuk & Nenek" dengan cucu sulung insya allah :)

Keluarga mertua@Sg. Besar
Ada satu benda yang menarik perhatian aku. BA-RA-AN. Pertama kali dalam hidup aku tengok perempuan bertudung labuh merempit dengan motor beramai-ramai. Waktu siang ya. Macam kumpulan marhaban yang akan konvoi rumah ke rumah untuk berselawat dan memuji kebesaran tuhan. Adat orang Jawa. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak! Jangan menguap pula. Haha...

Atas ERL; KLIA-Putrajaya
Aku dah kenal Mbah, ibu kepada Mak yang usianya mencecah 80 tahun lebih kurang. Masih sihat, cuma daya ingatan agak lemah. Biasalah.. warga emas.. Nama aku tak ingat-ingat. Maklumlah.. aku pula jadi orang baru di situ. 

Raya kali ini telah menyatukan dua dunia yang berbeza. Alhamdulillah, kami telah menemui titik kesefahaman yang sangat perlu ketika melayari alam rumahtangga. Aku bersyukur, aku kini suami kepada insan bernama Nurulhuda Noordin. Alhamdulillah..rezeki aku bertambah murah. Aku juga mengharapkan perkara yang sama dirasai olehnya.

Murah rezeki bukan kita kira dari sudut wang ringgit semata-mata. Kesihatan... boleh makan tanpa ada pantang-larang sebab ada penyakit kronik juga rezeki. Persaudaraan.. tali silaturrahim yang terbina antara 2 keluarga juga jadi punca murahnya rezeki. Kita ziarah, tapi orang bagi hadiah! Itu juga rezeki.

Manfaat kita menghubungkan silaturrahim selari dengan as-Sunnah sebagaimana Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya, dan ingin mendapatkan tambahan rizki, maka hendaknya menjalin silaturrahim." (Kitab Jami'us Sa'adat jilid 2, pasal Silaturrahim)

Tahun 2009 beraya seorang diri (bujang)

Tahun ini, beraya berdua bersama isteri tercinta.

Insya allah, tahun depan raya bertiga pula :)

No comments:

Post a Comment